Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Monday, April 16, 2012

KHABAR DUKA BUAT BN DARI SEPANG, SELANGOR.


                 11 April 2012, ringkasnya perjalanan  kami sekeluarga sesudah zuhur itu menuju ke pantai Bagan Lalang di Sepang. Tanpa kami ketahui bahawa ada makluman supaya jangan menghampiri kawasan pantai (Gempa bumi berukuran 8.9 magnitud menggegar Aceh pada jam 4.38 petang (Waktu Malaysia). Amaran tsunami turut dikeluarkan oleh Agensi Geofizikal Indonesia. Orang ramai diminta menjauhi kawasan pantai sehingga amaran Tsunami ditarik balik. Gegaran tersebut turut dirasai di Kelantan, Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor. - Jabatan Meteorologi Malaysia). Alhamdulilah! Tertunailah janji saya dan isteri untuk putera puteri kami menikmati  alam dan mandi-manda. 
                Kami sempat singgah menikmati makan tengahari di sebuah kedai selepas kami melewati pekan Sungai Pelek. Kedai biasa tetapi masakannya Alhamdulilah! Enak , terasa asam dan garamnya.  Semasa meminta taukenya seorang kakak yang agak ramah dan saya kira berusia hujung 40-an atau mungkin juga awal 50-an. Layanan mesranya kepada keluarga kami menyebabkan saya agak yakin untuk menyoal tentang politik di Selangor ini.
                “Wah! Akak dah gantung menu satu Malaysia! Sarapan pagi murah makan tengahari baru pun baru 4 ringgit!” Usik saya kepadanya. Sememangnya di sebelah luar kedai tergantung banner secara menegak tentang menu satu Malaysia.
                Sebelum menjawab soalan saya Kakak ……. (tauke kedai) tertawa separa meriah.
                “Orang suruh gantung. Kita gantung!” Balasnya sambil senyum masih meleret.
                “macam mana kak! Selangor ini rasa-rasanya BN boleh dapat balik tak?” Soal saya direct melihatkan respon yang positif.
                Mukanya berubah menjadi serius. Sambil sedikit tercebik bibir, dia menggeleng-gelengkan kepala.    
                “tak tahulah. Tapi rasa akak susah la! Rasa akak memang tak dapat la! Itu pendapat akak la.” Tuturnya sambil bergilir mengalih pandangan kepada saya dan isteri.
                “Ok! Kenapa akak rasa susah  BN nak dapat Selangor balik. Bantuan satu Malaysia, yuran sekolah free, duit lima ratus,  kedai satu Malaysia barang murah, dah macam-macam tu yang dibuat. Apa masalah lagi?” Tanya saya dengan sedikit nada provok.
                “Akak tak tahu la. Tapi PR perintah yang pertamanya pasal air tu la. Sampai sekarang akak tak payah bayar. Dulu masa BN perintah akak bayar 40 ringgit, kekadang 45 ringgit sebulan. Setahun akak dah save 500 ringgit tu. Kalau orang pandai  jimat,  boleh guna untuk baju anak sekolah. Lepas tu duit 500 tu, kat tempat akak ramai yang dapat tapi semua cakap tu ‘gula-gula’ aje.  Nasib baik pembangkang kuat, dulu masa BN kuat mana ada tu semua….”     Tuturnya yakin.
                “Akak tak rasa bersalah ke? Akak ambil apa yang kerajaan beri tapi undi akak ada kemungkinan pada PR?” Sengaja saya uji dengan soalan ini.
                “Kenapa akak nak rasa bersalah. Itu memang kerja mana-mana kerajaan. Jaga rakyat, beri apa yang rakyat perlu. Bagi akak tidak salah, siapa pun yang akak hendak undi, itu hak akak.”   
                Wah! Agak teguh pendiriannya.
                “ bukan PR sama saja dengan BN? Akak tak tengok tv, PR banyak masalah dalam urus tadbirnya. Lepas itu akak meniaga macam nie, dia orang ada datang tengok ke?” Soal saya lagi untuk membaca pemikirannya.
                “Akak meniaga macam nie memang tak sempat tengok tv. Lepas Isyak tidur, pagi bangun pergi pasar, siap-siap buka kedai, masak, meniaga. Lepas itu anak akak pun ada yang belajar. Bukanlah pandai sangat tapi Universiti juga. Anak akak selalu cakap,  tv bukan semua betul, banyak tipu. Pasal PR ada datang sini ke tidak?. Ada, dia orang jumpa akak, tanya apa masalah. Bagi akak pinjaman lagi untuk meniaga nie.”  
                Kenyataan Kak ….. sebagai peniaga di pekan kecil ini sedikit memeranjatkan kami. Melihat kami terdiam dia menyambung lagi.
                “Akak tak tahu la. Tapi kawan-kawan yang baik dengan akak cakap kami  tidak mahu tukar lagi. Nak bagi PR  lagi la.  Selangor ini memang rasanya BN tak boleh dapat. Tempat lain akak tak tahu la. Satu lagi tak tahulah kalau….! Apa orang sekarang cakap! Kalau main kotor tu, peti tambah, undi yang bukan-bukan ke? Akak tak berani cakap la PR menang. Rasa akak kalau pilihanraya betul, takde tipu-tipu menang lagi PR kat Selangor ini!” Tuturnya lagi sambil saya sudah mula menyebut makanan yang kami sekeluarga nikmati  bagi dibayar jumlahnya.  
                Kami tinggalkan kedai makan Kak ….. menuju ke pantai Bagan Lalang.  Tulisan ini dinukilkan secara jujur dan ini suara akar umbi.
                Cuma saya terfikir ‘Aku anak Johor, hanya negeri aku yang……………….”

