Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK
Showing posts with label PENDIDIKAN KHAS. Show all posts
Showing posts with label PENDIDIKAN KHAS. Show all posts

Thursday, November 14, 2013

"Pasai apa hang selalu pie Penang?"

            Sewaktu saya mengajar di Segamat Johor, saya tidak pernah terfikir untuk melihat sekolah-sekolah Pendidikan Khas di sebelah utara tanah air. Apatah sekolah yang khusus untuk guru guru Pendidikan Khas yang mengajar murid murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran. Antara sekolah Pendidikan Khas di sebelah utara ini pernah saya kunjungi atas urusan tugas rasmi, ini termasuklah SKPK Taiping, Sungai Petani, Alor Setar dan Perlis.
Kumpulan KIK WAMMAP

Tambahan pula, bidang saya semasa di peringkat IPT (UKM) lebih kepada Psikologi Pendidikan Murid Bermasalah Pembelajaran. Murid bermasalah pembelajaran ini mempunyai pelbagai kategori yang agak rencam. Contohnya serperti Down Syndrome, Cerebral Parsy(CP), Hyper Aktif, Hypo Aktif, Autisme, Terencat Akal, lembam dan lain lain.

Adham yang bermasalah penglihatan menggunakan SMART IQRA
Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas ALMA (Penglihatan), Jalan Bukit Minyak, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Jumlah murid seramai 45 orang, jumlah guru 25 orang dan PPM 10 orang (Dapatan data 2013). Sekolah ini merupakan Sekolah Pendidikan Khas Masalah Penglihatan terbesar di Malaysia dengan kapasiti asrama yang boleh memuatkan 100 murid. Guru Besar sekolah ini Encik Hasan Basri Bin Mukhtar
Apabila diamanahkan sebagai pegawai yang mengurus Inovasi bagi Pendidikan Khas seterusnya  mencari bahan terbaik untuk diangkat mewakili BPKhas KPM maka di situlah bermula keakraban saya dengan warga sekolah ini seterusnya memesrai suasana dan masyarakat di sini secara keseluruhannya. Projek yang diusahakan oleh Ustaz Mat Fauzi Bin Osman dan dibantu oleh  Suzasman Sulu, Harzerul Bin Shafie, Rahimi Bin Rahim, Rosli Bin Hashim, Suhaimi Bin Salleh, Daiyana Binti Wahid dan Suhaina Binti Mahamud diberi nama SMART IQRA.

Kegigihan

Komitmen

Bertungkus lumus
SMART IQRA merupakan satu perisian yang dibangunkan dengan menggunakan aplikasi teknologi komputer dan dibantu dengan buku manual Iqra. Perisian ini dapat membantu murid murid bermasalah penglihatan menguasai Al Quran dengan lebih cepat dan mudah. Malahan boleh menjimatkan kos membeli buku Iqra manual. SMART IQRA akhirnya saya cadangkan diberi pengiktirafan oleh pihak BPKhas KPM; Anugerah Khas Inovasi pada sambutan Hari Kualiti BPKhas 2012. Alhamdulilah ianya diterima oleh pihak pengurusan tertinggi.

WAMMAP

Berfikir

Kesungguhan

Usaha tangga kejayaan
Ekoran itu, saya sebagai fasilitator kumpulan ini (yang akhirnya dinamakan WAMMAP) sama sama bekerjasama melaksanakan kajian, penambahbaikan dari segi dokumen dan bahan projek untuk dihantar kepada pihak Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) yang menjadi pengelola Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Pendidikan Malaysia 2013. Hal ini menyebabkan saya kerap turun ke SKPK Alma untuk bersama-sama memberikan idea, menyemak, melakukan penambahbaikan. Lalu dengan izin Allah, penilaian dokumen pada peringkat awal yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengelola dengan panel bertauliah yang dilantik, kumpulan WAMMAP akhirnya layak untuk beraksi di pentas akhir Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Pendidikan Malaysia 2013. Kegembiraan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Sujud syukur dan puji pujian kepada Allah atas anugerah ini. Hal ini sekali lagi menyebabkan keakraban kami bertambah erat kerana perlu ke sini  bagi persiapan pertandingan akhir tersebut. Lantas apabila saya kerap ke mari, saya melihat sendiri bagaimana mencabar dan perlunya kesabaran mengurus, mendidik, menjaga anak anak masalah penglihatan.


