Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, January 23, 2011

ANALISIS PRK DUN TENANG; SIAPA MENANG UMNO ATAU PAS????


Hari ini 22.01.2011 selesailah sudah penamaan calon PRK Dun Tenang. Parti Islam Semalaysia (PAS) mempertaruhkan cikgu Normala Sudirman sebagai calon yang menanggung amanah untuk mewakili suara Pakatan Rakyat. Bekas guru berusia 38 tahun yang juga ibu kepada tiga orang anak itu juga merupakan ahli exco sayap wanita PAS.


Manakala United Malay National Organisation (UMNO) meletakkan ayam tambatannya   Penolong Pegawai Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azhar Ibrahim, 39, dipilih mewakili Barisan Nasional (BN). Mohd. Azhar, yang dilahirkan di Labis dan anak bekas ADUN Tenang, Allahyarham Ibrahim Daud. Mohd Azhar adalah Bendahari pemuda Umno Bahagian Labis dan juga Ketua Umno cawangan Kampung Paya Merah pada 2004-2008  Pernah memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Kluang pada tahun 1997-2000.selepas itu beliau di hantar ke Segamat untuk jawatan yang sama dari tahun 2000-2006. Dipindahkan ke Rengit bagi untuk jawatan yang sama pada tahun 2006 sehingga kini.

Dun Tenang sebelum ini diwakili oleh Allahyarham Sulaiman, 59, yang dijemput Izrail pulang ke alam barzakh di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pukul 1.10 pagi. As-sebab kematiannya akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.
Dun Tenang di bawah Parlimen Labis, mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira pecahan kaum mengikut peratusnya 50% Melayu, 38% Cina dan 12% India, segalanya berkemungkinan. Ada baiknya kita melihat sejarah lampau untuk cuba membaca keyakinan dan pemikiran pengundi. Pada tahun 1999 BN menang dengan majoriti lebih kurang 8000   undi. Kemudian 2004 majoriti lebih kurang 5000 undi dan pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran. Jelas majoriti itu semakin mengecil. Mungkinkah berlaku keputusan luar jangka di Dun Tenang pada 30 Januari 2011?  



Ramai yang menjangkakan BN mudah mengekalkan kerusi Dun Tenang. Dari riak wajah dan nada kem BN, semuanya menggambarkan keyakinan. Malahan ada yang telah mensasarkan mahu menang dengan majoriti melebihi 5000 undi.

  1. Johor Kubu kuat – Pun jangan terlupa tentang majoriti yang semakin kecil selepas 3 kali bersalin pilihanraya

  1. Faktor pengundi Felda – Terdapat kira-kira 4000 pengundi felda yang akan memilih di Dun Tenang. Jika andaian suasana mood 2008, diakui PAS kekurangan jumlah undi yang tinggi di sini berbanding lain-lain pusat mengundi Dun Tenang. BN telah mengumumkan ................... bantuan kewangan untuk orang Felda Dun Tenang

  1. Orang Johor leka dengan ’nostalgia’ – Faktor sejarah yang dikatakan melekit di hati pengundi Johor khususnya warga emas dengan alasan ’UMNO lahir di Johor”, ”tidak ada parti lain yang boleh memerintah selain UMNO” dsb

  1. Jentera dan gerak kerja, serangan saraf yang dikatakan berkesan kerana mempunyai sumber yang mencukupi dari aspek kewangan, bahan, petugas dan lain-lainnya. – Malahan secara psikologi politiknya UMNO dikatakan sengaja melambungkan isu mahu meletakkan calon wanita di awalnya dan berharap PAS terpengaruh dan berpatah semula untuk meletakkan calon lelaki dianggap satu taktikal yang cukup bijaksana. ( Dipercayai gerak saraf ini berjaya mempengaruhi dan dianggap BN telah berjaya dari segi taktikal)

              Segala faktor di atas seakan-akan PAS telah karam sebelum berjuang. Sayugia diingatkan bahawa itu hanyalah faktor dari pemikiran dan jangan terlupa hak memangkah calon milik penguni Dun Tenang. Faktor-faktor itu bukanlah bermakna PAS langsung tidak mempunyai kekuatan dan peluang
1.      PAS tetap dengan kaedah terbaiknya apabila berjaya melaksanakan solat hajat untuk calonnya di dataran Labis. (Satu usaha yang dipuji kerana menjaga hubungan hamba dan pencipta-NYA dengan tidak melupakan permohonan kepada Allah dalam PRK ini. Hanya golongan sekular sahaja yang memisahkan agama dan politik. Politik tetap termasuk dalam urusan agama kerana Islam bersifat syumul)