Thursday, April 5, 2012

“AKU BERDOSA BESAR!”


            Tiga kali dia menghubungi saya, setelah beberapa hari kami tidak berjumpa. Apa tidaknya pulang dari Melaka kemudian saya turun semula ke Johor. Malam itu saya memperuntukan masa untuknya. Kami berjumpa agak jauh sikit dari kebiasaan. Luar Putrajaya.
            Segelas Nescafe untuk saya dan dia memilih teh tarik. Lokasinya biarlah saya rasakan.
            “Ada hal sikit aku nak cakap dengan kau!” Katanya tenang tetapi ada rona resah di wajahnya. Saya berdebar. Saya menganggukkan kepala tanda bersedia untuk mendengarnya.
            “dah lama aku nak cakap. Selalu minum kau banyak cerita pasal agama. Aku tak pernah beritahu orang lain. Engkaulah yang paling aku percaya” Tuturnya lagi menambahkan debaran kencang di dada saya.
            “Aku rasa bersalah sangat. Sekarang aku ada anak perempuan” Keterangannya makin kuat pelbagai tanda tanya menyergah pemikiran saya.

            “Apa dia nie?” Bait awal saya cuba menyelongkar maksudnya.
            “Kau ingat tak, aku pernah cerita dulu aku duduk dalam swasta. Pendapatan aku RM6000.00 sebulan. Dululah! Lepas itu aku pilih masuk kerajaan dengan gred gaji aku yang tidak seberapa ini” Katanya mengingatkan aku ceritanya satu ketika dulu.
            “Insyallah ingat! Kau tinggalkan gaji 6000.00 sekarang dengan gaji kurang 2000.00. Aku ingat kau cakap dapat lebih baik dari nilai duit tu. Family kau dekat dengan kau! Anak-anak lebih mesra!” Aku mengutip semula kenyataannya sebelum ini.
            “ Sebenarnya ada yang lebih besar dari itu semua” Katanya mahu membongkar sesuatu.
            “Apa dia?” tanyaku secara terus.
            “Aku banyak dosalah!” Katanya serius memandang mata saya. Tepat.
            “takde orang yang hidup tak berdosa. Aku ini banyak dosa.” Balas saya mengimbangi keadaan.
            “tapi kau tak sampai berzinakan!” Dia menyoalku.
            “Alhamdulilah! Takdelah sampai berzina. Kenapa?” Balasku sambil menyoalnya lagi.
            “Itulah sebabnya aku tinggalkan gaji 6000.00, dulu syarikat pernah hantar aku pergi luar negeri. Masa tulah, aku pernah buat yang bukan-bukan nie. Kau taulah luar negeri bukan ada sapa-sapa akan kacau. Syarikat bagi satu bilik dua orang.” Keterangannya berbaur penyesalan dan aku terperanjat.