Murid ini tidak mampu berdiri, PPM membantu murid untuk bergerak
Alhamdulilah! Allahuakbar! Sungguh banyaklah bertasbih dan memuji Allah atas segala anugerah yang diberikan Allah kepada kita. Penglihatan satu anugerah yang amar besar. Lazimnya kita tidak merasai kebesaran anugerah tersebut kerana kita memiliki penglihatan yang sempurna. Bayangkan jika anugerah itu ditarik semula. Gunakanlah penglihatan sebaik mungkin bagi menyelamatkan kita dari diazab di akhirat nanti.
(Catatan ini dilakukan ketika masa santai kami dalam persiapan akhir untuk Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Pendidikan Malaysia 2013. Doakan kejayaan kami dan catatan ini didedikasikan kepada semua guru, anak khas yang bermasalah penglihatan di seluruh negara. Allahuakbar!)



Wednesday, November 13, 2013

KURSUS PENDIDIKAN INKLUSIF DI JOHOR BAHRU 2013


PENDIDIKAN INKLUSIF MERUPAKAN INISIATIF YANG KE 34 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM)

NAMA INISIATIF :   Peningkatan Enrolmen Dalam Program Pendidikan Inklusif Bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK)

PENDIDIKAN INKLUSIF MERUPAKAN SALAH SATU INISIATIF PENTING DALAM MEMPERTINGKATKAN AKSES DAN PELUANG PENDIDIKAN YANG BERKUALITI
Bacaan lanjut tentang sila klik  PENDIDIKAN INKLUSIF

Selepas berkongsi ilmu dengan rakan rakan guru di negeri Selangor (kursus dilaksanakan di Ipoh) dan Perak (kursus dilaksanakan di Lumut), akhirnya saya pulang juga ke Johor. Johor merupakan negeri kelahiran saya. Tentunya mempunyai nostalgia yang tersendiri. Surat yang ditandatangan oleh tuan pengarah dengan kebenaran untuk hadir memberikan ceramah, tentunya datang dari pengurusan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
Saya tidak mungkin boleh melupakan guru-guru yang lebih dahulu mengajar pendidikan Khas berbanding diri saya. Di sini bertemu semula dengan sahabat-sahabat; Cikgu Zaaba, Puan Kalsom, Cikgu Anuar, Cikgu Murad, Cikgu Hamzah, Cikgu Saparudin dll (Sekadar menyebut beberapa nama).  Sekadar menzahirkan rakam kenangan sepanjang kursus berlangsung. Ada izin Allah swt kita akan bertemu lagi. Assalamuailaikum.

Cikgu Hamzah memaklumkan sesuatu kepada peserta kursus


Pengenalan pendidikan Inklusif dan dasar-dasar KPM


Tuan Haji Md Dan Yusof

Tuan Haji Rahman memberi taklimat, Turut Sama pihak JPNJ
 dan cikgu Ashaari
  
Encik Shamsudin mendengar soalan dari peserta kursus

Moga peserta kursus dapat memahami apa yang disampaikan

Soalan dari Cikgu Shafei tentang Pendidikan Inklusif

Tuesday, August 27, 2013

PENDIDIKAN INKLUSIF

Peraturan Pendidikan 1997 (Pendidikan Khas) menjelaskan makna pendidikan inklusif sebagai program;
“(c) an inclusive education programme for pupils with special needs and who are able to attend normal classes together with normal pupils”.

“Proses inklusif memberikan peluang  mengikut keperluan kepada semua murid melalui  pembelajaran, budaya, komuniti dan tanpa pengecualian berkaitan pendidikan
(UNESCO, 2005)

Dalam konteks iklim pendidikan di Malaysia peringkat asas Pendidikan Inklusif iaitu menempatkan murid pendidikan khas bersama murid normal di kelas normal berasaskan perkara-perkara berikut;.

a.       Penempatan itu berdasarkan lokaliti murid ( mana-mana sekolah harian biasa menerima              murid tanpa mengira kecacatan )
      b.       Belajar bersama-sama di kelas normal
      c.       Perkhidmatan sokongan disediakan ( guru resos / guru pendamping / guru pembantu  dan bantuan 
               peralatan khas )