2.      PAS mempunyai kelebihan melalui pengundi kaum Tionghua (berasaskan keputusan 2008) 60% pengundi Tionghua telah memberikan undi kepada PR pada tahun 2008. Jika perkiraan ini tidak banyak berubah atas faktor terumbang-ambingnya keadaan ekonomi semasa serta kenaikan harga minyak petrol, gas dan beberapa bahan mentah makanan lain. Ianya boleh memberi impak yang besar kepada BN untuk gagal meraih undi kaum Cina. Perlu diketahui orang Cina hidupnya sinonim dengan angka. Mereka mahu putaran ekonmi negera sentiasa dalam keadaan memberangsangkan. Secara logiknya dengan faktor ekonomi semasa tidak mustahil akan bertambah undi untuk PR. Tambahan pula terdapat krisis moral pemimpin kaum Cina di sini (saya tidak mahu mengulasnya.... pasal video....)


3.      PAS sebetulnya boleh membuat keputusan luar jangka sekiranya beberapa siri penerangan kepada kaum Felda yang telah dilakukan oleh saudara Mazlan Aliman berjaya mempengaruhi pengundi Felda. Terdapat banyak isu yang masih tergantung tentang nasib peneroka. Untuk mengetahui lebih lanjut silalah beli buku yang ditulis oleh saudara Mazlan sendiri.... Ya! Jika PAS dapat menambah dalam 15% undi untuknya dari orang Felda terutamanya dari golongan generasi kedua, maka tidak mustahil keputusan luar jangka diperolehi kerana PAS tidak mengeciwakan  di lain-lain saluran mengundi di Dun Tenang pada tahun 2008.

4.      Dirasakan PAS bersedia menghadapi risiko dalam taktikal calonnya kali ini. Kalau pun jangkaan awal tewas, barangkali pihak pusat sengaja ’test market’ calon muslimat di Johor untuk startegi yang lebih baik pada pilihanraya umum ke 13 nanti. Sekiranya menang, bonus!.  

5.       Apa pun keadaannya 50% dari jumlah pengundi kaum Melayu. Inilah yang akan menentukan siapa wakil rakyat mereka. Samada BN atau PR, siapa yang boleh memperolehi  60-65% undi kaum Melayu, nescaya akan menjadi wakil rakyat Dun tenang.

Persoalan prinsip, ideologi, condong pada kebenaran atau rasa terhutang budi, mahukan pemimpin yang lebih baik, bersih, adil, benar, saksama, maju, bangsa, agama semuanya akan bermain di fikiran pengundi. Lalu pengundi yang bijaksana akan memilih wakil rakyat yang dapat menjalankan tugasnya dengan baik, samada untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air............

 Apa pun analisis ’orang kampung’ yang disajikan ini, tidak bertujuan untuk berkempen. Keputusan telah ada pada Allah dan tentera-tentera-NYA. Kita hanya bisa menunggu sehingga selesai hari pengundian pada 30 Januari 2011, itu pun jika kita masih belum dijemput oleh Izrail.

SELAMAT MENGUNDI.   

Friday, January 7, 2011

PRK (PENTAS RONGGENG KUDA)




 Maka hari itu,
Seorang tok dalang lanjut usia
Menari ronggeng kuda di pentas gelora
Menenun usaha lobi melobi
Agar mentari akan datang
hayat kerjaya tersambung
pada benang usia
sementara menanti hadirnya Izrail
yang mengintai wajah
mencantas usia pada bebila masa....

Menari ronggeng kuda di pentas gelora
Cerita kuda memperkuda
Kisah memperkuda kuda
Hikayat kuda diperkuda
Ceritera diperkuda kuda
Ugut
Tukar
Alih
           
Atas nama kuasa yang dipinjam sementara
Senipis jawatan yang tidak pernah kekal
Bahawa tok dalang sebenarnya telah terlupa
Ini bukan zaman;
Kuasa semesti benar
Arahan harus sentiasa diangguk walau di luar batas
Lalu kuasa seorang tok dalang
Tidak mungkin boleh menandingi kuasa Yang Maha Kuasa............   

Thursday, December 23, 2010

PMR DAN HAKIKAT KECEMERLANGAN...........

Tahniah! yang lulus cemerlang dalam PMR, kepada yang tidak memberangsangkan syabas diucapkan. Jangan patah semangat. 

