Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Thursday, May 20, 2010

PELANCARAN 'KDPPK' 15 MEI DI KUANTAN

Bagaimana mahu dimulakan?. Perjalanan agak lewat dan hampir jam 12 lebih dari Segamat. Aku dan isteri sampai Kuantan dalam jam 3 lebih. Setelah dua kali menghubungi Hajah Maimunah (JPN Pahang) dan sekali mengubungi Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Pahang Tuan Zainurin akhirnya kami menemui juga Sempurna Resort, penginapan yang disediakan oleh JPN Pahang untuk kami. Selepas asar kami menikmati kuet teaw goreng sementara menunggu maghrib untuk mencari Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisik, Kuantan. Kami dimaklumkan dewan itu bersebelahan dengan rumah MB Pahang.
Seawal dalam perjalanan sudah bersembang dengan isteri dan mengingatkan diri sendiri; siapa pun yang kita temui malam ini, mereka adalah manusia biasa yang belum tentu dapat menyelamatkan dirinya sendiri ketika berhadapan dengan Nungkar dan Nangkir nanti. Tidak ada konsep mengagungkan sesama makhluk.
Sebelum bertolak mencari Dewan yang sememangnya agak jauh dengan tempat tinggal kami, kebetulan ketika keluar bilik menemui Tokoh Guru Inovatif sekolah rendah yang juga menginap di Sempurna Resort. Dia disediakan pemandu. Akhirnya bertemu pula dengan Tokoh Guru Inovatif pra -sekolah dan kereta kami mengekorinya sehingga ke dewan SHAS.
    Akhirnya kami memasuki dewan SHAS dan Alhamdulilah dengan bantuan Cikgu Rohaya Yasin, kami diberikan tempat yang agak selesa. Walaupun begitu terasa begitu kekok kerana diberikan meja bulat yang dikhaskan bersama Tokoh Guru dan Pengetua Cemerlang.  Asalnya majlis dijadualkan berlangsung 8.30 malam. Apa pun janji Melayu tetap janji Melayu. Sebelum acara bermula dua kali pengacara majlis mengingatkan apabila tetamu VVIP iaitu TPM dan MB Pahang masuk semua hadirin diminta berdiri. Kira-kita jam 8.47 malam MB Pahang masuk dan majlis rasmi dimulai. Sah TPM tidak hadir. Selepas doa dibaca, kami semua dipersilakan menikmati jamuan sambil disajikan juga dengan nyanyian yang entah dari mana. (Aku tidak mengambil tahu sangat). Terlalu banyak lauk sehingga tidak muat meja. Pun aku dan isteri lebih menumpukan kepada lauk ikan Patin  masak lemak campur petai. Kebetulan juga tetamu lain di meja kami seperti tidak berapa menggemarinya. (masih teringat nikmatnya lauk Patin)
Selepas itu MB Pahang berucap. Rencahnya cukup puji, sindir, angkat, lambung, bagi jatuh semua ada untuk guru. Lantas seperti biasa sebagai orang politik unsur politik tetap ada tetapi aku tidak mahu mengulas di sini. Sensitif dan lucu. Kurang lebih selepas itu maka pelancaran buku pun dilaksanakan. Buku utama "Pahit Manis Di Bumi Tok Gajah", "Mendidik Tanpa Rotan" tulisan Chong Kee Pin, "Kepimpinan & Pengurusan Pendidikan Khas" (buku yang membawa aku ke sini) dan "Sekolah Pembina Modal Insan" tulisan Hamedah Wok Awang dan Normah Teh. Penulis tidak dipersilakan naik ke pentas, hanya mendengar nama pengarang, sekolah dan judul buku disebut sahaja. Berulang kali aku mengucap syukur Alhamdulilah apabila nama dan buku KDPPK disebut.
   
Kira-kira jam 10.25 malam majlis selesai. Apa pun keadaannya saya dan isteri bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang dan kesempatan berada di sini. Dalam perjalanan pulang ke Sempurna Resort telefon berdering, saya dihubungi beberapa individu yang menduduki kerusi KPM mengucapkan tahniah. Termasuk rakan-rakan yang pernah berada di Segamat kemudian ke KPM dan berada di majlis pada malam itu. Terima kasih ya Allah... Aku tetap seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa melainkan atas apa yang KAU berikan dan apa yang KAU izinkan.....

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails