Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK
Showing posts with label PERIBADI. Show all posts
Showing posts with label PERIBADI. Show all posts

Saturday, November 3, 2012

KUBURKAN AKU (Ketika Tuhan Berfirman kepadaku; mempertahankan iman)



 Kunci
atlas
satu watak beribu wajah

 Terperangkap di kota terlarang
mendung,
gerimis,
hujan,
puisi,
lagu,
rindu reput
tanpa makna
kenangan berjelaga
warna dosa
racun pun terbancuh di pembuluh darah

 Ayuh! tusukkan belati di tangan kiri itu, - ke jantungku
Ayuh! Pedang di tangan kanan itu, - penggallah kepalaku
Aku akan sentiasa bersama AL-MUTAKABIR


Kafankan aku!
kuburkan aku!


PUJANGGA SENI
Sunyi pagi Putrajaya
3.17 pagi
03112012

Saturday, October 6, 2012

CATATAN DARI KOTA KINABALU 1: AKU DAN NERLY



Malam itu langit Kota Kinabalu tiada bezanya di tanah Semenanjung
Detik jam menuju angka Sembilan
Antara deretan bangunan;
kedai menjual kereta Nissan,
Bank CIMB,
hujung  kedai mamak , aku melangkah  keluar selepas meneguk segelas Nescafe,
membeli  dua kotak Dunhill biru
Nerly tiba-tiba muncul  mengejarku hingga ke lobi Dynasty Hotel,
Baju ketat berbelang merah putih, jeans separa lutut menayang punggung
ranum susunya yang menonjol
mencabar mata lelakiku 
persis mahu melompat menerkam wajahku  
Astghafirullah!
Ya Allah tolonglah aku!  
Kerana aku bukan malaikat!

Manik-manik peluh mercik ke dahi
Dia mengekoriku hingga ke dalam rumah lif
“Bang!” panggilnya mendayu
Aku diam seribu bahasa, lidah kelu kehilangan kata.
Dihulurnya kertas putih tertulis Nerly angka 010XXXXXXX
“Kalau perlu call saja bang! Boleh apa saja! Harga boleh dirunding!”
Dalam rayu manja mengada-ngada
(suaranya bernada Indonesia)

 Oh! Rabbi ujian apakah ini di awal malam di negeri bawah bayu!
Lama matanya memandang wajahku.
Lif berhenti di angka 18.
Dia turut keluar mengikut aku menuju ke bilik 8XX
“ Tak apa! tak perlu!” Tuturku sedikit gementar

Masuk ke bilik aku mengadap Rabb
Menyelesaikan yang wajib menambah  yang sunat
Mohon taubat
Mohon kekuatan!
Jam sebelas aku keluar!
Nerly sedang duduk di sofa berdekatan lif tingkat 18 Hotel Dynasty.
“ Bang mahu ke mana?” tidak mengada seperti mula, hanya biasa-biasa.
“ Ke kedai mamak mencari Nescafe!” jawapku tenang.
“Aku mahu ikut abang minum!” Pintanya bersahaja, lalu kuanggukkan kepala.

Ramai mata memandangku apabila mamak yang tadinya mesra seperti kini sedikit ragu.
Nerly makan mee goreng dan segelas epal bercampur susu
Aku  banyak bertanya,  Nerly banyak menjawab walau mulanya seperti menyembunyikan sesuatu.
“ Aku tahu abang orang baik!,  Tengok muka aku dah tahu!” Pujinya entah ya entah tidak!

Bila aku bercakap pasal Tuhan, dosa pahala, syurga neraka, hidup mati.
Nerly menjawab begini
“ Aku bukan muslim,  aku percaya Jesus,
Aku tidak suka kerja begini,  adik beradik sembilan orang”

Jalan hidup Nerly panjang dan berliku
” Abang! Aku umur enam belas tahun  ditipu lelaki
Datang sini asalnya mahu kerja elok
Akhirnya diri sendiri jadi dagangan!”

Malam makin larut, aku harus pulang.
Oh! Kota Kinabalu, sudah ada subjek untukku tulis.
Wayang kehidupan kupu-kupu malam
selepas aku membayar  makan dan minum kami.
Nerly berkata kembali manja; 
“bang aku malu ah! sudah belanja aku,
Abang! Bawa aku ke bilik! Aku ‘belanja’! percuma saja!”
Ah! Jahanam juga SiNerly ini! Kata hati kecilku.
Wajah ibu, isteri, anak-anak perempuanku memenjara fikir
Lalu kata kalbuku!
Meski tiada siapa yang tahu, aku tidak boleh lari dari pandangan Allah, Tuhanku yang satu!