Hakikat kecemerlangan dalam hidup ini apabila kamu mengenal Allah dan Rasulullah saw. 

Menunaikan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang. 

Kejayaan sebenar adalah menjadi HAMBA YANG BERTAKWA tanpa mengira apa kerjaya kalian nanti ....

 

 

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekali lagi mengekalkan kecemerlangannya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan 20 MRSM mencapai keputusan lebih daripada 60 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ibrahim Ahmad, berkata daripada 5,068 calon dari 36 buah MRSM, jumlah yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 3,129 orang iaitu peningkatan sebanyak 2.17 peratus berbanding 59.03 peratus tahun lalu.

"Pencapaian MRSM dalam peperiksaan PMR 2010 adalah cemerlang dan bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lalu iaitu daripada Gred Purata Maktab (GPM) 1.0992 kepada 1.0531," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MRSM Pasir Tumboh muncul sebagai MRSM cemerlang dengan mendapat peratus tertinggi mengikut pencapaian GPM iaitu 92.20 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran, diikuti MRSM Pasir Salak (81.2 peratus) dan MRSM Kuala Klawang (79.9 peratus).

Sebanyak 18 MRSM menunjukkan peningkatan daripada segi nilai GPM, katanya.

Ibrahim berkata, 16 MRSM juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian peratusan pelajar yang mendapat semua A yang mana MRSM Besut mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 30.53 peratus.

"Bilangan pelajar MRSM yang mendapat pencapaian mengikut syarat minimum 6A2B (Matematik A, Sains A) ialah seramai 4,438 orang atau 87.57 peratus berbanding 3,498 orang pada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata empat mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratus pencapaian gred A pada tahun ini iaitu Sains (+3.9 peratus), Bahasa Inggeris (+2.6 peratus), Bahasa Melayu (+2.0 peratus) dan Sejarah (+1.8 peratus). - BERNAMA ; Berita Harian Online

 

Wednesday, December 8, 2010

MELAWAN TAGHUT (Dedikasi Buat As-Syahid Ibrahim Libya)


Aku kebingungan seketika apabila peluru menembus jantungku ;
detik kesakitan yang kutanggung
menjelma menjadi bara kemarahan.
Aku selamanya tidak tahan
bila ayat-ayat Allah dipersenda
dipijak
diinjak............

Kabur pandangan
tentangan mataku sudah mulai layu ,
Berpaling tidak sekali
yakin di dinding hati ini tertulis syahadah bahawa
            Tongkat Musa
Kapak Ibrahim,
Bendera tauhid Muhammad
Pedang jihad para sahabat
sentiasa di tangan orang-orang beriman
Ya! jika aku ditakdirkan gugur
akan muncul tunas-tunas baru
untuk meneruskan perjuangan
lalu sekarang tersenyumlah kamu dan tertawalah kamu puas-puas
kerana sebaik sahaja aku menemui Allah
pasti mata kamu dapat melihat
sebarisan pejuang lebih muda muncul di belakangku,
siap pula untuk menuliskan cintanya kepada Allah dengan darah hidup.

Ketika itu senyum dan ketawa kamu akan padam.
Kamu akan merasa gusar,
Gentar
keciwa
kerana harus menghadapi pergeseran dan pertembungan baru sekali lagi
bahawa pejuang kebenaran boleh dibunuh
tetapi kebenaran tidak mati.......... 

- Baharudin Kahar & Zharulnizam Shah Z.A -
Sunyi pagi tanah Segamat, Johor
2.35 pagi 08122010

Thursday, December 2, 2010

SIRI 4 MEMALI, KEADILAN YANG TERTANGGUH –Soalsiasat Solehah berterusan, dari Kem PPH Tanjong Pari Ke Kem PPH Sungai Petani



Alhamdulilah saya cuba mengusahakan siri 4, selepas ada sedikit desakan para sahabat yang membaca Siri Memali, Keadilan Yang Tertangguh diblog ini. Terima kasih juga atas sokongan yang cepat membangkitkan semangat untuk terus menulis tentang Memali, walaupun menulis tentang Memali ada risiko yang tersendiri. Insyallah saya gagahi kerana haqqul-yakin, Allah akan melindungi kebenaran yang berpaksi di atas jalan-NYA. Terpaksa membahagi masa antara beberapa buah buku yang sedang diusahakan pada musim cuti sekolah ini dengan penulisan diblog ini. Insyallah dipermudahkan segalanya Amin Ya Allah!..

