Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, July 15, 2012

SURAT TERBUKA KEPADA DS NAJIB TUN RAZAK DAN TUAN GURU DATO SERI HAJI HADI ABDUL AWANG: ISLAM, MELAYU DAN MASA DEPAN?




Segala puji bagi Allah dan Rasul-NYA,
                DS Najib & Tuan Guru Hadi Awang.
                Agak berat untuk saya menulis tajuk ini selepas diberikan peluang oleh Allah swt ke Putrajaya. (Anak seluang mengharung laut). Sesudah hampir dua tahun berada di sini. Asimilasi dan pengalaman pergaulan di semua peringkat dari ‘atas’ sampai ke akar umbi menyebabkan saya mengakui ‘bukan mudah mengurus tadbir sesebuah negara’ . Saya hanyalah rakyat Malaysia biasa yang cintakan agama, bangsa dan tanah air kerana saya tahu cucu cicit saya tidak akan ada tanah lain selain MALAYSIA (walaupun khabarnya tanah rizab Melayu yang asalnya ada 3 juta hektar dan kini hanya tinggal 1.7 hektar selepas melebihi 50 tahun kemerdekaan. Bayangkan apa yang berbaki selepas 50 tahun akan datang atau mungkin tidak sampai 50 tahun?)  Saya bukan seorang ekstremis tetapi sama seperti yang lain ingin melihat Islam diletakkan di tempat yang sepatutnya dan hak kaum majoriti tidak diganggu gugah. (diganggu gugah kerana usaha mempertahankan dan merebut kuasa)
                 DS Najib,
                Tentang program mesra rakyat dan segala bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan memerintah hari ini dengan jenama satu Malaysia tidak dapat dinafikan manafaatnya. Manafaat dari satu sudut kehidupan, keperluan material. Namun sekadar bantuan berbentuk material belum tentu boleh mencairkan kerohanian, pemikiran dan kehendak rakyat hari ini yang ingin melihat kepimpinan yang mempunyai nilai-nilai murni, berilmu, beramal berasaskan kehendak Allah dan Rasul-NYA. Manusia perlukan agama untuk pengisian kerohanian juga perlukan material bagi meneruskan kehidupan. Beringatlah! Melayu tanpa Islam tidak boleh menjadi lesen ke syurga tetapi Islam tanpa Melayu boleh menembusi syurga untuk kehidupan sesudah kematian. Justeru keperluan agama perlu menjadi tunjang dan dasar kepada pimpinan dan kepada yang dipimpin tanpa menafikan kepentingan bangsa.
                DS Najib & Tuan Guru Haji Hadi,
                 Jika diamati perkembangan politik di Timur Tengah, jelas rakyat dunia Islam hari ini mahukan kepimpinan yang partinya berasaskan Quran dan Hadith. Kemenangan Ikhwan di Mesir (selepas 83 tahun kematian Hasan Al-Banna sebagai pengasas Ikhwanul Muslimun) dengan Muhammad Morsi diangkat memegang jawatan presiden jelas menunjukkan pendakian graf kepimpinan yang berasaskan Islam. Oleh itu PAS punya potensi yang besar berasaskan situasi semasa. Namun jika PAS gagal untuk menjadi dominan, ianya ada ‘impak yang tersendiri’ kepada Melayu-Islam di Malaysia. 


