Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, January 13, 2013

KL112; ANTARA HARAPAN DAN KENYATAAN




            Pagi 12012013 usai Jemaah subuh di surau, saya sudah menerima panggilan dari beberapa sahabat yang ingin turut serta dalam PERHIMPUNAN AMAN KL 112. Perhimpunan kali ini sememangnya mencatat sejarah tersendiri dalam negara tanpa sebarang provokasi, pendeknya paling tepat, boleh dikatakan sifar keganasan. Dibenarkan dan diizinkan oleh pihak kerajaan dan pasukan keselamatan di bawah AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012 (dengan larangan membawa kanak-kanak di bawah usia 15 tahun)  Kami berkumpul di masjid Negara dan melalui sendiri solat dalam keadaan yang agak sesak. Seluruh penyokong PR, NGO, penulis, blogger mahupun orang persendirian hadir untuk melihat, melalui, menilai dan berfikir tentang harapan baru Malaysia serta 'denyut nadi rakyat'.
            Ringkasnya jangkaan umum tentang fakta yang diselindungkan dan diselewengkan sudah boleh diramal apabila ada pihak mengatakan ini PERHIMPUNAN SHAMSIDAR dan kehadirannya tidak melebihi 40 ribu orang. Hakikatnya saksikanlah sendiri gambar-gambar dan video yang dimuatnaik ke dalam laman portal, blog, video yang berada di internet.
 Saya kira sudah sampai masanya semua pihak berfikir secara bijaksana. Saya dapat mendengar ucapan pemimpin PR yang berucap dari Tuan Haji Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, Tuan Guru Haji Hadi Awang sehinggalah DS Anwar Ibrahim. Lalu secara jujurnya tidak semua saya kira ucapan itu dapat diterima secara lolos tanpa disaring pada pemikiran kita dan kiranya rakyat memberi mandat kepada PR, saya kira PAS perlu dominan dalam memastikan segala keamanan, kelebihan dan kelangsungan hak Melayu Islam di negara kita sentiasa terpelihara. (saya tetap dengan prinsip saya seperti surat terbuka yang pernah saya tuliskan kepada DS Najib dan Tuan Guru Haji Hadi Awang klik di sini )
            Sementelah DS Anwar kelihatan begitu yakin dengan pidatonya seolah-olah  memperoleh kemenangan PRU 13 dengan menjanjikan perkara berikut;
Tiada rasuah dan rompakan wang rakyat
Hari ini memang esok harga minyak diturunkan
Tol dihapuskan
PTPTN dihapuskan
Isu Bahasa Melayu
Ini termasuklah penyelewengan yang dibangkitkan terhadap kepimpinan BN (Saya tidak mahu menulisnuya di sini sebaliknya carilah sendiri video ucapan DS Anwar tersebut di internet dan jawablah dengan fakta dan kejujuran!)
  
 Namun untuk isu Bahasa Melayu, saya kira kerajaan telah mengambil langkah yang baik melalui KPM dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)   
Saya tidak berani mengatakan janji DS Anwar ini retorik politik atau bukan retorik. Namun sekiranya PR beroleh mandat dan perkara ini tidak dilakukan, saya kira PR telah menipu kehadiran rakyat yang sanggup mengorbankan wang, masa, tenaga dan pelbagai pengorbanan meninggalkan keluarga dan datang dari seluruh pelusuk tanah air.
Dari satu sudut lain, saya kira sudah sampai masanya tuntutan ini didengar dan dijawap dengan bijaksana dan disusuli dengan tindakan agar rakyat tidak terus berprasangka dan meragui sistem pilihanraya dan beban kos sara hidup (isu tol dan harga minyak; kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak). Bukan mengeluarkan dakyah mengarut seperti PERHIMPUNAN SHAMSIDAR di media pro. Rakyat sudah boleh menilai kerana hari ini rakyat tidak lagi bergantung kepada media tradisional.
(Insyaa Allah! Dihasilkan secara tulus dan jujur! Tulisan ini adalah pandangan peribadi; ianya tidak mewakili majikan, keahlian parti politik mahupun jawatan penulis)

GAMBAR SEKITAR KL112 DARI LENSA PENULIS SENDIRI (Tiada editing atau superimpose).   
























































Saturday, January 5, 2013

SIRI 2 KEMBARA MEMALI (Menggali kebenaran yang tertimbus) - Siapakah Yang memujuk As Syahid Ibrahim Libya menyerahkan senjata dan senjata apakah yang dimiliki oleh As Syahid Ibrahim Libya?.