“tak perlu Nerly saya lelaki yang ada Tuhan!” jawapku tenang dalam deru angin malam
“abang memang lelaki yang baik!” Nerly memuji lagi.

Nerly tidak mengekoriku pulang ke hotel
Dua belas langkah aku menoleh,
Nerly sudah duduk semeja dengan seorang lelaki lain!

Terima kasih Rabbi!   
memelihara iman, maruah, harga diri seorang lelaki sejati.... 

ZHARULNIZAM SHAH Z.A
Hotel Dynasty 
Kota Kinabalu, Sabah.


  




Saturday, September 1, 2012

BANG! SAYA KECIWA BANG!!!


                Sambil melayan watak-watak yang muncul dalam manuskrip baru (novel mistik yang dijanjikan untuk Alaf 21) tiba-tiba meraung lagu Maher Zain dari telefon saya di bilik tidur. Jam sudah pukul 2 57 pagi. Saya bergegas ke bilik untuk menjawabnya kerana bimbang terganggu tidur isteri kesayangan saya. Di skrin telefon tertera nama anak muda….. yang bertugas di kementerian……. dan biasa juga minum dan sembang perihal agama, politik, kerjaya dengan saya. Ya! Allah apakah halnya pulak?.
                Salam diberi dan disambut.
                “ Abang dah tidur ke? ” Nadanya sayu menyoal saya
                “ Insyallah! Belum lagi.” Jawap saya jujur
                “ Saya ganggu abang ke! Abang tengah tulis buku ya!” Tanyanya lagi.
                “Alhamdulilah! Lebih kuranglah!” Jawap saya sambil membuat simpanan bab yang sudah dihasilkan di kotak memori komputer riba.
                “Bang saya minta maaf! Saya nak jumpa abang sekarang boleh tak?” Tanyanya separuh mendesak.
                “ Hiss! Kenapa nie! Masalah agama, bangsa dan negara ke? “ Saya separa melawak. Mendengarkan dia terdiam seketika, saya seperti rasa bersalah pula.
                “ Kalau abang sibuk tak apalah!” Katanya lagi seperti ada rajuk.
                “Eh! Tak apa. Insyallah boleh! Ok kita nak jumpa kat mana sebab dah dekat pukul tiga pagi ini. Kedai mamak yang bukak pun dalam Putrajaya nie pun rasanya Presint 9 aja!” Balas saya serius.
                “Terima kasih bang! Abang tunggu kat bawah surau presint abang tu, saya datang ”Jawapnya kembali secara terus tanpa basa basi lagi.