            “ Ramai ke perempuan yang pernah tido dengan kau” Soal saya dalam keadaan terperanjat.  
            “Bukan seorang, adalah tiga orang.” Dia memberi kenyataan jujur.
            “ Takde orang yang tidak berdosa. Kau solat sunat taubat. Aku pun bukanlah warak sangat. Kau mintalah ampun dengan Allah Taa’la” Aku memandang wajahnya yang masih berbaur penyesalan.
            “Sunat taubat?” Dia memandangku.
            “Emm! Kau boleh buat bila-bila masa saja. Bukan banyak pun, dua rakaat saja. Rakaat pertama Fatihah dengan Qulyaayuhalkafirun atau kalau boleh ayatul kursi lagi baik. Rakaat kedua Fatihah dengan Qulhuwallahuahad. Kau boleh pilih bacaan tu sekali, tiga, tujuh, sembilan kali. Mana yang kau mampulah. Allah itu esa. Allah pun suka angka yang ganjil. Insyallah” Terangku mana yang aku tahu.
            “tiga, tujuh, Sembilan tu surah yang mana tu?” Dia seakan berminat.
            “Fatihah tu sekali saja. Al-Kafirun atau Ayatul Kursi, Al-Ikhlas tu aja.” Balasku lagi sambil merenung wajahnya yang bolehlah dikategorikan kacak.
            “Aku rasa bersalah sangat. Sekarang aku ada anak perempuan. Bila aku tengok anak perempuan aku. Aku takut, benda tu orang lain pulak buat kat anak aku!” Jelas hatinya diserbu dosa silam dan kebimbangan hari depan.
            “yang jadi, kau dah tak boleh ubah. Solat taubat, berdoalah minta perlindungan Allah, doalah Allah melindungi anak-anak kau sekali!” Balasku memujuknya.
            “Dosa tu sedapnya sekejap aje tapi rasa bersalah sepanjang hiduplah. Lepas tu macam kau selalu cakap ‘barang tu’ lebih kurang aje. Itu jugalah rupanya!” Kami tergelak kecil dalam resah dan kacau jiwa.
            Sebelum pulang malam itu aku cuba memberi kekuatan kepadanya.
            “Sesungguhnya Allah menyayangi seorang hamba yang apabila menyedari dia berdosa, kemudian dia bertaubat” Kataku sambil dia tersenyum dalam keadaan dia masih diburu dosa dan penyeselan dari raut wajahnya.
            Kami pulang malam itu. Barulah aku memahami mengapa dia beriya-iya menemuiku. “SUNGGUH APABILA MELAKUKAN DOSA SERONOKNYA SEKETIKA TETAPI KITA AKAN DIBURU DOSA ITU DAN PENYESALAN SEPANJANG HAYAT”    
                  

Sunday, April 1, 2012

YA ALLAH! SIAPAKAH PEREMPUAN BERAMBUT PANJANG BERTUBUH NGERI ITU ?