            20122012
Selesai makan, kami naik ke Masjid Parit Panjang. Tujuannya mahu solat. Di sini bertemu seorang lelaki dengan mesra menyambut kami. Bertanyakan dari mana. Lelaki itu namanya Haji Yaakob. Pabila saya menceritakan niat sebenar kami ke mari. Dia memberikan respon yang cukup memberangsangkan dan meminta saya bertemu imam masjid Parit Panjang. Haji Yaakob memaklumkan semasa kejadian itu dia bertugas sebagai tentera di Taiping.
Masjid Omar Zuhdi (Guru As Syahid Ibrahim Libya) bersetentang dengan arah kubur Parit Panjang
            “Tuan Imam ada masa peristiwa tu, Cuma dia tidak di pondok arwah ustaz Ibrahim” Kata Haji Yaakob. Kenyataan itu membuatkan hati saya kembang seperti teruna dara mengenal cinta pertama.
 
Saya akhirnya diperkenalkan kepada Tuan Imam Haji Abdul Wahab bin Hasan berusia 74 tahun.

Matanya merenung mata saya, kemudian merenung jauh ke arah pusara As Syahid Ibrahim Libya. Ada kesayuan dari air mukanya. Sememangnya dari masjid ini boleh dilihat selepas seberang jalan, tanah lapang bersebelahan Petronas, sebelah hadapan sedikit di situlah tanah perkuburan Parit Panjang.

“Ustaz Ibrahim takde apa pun.”

            Lambat dan lembut Haji Abdul Wahab bertutur. Memandang wajah saya, kemudian mengalihkan matanya kepada pena dan buku catatan saya. Kata-katanya saya rakam melalui penulisan. Walaupun perkembangan teknologi yang pantas, kebanyakan orang lebih suka menggunakan rakaman audiovisual. Saya lebih gemar melalui penulisan.    
Haji Yaakob berbaju biru dan Tuan Imam Haji Abdul Wahab bin Hasan

“Dua minggu sebelum kejadian, saya dengan arwah ustaz Zahari Abdul Razak! Masa tu Ustaz Zahari pesuruhjaya PAS Kedah! Kami pujuk Ustaz Ibrahim serah senjata!” Ceritanya lambat.

Kata-kata ini membuatkan dahi saya berkerut. Menurut catatan KERTAS PUTIH MEMALI yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan As Syahid Ibrahim Libya dituduh memiliki senjata api dan Madrasah di Memali dikatakan ada kubu. Apakah benar Ustaz Ibrahim memiliki senjata dan menentang kerajaan menggunakan senjata?

“Banyak ke senjatanya Haji?” Tanya saya juga dalam keadaan setenang mungkin.

Segera di jawabnya soalan itu dengan gelengan kepala. Lambat tetapi pandangannya  menyentuh perasaan.

“Senapang patah biasa jaa! Satu laras je! Senapang tu pun sudahnya serah pada Polis!” Jawapnya dengan loghat Kedah. Saya mencatat agak laju segala buah butir yang keluar dari mulut Haji Abdul Wahab. Melihat pena di tangan saya berhenti mencatat, dia menyambung lagi.

“ Dok bohong kalau kata takde senjata! Parang, pisau tu ada la masa kena serang. Itu senjata orang kampung! Senjata api takdak ahh!” Tuturnya lagi.

Saya berfikir secara logik. Semestinya  ada parang dan pisau. Keperluan asas penduduk kampung. Saya sendiri sebagai anak kampung ada menyimpan parang bersarung yang dibawa semasa pergi memancing. Bayangkan tempat ini pada tahun 1985, tentu hutannya masih tebal. Hingga hari ini pun jika anda ke Parit Panjang mahu pun Memali, hutannya masih tebal.

