Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Monday, May 31, 2010

TANGGUNGJAWAB MARHAIN BERKAITAN JUDI

Agak lama terhenti setelah agak rakus melayan novel terbaru aku 'BILA CINTA BERISTHIKARAH' yang tidaklah banyak lagi. Kira-kira dalam tiga atau empat bab lagi akan menemui penghujung. Malam ini 31.05.2010 kepingin juga untuk berbicara isu judi yang aku kira sudah banyak blog yang membicarakannya. Sedikit berbeza aku ingin membawa perspektif yang harus dimainkan oleh golongan marhain berkaitan pemerintah yang jelas melanggar apa yang telah digariskan oleh Allah swt. 
" Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum ) khamar (arak), berjudi, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Ayat 90 Surah Al-Maidah)
Kemudian Allah swt melanjutkan lagi dalam surah yang sama ayat 91; "Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran meminum khamar (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan bersembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).
Nah! siapa berani menafikan ayat di atas. Jelas judi itu dalam apa keadaan sekali pun konteksnya hukum qate'i iaitu haram. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh membenarkannya. Lantaran kerosakan masyarakat disebabkan judi itu sendiri terlalu banyak seperti keruntuhan institusi keluarga, terjebak dengan hutang, dan yang paling menakutkan ianya jelas melanggar apa yang telah Allah gariskan.
Oleh itu alasan pemimpin yang mengatakan bagi mengelakkan perjudian haram maka diluluskan lesen tersebut bukanlah alasan yang boleh diterima. Konteks ini seolah-olah pentadbiran negara telah menghalalkan judi kerana telah 'berlesen'  
Dalam situasi berlaku sekarang. Apakah yang boleh dilakukan oleh marhain seperti kita semua. Ya! beberapa siri demonstrasi bantahan sudah dilaksanakan oleh gerakan Islam di tanah air kita. Itu salah satu daripadanya. Menzahirkan kebencian melalui bantahan.

Keduanya boleh berdoa kepada Allah minta perlindungan azab dan bala. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari ekoran kerana kelulusan lesen judi ini. Doa juga boleh dipanjatkan agar kepimpinan yang telah terkeluar dari garisan yang ditetapkan oleh Allah agar mendapat hidayah dan petunjuk.
Ketiganya, jika telah jelas ada kepimpinan yang lebih baik yang mahu menegakkan syariat dan syiar Islam. Kepimpanan yang mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah, maka jatuh wajib bagi seorang marhain yang mengaku bersyahadah agar menyokong, mendukung, membantu kepimpinan seperti ini supaya dapat memegang tampuk pemerintahan sesebuah negara.
Akhirnya saya turunkan khutbah Umar Abdul Aziz di hadapan rakyatnya, buat renungan sebagai banding beza kepimpinan yang mengikut corak Rasulullah dengan yang menolak Al-Quran dan Sunnah samada secara langsung dan tidak langsung. Jangan juga dilupakan tanggungjawab kita sebagai marhain terhadap kepimpinan yang menolak Al-Quran dan Al-Sunnah.
"Wahai manusia!, sesungguhnya tidak ada nabi selepas nabi kamu dan tidak ada kitab selepas kitab yang diturunkan untuk kamu. Justeru, apa yang dihalalkan Allah melalui lisanNYA adalah halal hingga hari kiamat dan apa yang diharamkan Allah melalui nabiNYA adalah haram hingga hari kiamat. Ingat!, aku bukan pembuat bidaah, tetapi penganut sunnah. Aku bukan yang terbaik di antara kamu, tetapi aku adalah salah seorang daripada kamu. Ketahuilah bahawa akulah yang paling berat memikul tanggungjawab. Aku cukupkan perkataanku ini, wa astaghfirullahali wa lakum.."

