Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Thursday, August 26, 2010

TUJUH SYARAT DITERIMANYA TAUHID - DUA KALIMAH SYAHADAH

                        Dua Kalimah Syahadah adalah akar tunjang dan syarat utama bagi mengesahkan Keislaman seseorang. Di dalam rukun Islam 'mengucap dua kalimah syahadah' letaknya sebagai rukun pertama sebelum dituruti oleh solat, zakat, berpuasa dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.
                      Banyak di antara kita menyedari solat merupakan 'tiang agama'. Itulah kalimat yang diingatkan oleh penghulu kita Muhammad SAW sebelum meninggalkan kita lebih kurang 1400 tahun yang lalu untuk berangkat ke alam barzakh. Nabi mengungkapkan perkataan 'solat' dan 'nisaa' sebagai peringatan utama. Lantas 'tiang' yang hendak ditegakkan mestilah mempunyai 'tapak yang kukuh' dan ketahuilah tapak itu adalah dua kalimah syahadah. Menemui ungkapan al-'Allamah al-Mujaddid kedua, Syeikh Abdurrahman bin Hasan di dalam kitab Fat-hul Majidd, maka saya rasa sangatlah perlu saya turunkan ke dalam blog berkaitan perkara yang sangat penting ini. Ini bukan isu harta, wang, pangkat, kedudukan dalam masyarakat tetapi lebih penting daripada itu semua. Satu kalimah yang harus sebati dan menjadi tunjang utama dalam setiap amal dan perbuatan kita. Luar dan dalam. Nyata dan terhijab.  Zahir dan batin. Satu kalimah yang menentukan perjalanan kita selepas menempuh alam dunia ini. Lalu...
                      Tahukah anda semua bahawa Tujuh Syarat diterimanya Tauhid dua kalimah syahadah.? kata syarat di dalam hidup ini biasa kita temui. Apa? Apa kehidupan yang tidak bersyarat? Dari nikah kahwin, belajar sekolah hingga ke universiti, bekerja di mana pun dan apa kerja tetap  mempunyai syarat yang tersendiri mengikut kesesuaian sesuatu keperluan. 
Kata 'syarat' dalam bahasa Arab syuruuth. Berdasar syariat, syarat membawa makna sesuatu yang dengan ketiadaannya mengakibatkan ketiadaan suatu urusan. Oleh itu jika semua syarat atau sebahagiannya tidak ada, maka yang disyaratkannya pun tidak ada. Begini kata mudahnya syarat untuk membuat kuih mestilah ada tepung, gula, telur. jika salah satu bahan mentah itu tidak ada beerti kuih tidak akan terhasil. Baik! sekiranya segala bahan mentah telah ada, sipemilik tidak berilmu iaiti tidak tahu mengadun, membancuh, jumlah campuran bahan dan cara memasak maka kuih itu tidak juga akan terjadi sekalipun semua syarat bahan mentah telah dipenuhi. begitulah kaedahnya dalam bersyahadah. Syaratnya harus dipatuhi zahir dan batin melalui ilmu dan amal.. 
                               Baik! dari mana datangnya syarat ini? Maka tentulah dari Al-Quran dan Sunnah.  Begini para ulamak bersepakat bahawa solat, zakat, puasa dan haji mempunyai syarat dan rukun masing-masing. Rukun solat berdasarkan kesepakatan ulamak dan tidak disebutkan dalam satu nash pun. Sebaliknya hasil penelitian dan penelaahaan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Nilaikan dengan tenang. Jika berupaya memahami. Ketahuilah dua kalimah syahadah tidak akan memberi manafaat jika diucapkan kecuali dengan menyatukannya syarat-syarat secara keseluruhan (dalam diri), memahami syarat-syarat tersebut dan mengamalkannya  secara lahir dan batin.

