Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, April 25, 2010

JIMAT ATAU ANIAYA

Bermula Jumaat 23 - 25 April 2010 berkampung semua pegawai sukan, pengadil, pengurus, jurulatih dan atlet atas nama 'Karnival Sukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia Negeri Johor'. Pusat Matrikulasi Tangkak menjadi medan tempat berkumpulnya kurang lebih seramai 3000 atlet yang datang dari seluruh pelusuk negeri Johor Darul Takzim. Apa tidaknya setiap 9 jenis permainan membabitkan tiga kategori umur iaitu !8, 15 dan 12 tahun mengikut jantina.
Seperti tahun-tahun sebelumnya saya bersama tuan Haji Azmi telah diamanahkan untuk membawa skuad takraw L15. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah perlunya penambahbaikan, bukan kritikan buta tanpa arah. Pihak atasan hanya mengatur, kami sebagai pelaksana dapat melalui, melihat keadaan dengan pancaindera sendiri. Khabarnya karnival ini diatur sebegini rupa sebagai langkah berjimat-cermat walaupun sering mendengar retorik dan laungan bombastik ekonomi negara berada dalam keadaan baik. jumlah pegawai setiap kategori juga dikurangkan daripada 3 orang kepada 2 orang
Pengangkutan setia kategori hanya sebuah kereta dibenarkan dan rakan saya yang membawa kereta juga belum menerima ongkos minyaknya sehingga tulisan ini dikarang. Para atlet dibawa dengan bas. Segalanya telah dapat dilihat dengan jelas apabila makan tengahari hari pertama yang disediakan secara buffet kelihatan agak huru-hara dengan lauk dan air yang perlu sentiasa dipantau dan diminta tambah, jika tidak anak-anak murid hanya berlauk kuah sahaja.
Keadaan bertambah buruk apabila dua buah yang disediakan untuk daerah Segamat perlu membawa semua atlet ke tempat pertandingan yang berbeza. Umpamanya sepak takraw L18 bermain di SMK Tun Mamat, L15 di SMK Ledang dan L12 bermain di Jalan Solok. Itu baru satu kategori permainan belum membabitkan lapan permainan lain yang sebahgiannya bermain di Sungai Mati. Jadual permainan yang tidak berapa kemas iaitu samada bermula atau habis tidak mengikuti masa dan agak lewat. Akibatnya murid terpaksa balik lewat ke penginapan dan apabila sampai makanan sudah habis. Cukup mengharukan apabila murid-murid yang lapar dan kepenatan memaklumkan "cikgu makanan dah habis" apabila pulang tengaharinya pada hari Sabtu sedangkan jam 2.30 petang akan bermain untuk suku akhir. Aku memandang wajah Haji Azmi, kami membeli nasi dan lauk di kedai berdekatan dan mengarahkan murid naik bas semula kerana permainan suku akhir akan berlangsung.
Aku dan Haji Azmi membawa nasi ke SMK Ledang dan cukup memilukan apabila memandang wajah pemain-pemain kami saat sampai mereka berkata :" Cikgu dah panggil main suku akhir! " Sekali lagi aku dan Haji Azmi berpandangan sambil terasa ada beban berat menghempap kepala kami. Pemain-pemain kami masuk gelanggang dan bertarung dalam keadaan lapar dan letih. Namun ini bukan alasan kami tewas tapi penjimatan sebegini cukup menganiayakan.
Bukan setakat berakhir di situ. Habis pertandingan itu mereka makan nasi yang dibeli tadi, simpati menikam dada waktu itu sudah jam 4 petang. Pukul 5 lebih bas datang dan kesemua pemain setiap kategori dibawa minum dan makan roti canai, ihsan Encik Nasir.
Pulang sebelum maghrib , kami telah meminta murid-murid makan. Selepas maghrib bertanya murid-murid sudah selesai makan atau belum. Satu lagi jawapan yang cukup menyedihkan. "Cikgu! ambil nasi tak boleh makan cikgu. Lauk ayam dah busuk. Baunya melekat kat tangan! Buang saja cikgu! tak boleh makan!" (apa tidaknya pengusaha yang terlibat perlu menyediakan makanan sarapan, tengahari, malam untuk 3000 orang atlet.
Lalu aku dan Haji Azmi tiada pilihan lain. Kami memandang mereka seperti anak-anak kami sendiri dan sangat menyayangi mereka. Berbekal modal yang kami ada membelikan kesemuanya roti berinti kacang beberapa bungkus. Kami bukan usahawan atau ahli-ahli politik yang punya banyak wang, kami makan gaji. kalau kami kaya raya kami akan bawa mereka semua keluar makan. Insyallah.
Tulisan ini hanya meminta semua pihak yang terlibat membuka mata dan minda. jika menyusun sesuatu program pastikan kebajikan budak-budak diutamakan. Kita memang dituntut berjimat tetapi bukan menganiaya. Ada lebih baik sekiranya sukan negeri ini dibuat seperti tahun sebelumnya dengan satu daerah menjadi tuan rumah untuk satu jenis permainan, lebih kemas dan teratur.
Sebelum pulang saya memerhati sekitar matrikulasi Tangkak yang kotor dengan bekas palstik makanan dan minuman di merata tempat terutamanya di tangga. Teringat malam tadi kelihatan juga atlet yang berpasangan duduk berhimpit di tangga. Yang di depan mata sudah ditegur namun ada juga maklumat mengatakan bebudak ini berpasangan sehingga ke tempat-tempat tersembunyi dalam kawasan Matrikulasi ini. Jangan ada sekolah yang dapat cucu sebelum waktu. Nauzubillah.
Ketika kereta bergerak saya juga teringatkan tandas dan bilik mandi yang ada paipnya tidak boleh ditutup, dan ada air najis berladung dek tersumbat.  Sedikit penjimatan yang tidak seberapa tetapi memakan korban yang besar iaitu cukup menganiaya anak-anak didik kami. Jika ini keadaannya bagaimana sukan kita hendak ke tahap antarabangsa. Ini baru peringkat negeri. Kata orang Jepun 'kalau satu sen tidak boleh jaga, bagaimana hendak menjaga satu juta' Semuga slogan 'Rakyat di dahulukan Pencapaian Diutamakan' tidak menjadi retorik yang menjadi hampas kelapa yang dimakan merbuk....

