Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Monday, October 25, 2010

PENDIDIKAN KHAS; PERANCANGAN STRATEGIK

            Bagaimana mahu saya mulakan. Pun ini bukanlah mutlak betul berasaskan keperluan dan perancangan sekolah masing-masing. Pertanyaan ini datangnya melalui salah seorang rakan di FB, berkaitan perancangan startegik Pendidikan Khas. Apa yang tidak memerlukan perancangan, paling tidak kita akan membuat rangka perancangan itu di minda. Cuma untuk kaedah yang lebih tepat kita perlu menulisnya secara sistematik. Lazimnya perancangan yang hanya berpusat di minda, ada kalanya menjadikan kita terlupa tentang apa yang perlu dilaksanakan.
            Stephen Covey melalui bukunya yang terlaris tentang pengurusan dan buku ini menerjah pasaran dunia dan pernah menjadi buku terlaris untuk firma-firma perniagaan di Jepun yang berjudul ’UTAMAKAN YANG UTAMA’ menyatakan setiap perancangan perlu dicatit dan mendahulukan perkara yang mustahak atau menjadi keutamaan. Di dalam buku ini dia menguji pembaca melalui situasi berikut:
Anda sedang menaip kertas kerja urusan pejabat, telefon anda berbunyi dan anak anda menangis. Cuba susun mengikut perkiraan akal anda. Tanpa berselindung Covey menggariskan jawapan:
1.      Berhenti menulis kertas kerja dan melihat anak anda dahulu kerana tangisan anak biasanya menyebabkan anak dalam situasi samada lapar, kesakitan, perlukan sesuatu bantuan yang kritikal.
2.      Menyambung menulis kertas kerja selesai.
3.      Melihat telefon bimbit anda, kalau perlu menghubungi semula nombor yang menghubungi anda tadi.

Pun jawapan ini masih boleh diragui mengikut persepsi pemikiran kita. Cuba ingat sepanjang hidup anda berapa peratuskah panggilan yang anda terima menunjukkan situasi yang sangat mustahak berbanding perkara yang tidak menjadi keutamaan. Terpulang!



Menjawab soalan perancangan startegik memang semua guru Pk mahupun aliran perdana perlu menulisnya mengikut kesesuaian dan keutamaan berasaskan apa yang hendak kita targetkan untuk program yang diamanahkan bagi membangunkan potensi murid-murid PK mahupun infrastruktur PK.
Di sini saya bentangkan contoh yang pernah saya hasilkan. Pun seperti ayat kedua tulisan ini ’pun ini bukanlah mutlak betul’ kerana perancangan startegik PK perlu mengikut kesesuaian guru, murid, kelas dan program yang telah atau bakal anda wujudkan di program PK sekolah anda.
                   Bagi membantu rakan-rakan saya turunkan projek yang telah berjaya dilaksanakan dan harus difahami perancangan startegik bukan semata-mata program akademik PK. (mengikut apa yang diajar oleh guru) Usaha mewujudkan perpustakaan mini untuk Pendidikan Khas saya garapkan melalui menyerapkan program ke dalam matapelajaran Pertukangan Kayu (Kemahiran Hidup). Di mana RPI murid diukur melalui kebolehan mengecat, susun atur perabut, rak buku, membuat pemasangan rel langsir, menutup kayu plywood di bahagian atas pintu/tingkap perpustakaan apabila perpustakaan kami menerima alat penghawa dingin.
                Secara mudahnya perancangan startegik mempunyai dua elemen iaitu; Pelan Tindakan/Taktikal dan Pelan Operasi.
Pelan Tindakan/Taktikal bolehlah dianggap visi (apa yang hendak dilaksanakan) berkaitan sesuatu projek melalui sesuatu subjek yang diajar manakala Pelan Operasi pula boleh dianggap misi iaitu bagaimana cara untuk melaksanakan program/projek sehingga berjaya.