TUJUH SYARAT DITERIMANYA DUA KALIMAH SYAHADAH 

1. Memahami makna Laa ilaaha illallaah
Iaitu hendaklah difahami maknanya dan hal itu menafikan kebodohan terhadap makna tersebut. Dan yang dimaksudkan di sini adalah mengetahui suatu petunjuk dengan dalilnya.
Laa ilaaha illallaah beerti tidak ada sembahan yang sebenarnya melainkan Allah. Maknanya tidak ada ilah yang berhak dijadikan sebagai tujuan ibadah secara keseluruhan melainkan Allah yang Maha Suci. Lalu semua ilah selain Allah beerti keilahannya adalah batil dan sesat.
Wajib memahami apda kalimah Laa ilaaha illallaah mempunyai dua iaitu an-nafi (peniadaan) dan al-itsbat (penetapan). kalimat   Laa ilaaha meniadakan semua sembahan selain Allah. Kalimah  illallaah  menetapkan segala macam ibadah hanya untuk Allah semata, tidak ada sekutu baginya. Peniadaan (  an-nafi) saja bukan tuhid, begitu juga penetapan (  al-itsbat ) saja juga bukan tauhid. Sempurna, adanya penggabungan antara peniadaan dan penetapan.  

2. Yakin
Iaitu sebagai perwujudan dari kesempurnaan pengetahuan terhadap maknanya; yang menafikan adanya syakk (keraguan). Yakin merupakan kekuatan dan kesempurnaan ilmu (pemahaman). Meyakini makna kalimah tauhid ini sebenar-benar meyakini makna dan kandungannya, tanpa ada sedikit pun perasaan bimbang dan ragu. Keimanan itu memerlukan ;ilmul yaqiin dan bukan 'ilmuzh zhan (praduga). Cacat dan rosaklah keimanan sekiranya dirasuki keraguan. Nauzubillah...
Keyakinan merupakan satu syarat sehingga jika syarat ini tidak dipenuhi maka tidak ada pula apa yang menjadi objek syarat itu.

3. Ikhlas.
Ikhlas yang menafikan kesyirikan. Ikhlas beerti pemurnian. Ikhlas cinta kepada Allah dan mengharap keredhaanNYA. Memurnikan dan memusatkan segala ibadah hanya untukNYA semata dan suci dari segala bentuk syirik. Hanya Allah yang layak disembah, ditakuti, menjadi tempat bergantung harap segala pengharapan. Kalimah tauhid ini tidak akan bermakna tanpa ikhlas. Ingat! Jangan sesekali menyamakan selain Allah dengan Allah dalam segala hal yang menjadi keistimewaanNYA.  

4. Jujur
Iaitu jujur yang menafikan kedustaan. Pengucapan kalimah tauhid mestilah secara jujur  dari dalam hati  iaitu selari dengan lisan. Jika hanya mengucapkannya secara lisan sedangkan hati tidak mengakui beerti batin telah berdusta. Inilah yang dinamakan kemunafikan dalam kalimah tauhid. Atau memperlihatkan kebaikan secara lahir dan menyembunyikan kejahatan secara batin. kita berlindung kepada Allah dari kemunafikan.
Allah sendiri mengingatkan tentang kaum munafik ini melalui surah Al-Munafiquun kerana besar bahayanya golongan munafik ini. Ini disebabakan kemunafikan itu sarangnya di hati dan tidak kelihatan oleh perbuatan atau fiil. Sedang orang-orang kafir adalah musuh Islam yang jelas dan mudah dikenal, manakala kaum munafik ini tidak kelihatan dan berada di dalam kelompok orang-orang yang mengaku bersyahadah.
Jujur adalah syarat yang keempat, jika tidak terpenuhi maka hilang pula yang disyaratkan. 
Pastikan kesesuaian pengucapan dengan kenyataan dan keyakinan (di hati).