Sunday, April 18, 2010

ISU DAN CABARAN SEBAGAI GURU PENDIDIKAN KHAS

Setelah buku 'KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS'(KDPPK) mula tersebar kepada golongan pengkaji, pengamal dan pelaksana yang terbabit dengan anak-anak khas ini, sebahagiannya mula merujuk saya melalui FB. Alhamduilah pandangan yang diberikan banyak meniup bara semangat untuk terus menulis siri 2 (KDPPK). Antara yang memberikan maklum balas; Hriah, Maisarah, Cik Suri (maaf sekadar menyebut 3 nama yg dapat diingati) dan semuanya melalui jaringan FB. Alhamdulilah, buku itu dikatakan dapat membantu memperkemas dan melicinkan sistem pengurusan sesebuah sekolah. Segala puji bagi Allah dan RasulNYA. 
Agak mengejutkan di sesetengah sekolah infrastruktur Pendidikan Khas jauh ketinggalan. Bukan sahaja di Sabah dan Sarawak malahan ada juga sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia. Walaupun kita bakal menyambut angka kemerdekaan ke 53 tahun Ogos nanti. Secara logiknya dengan keadaan sekarang masalah infrastruktur sepatutnya sudah tidak wujud. Sedih dan terkilan menikam dada. Membayangkan wajah-wajah ahli syurga yang bersama saya kerana tidak dapat membayangkan murid-murid yang dididik oleh rakan-rakan sealiran di sekolah lain. Saya tidak ingin mengulas panjang kerana tentunya ada pihak yang boleh menjawab dan membuat penambahbaikan terhadap perkara ini.
Masalah lain yang dirujuk merupakan masalah lazim di mana konflik dengan pentadbir berkaitan pengurusan kewangan untuk membuat program bersama anak-anak ini. Sedih juga merajai jiwa apabila ada pihak pentadbir sekolah yang begitu berkira berkaitan duit LPBT dan lain-lain peruntukan untuk anak-anak ini. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sukar untuk membuat satu pandangan yang tepat kerana seperti yang dijelaskan dalam bab 4 buku KDPPK bahawa seseorang Penyelaras Pendidikan Khas harus bijaksana dalam menjaga hubungan dengan pentadbir sekolah. Tipsnya mudah, buktikan program berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Permohonan kewangan yang membabitkan angka yang agak kasar harus disertai dengan kertas kerja (bab kertas kerja juga telah saya sediakan dalam buku KDPKK).
Begitu juga hal berkaitan terpaksa terbabit dengan aktiviti murid-murid aliran perdana. Ini juga sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana guru-guru masih perlu menyumbang dalam aspek kokurikulum seperti permainan, kelab, rumah sukan dan lain-lain yang berkaitan. Juga ada saya sebutkan dalam buku ini bahawa pengalaman bersama murid-murid aliran perdana boleh diaplikasikan kepada murid-murid khas mengikut kesesuaian. Tidak ada mana-mana pekeliling yang menyatakan guru Pendidikan Khas tidak boleh terlibat dengan murid-murid aliran perdana. Yang jelas tidak boleh masuk mengajar aliran perdana.
Hal lain yang turut menjadi persoalan; persepsi negatif guru-guru aliran perdana terhadap guru-guru Pendidikan Khas. Kenyataan yang tidak selesa untuk didengar ialah kerja mudah elaun besar!. Persepsi begini timbul barangkali kelesuan program di sesebuah sekolah. Penyelaras dan anak-anak buahnya harus cekap dan buktikan dengan kejayaan murid-murid seperti contohnya kelas-kelas yang membabitkan kemahiran seperti pertanian, masakan, pertukangan dan lain-lain. Buat satu produk sehingga boleh dipasarkan dan dapat dijamin kualitinya. Jika segalanya telah dibuktikan dengan sempurna masih juga ada tanggapan negatif, pelawa guru-guru aliran perdana untuk mengajar atau paling tidak sebagai guru ganti jika ada guru Pendidikan Khas yang terpaksa cuti.
Rakan-rakan sekalian berbaktilah kepada anak-anak khas ini selagi ada hayat dengan sebaik mungkin. Saya memohon maaf kepada sebahagian rakan-rakan yang persoalannya tidak dapat dijawab dengan baik atau jawapan saya tidak menepati kehendak rakan-rakan. Saya hanya berkongsi pengalaman dan cuba memberikan 'sesuatu' yang saya rasa bermanafaat. Kepada semua pembeli yang masih belum menerima buku ini (tempahan di FB), saya mohon maaf dan saya akan cuba poskan secepat mungkin. Ingatlah kita semua belum tentu ke syurga tapi sekurang-kurangnya kita telah bersama 'ahli-ahli syurga di atas dunia'...

Thursday, April 15, 2010

MEMBEZAKAN TANGGUNGJAWAB DAN "JASA"