                Dipendekkan cerita dia datang dengan Proton Saga versi baru ,mengambil saya yang menunggu di surau. Lalu keputusannya kami berhenti di pinggir tasik Presint dua berdekatan masjid besi. Dalam perjalanan berulangkali memohon maaf kerana mengganggu saya. Pun saya jelaskan tidak ada apa-apa kerna saya biasa berjaga malam. Kami duduk menghadap tasik, memerhati jambatan tidak siap dan memandang juga jambatan lengkap yang berkedudukan sebelah kanan tempat kami berhenti ini.
                Biarlah saya gelarkan namanya dengan M. Seorang PT. Anak muda yang kerap menyoal perihal agama jika berkesempatan minum dengan saya samada bersarapan dan makan tengahari.
                “Betul bang apa yang abang cakap!” Katanya sambil memandang wajah saya. Saya cuba mengingati apa pula yang pernah saya katakan dan bila masanya.
                “abang ingat tak tahun lepas kita minum sama.” Tanya lagi. Saya sedaya mungkin cuba mengingati. Berapa ramai yang pernah minum dan apa yang pernah saya katakan padanya. Kemudian dia menyebut beberapa nama dan mengungkit waktunya sebelum solat asar di surau pejabat E2.
                “Tahun lepas dalam bulan sebelas!” Saya menganggukkan saja kepala walaupun hakikat sebenarnya saya tidak lagi dapat mengingati.
                “Abang usik saya, tanya pasal special girl. Lepas yang lain belah! Kan tinggal abang dengan saya je kat cafĂ©!”  Katanya lagi dengan nada tidaklah tenang.  Kami terdiam seketika.
                “Ya! Insyallah abang ingat. M cakap ada budak tu student USM. Itu pun kalau abang tak silap la.” Jawap saya separuh yakin.   
                M yang berasal dari salah sebuah negeri di Utara semenanjung menganggukkan kepala.
                “Kenapa! Alhamdulilahlah tu. Jangan buat bukan-bukan. Ada rezeki nikah la. Sempurnakan sebahagian agama. Sebahagian lagi hendaklah bertakwa!” Kata saya memandang wajahnya dalam remang cahaya lampu jalan di pinggir track jogging pinggir tasik ini.
                Wajahnya nampak sayu sekali.
                “ Dulu abang ada cakap! Kalau bersaing lelaki yang dekat akan menang!” Katanya lambat tetapi agak menyentuh juga. Ya! Saya mengingati fakta tersebut. Jika dalam pertarungan perkasihan yang membabitkan tiga segi, empat segi, lima segi, lelaki yang paling dekat dengan perempuan tersebut akan menang.
                “Habis tu?” Soal saya pendek tapi rasanya cukup difahami.
                Dia menyeluk kocek seluarnya mengeluarkan telefon bimbit. Menekan dan mencari sesuatu. Mengunjuk dan secara jujur memberikan saya untuk mentelaah dan memahami tulisan di skrin telefonnya.
                Ah! Sah! Hati anak muda ini sedang hancur. (Biarlah saya rahsiakan apa yang tertera di telefonnya.) Saya unjuk kembali telefonnya dan matanya berkaca. Ah! Tulus sungguh kasih sayangnya dan barangkali harapannya terlalu tinggi dan tidak berbelah bagi.
                “Betullah bang! Siapa yang dekat, dia menang! Budak lelaki itu belajar sama dengan dia!” Kata-kata itu diucap tanpa memandang wajah saya. Saya pula sedaya mungkin cuba mencari kata-kata atau pesan terbaik untuk mencatumkan hatinya yang barangkali retak lebih seribu.
                Sambil dia terus bercerita tentang kesetiaannya walaupun ada gadis yang bekerja di sini cuba memenangi hatinya, tentang doa dan harapannya dan akhirnya dalam kabus pagi Putrajaya di pinggir tasik ini, dia menangis di hadapan saya. Ya Allah! Cinta sesama makhluk kadang-kadang boleh mencantas kewarasan manusia.
                Agak lama saya membiarkan dia melepaskan emosinya tanpa memotong walau sepatah katanya selain saya mengiya dan menanggukkan kepala.
                “Maaflah bang! Sejak lepas Isyak tadi fikiran saya terfikir abang. Keluarga saya jauh. Saya tak yakin nak cerita dengan kawan-kawan serumah. Dia orang semua pun muda lebih kurang saya.” Katanya selepas melepaskan airmata.
                Huh! Lelaki yang menangis kerana cinta. Hai! Anak muda kenapalah engkau memilih aku untuk meluahkan perasaan.
                “M pernah dengar cerita lelaki mengadu kepada Rasulullah tentang pinangan dia ditolak.” Saya memancingnya selepas dia agak tenang.
                Dia menjawabnya dengan gelengan kepala.
                “Satu hari ada lelaki mengadu kepada Rasulullah pinangan dia ditolak oleh seorang perempuan. Rasulullah jawap ‘sabarlah! Engkau akan memperolehi perempuan yang lebih baik daripada dia dan dia akan mendapat lelaki yang lebih baik dari engkau’” Dia mendengar dengan teliti dan saya menyambung lagi.       
                “tengok jawapan tu. Adilkan! Percayalah ini ujian kecik M. Insyallah abang doakan dan yakinlah takde sabda Rasulullah yang tak betul. Insyallah Allah hendak beri yang lebih baik untuk M!” Saya cuba meyakinkan M. Dia mendengar dengan tenang, tidaklah terlampau terbawa sentimen emosi seperti awal dia meluahkan kekeciwaan tadi.
                “Baliklah pada Allah. Sangka baik pada Allah! Percayalah M! kamu akan dapat lebih baik dari dia dan dia dapat lebih baik dari kamu!” Saya sehabis mungkin memujuk anak muda yang boleh saya kategorikan baik selama yang saya kenal di sini. Kacak orangnya, cumanya kekeciwaan tidak mengenal rupa, pangkat dan status.
                Lama terdiam, kemudian dia menyambung tentang kenangannya dengan student tersebut. Pertemuan apabila pulang bercuti ke negerinya.      Selepas bercerita tentang kenangannya dimatikan ayat tersebut dengan kalimat;  “kenangan payah lupa bang!”
                “M! semua orang ada kenangan. Kenapa tak boleh lupa? sebab kenangan duduk dalam fikiran dilingkungi perasaan! Kalau M ingat sampai bila-bila pun orang tak boleh buat apa pun. Tapi ingat Allah tidak janjikan dia untuk M dan M juga bukan untuk dia. Ambil masa la sikit. Tapi kalau M kuat solat malam minta dengan Allah! Insyallah semuanya ok. Tentang kenangan tu abang akui! Kenangan tak boleh dibunuh. Tapi kita kena balik pada Allah!” Balas saya tenang tanpa mahu mencuit emosinya yang rawan.  
                 Lama juga saya melayan M, anak muda berusia 24 tahun yang saya kira belumlah mengenal warna kehidupan sebenar. Saya tidak lepas meminta dia kembali kepada Allah, kepercayaan kepada takdir, sabda Rasulullah dan tentang dunia ini hanya permainan dan kehidupan ini sekejap sahaja. Sehinggalah dia menghantar saya pulang, saya meninggalkan pesan ini.
                “Percayalah kalau hati tidak tenang. Bacalah surah An Nur!”
                “Insyallah! Bang. Balik ini saya baca surah An Nur. Terima kasih banyak bang! Bang! Kalau malam lain saya rasa perlu keluar dengan abang boleh!?” Nampak jiwanya sedikit ‘hidup’.
                “Insyallah! Call la!”
                Akhirnya kami bersalam dan dia mencium tangan saya.
                “Bang! Macam mana abang tahu ini semua?”
                “Pengalaman!” jawap saya pendek dan dia tersenyum dan saya membalas senyumannya.