KAEDAH 

Kaedah penempatan murid berkeperluan khas di kelas normal/harian biasa

ASPIRASI

Suatu aspirasi atau falsafah dalam membina budaya pembelajaran yang berkesan melalui pelbagai bentuk program, perkhidmatan dan sokongan. Semua warga sekolah bertanggungjawab menyedikan bantuan dan sokongan.
(Friends and Shamberger, 2009)

PELUANG BELAJAR

Peluang dan ruang belajar dan penglibatan bersama murid normal berupaya menangani gejala sosial contohnya sikap diskriminasi, tanggapan negatif masyarakat  dan menanam budaya inklusif  ...” (Salamanca World Conference on Special Needs Education, 1994)

PENCAPAIAN MURID

Indikator pendidikan inklusif ialah kehadiran (akses & ekuiti), penglibatan murid (pengalaman belajar yang berkualiti dan bermakna dari sudut perspektif murid sendiri)  dan pencapaian (proses P&P berkesan dan outcome pembelajaran bermakna) untuk semua murid tanpa mengira kecacatan dan keupayaan. (UNESCO IBE, 2008b)
  
PELAKSANAAN

a.       Keanggotaan penuh dalam sekolah harian biasa
b.      Kelas yang sesuai dengan peringkat umur murid di sekolah sekitar komuniti setempat
c.      Akses kepada bantuan sokongan dan khidmat bantu yang sesuai
d.     Program yang menjurus kepada keperluan individu (individualized) melalui Rancangan Pendidikan     Individu (RPI)
e.     Kurikulum yang sesuai
f.      Bentuk pentaksiran yang sesuai
  
FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PELAKSANAAN PENDIDIKAN INKLUSIF
1.      
       KURIKULUM UBAHSUAI

       A.    Bantuan tambahan (instruktional) contoh: bahan teknologi (AAC)
       B.    Penilaian / pentaksiran
       C.    Khidmat bantu berterusan

2.      PENGURUSAN SEKOLAH

      A.    Sokongan untuk guru dan murid
      B.    Usaha ikat kerjasama warga sekolah dan komuniti setempat
      C.    Usaha ikatkan kerjasama guru dan PPM


3.      GURU

A.   Guru kompeten
                  Latihan Dalam Perkhidmatan: i) Assessing Special , ii) Adapting curriculum, iii) Utilize                              Assistive Technology
B.  Pre service ( kemahiran adapting curriculum & kemahiran membina kerjasama dengan ibu bapa & pakar)

4.      INFORMASI

A.    Sharing best practices 

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PENTADBIR

      a.      Sokongan pada guru dan murid
      b.      Galakkan & beri ruang untuk semua guru bekerjasama
      c.      Beri ruang untuk kerjasama dengan pihak ibu bapa
      d.      Beri ruang utk flekibiliti
      e.       Galakkan komunikasi

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB GURU

     a.      Berkomunikasi dengan pihak ibu bapa / komuniti
     b.      Bina kerjasama erat (guru biasa & guru pend. Khas)
     c.      Membuat penyesuaian kurikulum dgn ketidakupayaan
     d.      Berkomunikasi dan bina kerjasama dengan rangkaian pakar khidmat bantu 
     e.      Memenuhi keperluan individu murid 
     f.       Menyediakan BBM & BBB membantu proses P&P

KOMPETENSI GURU ALIRAN PERDANA & GURU PENDIDIKAN KHAS PENENTU KEJAYAAN PELAKSANAAN PENDIDIKAN INKLUSIF

Semua guru aliran perdana perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran asas pendidikan khas dan perlu berkerjasama secara kolaboratif dengan guru pendidikan khas.
Konsep inklusif perlu diterapkan dalam amalan harian dan dalam pelbagai aktiviti di sekolah dan dalam komuniti dengan menggalakkan penglibatan murid berkeperluan khas.