Kepimpinan berkait rapat dengan sistem. Sistem itu alat. Pemimpin bergerak berasaskan sistem. Sistem itu sifatnya berubah kecuali jika sistem yang dipilih berasaskan Al-Quran dan Hadith. Sistem itu akan menjadi syumul dan sesuai di semua keadaan. Malangnya hari ini keadaan dipaksa mengikut Al-Quran. Penulis barat sendiri seperti Stephen Covey, Edward De Bono mengakui bahawa sistem yang baik jika bukan diuruskan oleh kepimpinan yang cemerlang, ianya tidak akan mencapai target.
Bagaimana hebat sekali pun tulisan sarjana-sarjana barat berkaitan sistem dan kepimpinan ianya masih tidak dapat menandingi tokoh-tokoh Islam yang menulis tentang kepimpinan dan sistem. Misalnya Ibnu Taimiyah yang merakam tentang kepimpinan dalam kitabnya 'Peradaban Politik Islam'(PPI). Ini adalah tokoh-tokoh Islam yang menulis berasaskan pengalaman dan bersumberkan Al-Quran dan Hadith.
Perbandingan di atas sekadar untuk membuka minda berkaitan tanggungjawab pemerintah dalam sistem pentadbiran sesebuah negara. Seringkali kita tersentak dengan hujah-hujah yang mengaitkan 'jasa' pemerintah kepada rakyat. Walhal pemerintah bertanggungjawab, menunaikan amanah ke atas hak dan segala tuntutan keperluan rakyatnya walau pun sekecil-kecil perkara. Apatah lagi hal-hal besar dalam urus tadbir negara yang membabitkan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kemudahan jalan raya, hospital dan segala-galanya. Ini adalah satu amanah yang harus dilaksanakan oleh pemerintah kerana pemerintah dibayar gaji oleh rakyat. Ibnu Taimiyah menggariskan dalam kitab (PPI) dalam halaman 11 "hendaklah dipilih orang yang paling sesuai untuk menempati setiap jabatan yang ada. Sesungguhnya untuk menempati sebuah posisi (kedudukan) tertentu hendaknya memnuhi dua kriteria berikut; quwwah (kekuatan) dan amanat (jujur dan dapat dipercayai). Sebagaimana Firman Allah " kerana sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil untuk (bekerja kepada kita) adalah orang yang kuat lagi dipercayai." (Al-Qashah:26) 
Pilihan utamanya tentulah orang yang kuat, jujur dan amanah.Ertinya tidak terbabit dengan rasuah, penyelewengan kuasa untuk kepentingan peribadi. Terkejut selalunya dengan hujah-hujah dangkal yang mengaitkan generasi baru yang agak berpendidikan apabila memberi pandangan dan teguran, meski teguran itu benar berkaitan hal-hal urus tadbir negara tidak diterima dengan lapang dada. Sebaliknya generasi baru ini sering dilempar dengan kata-kata tidak 'mengenang jasa'. Kononnya satu ketika dahulu mereka berupaya menjejakkan kaki ke menara gading kerana 'jasa' pemerintah. Ada ketikanya agak lucu. Lazimnya ini berlaku dalam keadaan berhujah atau bertukar pendapat. Terutama jika hujah generasi baru tidak dapat dipatahkan oleh pihak tertentu, maka akan diungkit dengan mengaitkan 'jasa'


Sewajarnya apa parti pun yang terpilih untuk memerintah harus sedar amanah itu diberikan oleh rakyat untuk urus tadbir negara dan pembangunan material dan rohani adalah satu amanah dan bukan bersifat jasa. Maju mundur sesuatu negara adalah berasaskan sejauh mana negara itu melahirkan cerdik pandai. Pendidikan seperti menjadi akar tunjang atau boleh juga disebut sebagai kayu ukur ketamadunan sesuatu bangsa dan negara.
Konteks jasa biasanya tidak membabitkan imbuhan. Sesuatu yang dilaksanakan tanpa mendapat ganjaran, barulah boleh dianggap jasa. Namun jika sebaliknya di mana ada ganjaran yang diterima itu bukanlah jasa namanya, Seharusnya dalam menuju angka kemerdekaan yang ke 53 menjelang Ogos nanti, kita semua sudah dapat membezakan antara tanggungjawab dan jasa. Janganlah sering mengungkit bahawa kebijaksanaan anak muda hari ini adalah jasa pemerintah. Itu adalah amanah dan tanggungjawab pemerintah yang dibayar oleh rakyat.....

Monday, April 12, 2010

Di Sebalik Tabir KEPIMPINAN & PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS

Segalanya bermula November 2007 selepas isu tahan kerja dicadangkan kepada aku ekoran terlibat kemalangan jalan raya yang menggegarkan dunia pendidikan tanah air. Dua pelajar terkorban dan aku sebagai pemandu, walau pun Izrail masuk ke kereta tapi bukan giliran aku. Turut terselamat dua pelajar Melayu. Kejadian berlaku ketika pulang dari Johor Bahru ke Segamat selepas usai latihan pusat untuk ke peringkat kebangsaan. (aku dilantik jurulatih Johor kerana Segamat johan bagi peringkat negeri.)
Perjalanan yang panjang dengan ujian yang agak hebat namun kerana ujian itulah aku menikmati kemanisan berdoa. Tanpa memanjangkan isu itu (sensitif), aku telah dibela oleh pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) atau singkatan Inggerisnya (NUTP). Aku telah menulis artikel di dalam Buletin KPPK, di mana artikel itu ditulis dengan jujur dan benar. Insyallah. Tidak juga mahu mengulas tentang artikel yang dianggap menampar wajah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Pengarah Pelajaran Johor dan Pegawai Pelajaran Daerah Segamat. (Barangkali sebahagian guru sudah membacanya). Selepas artikel itu tersiar, Tuan Pengarah Pelajaran Johor telah mencadangkan aku ditahan kerja. Allah!! ketika itu hanya DIA yang tahu tentang perasaan. Berhadapan dengan kes 41 (1), turun naik mahkamah, terbeban pula oleh cadangan tahan kerja. Sekiranya tewas kes di mahkamah itu, harus aku akan merasa kehidupan dunia penjara dan tindakan dibuang kerja. Biarlah! Segalanya telah berlalu. Barangkali sekiranya Allah mengizinkan  aku akan menulis sejarah hari terakhirku di mahkamah Kluang.   
Bila isu tahan kerja mula tersebar dan kami sekeluarga berdebar menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib. Aku tidak ada pilihan lain. Apa yang aku tahu selain berfikir, membaca dan menulis. Novel terkini RENGSA cetakan 2006 pun sudah agak lama.Aku tidak ada karya baru. Aku akui waktu itu tidak dapat tidur malam, sering memandang wajah-wajah putera-puteri, isteri waktu malam serta memikirkan nasib ibuku jika aku ditahan kerja.
Aku ingin menulis novel baru ketika itu tetapi ada seorang sahabat mencadangkan agar aku menulis buku Pendidikan Khas. Aku masih ingat katanya " andainya kau kalah! kau akan meninggalkan sesuatu yang bermakna dalam dunia Pendidikan Khas kita, tapi aku harap dan doakan kau akan menang!"  Ya! warung tepi jalan di Buloh Kasap, angin petang seakan menyampaikan restu dengan ungkapan itu.
Sepanjang cuti sekolah hujung tahun 2007, aku banyak bersengkang mata melayan buku ini. Menyusun, mencari bahan, merujuk dan kajian. Bil telefon bimbit dihabiskan menghubungi pensyarah-pensyarah yang pernah mendidikku di UKM. Apa yang harus kutuangkan dalam KDPPK itu. Ya! bermunajat memohon Allah memberikan petunjuk dan ilham.
Akhirnya dapat. Tidak ada satu sistem pun yang solid untuk menguruskan Pendidikan Khas di sesebuah sekolah, segalanya mengikut kesesuaian dan kreativiti seseorang penyelaras Pendidikan Khas. pengalaman selama 9 tahun menjadi penyelaras dan bolehlah dianggap SMK Gemereh berjaya dalam pengurusan dengan pelbagai anugerah telah diterima Unit Pendidikan Khas SMKG daripada pelbagai pihak. Kenapa tidak aku kongsikan segalanya di dalam buku itu. Begitu ramai penyelaras baru datang untuk mencedok segala pengurusan fail, buku panduan tugas di sekolahku. (tidak bermaksud menunjuk-nunjuk. Insyallah dengan izin Allah swt.)