 PUTRAJAYA PRESINT 17 jam 2.00 pagi

                Malam itu aku sudah berbaring di hadapan tv sambil di tangan tergenggam buku AHLI POLITIK karya SM Zakir. Buah tangan Shamsudin Othman semasa aku mengunjunginya beberapa hari lalu di UPM Serdang. Panggilan telefon Abang Azizul (rakan seperjabat) dengan suara ceria memberitahu, dia berpindah ke Presint 16 dari rumah apartment ke rumah teres. Aku menyetujui untuk menjengah dan membantunya serba sedikit.
                Kereta burukku meluncur melalui Presint 2 yang tertancap megah bangunan-bangunan pentadbiran yang agam serta melewati jambatan cantik yang dibina dengan kos yang entah berapa billion. Dia menyewa lori dibantu oleh tiga orang yang sebangsa, apa lagi di Putrajaya ini, sesuatu yang menjadi kebanggaan maajoritinya Melayu.
                Segalanya selesai memunggah barang dari rumah lamanya di Presint 9 ke Presint 16. Sebelum pulang kami menjamu selera di Presint 11. Tempat kami menjamu selera itu digelar mamak terowong kerana berdekatan dengan terowong menuju Presint 11. Kami semua bergerak pulang ketika jam sudah hampir menunjukkan pukul 2 pagi. Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana kebiasaannya aku di rumah pun agak lewat berlena untuk menghidupkan dunia membaca dan menulisku.
                Presint 17 tempat tinggalku ini merupakan kaurters baru dan kami antara penghuni awal yang merasmikan apartment ini. Sebetulnya gred jawatanku aku layak menduduki kuarters teres. Ah! Apalah mahu dikisahkan dengan gred dan status yang bersifat fana ini. Pentingnya rumah boleh digunakan untuk beribadat, membersih diri, makan, minum, membaca, menulis dan berlena, Alhamdulilah sudah terlebih mencukupi rasanya. 3 bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu yang agak besar, rasanya sudah berbaloi.
                     Memandangkan tiada kekosongan untuk rumah teres, aku menerimanya apabila ditawarkan kuarters ini. Sesuatu yang aku ingati pada pagi itu, apabila memasuki kawasan kuarters yang telah sunyi terasa angin yang agak ‘lain’ membelai tubuh. Pun aku tidak ambil kisah meski Putrajaya tidak pernah sunyi dengan kisah mistik yang tersendiri. Dahulu aku tinggal di Presint 15, juga berbagai kisah dengan makhluk berbalut putih terbang dari satu bangunan ke bangunan lain. Ramai yang pernah melihatnya termasuk beberapa rakanku yang menetap di sana tetapi aku tidak pernah pula diberi peluang melihatnya.  
                Punat lif aku tekan pada anak panah bertanda naik. Menunggu seketika sebelum berbunyi ‘ting’ menandakan sudah sampai waktunya dan pintu terbuka. Dari aras dua ini aku menekan untuk ke tingkat empat. Lif bergerak seperti biasa. Apabila sampai ke tingkat empat sekali lagi bunyi ‘ting’ sebelum pintu dibuka. Apabila aku keluar terus menuju ke lorong rumahku yang tidaklah jauh dengan lif ini. Tiba-tiba ada sesuatu keluar dari balik tembok berdekatan pintu rumah Ustaz Saufi. Aku terhenti, dia memandangku dan aku memandangnya. Tepat. Mukanya hitam manis sambil juraian rambutnya hampir menutupi mata dan kedua-dua belah pipinya.
                Mulanya aku terfikir “apa pula yang dibuat oleh orang rumah ustaz Saufi di luar rumah ini”. Ingatan mula memanggil ingatan tentang orang rumah ustaz Saufi bertudung labuh seperti orang rumahku (Walaupun aku tidak pernah peringkat memandang orang rumah ustaz Saufi sehingga  mengecam wajahnya)
                Aku pandang sungguh-sungguh ternyata kepalanya bergerak ke kiri dan kanan seperti meliuk lintuk. Sehingga mataku menyoroti tubuhnya, barulah aku lihat sendiri tubuhnya tidak berbalut daging. Jantungnya kelihatan hidup, ada paru-paru, perut, pendeknya semua organ dalaman badan dapat dilihat dengan jelas. Dia masih memandangku sambil menggerak-gerakkan kepalanya.