KOMPETENSI BAGI GURU ALIRAN PERDANA 
  •   Amalan berasaskan tahap integriti, kompetensi, etika dan profesionalisma yang tinggi.
  •   Meransangkan imej dan personaliti murid yang positif.
  •   Penglibatan aktif secara berhemah dan beretika yang menghormati kepelbagaian budaya dan   individu.
  •  Mengamalkan sikap keprihatinan yang tinggi iaitu lebih mengambil perhatian, sensitif, tidak  bertanggapan negatif, memberi sokongan padu, membuat adaptasi dan fleksibel.
  • Mengamalkan tanggapan baik terhadap semua murid berkeperluan khas termasuk ahli keluarga dan  pakar yang terlibat dalam memberi perkhidmatan pendidikan dan khidmat sokongan
  •  Mempertingkatkan penglibatan murid berkeperluan khas di kelas arus perdana belajar dan      bersosialisasi dengan rakan sebaya yang normal.
  •  Pengetahuan dan kemahiran interpersonal yang baik untuk berurusan dengan pelbagai pihak yang  memberi perkhidmatan pendidikan dan khidmat bantu.


KOMPETENSI BAGI GURU PENDIDIKAN KHAS
  •  Membuat penyesuaian, adaptasi atau modifikasi kepada kurikulum untuk memastikan penguasaan    semua murid berkeperluan khas dalam pembelajaran.
  •  Pengetahuan mengadaptasikan kaedah instruktional dalam P&P termasuk alternatif tugasan dan      kaedah pengajaran.
  •  Pengetahuan dalam stail instruktional khusus dalam pendidikan khas berasaskan kreativiti, inovasi   dan kemajuan teknologi ICT.
  •  Pengetahuan dalam sistem pentaksiran kebangsaan dan pendidikan khas.
  • Melaksana rancangan mengajar yang sesuai dengan kepelbagaian individu murid berkeperluan khas.
  • Pengetahuan dalam aspek perundangan melibatkan hak sebagai guru, ibu bapa dan kanak-kanak berkeperluan khas serta aspek pentadbiran, keselamatan dan juga amalan terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran
  • Berupaya mengumpul maklumat terdahulu dan terkini mengenai pencapaian akademik, rekod kesihatan dan juga sejarah kesihatan dan latar belakang keluarga untuk digunakan dalam penilaian dan perancangan pembelajaran di kelas.
  • Membina Rancangan Pengajaran Individu (RPI) berasaskan objektif dan matlamat jangka pendek panjang dalam pelbagai   kaedah
  • Mempunyai maklumat berkaitan penilaian untuk membuat keputusan instruktional dan penempatan pembelajaran yang bersesuaian dengan mengambilkira kepelbagaian individu.
  • Mematuhi dasar, peraturan dan garis panduan pendidikan khas di peringkat tempatan, negeri dan   pusat.
  • Melaksana pelbagai jenis formal dan informal penilian berasaskan keperluan individu murid berkeperluan khas
  • Membina dan mengurus fail pendidikan khas yang komprehensif.
  • Menyediakan ruang dan peluang pada diri untuk mampu membuat keputusan dalam pilihan kaedah pembelajaran yang sesuai dengan murid.
  • Mengalakkan dan membantu ibu bapa murid berkeperluan khas untuk terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran.




Sunday, November 11, 2012

MAJLIS APRESIASI PENDIDIKAN KHAS SEGAMAT 2012

 Segala Puji Bagi Allah dan Rasul-NYA  
            Beberapa minggu sebelum majlis ini berlangsung, saya sudah dihubungi oleh cikgu Zakiah, yang memohon gambar dan biodata tentang diri saya. Kemudian saya menghubungi Encik Masnawi Shamsudin menyatakan saya bukanlah orang yang layak menerimannya sementelah masih ramai guru yang lebih lama berkhidmat untuk Pendidikan Khas di Segamat. Beliau sedikit tegas menyatakan bahawa ‘ini keputusan panel penilai dan Jawatankuasa yang dibentuk’, bukan keputusan individu dan banyak nama yang telah disenarai dan dibanding beza, sumbangan, penglibatan, atau apa sahaja yang dianggap memberikan keuntungan kepada Pendidikan Khas sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. 



            Lantas apabila Encik Masnawi sedikit menekan sambil berseloroh ‘atau kau tak sudi nak terima anugerah nie, yalah! Daerah yang bagi, bukan KPM!” Bila ayat itu meluncur masuk ke pemikiran saya, serta merta malu alah dan pantas saya jelaskan; “bukan begitu, terlalu awal untuk saya. Tuan cakap macam tu, malu saya! Saya tak terfikir pun macam tu! Kalau macam tu, saya terima anugerah ini kerana Allah dan Rasul-NYA” Begitu lebih kurang perbualan sebelum saya menerima surat rasmi yang dihantar PPD Segamat kepada Pengarah.