Bermula dengan bab 1, sejarah sepintas lalu Pendidikan Khas Di Malaysia, kemudian melewati bab 2 Ciri-ciri Kanak-kanak Masalah Pembelajaran, seterusnya aku memperincikan Tanggungjawab Seorang Penyelaras Pendidikan Khas di bab 3. Hari terus berlalu dan idea terus datang mencurah-curah walaupun agak perit menyusunnya berbanding karya kreatif seperti novel. Bab 4 aku mengkaji buku-buku kepimpinan Ibnu Taimiyah, Stephen R.Covey, Ayob Jantan, Edward de Bono. Digaul dan diadun berasaskan pengalaman mengurus Pendidikan Khas di SMKG akhirnya selesai. Januari 2008 menampakkan wajah, pengetua mengarahkan aku ke sekolah kerana tidak ada apa-apa surat pengesahan dari Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Pelajaran Malaysia. Sementara setiausaha agung KPPK Miss Loke Yim Pheng berjanji sebelum ini akan bertemu dengan Tan Sri Zulkarnain Awang iaitu Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mempertahankan aku dalam hal ini. Satu pagi 12 Febuari 2008 Hajah Muriatun(Pengetua) memanggil aku masuk ke biliknya, kebetulan juga aku mahu memulangkan buku PIPP yang aku pinjam untuk rujukan menghasilkan KDPPK.  Hajjah   dengan wajah yang berseri-seri menyampaikan sesuatu kepada aku. Dibacakan surat dari Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang dihantar kepada Yang. Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang (Salinan kepada pihak sekolah) yang menyatakan  aku ”tidak dikenakan perintah tahan kerja”.  Ertinya cadangan bekas Pengarah Pelajaran Johor (sekarang sudah bersara) telah ditolak oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Terasa hendak menangis pun ada. Apa pun sujud syukur kepada yang Maha Esa. Buku terus bergerak. Bab 5 agak ringan kerana aku mengemaskini segala pengurusan dan meletakkannya dalam buku itu. Segalanya hanya diisi dengan pengalaman aku mengurus Pendidikan Khas di SMK Gemereh. Pejam celik, siaplah buku itu dan aku menghubungi Kak Noarazah (Utusan). Setelah disemak, aku perlu memperbaiki beberapa perkara berkaitan nota kaki, contoh-contoh yang perlu disertakan dalam setiap huraian berkaitan kepimpinan di bab 4. Selama beberapa bulan lagi aku memerah fikir, membetulkan mana yang sumpik, mengemaskan mana yang berselerak. Tambah gembira apabila dalam tahun sama 2008 Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas, KPM bersetuju untuk memberikan Prakata. Alhamdulilah segalanya berjalan dengan baik. Cuma sayangnya buku ini terbit 2010, Puan Azizah Ghani (TKP) telah pencen kerana itulah pada Prakata diletakkan perkataan Mantan pada namanya. Aku berharap buku ini, kalau pun bukan yang terbaik, biarlah bisa menjadi panduan untuk seseorang Guru Pendidikan Khas mengurus dan mentadbir Pendidikan Khas di sesebuah sekolah. Sistem akan berubah ke arah yang lebih baik dan tidak ada sistem yang paling syumul melainkan Al-Quran dan Sunnah.
Setelah merentasi segala-galanya. Allah telah memulangkan segala kepahitan menjadi kemanisan. Buku telah siap dicetak, berada di pasaran. Aku terus mengajar anak-anak Khas tanpa ada sebarang tindakan tatatertib. Ya! Allah KAU yang memberi ujian!. KAU jua yang memberi kemenangan. Insyallah jika diizinkan aku akan berkongsi pengalamanku turun naik mahkamah Kluang sehingga hari terakhir...