5. Cinta
Cinta kepada kalimah tauhid dan kepada semua yang dikandungnya dan berbahagia kerananya. Cinta membawa maksud yang sangat besar sehingga ibadah ditegakkan berdasarkan tiga perkara pokok; rasa takut, harap dan cinta.
Cinta yang dimaksudkan tentunya ditujukan khusus untuk Allah. Seseorang yang mencintai sesuatu tentu sekali akan menyebut-nyebut, memuji-muji, memuja, mengagung dan akan memenuhi segala kehendak dan hak yang dicintai. Menunaikan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang. Cinta yang bersifat sunnah adalah cinta yang mendorong seseorang melakukan sesuatu yang diamanahkan dan dianjurkan. Oleh itu mesti ada perasaan cinta kepada kalimah tauhid ini serta semua yang dikandungnya; baik berupa perintah dan yang semisalnya-juga merasa bahagia dan bersenang-senang dengannya.

6. Patuh ( Inqiyad)
Patuh dalam menjalankan semua tuntutan kalimah tauhid secara ikhlas kerana Allah dan mencari keredhaanNYA. Patuh merupakan batu ujian. Sedemikian banyak orang yang mengaku mengetahui kalimah tauhid, tulus (ikhlas), jujur dan yakin tetapi jika diperintahkan atau dilarang mengerjakan sesuatu telah ditetapkan Allah, dia tidak mahu memenuhinya. Kiranya benar segala-galanya difahami dan dimiliki nescaya akan ringanlah tubuh menunaikan segala perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA secara lahir dan batin. Penuh berharap keredhaanNYA serta takut akan murka dan azabNYA.
Contoh mudah di sini Abu Thalib, yang mana mengakui nabi Muhammad SAW utusan Allah dan meyakini kebenaran yang dibawa. Namun beliau menolak segala perintah Allah. Maka dia tetap kafir lagi musyrik. Cuma siksaan untuknya diringankan atas ihsan Allah dan syafaat Rasulullah SAW. Selebihnya beliau melindungi dan membela Rasulullah SAW. Di mana siksaan paling dangkal iaitu kedua tumit di masukkan ke dalamnya nescata mendidih otaknya.
Suka atau tidak patuh  merupakan syarat yang harus dipenuhi bagi hak-hak kalimah tauhid dan jika tidak dipenuhi maka yang disyaratkan pun tidak bermakna sama sekali.

7. Al-Qabull ( Menerima kalimah Tauhid)
Menerima kalimah tauhid yang menafikan ar-Radd (menolaknya). Maksudnya menerima secara lisan dan hati serta zahir dan batin. Rangkuman dari enam syarat di atas harus dibawa secara penerimaan yang total tanpa ada sedikit pun kekurangan dari kesemua syarat di atas.
:Contoh mudahnya orang-orang kafir Quraisy yang tidak mahu menerima dan meolaknya dengan angkuh dan sombong. Di dalam kitabNYA Allah menceritakan umat-umat terdahulu yang begitu hebat tamadun mereka tetapi dihancurkan dalam sekelip mata sahaja bagi mereka yang menolak kalimah tauhid ini.  berhati-hati dan bersungguh-sungguhlah memnuhi tujuh syarat tersebut. Ketahuilah kalimah syahadah tidak akan memberi makna kecuali dengan sempurnanya syarat-syarat tersebut.
                 Perkongsian ini berasaskan rujukan tulisan Ibrahim bin asy- Syaikh Shalih bin Ahmad al-Khuraishi. Pun tulisan ini bukan semata-mata hafalan sebaliknya dibawa dalam amalan secara zahir dan batin. Ketahuilah bahawa dua kalimah syahadah jika ditimbang di atas mizan dibanding seluruh dunia dan isinya, kalimah ini masih berat dan tidak ada tolok bandingnya. Tapak asas seorang Islam dan pembuktian keislaman seseorang. Sebagaimana nabi pernah mengingatkan ' selama mana umatku mati dengan mengucapkan kalimah syahadah, dia tetap akan masuk syurga'. Pun harus kita fahami kalimah itu mesti digunapakai di dalam diri secara lahir dan batin melalui tujuh syarat di atas. Insyallah bertemu lagi di bawah label 'Tauhid". Pada tulisan akan datang kita akan melihat DALIL-DALIL MENGENAI TUJUH SYARAT DITERIMANYA TAUHID DUA KALIMAH SYAHADAH DARI AL-QURAN DAN AS-SUNNAH. Insyallah.....   