            Majlis yang berlangsung pada 1 November 2012, sah secara rasmi bila beberapa hari sebelumnya, surat rasmi yang dihantar kepada Pengarah, telah disahkan dan diberikan kepada saya dengan catatan ‘TAHNIAH! PASTIKAN EN ZHARUL HADIR MAJLIS INI’. Dalam kesibukan tugas, saya pastikan surat itu sentiasa di dalam diari kerja saya. Apa tidaknya pada 30 dan 31 Oktober, saya berada di Hotel Royal Seremban. Dari Seremban saya pulang ke Segamat pada 31 hb tersebut. 
YB AYUB RAHMAT turut menerima anugerah Khas Kategori Kemasyarakatan
Kami sempat bersembang pasal politik. 
             Lantas pada 1 November 2012, saya hadir ke Hotel Villa Segamat ditemani ibu saya, Hajah Zainab Binti Md. Ali (Membawa bonda selepas meminta izin dan memohon jasa baik PPD Segamat.) Di sini bertemu semula dengan rakan-rakan guru yang pernah bersama menjadikan saya mengalami pelbagai perasaan yang tersendiri. Sayu, dialun kenangan, kegembiraan dan pelbagai rasa apabila kami bersalam, berpelukan dan bertanya khabar dalam masa yang terbatas sebelum majlis dilangsungkan secara rasmi.
            Di kesempatan ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada PPD Segamat, Encik Yasiran Bin Maskom (Pegawai Pelajaran Daerah Segamat), Encik Masnawi Shamsudin (PPPD Pendidikan Khas / Pemulihan), AJK Pengelola, para pentadbir sekolah, Panel Penilai untuk Anugerah Khas PENDIDIK PENDIDIKAN KHAS dan semua guru, PPM  yang terlibat menjayakan MAJLIS APRESIASI PENDIDIKAN KHAS DAERAH SEGAMAT 2012. Terima kasih juga kepada semua kerana memberikan layanan yang baik kepada ibu saya.

            Saya memulangkan puji-pujian dan syukur kepada ALLAH dan RASUL-NYA atas ANUGERAH KHAS KATEGORI PENDIDIK yang diberikan kepada saya. Apabila persembahan mukltimedia tentang diri saya ditayangkan, saya mengawal perasaan, terharu, gembira dan sebak dalam satu rasa yang pelbagai. ALLAHUAKBAR! saya tidak pernah terfikir mahupun memikirkannya.
            
 Seperti kesempatan peluang berucap yang diberikan kepada saya tadi. Segala puji-pujian dan syukur kepada Allah dan Rasul-NYA, saya pulangkan anugerah ini untuk semua guru lama yang lebih dulu berjuang untuk Pendidikan Khas di Segamat. Kepada yang baru, berkhidmatlah dengan bersungguh-sungguh untuk ‘anak-anak ahli syurga’ ini.

            Lalu percayalah! SETINGGI MANA SAYA DIJULANG! INSYALLAH TIDAK AKAN SAYA LUPA DI AKAR UMBI MANA, SAYA BERMULA! INILAH TANAH SEGAMAT, TANAH KELAHIRAN SAYA DAN SEGAMAT JUALAH DUNIA PERTAMA KERJAYA SAYA SEBAGAI GURU PENDIDIKAN KHAS walaupun kini saya telah diamanahkan untuk berada di Putrajaya, yang saya sendiri tidak tahu, entah sampai setakat bila?
 Terima kasih semua.....
  
ALLAHUAKBAR! Allah Maha Besar!.  

* Semua gambar di atas adalah ihsan Cikgu Nadira Mohamad Khalid.

Wednesday, June 27, 2012

PERUNDANGAN BERKAITAN PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA



Mandat-mandat Asas PL94-142
Mandat-Mandat Lain
Amalan Konsep PL 94-142 dalam Sistem pendidikan Malaysia
Rangka Tindakan Dan Pernyataan Salamanca
Perundangan dan dasar-dasar Pendidikan di Malaysia