Saturday, April 10, 2010

24 TAHUN SESUDAH MEMALI BERLALU

Entah! rasanya telah berfikir panjang untuk berkongsi lara dan pilu jiwa di blog yang dihadiah sahabat ini.
"jangan tulis! ada risiko" kata seorang sahabat bila aku mengusulkan untuk meletakkan isu ini di blog. Apalah yang hendak ditakutkan selama merasa Allah akan melindungi kehidupan kita. Mana lagi hendak kita pergi. Hidup tujuannya mati. Takut untuk berbicara kebenaran???. Tidak.
Bermula aku meragau segala data dan foto berkaitan FB Para Syuhada Memali sambil mengenang satu ketika dahulu aku mendapat maklumat berkaitan Ibrahim Libya: berbelas tahun dulu melalui Ridzuan pelajar Sains Politik berasal dari Kedah yang sebilik denganku semasa merentasi alam kampus. Tidak sejelas ini bila zaman teknologi semakin memakan kebatilan secara tidak langsung. Sebentar tadi airmataku tumpah lagi. Sungguh! ini bukan yang pertama setelah beberapa kali memesrai ucapan  Ibrahim Libya (FB Para Syuhada Memali) dan video lagu untuk Memali melalui FB Syah Mi.
(untuk mendengar ucapan dan lagu itu boleh ke FB- Pujangga Seni dan boleh juga ke FB -Syah Mi -maaf masih peringkat belajar mengurus blog) Sehingga catatan ini dibuat aku masih berlatar belakangkan  lagu dari FB Syah Mi