                “Eh! Ini bukan orang ini” Bibirku berkata-kata sendiri kepada diriku sendiri. (dalam menulis ini tiba-tiba terasa jariku sedikit gementar dan bulu romaku sendiri! Ya Allah hanya kepada ENGKAU, aku menyembah, menyerah, pasrah, memohon pertolongan dan perlindungan!)
                Habis aku berkata-kata kepada diriku dia bergerak ke balik tembok yang terhadang. Aku bergerak ke arahnya sehingga melepasi pintu rumahku sendiri. Pun sehingga empat langkah aku terasa bulu tengkukku meremang semahunya. Aku memberhentikan langkah. Berpusing, menyeluk kocek mengambil kunci rumah. Masuk ke rumah aku tidak boleh melelapkan mata. Badanku terasa seakan demam tetapi tidak demam. Mahu dikatakan tidak demam tetapi demam. Isteri yang tersedar dengan keresahanku bertanya “Kenapa bang?”
“Saya nampak ada ‘benda’ depan pintu rumah Ustaz”
“Hiss awak ini?” Tutur isteriku.
“Perasaan awak aje tak, awakkan tengah buah novel mistik?” Katanya sambil membetul-betulkan rambutnya tetapi tidak bangun dari baringnya.
“Awak tidurlah!” Kataku lembut.
                Aku masih tidak dapat melelapkan mata. Entah sudah berapa kali Ayatul Kursi, 3 Qul, Bismillah bukan lagi 21 kali. Aku sendiri sudah tidak terkira. Pukul 2.38 pagi aku menghantar sms kepada Ustaz Saufi. Bunyinya begini; ”   Assalamuailaikum, maaf mengganggu enta syeikh, enta dah tido ke? Ana baru pulang dan ternampak ‘sesuatu’ di depan rumah enta. Demi Allah ana bercakap benar”. Aku menunggu namun mesej itu tidak dijawab. Aku juga menghantar mesej kepada Azizul dan Ayahanda Talib (orang tua yang bergred jawatan atas tetapi selalu memilih bersama kami, dia juga ada bersama sewaktu Azizul mengemas barang dan mengeteh tadi). Ayahanda Talib menghubungiku dan bertanya perlukah dia datang. Aku katakan tidak perlu dan semuanya dalam keadaan baik walaupun buku romaku rasanya belum normal.     
                Aku terlelap, rasanya sudah 4 lebih pagi. Isteriku mengejutkan aku beberapa kali sebelum membawa anak-anak ke sekolah. Aku benar-benar letih sehinggalah Ustaz Saufi membuat panggilan jam 7 pagi. (bergesa mandi dan qada subuh! Ya Allah ampunkan kelewatan subuh ini) Kurang lebih, dia mempercayai kata-kataku. Katanya ibunya yang sedang uzur, juga tidak lelap melihat seorang perempuan cantik masuk ke biliknya. Juga dalam pukul 2 lebih. Anehnya aku bukan melihat seorang perempuan cantik tetapi…. Ah! (tengok semulalah perenggan atas, fikirku masih boleh menyalin wajahnya dalam kotak fikiran! Pergilah! Cukuplah sekali).
                Aku kongsikan cerita ini secara ringkas di dalam FB. Sekejap sahaja segalanya tersebar. Sehingga perjalananku bersama Timbalan Pengarah dari Putrajaya ke Johor untuk pemantauan masih dihujani panggilan telefon rakan-rakan sepejabat dan yang biasa minum bersamaku. Aku ambil keputusan kongsinya di blog ini supaya mudah aku menjawab segala pertanyaan.    
                Pulang dari Johor malamnya, aku masih tidak dapat melelapkan mata. Aku bangun membaca surah Al-Baqarah dalam empat lima helai mukasurat rasanya. Sehinggalah jam 2.15 pagi ada angin yang ‘lain dan tersendiri’ datang membelai langsir hijau ruang tamuku pun aku tidaklah melihat sesuatu yang aneh. Aku berdiri berdekatan jendela yang terbuka dan angin itu menyerbu ke wajah. Aku membaca “Audzubillah…”
                Kemudian aku menyeru “pergilah engkau! Aku tidak mahu jumpa kau lagi. Janganlah ganggu aku, keluarga aku dan penduduk di sini”  
                Dalam lima belas saat selepas itu angin itu reda.
                Ya Allah! Makhluk apakah itu?

Related Posts with Thumbnails