                Di tanah air kita PAS berdiri dengan dasar Al-Quran Hadith dan saf kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi dapat mempamerkan nilai-nilai murni yang baik tetapi belum diberi peluang menerajui Negara. Namun ada banyak faktor timbang tara yang lain yang harus menjadikan PAS perlu lebih berhati-hati. Manakala UMNO pula perlu mempergiat usaha nilai-nilai murni (akhlak sebagai pemimpin Islam yang mampu menjadi imam, membaca khutbah, amanah, cekap dan bukan semata-mata bersifat material) sebagai kepimpinan. Malaysia punya pola politik yang berbeza dengan Mesir dengan kepelbagaian kaum yang mewarnai kehidupan di sini, hasil dasar-dasar British dahulu.  Apabila kaum majoriti berbelah maka akan ada ruang yang ditinggalkan samada secara sedar mahu pun tidak. Di satu pihak berusaha mendapatkan kuasa dan di satu pihak pula berusaha mempertahankan kuasa. Melalui usaha ini ada kelompongan yang ditinggalkan bagi mencapai cita-cita tersebut (semak secara teliti apa yang telah ‘diberikan’ kepada ‘orang lain’ samada secara sedar atau tidak sedar dalam pelbagai aspek.) Kelompongan berbentuk ruang itu dipergunakan oleh ‘orang lain’ untuk memenuhi tuntutan mereka (pandangan ini dipersetujui oleh Tun Dr. Mahathir dan blogger popular MSO; Mohd Sayuti Omar)  Jika tiada satu usaha dan rasa murni untuk memahami situasi politik hari ini yang menjadikan mereka yang beragama Islam dalam situasi 50 -50, tidak mustahil kuasa itu hanya akan ada pada nama sahaja akan hilang dari kedua-dua parti tersebut tanpa sedar. (bagaimana pun jika kesepaduan terbina di antara keduanya berasaskan kehendak Al-Quran dan Hadith ianya boleh menjadi tambah nilai atau memperkukuh Islam dan bangsa itu sendiri)
                DS Najib & Tuan Guru Haji Hadi,
                Saya tahu bukan mudah untuk menyatukan pandangan dan pemikiran kepimpinan yang pelbagai.
                PENYATUAN – pernah dibangkitkan tetapi tidak mudah dilaksana kerana dasar parti, cara hidup, parti yang sedang berkuasa, parti yang sedang berusaha mengambil kuasa tentunya punya pandangan yang berbeza. Carilah titik pertemuan tanpa mengkesampingkan dasar Al Quran dan Hadith. Kepimpinan atas umpama imam yang diikuti oleh makmum, jika ke longkang jalannya maka ke longkanglah cucu cicit kita nanti. Penyatuan tidak semesti dengan penggabungan kedua-dua parti atau penjenamaan semula (tapi jika mampu menjadi satu parti itu lebih baik walaupun saya kira itu terlalu sukar untuk dilakukan: meski pada satu ketika tulisan di blog ini saya sendiri tidak bersetuju dengan penggabungan)  Hari ini saya tidak lagi melihat konsep penyatuan samada dari segi idea, pelaksanaan, kesefahaman. Masing-masing sibuk mencari kelemahan sesama untuk meyakinkan kepada rakyat, masing-masing terbaik. Apabila banyak kelemahan yang didedahkan maka ‘orang lain’ lebih mudah nampak kita sebenarnya ROSAK.
                SENSITIVITI – Lewat akhir-akhir ini saya lihat kita seperti telah terbius kerana kuasa. Tidak seperti zaman Natrah. (kaji sejarah Natrah) Mudah bangkit apabila sensitiviti agama dibangkitkan. Contoh terbaru apabila YB Ayub Rahmat ADUN Kemelah mencadangkan hudud dilaksanakan di negeri Johor (Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong sekiranya Johor berjaya memulakannya). Ada pemimpin parti komponen BN yang menuduh ‘Adun UMNO hilang akal’. Saya tidak melihat adanya kebangkitan atau menzahirkan rasa tersinggung dengan kenyataan tersebut. (entah kerana menjaga hati atau bimbang kehilangan pengundi bukan Melayu)  Bayangkan jika kenyataan yang bersifat sedemikian dizahirkan oleh kita kepada pihak mereka (kita tidak melakukannya kerana Islam tidak mengajar kita berbuat demikian), saya kira sudah tentu ada bantahan kerana ianya membabitkan rasa kepercayaan kerohanian yang menjadi tunjang kehidupan.
                MERENUNGI NEGARA JIRAN – Pejamkan mata dan lihat di mana saudara-saudara kita di negeri jiran yang menjadi bangsa minoriti di sesebuah Negara. Apakah nasib mereka. Termasuk di Rohingya. Kita bersyukur kerana kita memiliki majoriti di sini dan asas Islam tentunya yang menyuluh kesejahteraan kerana perlu berlaku adil dan tidak berlaku kejam.  Akibat terpecahnya kaum majoriti barangkali tidak mustahil sejarah itu menyeberang sempadan ke arah kita. Nauzubillah…. (Moga Allah! melindungi kita semua dari dizalimi dan menzalimi)
                 
              

                DS Najib & Tuan Guru Haji Hadi,
                PILIHANRAYA UMUM KE 13 - Ramai yang tidak sabar menanti pilihanraya umum ke 13 dengan pelbagai harapan dan andaian. Entah secara jujur, tiba-tiba saya berasa ngeri dengan pilihanraya umum ke 13. Tan Sri Mahyuddin pernah melaungkan “hidup mati BN ditentukan dalam pilihanraya ke 13” manakala di satu pihak pula meyakini “ambil alih Putrajaya”. Siapa pun yang diberikan mandat oleh rakyat jangan kita nanti melukut di tepi gantang kerana apabila empang pecah pastinya yu yang kenyang.    
        
                Insyallah jika punya kesempatan kerohanian, pemikiran, masa, ruang, saya akan terus menulis surat terbuka seperti ini berdasarkan situasi yang saya lihat, fikir dan rasa.
(Saya tidak memaksa semua pihak menerima pandangan saya. Saya hanya mahu semua BERFIKIR dan mencari jalan terbaik dan majoriti rakyat beragama Islam sudah merindui ZAMAN KEBANGKITAN)
·          
      Tanpa prejudis dan Insyallah ditulis secara jujur dari lubuk hati nurani.
ZHARULNIZAM SHAH Z.A
Sesudah Asar
City Villa Hotel
Kuala Lumpur
13072012

Related Posts with Thumbnails