Kanak-kanak sudah dibenarkan pulang mengikut waris kecuali anak Rokiah kerana menyusu badan. Jam 3 petang dari kem Tanjong Pari, mereka semua diarahkan menaiki trak. Sampai ke Kem Sungai Petani, senja mengembangkan layer sebelum malam melanggar alam.  Sebelum itu mereka diberi makanan dan air sejuk. Ada antara tahanan lelaki membantu sesama mereka  kerana tangan digari.   

Kehadiran mereka menjadi bahan tontonan kepada keluarga Polis yang tinggal di situ. Ada juga antara mereka yang mengeluarkan kata-kata “Komunis apa?, pakai tudung…”

Ini menunjukkan, mereka percaya operasi di Memali adalah menyerang kem Komunis. Solehah hanya menutup kepala dengan serban yang diambil di Kem Tanjong Pari. Ini kerana rumahnya diselongkar dan banyak yang dirampas pada hari kejadian. Tahanan lelaki dan perempuan diasingkan.
Cuma lebih baik kali ini ada bilik air dan tandas. Dapatlah membersihkan diri, Cuma pakaian masih tidak bertukar. Keesokannya mereka memohon ihsan untuk telekong dan surah Yasin dan permintaan itu diterima. Tiga hari tanpa soal siasat, hanya surah Yasin penenang hati dan pengubat lara.

Hari keempat, barangkali pakaian terpakai dari rumah-rumah pihak polis berdekatan. Semuga Allah merahmati dan membalas kebaikan kepada yang menyumbang pakaian, surah Yasin dan telekung.

Hari kelima seperti diduga soal siasat bermula. Solehah target utama. Masuk ke bilik kecil yang hanya boleh memuatkan beberapa orang sahaja. Beberapa lelaki siap menunggunya. Ekspresi wajah yang bengis...

” Awak isteri Ibrahim Mahmud” Loghatnya bukan loghat utara.
Hati Solehah berbisik ’barangkali ini dari Bukit Aman’

”Apa yang Ibrahim ajar orang Kampung?” Sergahnya lagi.
Solehah membisu.

”Awak boleh mengucap?” Sergah yang lain.

Solehah benar-benar terperanjat dengan soalan itu.

”Cuba awak mengucap!” Desak salah seorang.

”Aku mengaku tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah” Solehah menyebutnya secara perlahan-lahan.

”Hei! Mengucap macam mana laki awak ajar, faham!” Tengking salah seorang yang berada di situ.

Solehah mengulang jawapan yang sama.

”Bohong! Laki awak tak ajar macam itu. Dia ajar macam lain” Keras dan marah salah seorang sambil menghempaskan tangannya ke atas meja.

”Betul ke laki awak ajar macam itu?” Gertak yang lain pula.
Solehah mengangguk lemah.

”Awak jangan bohong pada kami. Laki awak, sebenarnya ajar macam lain. Cuba awak sebut, macam mana yang laki awak ajar sebenarnya. ” Pinta lelaki yang bertentangan dengannya dengan nada suara agak perlahan. Memujuk.

”Saya tak tahu, Ustaz tak pernah ajar kami yang lain.” Jawab Solehah jujur

Ada juga yang berubah muka menahan marah.
”Awak tahu tak, anak-anak buah laki awak bagi tahu, laki awak ajar dia orang mengucap lain” Sambung lelaki tadi.

”Macam mana? Saya tak pernah dengar yang lain macam saya sebut tadi!” Solehah menjadi berani.

”Dia tak sebut Muhammad Rasulullah. Dia suruh orang sebut Ibrahim Rasulullah!” Celah salah seorang di antara mereka.

”Ustaz tak pernah  suruh macam tu.
Ini semua fitnah!” Solehah mempertahankan suaminya.

”Fitnah apa?, Memang dia ajar macam itu. Dia ajar anak buah dia ajaran sesat. Ustaz sesat! Laki awak ajar orang sesat! Dia mengaku dia Rasul! Faham!!!!” Bentaknya sambil penumpuknya berkali-kali menghentak meja.

Marah dan sedih bersatu dalam dirinya. Mustahil Solehah tidak mengenali hati budi suaminya. Bukan sehari dua, dia hidup dengan Ustaz Ibrahim Libya. Malah dalam ceramah, kuliah, usrah, suaminya menekankan dan menanamkan semangat cintakan Allah, Rasulullah dan semangat jihad dalam menegakkan agama Islam.

