Beryukurlah! dikau telah dapat membaca diriku
bahawa pawana tanah selatan telah bertiup kencang
di mukim pentadbiran ini......
Gempita dalam suram
Pabila suara menjadi serigala
Tiba-tiba keberanian datang
Entah dari penjuru mana
Bukan sentiasa angguk di jalan bengkok
Bukan sentiasa tepuk pada ucap kata ampu dan pujuk
Bukan sentiasa mengiya pada dolak-dalih
Aku tidak akan berhenti di sini
Terpulang kepada dikau membawa kemudi
Namun aku bersedia turun dari bahtera ini
Andai itu arahannya nanti
Kerana berdiri di sini
Bukan kerana disengat pangkat
Bukan kerana nama diangkat
Bukan langit yang mahu ditongkat
Cuma aku ingin terus memberita dikau
Bahawa duit ini bukan milik kita – kita mengurus wang rakyat
Bahawa kesudahan kehidupan ini – kita akan mati mengadap Tuhan
Bahawa setiap penganiayaan – kita akan menerima balasan
Lalu di lantai bawah sana
Terlalu ramai anak-anak istimewa
Yang menunggu kita dengan harapan
Dan sejuta mimpi.........
Beryukurlah! dikau telah dapat membaca diriku
bahawa pawana tanah selatan telah bertiup kencang
di mukim pentadbiran ini......
ZHARULNIZAM SHAH Z.A
Sunyi Malam Putrajaya
12042011
1 ulasan:
oh..
patutnya TK baca kt sini dulu..
ok, baru jelas lg terang apa yg ttulis kmudian..
bagus dan syabas!
sentiasa muhasabah dan perbaiki diri.
hidup kita ada pnghujung nya..
Post a Comment