Monday, August 23, 2010

PERJANJIAN OSLO (1993) MENJAHANAMKAN PALESTIN

                  Awal mulanya memohon maaf kerana agak lama terhenti di bawah label Anti Zionis. Dua hari  lepas sebelum berbuka ada sahabat yang menghubungi saya melalui chat di FB, menyatakan tidak berapa selera menjamah hidangan berbuka kerana teringatkan rakyat Palestin yang berbuka dengan roti kering. Sahabat bernama Mohd Syahmi yang peka dan terasa dengan perjuangan di Palestin. Tahniah!                 
                 Perjanjian Oslo bukan sebagai titik mula tetapi melanjutkan kesengsaraan. Bukan juga memadamkan api pejuangan. HAMAS tetap HAMAS. Tiada istilah kekalahan, yang ada dua konsep dalam perjuangan menegakkan syiar Islam iaitu mati syahid atau menang. Perjanjian Oslo merupakan hasil pertemuan sulit pemimpin PLO dan rejim Zionis. September 1993 berlangsung perjanjian yang menjahanamkan Palestin ini.
                Menurut Dr. Muhsen Salleh di dalam tulisannya 'Masyari' al-Taswiyah al-Silmiyah li al-Qadiyah al-Filistiniyah (1937-2001). Perjanjian Oslo digerakkan semenjak 1990. Disolekkan dengan nama memberi hak kepada rakyat Palestin yang menyebabkan suasana tidak aman kepada warga Zionis. Kononnya sebagai usaha komited Zionis untuk kedamaian di Palestin. Lalu ditandatangani oleh Mahmoud Abbas mewakili pihak Palestin dan Zionis diwakili Shimon Perez, bertempat Washington pada 13 September 1993. Abbas ketika itu Setiausaha  Kerja PLO dipilih oleh Arafat mewakilinya.



KANDUNGAN OSLO 1993 
1. Rakyat Palestin akan diberikan pemerintahan autoriti di Gaza dan Tebing Barat selama lima tahun.

2. Sebelum bermulanya tahun ketiga pemerintahan autonomi, sempadan terakhir akan diletakkan bagi Gaza dan juga Tebing Barat. Ia akan menjadi sempadan kekal berdasarkan Resolusi Majlis Keselamatan 242 dan 338

3. Dalam tempoh dua bulan daripada tarikh perjanjian, kedua-dua belah pihak hendaklah bersepakat bagi mengundurkan rejim Zionis daripada Gaza dan Jericho

4. Selepas sembilan bulan daripada pemerintahan autonomi, satu pilihan raya perlu diadakan bagi memilih kerajaan PA yang berkuasa di wilayah autonomi. Menjelang pilihan raya itu, tentera rejim Zionis (IDF) perlu berundur dari kawasan penempatan rakyat Palestin.

5. Kerajaan autonomi Palestin hanya berkuasa di Gaza dan Tebing Barat sahaja. Namun, mereka tidak boleh mencampuri urusan hubungan luar dan juga tidak boleh membina kekuatan bagi menangkis ancaman dari luar. Mereka juga tidak berkuasa di kawasan penempatan Zionis di Gaza dan Tebing Barat. Mereka juga tidak mempunyai hak ke atas Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa. 

6. Rejim Zionis atau kerajaan Israel mempunyai kuasa veto bagi membatalkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Legislatif PA.