            1. Mandat-Mandat
            1.1 Perkhidmatan Intervensi awal dan prasekolah Intervensi awal didefinisikan sebagai usaha tersusun untuk meningkatkan perkembangan bayi dan kanak-kanak yang mengalami tumbesaran lambat (Fatimah Bivi, 2002).
Dunst (1996) menyifatkan intervensi awalan sebagai “to arange of services provided to children, parents and families during pregnancy, infancy and/or early childhood”. Program intervensi awalan bertujuan memberi bantuan kepada ibu bapa untuk mengambil langkah tertentu supaya pengesanan dan rawatan lebih awal dapat dilakukan dan mengurangkan keterukan ketidakupayaan, permasalahan atau kecacatan yang dialami oleh individu berkeperluan khas. Menurut Hallahan dan Kaufman (2003), kebanyakan pendidik dan ahli sains sosial percaya bahawa lebih awal kecacatan seseorang individu dikenal pasti dan diberi program pendidikan yang bersesuaian atau rawatan tertentu, lebih baik penghasilan yang boleh diperolehi oleh seseorang anak berkeperluan khas. Intervensi awal yang intensif bertujuan untuk mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pembelajaran dan mengelaknya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki alam persekolahan.

            Kajian-kajian menunjukkan bahawa intervensi awal membawa kesan positif kepada kanak-kanak kurang upaya dan yang berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Di Amerika Syarikat perkhidmatan intervensi awal (3 tahun ke bawah) diwajibkan untuk kanak-kanak yang mengalami perkembangan lewat dan kanak-kanak berisiko tinggi (IDEA, 1990). Mengapa?

a. Intervensi awal memainkan peranan penting dalam melengkapkan kanak kanak berkeperluan khas dengan kemahiran asas sebelum mereka masuk ke sekolah rendah.
b. Intervensi awal yang komprehensif dan intensif adalah berfaedah kepada keluarga dan masyarakat. Intervensi awal mempunyai impak yang positif kepada persekitaran terdekat kanak-kanak berkeperluan khas. Atas sebab ini juga, setiap individu dalam sesebuah komuniti perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing ke atas kanak- kanak berkeperluan khas (Lerner, 2003).
c. Intervensi awal dapat membantu perkembangan pelbagai kebolehan kanak kanak. Contohnya, seorang kanak-kanak bermasalah pendengaran yang diajar menggunakan bahasa isyarat secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mindanya dan membuka peluang untuk dia berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
d. Kejadian masalah lain yang terikat dengan kesukaran awal boleh diatasi melalui perkhidmatan intervensi awal. Contohnya kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan tetapi tidak diberi intervensi awal, mungkin mengalami masalah emosi seperti perasaan kecewa.
e. Intervensi awal juga menawarkan penjimatan wang bagi sesuatu masyarakat. Intervensi awal yang intensif dan berkesan mengurangkan beban penyediaan pendidikan khas pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Bilangan kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan pendidikan khas mungkin berkurangan. Ringkasnya, intervensi awal boleh meningkatkan intelek, meningkatan perkembangan fizikal dan meningkatkan penguasaan bahasa kanak-kanak berkeperluan khas. Intervensi awal yang sistematik menghalang kewujudan masalah lain, mengurangkan tekanan kepada keluarga, dan mengurangkan pembinaan institusi khas. Dengan adanya intervensi awal yang teratur, keperluan untuk pendidikan khas di peringkat persekolahan dapat dikurangkan dan ini menjimatkan perbelanjaan negara yang dikhaskan untuk kemudahan penjagaan, kesihatan dan pendidikan.
1.2 Program Transisi
1.3 Pengubahsuaian Kemudahan Awam

Cadangan rujukan : Yell, M.L. (2006). The Law and Special Education 2ed. New
Jersey : Pearson Education,Inc.

1.4 Amalan konsep-konsep PL94-142 dalam sistem pendidikan khas di Malaysia
Di Malaysia, pendidikan khas berkembang maju apabila Akta Pendidikan 1996 diwartakan. Berteraskan kepada PL 94-142, kesedaran masyarakat terhadap pendidikan khas, peranan undang-undang dan polisi pemerintah berjaya menggerakkan program pendidikan khas di negara ini. Melalui pendidikan untuk semua, pendidikan percuma, kelas inklusif, khidmat sokongan daripada pelbagai pihak dan juga penyediaan Rancangan Pengajaran Individu telah memantapkan lagi amalan PL 94-142 dalam sistem pendidikan khas di Malaysia.