PELAN TINDAKAN/TAKTIKAL

ISU STARTEGIK
1. Penghasilan perpustakaan mini Pendidikan Khas
MATLAMAT STRATEGIK
Memastikan murid-murid Pendidikan Khas dapat menikmati suasana bilik bacaan yang kondusif dan efisien
INDIKATOR PETUNJUK PRESTASI
1.1     Terhasilnya bilik perpustakaan mini Pendidikan Khas
1.2 Murid-murid Pendidikan Khas dapat meminjam, memulang dan membaca buku-buku perpustakaan mini tersebut
OBJEKTIF
Memupuk minat membaca di kalangan murid-murid Pendidikan Khas
STRATEGI
Meningkatkan keupayaan prestasi membaca di kalangan murid-murid Pendidikan Khas

Bil
Tindakan/Program/
Projek
Pelaksana/
Tanggungjawab
Tempoh
Sumber(kos/
Manusia/Alat)
Output
KPI
Plan
Kontigensi
Catatan
1.
Perpustakaan Mini Pendidikan Khas
En. Zharulnizam Shah B. Zainal Abidin
Januari hingga Mac 2009
LPBT Pend. Khas
Sumbangan ahli parlimen dan DUN
Murid-murid P.Khas dapat suasana bilik bacaan yang kondusif
Terhasil perpustakaan mini




 PELAN OPERASI

Nama Program                                         : Perpustakaan Mini Pendidikan Khas
Matlamat                                                 : Terhasilnya Perustakaan Mini Pendidikan Khas
Objektif Program                                     : Murid-murid Pendidikan Khas dapat suasana bilik bacaan yang kondusif
Tarikh & Tempoh pelaksanaan               : Januari hingga Mac 2009
Jawatankuasa Pelaksana & Senarai tugas : Lampiran
Kos Pelaksanaan                                      : RM18,000.00

LANGKAH
PROSES KERJA
TANGGUNGJAWAB
TEMPOH
CATATAN
1.
Mesyuarat makluman program
-          Ucapan Pengetua merangkap pengerusi
-          Makluman cara pelaksanaan
-          Hal-hal lain 
Pengetua, GPK1, Guru Penyelaras Pend. Khas, Ketua Panitia, Guru-guru Pendidikan Khas
1 hari

Januari 2009

2.
Pelaksanaan Program

2.1 Kesediaan fizikal
2.1.1 Mengecat bilik perpustakaan
2.1.2 Kemaskini tikar getah
2.1.3 Susun atur rak buku
2.1.4 Susun atur perabot
2.1.5 Memasang langsir
2.1.6 Susun atur meja bacaan
2.1.7 Susun atur kerusi

2.2. Kesediaan bahan
2.2.1 Menyediakan kira-kira 3500 naskah buku-buku bacaan pelbagai topik
2.2.2 Menyediakan kata-kata hikmat untuk ditampal di tempat yang bersesuaian
2.2.3 Menyediakan carta-carta yang berkaitan dengan budaya membaca sebagai motivasi

2.3 Sistem
2.3.1 Mewujudkan satu sistem pinjaman dan pemulangan buku yang sistematik.
2.3.2 Memastikan setiap buku dicap ’Unit Pendidikan Khas SMK Gemereh’ pada muka surat 9.
2.3.4 Memastikan wujud tempoh yang ditetapkan untuk pemulangan bagi setiap buku yang dipinjam.

2.4 Pengoperasian
2.4.1 Memastikan murid-murid dapat menggunakan semua kemudahan yang disediakan. ( Buku-buku, carta-carta, akhbar-akhbar, majalah-majalah)
2.4.2 Memastikan operasi peminjaman dan pemulangan mengikut piawaian yang telah ditetapkan         

 Semua AJK yang terlibat.