7. Apa yang tidak dapat diselesaikan melalui perjanjian damai dapat diselesaikan melalui rundingan bersama yang lain.

8. Penyerahan kuasa akan berlaku secara berperingkat.

9. PLO dan PA tidak lagi dilabel sebagai 'pengganas' selagi kuasa mereka hanya bagi menjaga keamanan rakyat Palestin. Mereka juga bertanggungjawab menghalang apa sahaja usaha bersenjata ke atas rejim Zionis daripada mana-mana pihak rakyat Palestin. 
                           Ayat yang digelapkan menunjukkan penganiayaan dan kerugian yang nyata kepada pihak Palestin. Kata mudahnya bumi Palestin tergadai dan kuasa Palestin juga terhad sekadar di Gaza dan tebing Barat. Tindakan Arafat dan PLO  sebenarnya membelakangkan rakan-rakan seperjuangan yang lain. Segalanya hanya meluaskan jajahan Zionis. 
                        Secara tidak langsung, Palestin akan terbiar tanpa zenjata jika diserang Zionis. PLO menjadi badut dan budak suruhan Zionis bagi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Selepas sahaja perjanjian ini, PLO terus membuat operasi menangkap pejuang Palestin, HAMAS dan jihad Islami menjadi target. Pasukan yang menangkap pejuang-pejuang Palestin ini dilatih oleh tentera Zionis dan juga tentera Jordan.
                        Perjanjian ini seakan memberi hadiah untuk Zionis supaya melanyak rakyat Palestin secara berlesen. Rakyat Palestin terus kehilangan hak dan tanah air mereka secara tertib melalui OSLO (1993). Pengkhianatan dan dosa yang perlu dijawab oleh pihak PLO. Insyallah pada tulisan akan datang kita akan melihat TINDAKAN HAMAS TERHADAP PERJANJIAN OSLO.