”Cuba awak sebut, macam mana laki awak ajar tu. Sebut Ibrahim Rasulullah, bukan Muhammad Rasulullah” Pinta lelaki itu lagi.

Solehah tidak mempedulikannya. Ini persoalan akidah, bukan boleh dibuat main-main. Puas dipujuk. Solehah tetap dengan pendiriannya sehingga mereka yang berada di situ merah padam muka menahan marah.

Akhirnya mereka gagal menyuruh Solehah mengucap perkataan yang mengarut dan memesongkan akidah itu. Di bilik ramai yang menunggunya untuk mengetahui apa yang berlaku. Kebanyakan yang disoalsiasat dipaksa supaya mengucapkan perkataan yang sama. Namun Alhamdulilah mereka tidak menurut.

Banyak peristiwa sedih yang berlaku. Ada yang dipanggil soal siasat dua, tiga kali. Termasuk Rokiah yang membawa Mahyudin. Kekadang sampai dua jam Rokiah memangku Mahyudin, Lenguh anggota tubuhnya. Tahanan lelaki lebih teruk kerana menerima tindakan fizikal. Dicucuh puntung rokok. Dipaksa menyebut ’Ibrahim Rasulullah’. Kesemuanya memilih menerima siksaan daripada menyebut kata-kata mengarut tersebut.

Seingat Solehah, dia dipanggil lima kali sepanjang berada di kem tersebut.

”Apa pandangan awak tentang suami awak? Ada orang kata dia mati syahid”

”Saya tak tau dia mati ke dak, Kalau dia mati tentulah mati syahid.” Tegas Solehah

”Awak tak rasa apa-apa dengar dia mati?”

“Saya bersyukur kepada Allah, jika dia mati. Kerana dia mati syahid. Dah lama dia berdoa untuk mati syahid. Kami semua nak mati syahid” Balas Solehah dengan keberanian.

”Apa alasan awak kata dia mati syahid?” Mereka menekan dan menduga.

”Dia mengajar agama Islam. Dia ajak orang kembali pada Allah. Bila dia dibunuh atas sebab ini, dia mati syahidlah..” Solehah membela suaminya dengan hujah yang kemas.

Mereka terdiam dan barangkali juga terfikir betapa kentalnya semangat Ustaz Ibrahim Libya.

Solehah ada wanita biasa yang mempunyai semangat yang luar biasa. Bagaimanapun sebagai manusia biasa, dia mempunyai kelemahan. Setakat ini belum mengalir airmatanya apabila ditekan dari aspek kematian suaminya yang syahid itu. Namun dia tewas. Kesemua yang berada di situ dapat melihat airmatanya mengalir seiring esak tangisnya.

“Bagaimana dengan anak-anak awak?. Tak ingatkah dekat mereka...” Soal salah seorang Polis yang berpakaian biasa.

Soalan itu melunturkan semangatnya. Jiwa seorang wanita. Kasih ibu jejak ke syurga. Mendengar soalan itu airmatanya menitis laju. Wajah Syuhada puteri bongsunya menyerbu ingatan. Anak sulungnya, Mohd Islah dan adiknya yang berada di Maahad Islamiah. Apalah yang ada nasib anak sulungnya yang berusia 9 tahun ketika itu.

Sungguh, soalan tentang anak itu, membuatkan mereka berjaya menumpahkan airmata Solehah.  Pun Solehah tetap menganggap dirinya menang. Ini kerana mereka yang menyoalnya berasa keciwa kerana gagal memaksa Solehah menyebut ’Ibrahim Rasulullah’
 Sabda Rasulullah SAW
"Apakah yang kamu kirakan orang yang mati syahid di kalangan kamu?" 
Mereka berkata "Sesiapa yang dibunuh pada jalan Allah," 
Rasulullah SAW menjawab " kalau begitu orang yang mari syahid di kalangan umatku sedikit sahaja"
Mereka berkata " Siapakah mereka itu ya Rasulullah?"
Rasulullah SAW menjawab " Sesiapa yang mati dibunuh dalam perjuangan menegakkan agama Allah ialah syahid, sesiapa yang mati sakit taun adalah syahid, sesiapa yang mati sakit perut adalah syahid, orang yang mati terbakar syahid, orang yang mati di bawah runtuhan syahid dan perempuan yang mati dengan anak kandungannya syahid" 
 
Insyallah! Jika diizinkan Allah kita semua akan bertemu pada siri 5  DARI KEM PPH SUNGAI PETANI KE PENJARA ALOR SETAR.        

Related Posts with Thumbnails