  Kita sama sekali tidak dapat meminda takdir. Namun terfikir juga di persada akal, apakah tidak ada kaedah lain dalam menyelesaikan isu ini. Tidak bolehkah dikepung dan ditangkap hidup-hidup dan kemudian didakwa jika benar As-Syahid Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya ada melakukan kesalahan mengikut lunas perundangan negara. Apa perlunya kereta kebal dan senjata berat untuk menentang As-Syahid Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya. Seratus hari selepas kembalinya ke sisi Allah berlaku sesuatu dalam pentadbiran negara, bila orang no 2 meletakkan jawatan. 
Secara peribadinya apa pun parti yang diperjuangkan Ibrahim Libya, ini bukanlah kaedah yang bijaksana. Apatah lagi gerakan yang diperjuangkan lebih kepada berkiblatkan Al-Quran, Hadith dan Sunnah. Mendengar ucapannya 
menyemarakkan semangat perjuangan, menebalkan rasa kecintaan kepada Allah dan RasulNYA. Aku tidak ingin mengulas pasukan mana yang terbabit, jumlah tentera dan polis ke sana, peringkat awalnya operasi apakah yang dimaklumkan kepada pihak keselamatan. Segalanya boleh dimiliki di FB Para Syuhada Memali.
Natijahnya kita belajar bahawa kebenaran tidak dapat disembunyikan. Meski segalanya telah 24 tahun berlalu, semakin jauh kita meninggalkan peristiwa Memali semakin kebenaran terbukti melalui perkembangan zaman IT ini. Sungguh sambil mengesat airmata ini lirik lagu Syah Mi terus berkumandang 
" Tragedi Memali jangan pernah dilupakan. 
Tragedi Memali jangan mudah memaafkan, 
pembunuhan kejam itu...
di manakah keadilan untuk para syuhada ini
 di manakah pembelaan untuk mereka.....
"Kami yang masih hidup di bumi ini, 
akan terus mengenang dan memuja keberanianmu
pengorbananmu, para syuhada, para syuhada, syuhada....
Untuk kesekian kalinya airmataku terus meluncur laju sambil disaksi oleh putera puteriku....

Friday, April 9, 2010

ADAM BIKIN GEMPAR

Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) meninggalkan sesuatu yang tidak mungkin aku dan isteri lupakan sepanjang hayat kami. Tarikh 20 Mac 2010 kami bertolak dari Kuala Selangor kira-kira jam 11 pagi dengan ghairah yang membara untuk melihat buku terbaruku seperti yang dijanjikan Utusan Publications. Kami sampai ketika suasana begitu meriah dengan ramai pengunjung berlegar dan memenuhi PWTC.
Tiga empat kali menghubungi wakil Utusan, akhirnya bertemu juga dengan gerai Utusan. Sebal, keciwa dan terluka bila dimaklumkan buku terbaru (Pendidikan Khas) masih belum siap dicetak. Memujuk perasaan yang jengkel, kami akhirnya berputar-putar cuba mencari buku-buku yang boleh dijadikan koleksi. Sebelum itu membelek-belek juga novel RENGSA yang teratur di rak jualan.
Setelah membeli beberapa buku kami bergerak ke gerai DBP. Melihat novel-novel lama dijual dengan harga serendah RM3 sahaja. Tiba-tiba isteri yang sebelum ini mendahului saya, bertanya "Adam ada!" Pertanyaan itu berbaur resah dengan wajah cemas. Aku menggelengkan kepala.
Adam hilang dari kami. Akhirnya hampir satu jam kami dibelit resah, bimbang dan pelbagai rasa. Aku memanjat tangga memandang ke kawasan seluas yang dapat namun kelibat Adam tidak kelihatan. Putera kedua berusia lapan tahun. Teringat keletahnya. Apakah Allah hanya meminjamkan Adam seketika sahaja untuk kami. Aku berdoa dalam hati "Ya! Allah jika benar setakat ini sahaja Adam akan bersama kami, KAU ambillah. Sekiranya benar KAU masih mengizinkan dia bersama kami, pulangkanlah Ya! Allah." Lima belas minit selepas itu terdengar pengumuman "Sesiapa yang kehilangan anak bernama........"
Aku bergegas ke sana. Adam menyapu airmata. Aku bersyukur dan memuji Allah. KAU yang memberi!, KAU yang mengambil! KAU yang memulangkannya.
Kami pulang ke Segamat petang itu dengan pelbagai rasa dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan. 