“Kata ada kubu di Memali, macam mana Haji! Ada?” Soal saya melihat dia merenung jauh.
Sekali lagi dia menggelengkan kepala. Sayu yang belum terusir di wajahnya (kenyataan memali ada kubu berdasarkan catatan KERTAS PUTIH MEMALI oleh pihak kerajaan)

“ Ustaz Ibrahim takde apa pun. Ilmu agama dia ajaa! Pengaruh dia kuat laa! Dia cakap orang ikut! Masa tu ramai yang ikut dia!” Haji Abdul Wahab menambah lagi.
Lelaki berjubah ini bernama Ustaz Fakhrul Razi Guru Maahad Tahfiz Yayasan Al- Huffaz. Jasa baiknya kami pulangkan kepada Allah untuk membalasnya baik di dunia mahupun akhirat.
Selepas mengumpul maklumat tersebut. Haji Abdul Wahab pulang dan Ustaz Fakhrulrazi sudah berdiri menanti saya. (Ustaz Fakhrulrazi mengusahakan sebuah pusat tahfiz Al-Quran di sini. Nombor telefonnya diberikan oleh Ustaz Sukiman yang bertugas sepejabat dengan saya)

           Sementara Haji Yaakob mengambil nombor telefon saya dan memaklumkan akan membantu
mempertemukan saya dengan Ustaz Harun Bin Mat Isa yang mengajar di Yayasan Qariah di Kupang, 
mangsa yang terlibat dan ditembak. ( Khabarnya masih berbekas dan ada kesan tembusan peluru di 
tubuhnya)

Kami berpisah setelah Ustaz Fakhrulrazi memberikan nombor dan alamat tempat rumah tumpangan untuk kami bermalam nanti. Selepas itu saya menuju ke Kupang yang kira-kira 30 minit perjalanan dari Parit Panjang.    

Insya allah!
Bertemu SIRI 3 KEMBARA MEMALI (Menggali kebenaran yang ditimbus)
- Gangguan mistik untuk kami sekeluarga di Kupang & Bertemu Tuan Guru Haji Salleh Musa. Mengapa As Syahid Ibrahim Libya tidak dikebumikan di Memali sebaliknya di Parit Panjang. Siapakah beberapa individu penting yang mempertahankan jenazah As Syahid Ibrahim tidak perlu dimandi dan dikapan kerana syahid.?










Wednesday, January 2, 2013

SIRI 1 KEMBARA MEMALI ( Menggali kebenaran yang ditimbus)


Perjalanan Ke Parit Panjang


20 Disember 2012, kami tinggalkan Putrajaya jam 6.45 pagi menuju ke Parit Panjang. Misinya ingin melihat, memburu, mencari;
a.      Pusara As Syahid Ibrahim Libya dan pengikutnya.
b.  Mencari mangsa yang terlibat dan masih hidup bagi mendapatkan maklumat secara lisan dna bertentang mata.
c.   Mengumpul fakta dari masyarakat setempat dan sezaman dengan tragedi berdarah Memali
d.  Menemui Tuan-tuan Guru Pondok yang berada di daerah Baling, Sik dan kawasan sekitarnya.
Menuju ke Parit Panjang, berdasarkan segala maklumat yang dikumpul, paling sesuai kami keluar lebuhraya Kuala Kangsar dan menuju ke Parit Panjang melalui jalan ke arah Grik.
Sesudah beberapa kali berhenti dan bertanyakan penduduk kampung, kami akhirnya sampai di Parit Panjang kira-kira pukul 1.52 petang. Berdekatan bulatan besar dan ada stesen minyak Petronas (Jika anda pernah sampai ke sini, pasti anda tahu keadaan ini). Saya berhenti di tepi jalan, menahan seorang anak muda lengkap berserban  menaiki motosikal. Saya memperkenalkan diri  dan anak muda itu bernama Abdullah Umai. Dia akhirnya menunjukkan pusara As Syahid Ibrahim Libya
Penulis bersama Abdullah Umai
Bawah rimbunan pokok bunga yang besar dan kawasan berpagar itulah pusara mangsa Tragedi Memali