(Artikel ini ditulis selepas mendapat persetujuaan M! SENTIASALAH BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH TAA’LA)
   
                     
           
                 

Thursday, May 17, 2012

JANGAN ANIAYA GURU



                Cik Normala Sudirman yang asalnya seorang guru telah meletakkan jawatan dan seterusnya bertanding mewakili Parti Islam Semalaysia (PAS) pada pilihanraya kecil Dun Tenang N05 pada tahun 2009. Kini beliau merupakan ahli politik sepenuh masa.


                Sewaktu beliau menghubungi saya untuk satu jemputan sebagai panel dalam majlis HI-TEA DIALOG PENDIDIK, saya berada di Dynasty Hotel Kuala Lumpur untuk satu urusan rasmi. Saya difahamkan beliau telah menggerakkan sebuah NGO yang digelar PENDIDIK. Khusus bagi melindungi dan memberikan khidmat nasihat, bantuan yang termampu bagi guru-guru yang dianggap teraniaya. Justeru saya diminta berkongsi pengalaman sebagai guru yang pernah di dakwa di mahkamah.  klik di sini untuk mengetahui lanjut Panggilan itu tidak saya selindungkan di kalangan rakan-rakan dari JPN dan KPM yang bersama saya.
                Lantas ada yang mengingatkan saya tentang kesanggupan hadir majlis tersebut. Jawapannya mudah ’kita harus membezakan gerakan politik dan NGO’. Jika untuk menyertai mana-mana parti politik pun dibenarkan, ini pula NGO. Tidak ada halangan bagi penjawat awam untuk menjadi ahli. Ianya sama sahaja seperti ABIM, JIM dan lain-lain. Yang tidak dibenarkan menentang dasar, menentang pemerintah dengan senjata. Itu memang kesalahan besar. Setakat berbeza cara berfikir dan pendapat, itu kebiasaan dalam kehidupan. 

                Petang itu saya hadir sekeluarga di Hotel Pan Pacific KLIA. Mujurnya jarak antara Putrajaya dan KLIA hanya dua puluh minit perjalanan. Saya dibariskan bersama Datuk Haji Adnan (Mantan Pengarah Pelajaran Perak) dan Cikgu Azrin Abd Majid ( Timbalan Presiden Pendidik ) berkongsi pengalaman lalu yang cukup mendidik dan mendewasakan. Perasminya yang berbahagia Ir Muhd Haslin Hassan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Sepat.
                Peserta yang hadir juga diberi peluang untuk berkongsi permasalahan dan ujian yang dilalui sebagai seorang guru. Sungguh menyedihkan dan memeranjatkan saya, ada yang ditukarkan sehingga 15 kali. Lebih mendukacitakan ada yang ditamatkan perkhidmatan hanya kerana perbezaan politik. Cukup mengharukan. Sebetulnya apabila saya hadir program seperti ini saya tidak menganggap saya membawa jawatan yang disandang sekarang. Namun apabila ada yang membabitkan pertukaran dalam negeri yang terlalu kerap terpaksa saya maklumkan bahawa pertukaran di dalam negeri bukan diuruskan oleh KPM. Jawapannya diuruskan oleh…………… Hanya pertukaran yang melintas sempadan negeri yang diuruskan KPM.