            2. Rangka Tindakan Samalanca

            Negara-negara di dunia termasuk di Asia telah memulakan Program Pendidikan Khas yang bertitik tolak daripada saranan dan gesaan beberapa deklarasi di peringkat antarabangsa. Di antara deklarasi yang menjadi dasar kepada pendidikan khas di Malaysia adalah The Framework for Action on Special Needs Education (Salamanca Statement) 1994.
            Rangka Tindakan Salamanca yang diperkenalkan pada tahun 1994 memberi tumpuan kepada dasar, polisi dan amalan pendidikan untuk kanak-kanak dan orang berkeperluan khas . Rangka Tindakan Salamanca ini memperakukan tentang hak dan peluang kanak-kanak berkeperluan khas untuk mendapatkan pendidikan serta mempunyai peluang untuk mencapai dan mengekalkan tahap pembelajaran yang diterima. Oleh kerana kanak-kanak berkeperluan khas juga mempunyai kebolehan, minat,kemampuan dan keperluan pembelajaran, satu sistem pengajaran dan pembelajaran perlu direka untuk memenuhi keperluan individu kanak-kanak tersebut dengan melaksanakan aktiviti pendidikan yang bersesuaian dengan perbezaan minat individu.
            Selain itu, program pendidikan untuk murid berkeperluan khas perlu diimplementasi supaya sesuai dengan sistem pendidikan negara. Rangka Tindakan Salamanca juga memperakukan bahawa kanak-kanak khas mempunyai hak untuk memasuki sekolah biasa melalui amalan inklusif. Negara negara yang bersidang di Salamanca disarankan supaya memberi keutamaan terhadap polisi dan peruntukan kewangan agar sistem pendidikan dapat diperbaiki bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas diserapkan dalam sistem pendidikan tanpa mengira perbezaan individu dan masalah ketidakupayaan mereka. Kerajaan setiap negara juga digesa supaya mewujud dan mengukuhkan mekanisme merancang, memantau dan menilai pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak khas. Ekoran daripada persidangan ini,kementerian Pelajaran Malaysia telah mengabil inisiatif memperkenalkan pendidikan inklusif di Malaysia pada tahun 1995 walaupun amalan inklusif telah lama dilaksanakan di Malaysia melalui rancangan pendidikan integrasi atau percantuman ((Norshidah,etal 2009)

Perundangan dan dasar-dasar pendidikan khas di Malaysia
a. Akta Pendidikan

            Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan Akta Pendidikan Kebangsaan yang digubal setelah mengambilkira pandangan dan aspirasi semua pihak. Dalam Akta Pendidikan, konsep sistem pendidikan kebangsaan dimantapkan dengan meliputi semua peringkat persekolahan dari peringkat pra sekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi, dan meliputi semua kategori sekolah, iaitu sekolah kerajaan , sekolah bantuan kerajaan dan sekolah swasta.

            Kedudukan Bahasa kebangsaan diperkukuhkan dengan memperuntukkannya sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Ini diperkuatkan lagi dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di semua sekolah dan institusi pendidikan.

            Kurikulum semua jenis dan kategori sekolah akan selaras dengan kehendak negara apabila Kurikulum Kebangsaan, yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996 wajib diguna oleh semua pihak. Murid-murid dari semua jenis dan kategori sekolah akan disediakan untuk mengambil peperiksaan yang ditetapkan oleh kerajaan dan oleh itu akan memudahkan kita menggunakan penilaian atau pengukuran yang sama tentang pencapaian murid-murid dari sekolah-sekolah di negara kita.

            Pendidikan Islam akan diperluaskan utnuk meliputi murid-murid Islam di semua kategori sekolah termasuk sekolah swasta dan diperkukuhkan dengan menjadi pelajaran tersebut sebagai salah satu daripada pelajaran teras di sekolahsekolah. Dengan adanya peruntukan yang membolehkan Menteri Pendidikan menubuhkan dan menyenggara tadika, maka dari keluarga yang kurang berada di bandar-bandar, akan berpeluang mendapat pendidikan prasekolah yang menjadi asas yang baik bagi memulakan pendidikan rendah.