Kami sekeluarga ke pusara As Syahid Ibrahim Libya. Perasaan saya bercampur baur. Tiada perkataan untuk digambarkan dan tiada warna dapat diukiskan
 Ketika anak-anak sibuk bertanya
“Abah! Ramai nie! Mana As Syahid Ibrahim Libya?!” 
Setiap nesan berpenghuni Tragedi Memali, 13 jasad disemadikan di sini

Saya tidak ada jawapan kerana saya sendiri tidak mengetahui mana satu nesan As Syahid Ibrahim Libya. Bertafakur, menghadiahkan Al-Fatihah dan sedikit ayat-ayat suci Al-Quran yang lain.
Dalam fikiran saya, ada banyak benda tetapi tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Sementara soalan anak-anak tidak berjawab. Saya mengira jumlah nesan yang disemadikan sebaris itu; hanya 13 sahaja. Sedangkan mangsa yang terbunuh di pihak pengikut As Syahid Ibrahim Libya, jumlahnya seramai 14. Mana perginya satu mangsa lagi, di mana di kebumikan?.
Catatan awal dari maklumat Kak Ana

Kami makan nasi di kedai makan depan Petronas Parit Panjang. Melihatkan kami sekeluarga sebagai orang luar. Ianya jelas dari segi gaya bahasa dan loghat. Saya anak Johor dan isteri anak Selangor. Pemilik kedai bernama Kak Ana begitu meriah melayan kami sekeluarga. Sementara saya juga menunggu kedatangan  Ustaz Fakhrulrazi (Individu yang diberikan nombornya oleh Ustaz Sukiman bagi memudahkan perjalanan) 
Berdekatan kedai Kak Ana ada Masjid Tuan Guru Omar Zuhdi dan sebuah Maahad Tahfiz
Kak Ana

Manakala mendengar kedatangan kami bertujuan menziarah pusara As Syahid Ibrahim Libya, Kak Ana juga riuh bercerita. Antara kenyataan yang diberikan:
“Sini orang tau! Hak keluaq tv tu, semua tipu!. Saya ada saudara yang keja pasukan keselamatan. Dia masa tu jadi driver …… jadi masa tu bawak lori pasukan.., dia bawa. Sekarang taubat dah! Ikut PAS!” Saya mendengar kenyataan Kak Ana dengan teliti dan kemudian mencatatnya.    
            Pun demikian apabila bercakap tentang kekuatan PAS d sini. Ianya memang agak selesa. Sepanjang jalan utama menuju ke Parit Panjang, bulan putih berkibar megah di sepanjang jalan. Saya haqqul yakin “mana tanah pernah basah darah syuhada, di situ Islam akan menang!”
Insya allah!
Bertemu SIRI 2 KEMBARA MEMALI (Menggali kebenaran yang tertimbus)
-          Siapakah  Yang memujuk As Syahid Ibrahim Libya menyerahkan senjata dan senjata apakah yang dimiliki oleh As Syahid Ibrahim Libya?.   

Saturday, November 24, 2012

SYAHID (Pejuang Gaza dan Memali)



Angin malam berbisik bahasa Tuhan ke dalam kalbu!
tiba-tiba terhidu aku bau darah para syuhada gaza
gemalai zikir angin
menyantun wangi
nyawa di telapak tangan
demi kota suci Baitulmuqadis
kuutus  doa ke langit tujuh
mujahid Palestin misi mempertahan
akidah
nyawa
tanah air...

Seorang aku didakap rindu semangat perjuangan
sudah sebetulnya Palestin berdepan Zionis
seperti terakam Al_Baqarah
sedang suatu waktu di tanah Melayu
As Syahid Ibrahim Libya
syahid di hujung senjata saudara seagama

Lalu malam tadi
datanglah As Syahid Ibrahim Libya
menjengahku di alam mimpi
serba putih, harum dan  tersenyum
Ya Rabb! Betulkah mimpiku ini?

Dari raut wajahnya itu
aku mengerti  akan manisnya
dijemput Izrail secara syahid

Tuhan!
Pilihlah aku!

 

ZHARULNIZAM SHAH Z.A
Cherating, Pahang
24112012

Related Posts with Thumbnails