                Memandangkan PENDIDIK masih baru dan memerlukan dana, saya memilih untuk berkongsi hasil penjualan novel terbaru saya BISIKAN AN NUR pada petang itu. Setiap RM2 dari setiap naskah pembelian petang itu diserahkan kepada PENDIDIK. Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sahabat yang membeli dan memberi sokongan petang itu. Membeli sambil menderma untuk gerakan NGO guru. Alhamdulilah dua putera dan puteri saya, yang semuanya di usia sekolah rendah membantu jualan tersebut.  

                Pulang petang itu berbagai yang bermain di fikiran saya. Sebetulnya siapa pun yang bakal diberi mandat oleh rakyat lagi, tanpa mengira parti mana dan komponen mana. Janganlah menganiaya guru-guru hanya kerana perbezaan pandangan dan ideologi politik. Bukankah perbezaan itulah yang dapat mendidik, bertukar pendapat, memajukan Negara jika ianya diamati secara professional dan bijaksana. Suka juga saya maklumkan selepas saya diberi peluang Allah berkhidmat di Putrajaya. Sebahagian tindakan menukarkan guru sesuka hati oleh segelintir pihak, ada antara tindakan tersebut yang tidak diketahui oleh pihak atasan. Ianya dilakukan oleh peringkat pertengahan yang melaksana.

                Berani saya katakan begitu kerana isu Cikgu Maarof (suami kepada Cikgu Normala). Sebelum ini saya bersama membawa mereka ke bahagian tatatertib dan kemudiannya ke Jabatan Perdana Menteri untuk melihat status Cikgu Maarof yang ditukarkan dari Segamat ke satu daerah lain di Johor yang jaraknya 245 km. Saya mendengar sendiri apabila Cikgu Maarof memaklumkan bonusnya tidak dibayar. Arahan pertukaran yang cukup mengelirukan. Pegawai di Bahagian Tatatertib seakan terperanajt dan bertanya “Siapa yang arah jangan bayar bonus cikgu nie!” Termasuklah beberapa soalan lain berkaitan perkhidmatannya. Sungguh memeranjatkan apabila sebahagiannya bercanggah dengan prosedur.
                Apa pun semuga PENDIDIK dapat bergabung dengan KPPK sebagai alternatif kepada guru-guru yang meyakini tindakan pertukaran atau apa sahaja yang dirasakan bertentangan dengan prosuder sekarang. Sesungguhnya pentadbiran PM sekarang DS Najib Tun Abdul Razak sudah banyak keterbukaan dan lebih matang berbanding sebelum.
                Insyallah! Semuga tulisan jujur ini tidak disalahertikan. HIDUP GURU dan SELAMAT HARI GURU.
   

Thursday, April 5, 2012

“AKU BERDOSA BESAR!”


            Tiga kali dia menghubungi saya, setelah beberapa hari kami tidak berjumpa. Apa tidaknya pulang dari Melaka kemudian saya turun semula ke Johor. Malam itu saya memperuntukan masa untuknya. Kami berjumpa agak jauh sikit dari kebiasaan. Luar Putrajaya.
            Segelas Nescafe untuk saya dan dia memilih teh tarik. Lokasinya biarlah saya rasakan.
            “Ada hal sikit aku nak cakap dengan kau!” Katanya tenang tetapi ada rona resah di wajahnya. Saya berdebar. Saya menganggukkan kepala tanda bersedia untuk mendengarnya.
            “dah lama aku nak cakap. Selalu minum kau banyak cerita pasal agama. Aku tak pernah beritahu orang lain. Engkaulah yang paling aku percaya” Tuturnya lagi menambahkan debaran kencang di dada saya.
            “Aku rasa bersalah sangat. Sekarang aku ada anak perempuan” Keterangannya makin kuat pelbagai tanda tanya menyergah pemikiran saya.