Saturday, August 14, 2010

CATATAN RAMADHAN.... SILAM

                Putera-puteriku melihat kalian mencicipi makanan lazat dalam suasana berbuka tiga hari kita meredah Ramadhan ini, tiba-tiba abah terkenangkan musim silam yang berselirat dengan lara tetapi cukup indah... Seakan hati abah meronta untuk kembali ke musim perit itu tetapi cukup mendewasakan ayah, Mak Long dan Pak Ngah kalian.
               Zaid! (putera sulungku) pernah bertanya "mana atuk abah Zaid Bah!?" Ya! bapaku itu pergi meninggalkan bonda ketika abah berusia 2 tahun. Zaid pernah baca novel abah 'PELANGI MALAM', Di situ abah cuba mengangkat nenekmu (bondaku) sebagai wanita tabah yang melakonkan dua watak sekaligus sebagai ibu dan ayah untuk abah dan Mak Long serta Pak Ngah. 
               Ketahuilah sehingga hari ini abah sendiri tidak tahu apakah datukmu itu masih hidup atau telah lama bersemadi di dalam tanah. Namun pasti datukmu itu berhutang cinta kepada nenekmu! Gantung tidak bertali! Nenekmu itu adalah wanita berhati waja. Mengorbankan usia mudanya untuk kami. Nenekmu itu melalui kehidupan yang sungguh pedih untuk membesarkan kami dalam satu masyarakat  Melayu yang konservatif. Nenek tidak berkahwin walaupun ditinggalkan ketika usia 28 tahun dan seperti yang kau lihat sekarang anak-anakku! nenekmu sudah pun berusia 62 tahun dan telah selamat menunaikan haji tanpa seorang suami yang meninggalkannya tanpa khabar berita
                 Anak-anakku! Ramadhan abah yang silam....kami tidak punya hidangan seenak ini. Gaji nenekmu yang bekerja di kilang getah di pekan Batu Anam tidak memungkinkan kami untuk merasai keenakan tenggiri asam pedas, cencaru bakar, ayam goreng... Tapi ayah dewasa dengan penuh kematangan dan menjadi 'manusia'.. Percaya atau tidak ikan paling sedap untuk kami ialah 'selar kuning'...
             Ada ketikanya nenek terpaksa berhutang untuk beras dan barangan dapur. Kedai Sin Foh Chong di pekan Batu Anam juga sudah ditutup selepas cina tua itu meninggal dunia. Hanya bertahan sekejap selepas diambil oleh anaknya. Abah masih mengingati segala-galanya. 
            Jika Adam (putera keduaku) pernah bertanya :"kenapa abah suka makan nasi goreng kampung?". Itulah makanan malam yang cukup sedap buat kami wahai anakku. Nenek akan goreng campur sayur kangkung. (Insyallah! abah tidak akan lupa bumi mana abah berpijak! nasi mana yang pernah menjadi darah dan tenaga dalam tubuh abah). Abah dan Pak Ngah selalu mengharapkan hujan turun, supaya air naik dan mudah kami menangguk ikan sepat siam. Ikan itu akan menjadi lauk yang sungguh lazat bila digoreng dengan cili api. Atau memancing untuk mendapatkan keli dan haruan... Ah! musim itu telah berlalu. Namun ada ketikanya abah seperti ingin kembali ke zaman itu. Sekarang ikan pun dah kurang. Selepas banjir besar melanda pekan Batu Anam (1984), pembinaan jambatan keretapi dan jambatan batu besar di atas jalan raya yang merentangi pekan Batu Anam selepas gate keretapi. Selepas terbinanya jambatan itu air menjadi sangat cetek dan tohor dan habitat ikan perlahan-lahan pupus. 
              Kalian berpeluang memakai baju Raya yang agak berjenama. Abah dulu... apa yang nenek mampu berikan kepada kami. Alhamdulilah! baju tetap bertukar setiap kali raya cuma barangkali tidaklah berjenama seperti yang tersalut di tubuh kalian. Dan rumah nenek ketika itu tidaklah seselesa sekarang. Anak-anakku! kalian tidak sempat melihat satu perjalanan sejarah yang cukup mendukacitakan bagi seorang isteri yang ditinggalkan begitu sahaja oleh suaminya, lalu abah cuba merakamnya dalam catatan pendek ini. Terlalu sukar untuk diungkapkan apa yang nenekmu dan kami semua rasai anak-anakku!.... 
            Cuma pesan nenek masih abah ingat! "belajarlah bersungguh-sungguh supaya anak-anak kau besok senang!" Ternyata kata-kata itu benar wahai anakku! Sesungguhnya sempadan perjalanan hidup abah berubah hanya dengan ilmu. Itu pun tatkala menatap surat panggilan dari Universiti 16 tahun dulu, kami gusar kerana masalah kewangan yang menjerat. Namun Allah telah mengaturkan segalanya dengan sebaik mungkin. 
            Abah harap kalian belajar sesuatu daripada catatan ini; 
1. Jadilah orang yang bersyukur atas apa yang kalian miliki hari ini- walau pun abah dan umi bukan orang yang kaya-raya tetapi kalian mempunyai nasib yang jauh lebih baik daripada kami....
2. Jadilah orang yang berilmu - Ilmu boleh mengubah perjalanan hidup seseorang.. Pun janganlah kalian niatkan berilmu untuk menjadi kaya tetapi peganglah bahawa berilmu untuk kalian lebih hampir kepada Allah. Percayalah jika kalian berharta belum tentu ilmu akan datang kepada kalian tetapi jika kalian berilmu, harta dengan sendirinya akan datang kepada kalian... Pun janganlah kalian pusatkan hidup ini untuk harta semata-mata! abah bimbang kalian akan binasa tanpa sedar kerana harta tidak lebih dari daki dunia yang bisa menjadi racun dalam hatimu.
3. Jadilah orang yang mudah simpati dan belas terhadap kesusahan hidup orang lain sekali pun kalian tidak memiliki pengalaman seperti nenek membesarkan abah...   
4. Abah harap anak-anak abah akan menjadi manusia yang kenal siapa Pencipta dan Penghulu kita seterusnya menggunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk menegakkan syiar Islam. Ingatlah sehebat mana pun kalian! dunia ini hanya sementara dan kita semua pasti mati untuk bertemu dengan Allah swt.

Ramadhan dan kenangan . Abah dedikasikan catatan ini untuk nenekmu- Hajah Zainab Binti Md. Ali serta Umi dan anak-anak abah!.............
 

Tuesday, August 3, 2010

CABARAN SEBAGAI PENYELARAS PK; MENDEPANI MASALAH KETIDAKSEFAHAMAN.........