Febuari hingga Mac




















Sepanjang tahun

3.
Penilaian
3.1 Menilai segala kelemahan daripada pelbagai aspek; keceriaan, sistem dan pengoperasian 
Penyelaras Program, AJK Program
Julai hingga Oktober



            Semuga perkongsian ini dapat menjawab soalan para sahabat yang memerlukan contoh perancangan startegik. Untuk mendapatkan contoh akademik PK bagi matapelajaran BM, sila hubungi saya melalui FB ‘Pujangga Seni’ dan tinggalkan mesej dan alamat email.  Kepada sahabat-sahabat yang belum memperolehi buku KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS juga masih boleh menghubungi saya melalui cara yang sama meninggalkan mesej melalui FB nama dan alamat penuh untuk diposkan. Kos termasuk pos RM17 semenanjung Malaysia dan RM18 Sabah/Sarawak.


            Terima kasih kepada semua rakan-rakan Pendidikan Khas di seluruh tanah air. Berjumpa lagi. Insyallah!           

Saturday, October 23, 2010

MANA SUARA "ULAMAK"?????

Saya tidak ingin mengulas panjang. Boleh dibaca di banyak tulisan anak-anak muda yang berblog.



Ramai telah mengetahui dan dari kaedah hukum, saya kira hanya orang yang benar-benar jahil sahaja tidak dapat memahami konsep aurat (batas-batas cara berpakaian muslimah)  yang ditekankan Allah dan ditarbiahkan oleh Rasulullah SAW.




Cuma saya agak hairan ke mana perginya orang-orang yang diamanahkan dan berautoriti untuk menegur dan menasihati kepimpinan negara dalam hal ini..... Apatah lagi sebelum ini dikatakan 40 orang ’ulamak muda’ berpendidikan tinggi yang dikatakan bersama-sama puak itu.

Mana perginya suara yang patut menegur!  TAKUT! Kehilangan kuasa, pangkat, title Datuk, Tan Sri, kemewahan dunia... Ya! Jawaplah di ’sana’ nanti, menghadapi hakim Maha Adil yang tidak boleh dijualbeli... 



Ingatlah sehebat mana kuasa, sebesar mana pangkat, semewah mana harta.... Kita akan menghadap Izrail, kemudian Nungkar dan Nangkir menunggu.............

Saturday, October 16, 2010

GURU DIDAKWA DI MAHKAMAH; "SAYALAH GURU ITU"

Percayakah anda? Sayalah pemandu kereta ini...


Saya tidak mungkin melupakan segala-galanya sehingga roh berpisah dari jasad saya. 21 Mei 2006, lebih kurang jam 2.05 petang. Sungguh Malaikat Izrail memasuki dalam kereta dan mencabut dua nyawa yang berada disisi saya. Cumanya ketika itu bukan giliran. Saya kira semua orang tidak menginginkannya termasuk saya. Kemalangan yang menjadi kejutan kepada golongan guru seluruh Negara. Dua tiga akhbar utama menyiarkan berita itu. Pada ketika itu perjalanan kami dari Johor Bharu ke Segamat usai latihan/pemilihan sepak takraw negeri Johor dan saya akan membawa skuad Johor ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Perak seingat saya.
Fasa pertama latihan dan kami akan pulang dua malam ke rumah sebelum datang semula ke Johor Bahru untuk latihan selanjutnya. Namun segala-galanya ternoktah di atas lebuhraya utara selatan KM 50.2. Bermulalah satu perjalanan yang mencabar tetapi cukup mendewasakan. Menjadikan saya lebih berani dari semalam termasuk bercakap secara direct dengan ‘orang-orang besar’ dalam hireki pentadbiran pelajaran negeri Johor.
Kata Nisah Harun dalam novel ‘Mencari Locus Standi’ tentang mahkamah; tiada yang menggembirakan di daerah ini. Tiada siapa yang mahu datang  ke tempat ini andai tidak dipaksa atau terpaksa. Mahkamah jadi tempat yang perlu disiahkan, seolah-olah sekali melangkah ke sini akan sial sepanjang hayat!”  Ayat ini membekas dalam diri saya. Segalanya menjadikan saya mesra dengan bahan bacaan berkaitan undang-undang, pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam berkaitan tahan kerja, tatatertib dan lain-lain.
Ya! Segalanya ada hikmah dan mendidik. Dua tahun saya turun naik mahkamah Kluang. Hari pertama memasuki mahkamah 14 April 2007, cukup mengerikan apatah lagi hadir tanpa wang jaminan. Ketika itu saya tidak faham bahawa seseorang yang didakwa di bawah seksyen 41 (1) AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 yang jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih RM20,000, penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun (Act A 1065) mana-mana individu yang menghadapi pertuduhan sedemikian perlu hadir ke mahkamah dengan wang jaminan paling kurang RM5000 ( bergantung budi bicara Majistret)