            “Apa dia nie?” Bait awal saya cuba menyelongkar maksudnya.
            “Kau ingat tak, aku pernah cerita dulu aku duduk dalam swasta. Pendapatan aku RM6000.00 sebulan. Dululah! Lepas itu aku pilih masuk kerajaan dengan gred gaji aku yang tidak seberapa ini” Katanya mengingatkan aku ceritanya satu ketika dulu.
            “Insyallah ingat! Kau tinggalkan gaji 6000.00 sekarang dengan gaji kurang 2000.00. Aku ingat kau cakap dapat lebih baik dari nilai duit tu. Family kau dekat dengan kau! Anak-anak lebih mesra!” Aku mengutip semula kenyataannya sebelum ini.
            “ Sebenarnya ada yang lebih besar dari itu semua” Katanya mahu membongkar sesuatu.
            “Apa dia?” tanyaku secara terus.
            “Aku banyak dosalah!” Katanya serius memandang mata saya. Tepat.
            “takde orang yang hidup tak berdosa. Aku ini banyak dosa.” Balas saya mengimbangi keadaan.
            “tapi kau tak sampai berzinakan!” Dia menyoalku.
            “Alhamdulilah! Takdelah sampai berzina. Kenapa?” Balasku sambil menyoalnya lagi.
            “Itulah sebabnya aku tinggalkan gaji 6000.00, dulu syarikat pernah hantar aku pergi luar negeri. Masa tulah, aku pernah buat yang bukan-bukan nie. Kau taulah luar negeri bukan ada sapa-sapa akan kacau. Syarikat bagi satu bilik dua orang.” Keterangannya berbaur penyesalan dan aku terperanjat.
            “ Ramai ke perempuan yang pernah tido dengan kau” Soal saya dalam keadaan terperanjat.  
            “Bukan seorang, adalah tiga orang.” Dia memberi kenyataan jujur.
            “ Takde orang yang tidak berdosa. Kau solat sunat taubat. Aku pun bukanlah warak sangat. Kau mintalah ampun dengan Allah Taa’la” Aku memandang wajahnya yang masih berbaur penyesalan.
            “Sunat taubat?” Dia memandangku.
            “Emm! Kau boleh buat bila-bila masa saja. Bukan banyak pun, dua rakaat saja. Rakaat pertama Fatihah dengan Qulyaayuhalkafirun atau kalau boleh ayatul kursi lagi baik. Rakaat kedua Fatihah dengan Qulhuwallahuahad. Kau boleh pilih bacaan tu sekali, tiga, tujuh, sembilan kali. Mana yang kau mampulah. Allah itu esa. Allah pun suka angka yang ganjil. Insyallah” Terangku mana yang aku tahu.
            “tiga, tujuh, Sembilan tu surah yang mana tu?” Dia seakan berminat.
            “Fatihah tu sekali saja. Al-Kafirun atau Ayatul Kursi, Al-Ikhlas tu aja.” Balasku lagi sambil merenung wajahnya yang bolehlah dikategorikan kacak.
            “Aku rasa bersalah sangat. Sekarang aku ada anak perempuan. Bila aku tengok anak perempuan aku. Aku takut, benda tu orang lain pulak buat kat anak aku!” Jelas hatinya diserbu dosa silam dan kebimbangan hari depan.
            “yang jadi, kau dah tak boleh ubah. Solat taubat, berdoalah minta perlindungan Allah, doalah Allah melindungi anak-anak kau sekali!” Balasku memujuknya.
            “Dosa tu sedapnya sekejap aje tapi rasa bersalah sepanjang hiduplah. Lepas tu macam kau selalu cakap ‘barang tu’ lebih kurang aje. Itu jugalah rupanya!” Kami tergelak kecil dalam resah dan kacau jiwa.
            Sebelum pulang malam itu aku cuba memberi kekuatan kepadanya.
            “Sesungguhnya Allah menyayangi seorang hamba yang apabila menyedari dia berdosa, kemudian dia bertaubat” Kataku sambil dia tersenyum dalam keadaan dia masih diburu dosa dan penyeselan dari raut wajahnya.
            Kami pulang malam itu. Barulah aku memahami mengapa dia beriya-iya menemuiku. “SUNGGUH APABILA MELAKUKAN DOSA SERONOKNYA SEKETIKA TETAPI KITA AKAN DIBURU DOSA ITU DAN PENYESALAN SEPANJANG HAYAT”    
                  
Related Posts with Thumbnails