Thursday, May 20, 2010

PELANCARAN 'KDPPK' 15 MEI DI KUANTAN

Bagaimana mahu dimulakan?. Perjalanan agak lewat dan hampir jam 12 lebih dari Segamat. Aku dan isteri sampai Kuantan dalam jam 3 lebih. Setelah dua kali menghubungi Hajah Maimunah (JPN Pahang) dan sekali mengubungi Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Pahang Tuan Zainurin akhirnya kami menemui juga Sempurna Resort, penginapan yang disediakan oleh JPN Pahang untuk kami. Selepas asar kami menikmati kuet teaw goreng sementara menunggu maghrib untuk mencari Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisik, Kuantan. Kami dimaklumkan dewan itu bersebelahan dengan rumah MB Pahang.
Seawal dalam perjalanan sudah bersembang dengan isteri dan mengingatkan diri sendiri; siapa pun yang kita temui malam ini, mereka adalah manusia biasa yang belum tentu dapat menyelamatkan dirinya sendiri ketika berhadapan dengan Nungkar dan Nangkir nanti. Tidak ada konsep mengagungkan sesama makhluk.
Sebelum bertolak mencari Dewan yang sememangnya agak jauh dengan tempat tinggal kami, kebetulan ketika keluar bilik menemui Tokoh Guru Inovatif sekolah rendah yang juga menginap di Sempurna Resort. Dia disediakan pemandu. Akhirnya bertemu pula dengan Tokoh Guru Inovatif pra -sekolah dan kereta kami mengekorinya sehingga ke dewan SHAS.
    Akhirnya kami memasuki dewan SHAS dan Alhamdulilah dengan bantuan Cikgu Rohaya Yasin, kami diberikan tempat yang agak selesa. Walaupun begitu terasa begitu kekok kerana diberikan meja bulat yang dikhaskan bersama Tokoh Guru dan Pengetua Cemerlang.  Asalnya majlis dijadualkan berlangsung 8.30 malam. Apa pun janji Melayu tetap janji Melayu. Sebelum acara bermula dua kali pengacara majlis mengingatkan apabila tetamu VVIP iaitu TPM dan MB Pahang masuk semua hadirin diminta berdiri. Kira-kita jam 8.47 malam MB Pahang masuk dan majlis rasmi dimulai. Sah TPM tidak hadir. Selepas doa dibaca, kami semua dipersilakan menikmati jamuan sambil disajikan juga dengan nyanyian yang entah dari mana. (Aku tidak mengambil tahu sangat). Terlalu banyak lauk sehingga tidak muat meja. Pun aku dan isteri lebih menumpukan kepada lauk ikan Patin  masak lemak campur petai. Kebetulan juga tetamu lain di meja kami seperti tidak berapa menggemarinya. (masih teringat nikmatnya lauk Patin)
Selepas itu MB Pahang berucap. Rencahnya cukup puji, sindir, angkat, lambung, bagi jatuh semua ada untuk guru. Lantas seperti biasa sebagai orang politik unsur politik tetap ada tetapi aku tidak mahu mengulas di sini. Sensitif dan lucu. Kurang lebih selepas itu maka pelancaran buku pun dilaksanakan. Buku utama "Pahit Manis Di Bumi Tok Gajah", "Mendidik Tanpa Rotan" tulisan Chong Kee Pin, "Kepimpinan & Pengurusan Pendidikan Khas" (buku yang membawa aku ke sini) dan "Sekolah Pembina Modal Insan" tulisan Hamedah Wok Awang dan Normah Teh. Penulis tidak dipersilakan naik ke pentas, hanya mendengar nama pengarang, sekolah dan judul buku disebut sahaja. Berulang kali aku mengucap syukur Alhamdulilah apabila nama dan buku KDPPK disebut.
   
Kira-kira jam 10.25 malam majlis selesai. Apa pun keadaannya saya dan isteri bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang dan kesempatan berada di sini. Dalam perjalanan pulang ke Sempurna Resort telefon berdering, saya dihubungi beberapa individu yang menduduki kerusi KPM mengucapkan tahniah. Termasuk rakan-rakan yang pernah berada di Segamat kemudian ke KPM dan berada di majlis pada malam itu. Terima kasih ya Allah... Aku tetap seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa melainkan atas apa yang KAU berikan dan apa yang KAU izinkan.....