Saya tahu sekiranya saya menulis secara tuntas dan sehabis jujur akan banyak pihak yang tersinggung. (Jadi saya cuba untuk tidak menyentuh banyak pihak) Sementelah kes saya ini akhirnya dibela oleh KESATUAN PERKHIDMATAN PERGURUAN KEBANGSAAN (KPPK) dalam bahasa Inggerisnya di sebut National Union Teachers Progress (NUTP). Termasuk  tekanan yang diberikan kepada saya, apabila menulis satu artikel di dalam Buletin KPPK keluaran Oktober 2007.  Ekoran itu satu surat cadangan kepada pihak Lembaga tatatertib telah dihantar bertujuan mencadangkan saya ditahan kerja. (Saya tidak mahu menyebut siapa yang mencadangkan saya ditahan kerja, segelintir guru di Johor dan orang-orang kuat KPPK mengetahuinya dan yang pastinya individu itu telah bersara)

Inilah artikel yang tersiar di Buletin KPPK Oktober 2007
Sila rujuk pekeliling perkhidmatan awam bahawa seseorang penjawat awam yang ditahan kerja akan menerima separuh dari emolumennya setiap bulan. Ketika itu, jika tidak silap saya setelah ditolak hutang rumah, pinjaman peribadi, simpanan dan insurans, saya hanya layak menerima RM72.15 sahaja. Namun keyakinan kepada Allah, prinsip berani kerana benar, rahsia surah An-Nur, Muhammad, Thoha terbukti benar.  Sungguh kenikmatan berdoa lebih dirasai apabila kita diuji berbanding jika kita berdoa dalam keadaan senang. Bukanlah maksudnya kita tidak berdoa tetapi percayalah! orang yang berdoa dalam keadaan terdesak antara hidup dan mati, bebas dan dipenjara, ditamat atau tidak kerjaya akan lebih bersungguh-sungguh menjejaki dasar hati. Saya masih sentiasa teringat selepas solat tentang kenikmatan berdoa ketika saya di dalam keadaan yang cukup menguji itu. Alhamdulilah! Ya Allah kekalkanlah kenikmatan berdoa itu kepadaku dan seluruh umat Islam.
Isu tahan kerja saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung KPPK Miss Loke Yim Pheng, bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Johor Tuan Haji Jamian Jaafar (telah bersara),  Mr Chaw Tah Soo wakil KPPK Segamat), pengetua saya pada ketika itu Puan Hajjah Muriatun Mohd Said yang menyebelahi saya.  Lalu maafkan saya Tan Sri menulis secara jujur berkaitan cadangan tahan kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Haji Kusaini Bin Haji Hasbullah  (Bahagian tatatertib), dan orang yang memahami cerita ini Tan Sri Dr. Zulkurnain Bin Haji Awang (ketua Setiausaha, Kementerian Pelajaran Malaysia) yang menolak cadangan tahan kerja tersebut. Kepada Miss Loke yang menjalankan amanah sebagai Setiausaha Agung KPPK yang mempertahankan saya dengan bercakap secara bertentang empat mata dengan ‘kepimpinan atas’ Kementerian Pelajaran Malaysia.             
 Bayangkan jika cikgu berada di tempat saya. Sedangkan perjalanan saya adalah urusan tugas rasmi. Bawa murid-murid dengan bersurat arahan. Saya masih menyimpan segalanya (satu fail lengkap dan segala catatan peribadi turun naik mahkamah dari hari pertama hingga hari terakhir, yang jika saya turunkan segalanya di dalam blog ini; akan ada pihak yang tersinggung atau mahu marah dengan catatan jujur tersebut), malahan orang yang menandatangi surat itu juga masih hidup dan saya sendiri pernah bersemuka dengannya apabila dalam satu majlis, beliau memburukkan cara pemergian saya…….. (sukar untuk saya menuliskannya… terasa kelopak mata ini panas! Ya Allah berikanlah aku kekuatan menghadapi tipu daya dunia yang penuh dengan kepalsuan ini).