Thursday, April 8, 2010

CATATAN PENUH EMOSI UNTUK ZAID AKHTAR

Di mana mahu kumulakan. Secara jujurnya penulis kampung seperti aku yang tidak begitu cekap dengan IT, baru belajar berfacebook. Ya! sewaktu aku menuntut di kampus dahulu perkembangan dunia teknologi tidak sedemikian hebat dan meriah. Telefon bimbit begitu mahal tidak semurah sekarang. Blog sudah ada tetapi yang memilikinya boleh dibilang dengan jari.
Sedemikian lama aku masih terus menulis tanpa blog . Apabila tamat pengajian sekitar 1998, aku baru belajar melayari internet. Beberapa tahun kemudian teruja dengan blog rakan-rakan penulis. Aku pernah dikatakan oleh seseorang sahabat 'taksub Faisal Tehrani', hanya kerana kegemaran melayari blog aset intelek muda negara Malaysia itu. Pernah cuba 'memandai-mandai' untuk menghasilkan blog. Hasilnya hampas. Barangkali segelintir pembaca akan menganggap kenyataan jujur ini jelas membuktikan kejahilan penulisnya tentang IT dan aku mengakuinya secara ikhlas.
   Seperti catatan pertama ringkas di blog ini. 6 April 2010, aku dianugerahkan oleh Allah dengan blog ini  melalui hadiah seorang sahabat bernama Zaid Akhtar. Aku masih ingat malam pulang dari pameran buku PWTC (hari sekolah, rombongan SMK Agama Segamat)  dialah yang membawa pulang 120 nashkah buku terbaruku berjudul KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS. Kami bertemu sekitar jam 10.30 malam, menikmati nasi goreng dalam deretan warung makan di Bandar Putra, Segamat. Selepas menghadiahi buku itu Zaid ada mengungkapkan "kau perlu ada blog untuk promosi buku kau". Aku mengiyakannya dengan menganggukkan kepala sambil angin malam seakan menyindir diri 'bahawa aku penulis yang sering tertinggal"
  Sehinggalah malam 6 April 2010 seperti catatan pertama. Zaid menghubungi aku dalam arlogi 9 lebih saat sejadah baru terbaring di atas lantai untuk Isyak. Aku menjawabnya kerana belum memulakan solat. Apabila diberitahu bahawa aku mahu bersolat, dia meminta aku online (FB) selepas selesai menunaikan tanggungjawab kepada Allah itu,  bingkas aku membuka FB. Online. Chatting.
"Aku ada hadiah sikit untuk kau!" (zaid)
"Allah! Zaid! Zaid!"(aku)
"he he he"(zaid)
"Apa dia!"(aku)
"aku dah buat blog untuk kau!"(zaid)
Terasa jantungku berhenti sebentar. Emosi, gembira tunda-menunda di dalam diri. Selepas memberikan email dan password. Aku mula membuka blog ini. Ya! Allah seperti sibuta mendapat tongkat! Sipengembara menemui atlas.
Zaid! Terima kasih. Semuga Allah membalas kebaikan anta di dunia dan akhirat. Insyallah blog ini akan digunakan untuk Gerakan Islam, Pembelaan Anak-anak Khas dan segala yang menjadi keredhaan RabbulJalil. Insyallah.
Sesungguhnya catatan penuh emosi didedikasikan untuk hamba Allah yang bergelar Zaid Akhtar.

Tuesday, April 6, 2010

SATU PERMULAAN; PERJALANAN MAYA SIBER

Segalanya dipulangkan kepada Saudara Zaid Akhtar. Berlaku begitu pantas. Saat sejadah terhampar untuk solat Isyak.Miss call dari Zaid membuatkan aku menghubunginya semula. Usai solat kami berurusan di FB. Rupanya aku dihadiahkan blog ini. Terima kasih Rabbulizzati. Terima kasih Zaid Akhtar.
Related Posts with Thumbnails