Thursday, May 6, 2010

PENGIKTIRAFAN LUAR JANGKA

Sebetulnya saya dibuai rasa tidak percaya apabila menyahut berita daripada Cik Aida yang mewakili Bahagian Pendidikan Guru KPM pada tanggal 22 April 2010. Kebetulan sedang melatih pemain-pemain takraw L15 di gelanggang SMK Teknik bagi persiapan terakhir sebelum ke Matrikulasi Tangkak esoknya (23 April 2010). Suasana dewan yang agak riuh sesekali mengacau perbualan sebelum saya mengambil tindakan keluar seketika untuk mendapatkan mood perbualan yang lebih tenteram. Seingat saya dua kali saya bertanya bagi memastikan supaya Cik Aida tidak tersilap tafsir, tersilap membaca atau lain-lain silap yang seumpamanya.
"Cuma sekarang kita hendak buku ini 10 naskah untuk VVIP" Berdegup jantung mendengar VVIP. "saya akan cuba hubungi Utusan Publications". Petangnya pemain-pemain direhatkan saya menghubungi beberapa kerat rakan di Utusan yang biasanya saya berurusan. Semuanya tidak berani membuat keputusan, al-maklumlah memerlukan 10 naskah percuma. Saya sudah tidak mampu menanggungnya, sebelum ini saya diberikan hanya sepuluh naskah percuma akan tetapi jumlah yang dihadiah sudah melebihi 20 naskah. Insyallah. Akhirnya saya dicadangkan berbincang dengan Puan Faridah Shamsudin (Pengurus Kanan Penerbitan Utusan), setelah diterangkan duduk perkara sebenar dengan secara baik. Alhamdulilah sepuluh naskah percuma selesai. Pihak Utusan sendiri menguruskan secara terus kepada KPM. Terima kasih Puan Faridah.
Isunya apa? Ya! orang selalu mengatakan saya seorang merendah diri dan itulah diri saya. Penulis kampung. Ini satu pengiktirafan luar jangka. Sebetulnya apabila surat KPM yang mempelawa guru-guru yang berkarya supaya menghantar karya untuk dinilai bagi tujuan..... , saya acuh dan tidak acuh. Tiada keyakinan langsung buku setebal 113 mukasurat boleh terpilih....  Apabila pengetua yang menghantar sendiri kepada saya dan meminta saya mengisi dan menghantar buku itu akhirnya saya akur.
Setelah hanya mendengar keputusan dan permintaan lisan Cik Aida, kelmarinnya Hajah Maimunah dari JPN Pahang memberi kesahan apabila membuat tinjauan melalui telefon bagi memastikan saya menerima kad jemputan. Semalam (05 Mei 2010) sah dan yakin, saya menerima kad cantik berlatar belakang warna coklat. Tercatat tema Hari Guru (Guru Pembina Negara Bangsa) juga ada lambang KPM, kerajaan Negeri Pahang, dicatat tentang tetamu VVIP yang hadir iaitu Menteri Pelajaran Malaysia, Menteri Besar Pahang. Alhamdulilah! isteri yang sentiasa memberi semangat saya tunjukkan kad itu. Gembiranya bukan kepalang, saya pasti membawanya bersama kerana kad untuk undangan makan malam bersama Menteri Pelajaran Malaysia diberikan dua keping. Benar! buku KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS telah terpilih untuk dilancarkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada malam 15hb Mei 2010 bertempat di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisik, Kuantan Pahang bersempena Sambutan Hari Guru ke-39 Peringkat Kebangsaan 2010. Ya! bagi penulis kampung seperti saya pengiktirafan ini besar dan luar jangka. Ya Allah! bersyukur kepadaMU atas apa yang KAU berikan kepadaku....
Related Posts with Thumbnails