                  Penyelaras Pendidikan Khas itu pemimpin yang menentukan corak jatuh bangun, hidup mati, segar layu iklim Pendidikan Khas di sesebuah sekolah. Terima kasih kepada penyelaras yang memiliki buku KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS. Walau saya telah menulis dalam bab 4 di  bawah tajuk PENYELARAS PPK (PROGRAM PENDIDIKAN KHAS) YANG EFEKTIF) di dalam buku tersebut. Masih wujud situasi soalan daripada Penyelaras tentang mendepani cabaran dan mengharungi liku-liku berkaitan ketidaksefahaman dengan ahli-ahali panitia Pendidikan Khas
Penyelaras harus memahami bahawa cabaran memimpin walaupun satu organisasi yang kecil, tetap akan diselangi dengan dugaan, ujian dan cabaran yang boleh datang dalam pelbagai bentuk. Situasi tersebut boleh wujud dalam bentuk berikut:

1. Ketidaksefahaman antara Penyelaras dengan Pengetua.
2. Ketidaksefahaman antara Penyelaras dengan ahli-ahli pantia
3. Ketidaksefahaman antara guru-guru Pendidikan Khas dengan guru-guru aliran perdana
4. Ketidaksefahaman antara sesama guru-guru Pendidikan Khas.
5. Ketidaksefahaman guru-guru PK lama dengan guru-guru PK baru
5. Ketidaksefahaman antara Penyelaras dengan PPM
6. Ketidaksefahaman antara guru-guru PK dengan PPM
7. Ketidaksefahaman antara PPM dengan PPM

Menerima atau menolak, saya tidak menuduh kesemua perkara di atas berlaku di sesebuah sekolah yang wujud Program Pendidikan Khas. Cuma paling tidak antara 7 perkara yang disenaraikan di atas, salah satunya pasti wujud di sesebuah sekolah

Sesuatu yang perlu difahami biasanya konflik ini muncul berdasarkan pengalaman adalah berasaskan perkara berikut;
1. Kelemahan dalam komunikasi
2. Kegagalan pihak yang tidak terlibat dengan Pendidikan Khas memahami konsep Pendidikan Khas
3. Kegagalan pihak pentadbir memahami konsep Pendidikan Khas
4. Perbezaan pendapat dan idea berkaitan pengurusan mahu pun pelaksanaan sesuatu projek.
5. Segelintir kes berkaitan permasalahan peribadi atau bersifat individu yang dibawa secara emosional.  
6. Terdapat konflik yang membabitkan kepentingan peribadi ( saya tidak akan mengulasnya, cuma secara dasarnya ketidakadilan pengagihan tugas, 

