11 April 2012, ringkasnya perjalanan kami sekeluarga sesudah zuhur itu menuju ke pantai Bagan Lalang di Sepang. Tanpa kami ketahui bahawa ada makluman supaya jangan menghampiri kawasan pantai (Gempa bumi berukuran 8.9 magnitud menggegar Aceh pada jam 4.38 petang (Waktu Malaysia). Amaran tsunami turut dikeluarkan oleh Agensi Geofizikal Indonesia. Orang ramai diminta menjauhi kawasan pantai sehingga amaran Tsunami ditarik balik. Gegaran tersebut turut dirasai di Kelantan, Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor. - Jabatan Meteorologi Malaysia). Alhamdulilah! Tertunailah janji saya dan isteri untuk putera puteri kami menikmati alam dan mandi-manda.
Kami sempat singgah menikmati makan tengahari di sebuah kedai selepas kami melewati pekan Sungai Pelek. Kedai biasa tetapi masakannya Alhamdulilah! Enak , terasa asam dan garamnya. Semasa meminta taukenya seorang kakak yang agak ramah dan saya kira berusia hujung 40-an atau mungkin juga awal 50-an. Layanan mesranya kepada keluarga kami menyebabkan saya agak yakin untuk menyoal tentang politik di Selangor ini.
“Wah! Akak dah gantung menu satu Malaysia! Sarapan pagi murah makan tengahari baru pun baru 4 ringgit!” Usik saya kepadanya. Sememangnya di sebelah luar kedai tergantung banner secara menegak tentang menu satu Malaysia.
Sebelum menjawab soalan saya Kakak ……. (tauke kedai) tertawa separa meriah.
“Orang suruh gantung. Kita gantung!” Balasnya sambil senyum masih meleret.
“macam mana kak! Selangor ini rasa-rasanya BN boleh dapat balik tak?” Soal saya direct melihatkan respon yang positif.
Mukanya berubah menjadi serius. Sambil sedikit tercebik bibir, dia menggeleng-gelengkan kepala.
“tak tahulah. Tapi rasa akak susah la! Rasa akak memang tak dapat la! Itu pendapat akak la.” Tuturnya sambil bergilir mengalih pandangan kepada saya dan isteri.
“Ok! Kenapa akak rasa susah BN nak dapat Selangor balik. Bantuan satu Malaysia, yuran sekolah free, duit lima ratus, kedai satu Malaysia barang murah, dah macam-macam tu yang dibuat. Apa masalah lagi?” Tanya saya dengan sedikit nada provok.
“Akak tak tahu la. Tapi PR perintah yang pertamanya pasal air tu la. Sampai sekarang akak tak payah bayar. Dulu masa BN perintah akak bayar 40 ringgit, kekadang 45 ringgit sebulan. Setahun akak dah save 500 ringgit tu. Kalau orang pandai jimat, boleh guna untuk baju anak sekolah. Lepas tu duit 500 tu, kat tempat akak ramai yang dapat tapi semua cakap tu ‘gula-gula’ aje. Nasib baik pembangkang kuat, dulu masa BN kuat mana ada tu semua….” Tuturnya yakin.
“Akak tak rasa bersalah ke? Akak ambil apa yang kerajaan beri tapi undi akak ada kemungkinan pada PR?” Sengaja saya uji dengan soalan ini.
“Kenapa akak nak rasa bersalah. Itu memang kerja mana-mana kerajaan. Jaga rakyat, beri apa yang rakyat perlu. Bagi akak tidak salah, siapa pun yang akak hendak undi, itu hak akak.”
Wah! Agak teguh pendiriannya.
“ bukan PR sama saja dengan BN? Akak tak tengok tv, PR banyak masalah dalam urus tadbirnya. Lepas itu akak meniaga macam nie, dia orang ada datang tengok ke?” Soal saya lagi untuk membaca pemikirannya.
“Akak meniaga macam nie memang tak sempat tengok tv. Lepas Isyak tidur, pagi bangun pergi pasar, siap-siap buka kedai, masak, meniaga. Lepas itu anak akak pun ada yang belajar. Bukanlah pandai sangat tapi Universiti juga. Anak akak selalu cakap, tv bukan semua betul, banyak tipu. Pasal PR ada datang sini ke tidak?. Ada, dia orang jumpa akak, tanya apa masalah. Bagi akak pinjaman lagi untuk meniaga nie.”
Kenyataan Kak ….. sebagai peniaga di pekan kecil ini sedikit memeranjatkan kami. Melihat kami terdiam dia menyambung lagi.
“Akak tak tahu la. Tapi kawan-kawan yang baik dengan akak cakap kami tidak mahu tukar lagi. Nak bagi PR lagi la. Selangor ini memang rasanya BN tak boleh dapat. Tempat lain akak tak tahu la. Satu lagi tak tahulah kalau….! Apa orang sekarang cakap! Kalau main kotor tu, peti tambah, undi yang bukan-bukan ke? Akak tak berani cakap la PR menang. Rasa akak kalau pilihanraya betul, takde tipu-tipu menang lagi PR kat Selangor ini!” Tuturnya lagi sambil saya sudah mula menyebut makanan yang kami sekeluarga nikmati bagi dibayar jumlahnya.
Kami tinggalkan kedai makan Kak ….. menuju ke pantai Bagan Lalang. Tulisan ini dinukilkan secara jujur dan ini suara akar umbi.
Cuma saya terfikir ‘Aku anak Johor, hanya negeri aku yang……………….”