            Mutu Program pendidikan di semua tadika juga akan dapat dipertingkatkan kerana tadika-tadika ini akan diwajibkan menggunakan Garis Panduan Kurikulum Prasekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. Sejajar dengan penumpuan terhadap usaha membudayakan pendidikan sains dan teknologi, pendidikan teknik akan dipertingkatkan di sekolah menengah teknik dan politeknik. Akta Pendidikan 1996 memudahkan sekolah vokasional ditukartarafkan ke sekolah teknik, manakala politeknik boleh mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi, perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalikan kursus teknik atau vokasional atau program latihan, termasuk program pertukaran. Politeknik juga boleh mengadakan program bekembar bagi kursus peringkat diploma dan ijazah dengan institusi institusi pendidikan tinggi, sama ada dalam negeri atau luar negeri.

            Pendidikan guru akan dapat diperrkukuhkan dengan adanya peruntukan yang membolehkan Kementerian Pendidikan mengadakan progam pendidikan guru bukan sahaja di peringkat sijil, tetapi juga di peringkat diploma dan ijazah, iaitu secara berkembar.

            Pendidikan swasta akan dapat berkembang secara lebih sistematik dengan adanya peruntukan yang spesifik bagi mengawal taraf pendidikan dan perjalanan institusi-institusi tersebut. Dalam pada itu, institusi pendidikan swasta juga boleh dikehendaki mengadakan pengajaran Bahasa Kebangsaan, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Islam atau Moral untuk memupuk semangat cintakan negara dan nilai-nilai murni.

            Pendidikan khas akan diberi perhatian yang lebih dengan adanya peruntukan yang cukup bagi pendidikan tersebut. Menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, dan berdasarkan pemuafakatan politik yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin negara yang dahulu, Akta Pendidikan 1996 mengambilkira kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo sekolah rendah jenis kebangsaan dan juga 60 buah sekolah Cina swasta. Di samping itu Unified Examination yang diambil oleh sekolah-sekolah ini serta lembaga pengelola sekolah conforming dan sekolah mission dikekalkan.

            Akta Pendidikan 1996 juga turut memperuntukkan pengajaran bahasa suku kaum di negara ini sekiranya didapati munasabah dan praktik diadakan. Kelas kelas agama seperti bible classes tidak diperlukan mendaftar di bawah Akta Pendidikan 1996.

b. Dasar-dasar berkaitan Pendidikan Khas
DEKLARASI HAK-HAK KEMANUSIAAN SEJAGAT ( 1948) meliputi hak bagi setiap individu mendapat pendidikan yang menekankan ‘ keperluan –keperluan pembelajaran untuk orang kurang upaya menuntut perhatian khusus. Langkah langkah perlu diambil untuk menyediakan persamaan akses kepada pendidikan untuk semua kategori orang kurang upaya sebagai bahagian yang sepadu dalam system pendidikan.

· Pada tahun 1959 PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU( PBB) telah mengisytiharkan HAK KANAK-KANAK SEDUNIA dimana mereka berhak mendapat penjagaan yang khusus dan bimbingan mengikut kecacatan yang dialami serta peluang menjadi kanak-kanak normal.

· AKTA PELAJARAN 1961 dalam bahagian 1 ( tafsiran)- dinyatakan bahawa sekolah khas bermakna sekolah yang menyediakan layanan yang khas untuk kanak-kanak kurang upaya.

· LAPORAN JAWATANKUASA KABINET ( 1978)- mengkaji dasar perlaksanaan pelajaran melalui PERAKUAN 169 merupakan 1 titik tolak yang membawa kepada 1 penekanan dan tumpuan yang jelas kepada perkembangan PK di Malaysia.

· Tanggungjawab kementerian tertentu :
 Tanggungjawab Kementerian Pendidikan terhadap pendidikan kanak kanak yang bermasalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran ( terencat akal ) yang boleh didik.

 Tanggungjawab Kementerian Kebajikan Masyarakat terhadap pendidikan kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik.

 Tanggungjawab Kementerian Kesihatan untuk mengenalpasti diperingkat awal dan menyaring kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan yang berisiko

 Akta Pelajaran 1961 disemak semula dan digantikan dengan Akta Pendidikan 1996


SUMBER: PANEL PENULIS MODUL PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU

KAMARUL BAHRIN BIN MOHD. RADZI PENSYARAH IPG KAMPUS IPOH
HJH SATARIAH BT KAMIS PENSYARAH IPG KAMPUS IPOH
HJH SAFIAH BT HARUN PENSYARAH IPG KAMPUS IPOH
Related Posts with Thumbnails