                       Penyelesaiannya telah saya letakkan di dalam buku saya (KDPPK) dalam bab 4. Cuma dalam banyak keadaan bagaimanakah kaedah masalah itu diatasi tentunya berbeza. Penyelaras manusia biasa, setiap individu tentunya punya potensi dan personaliti yang berbeza. Harus diambil sebagai peringatan sekiranya sesuatu kepimpinan mengambil terlalu banyak masa dan kaedah untuk menyelesaikan konflik, maka mereka yang terlibat akan gagal membangunkan program dengan berkesan. Ini kerana idea dan masa untuk membangun program telah digunakan untuk menyelesaikan masalah yang wujud. Seboleh mungkin konflik cuba dielakkan. Sayangnya dalam banyak situasi konflik tetap hadir tanpa diduga. 
                         Komunikasi merupakan kunci. Pun dalam banyak keadaan terdapat juga kes Penyelaras telah beralah dan berkomunikasi dengan baik namun ada segelintir kelompok guru baru yang penuh dengan keegoan dan merasa diri 'pandai' dan 'serba betul' (Maaf! bukan semua, terdapat segelintir berdasarkan pengalaman peribadi dan pertukaran pendapat dengan guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam Pendidikan Khas) . Saya  tidak melabelkan perkara ini kepada semua. Bukan kerana setitik nila rosak susu sebelanga. Cuma apa yang dikesan sekiranya mereka bukan opsyen penuh, datang dari pelbagai kelulusan kemudian ditakdirkan mengajar anak-anak khas ini. Seharusnya mereka perlu membawa diri, imej, semangat, kesungguhan untuk PK. Misalnya seseorang yang berkelulusan akaun, pengurusan perniagaan, teknikal dan lain-lain, kamu bukan lagi sebagai arkitek atau akauntan dan sebagainya tetapi seorang guru Pendidikan Khas yang perlu menggunakan segala ilmu yang dimiliki untuk anak-anak khas ini. Berdasarkan pengalaman juga, diucapkan tahniah kepada guru-guru baru yang dapat bertugas dengan baik dan cemerlang sehingga mengatasi prestasi guru-guru senior walaupun bukan datang dari opsyen Pendidikan Khas. Jangan pudarkan semangat anda! terus berjuang dan membantu memperkembang potensi diri anak-anak khas ini...
                         Bagi Penyelaras mental dan emosi harus kuat. Cara mudahnya buat segala keputusan di dalam mesyuarat. Pastikan minit dicatat oleh setiausaha. Sesuatu yang digerakkan berdasarkan keputusan mesyuarat harus dilaksanakan oleh ahli-ahli panitia samada mahu atau tidak. Minit mesyuarat dianggap dokumen rasmi yang diterima hingga ke peringkat tertinggi. Cuma pastikan  segalanya diuruskan mengikut keputusan bersama dan saksama serta adil.
                 Selesaikan segalanya sebaik mungkin. Bersedia jika ditentang atau perbezaan pendapat tentang program dan projek. Bersifat terbuka sekiranya idea itu baik untuk anak-anak khas. walaupun datangnya dari guru-guru yang baru setahun jagung, terimalah idea itu dengan lapang dada. Ingatlah keutamaan kita murid-murid PK, murid-murid Pk, murid-murid PK dapat ke tahap yang lebih baik potensi individunya. Cuba selesaikan setiap masalah secara dalaman dahulu. Jangan digembar-gemburkan kepada guru-guru aliran perdana. Jika ini berlaku hanya melambangkan kelemahan Pendidikan Khas itu sendiri. Bukan orang lain.
Namun ahli-ahli panitia juga perlu bertimbang rasa, bertolak ansur, memahami dan sesama membantu dalam setiap konflik yang berlaku. Ketepikan permasalahan yang bersifat peribadi. Jangan campur adukkan dengan urusan kerja. bersikap profesional. Memang seperti kata pepatah 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Semua pihak harus memahami bahawa kita bekerja dan berurusan dengan manusia (bukan mesin, jika rosak mudah diketuk, dibaiki, dipatri dll). Punya akal, perasaan, sifat sensitif, cara berfikir yang berbeza. Sebaiknya kawallah perasaan, jika perkara-perkara remeh dan kecil, usahlah diambil serius. Lupakan sahaja. Ingatlah kita tidak akan dapat membina kota yang besar jika kita terlalu sibuk memikirkan perkara yang kecil........
               Tulisan ini diharap tidak menyinggung atau mengguris mana-mana pihak. Ya! 'memang berkata benar itu pahit!. Semuga semua pengunjung yang terbabit dengan dunia Pendidikan Khas membaca tulisan ini dengan terbuka dan lapang dada. Insyallah saya hanya menulis secara telus, tulus kerana Allah dan RasulNYA. Ingatlah kita dibayar gaji oleh rakyat Malaysia kerana adanya anak-anak khas ini. Peganglah satu prinsip bahawa tidak  mudah untuk memuaskan hati semua orang. Rasulullah saw yang diutus membawa kebenaran juga ditentang begitu hebat, apatah lagi penyelaras, pemimpin kecil yang penuh dengan kelemahan dan bersifat pinjaman. Insyallah berjumpa lagi jika ada kekuatan minda, kesihatan, keupayaan untuk menulis anugerah Allah di bawah label PENDIDIKAN KHAS...........
Related Posts with Thumbnails