Saya tahu seorang guru tidak kebal dari segi undang-undang. namun ada bebrapa perkara berkaitan hal kebajikan seorang guru yang membawa murid ke tempat pertandingan, latihan atau apa sahaja yang perlu diambilberat oleh pihak berwajib
Sungguh besar pengajaran yang Allah berikanlah! Andainya satu masa kita sebagai guru biasa menjawat jawatan tinggi ingatlah kebajikan dan keselamatan terhadap ‘anak-anak buah’ kita adalah satu amanah yang besar. Jika tidak yakin dengan hujah saya ini bacalah kitab yang berjudul “UMAR ABDUL AZIZ, SiRAH RASULULLAH, 10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA” Jika orang-orang bawahan kita ditimpa sesuatu musibah atau ujian berat dari Allah, lindungilah mengikut kemampuan, ziarahlah melihat keadaannya;
Dunia mahkamah sungguh asing bagi seorang guru biasa seperti saya, pun ianya adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Saya dapat melihat sendiri bagaimana pendakwaan, pembacaan tuduhan, pembicraan berlangsung. Masih ingat lagi tentang kes bunuh yang dibacakan ketika hariu saya ke mahkamah dan perbicaraan kes dadah, curi motosikal…. Yang dapt saya lihat dan dengar sendiri. Berbalik kes saya, setelah sekian lama akhirnya kes itu dibicarakan dengan pendakwa mengemukakan 2 pegawai penyiasat, doktor,  seorang pegawai puspakom yang memeriksa kereta saya sebagai saksi . Ketika perbicaraan berlangsung, duduk di kandang tertuduh itu terasa kaki dan tangan sejuk seakan menanti hukum gantung walaupun hakikatnya jika kalah dalam kes itu saya setakat dipenjara dan bukan digantung….
Akhirnya Mahkamah memutuskan akan memberi keputusan pada 30 September 2009. Saya masih ingat malam yang damai itu, di mana solat hajat dilakukan secara beramai-ramai. Tempatnya markas PAS Segamat. Terima kasih kepada PAS kawasan Segamat, pemuda PAS, muslimat PAS, ibu, anak, isteri, sahabat-sahabat, rakan-rakan guru sekolah, kenalan rapat setempat tinggal saya dan kurang lebih dalam lapan puluh orang yang hadir pada malam itu, bersujud memohon kemenangan untuk saya dalam kes itu.
Lalu 30 September 2010, apabila saya masuk ke kandang tertuduh selepas nama saya dipanggil. Saya masih ingat segala-galanya. Mulut saya kumat-kamit membaca lima ayat awal surah Thoha, apabila peguam saya C.C Ayathurai (dibiayai sepenuhnya oleh pihak KPPK) bangun memaklumkan “Hari ini telah ditetapkan untuk keputusan”
Majistret muda. Seingat saya namanya Mohamad Azhar Arif menganggukkan kepala sambil sekilas memandang wajah saya dan kemudian terus membacakan keputusan. Begini bunyinya;
“Setelah mempertimbangkan hujah-hujah pihak pendakwaan dan pembelaan. Mahkamah berpuashati dan mendapati pihak pendakwa gagal mewujudkan prima facie terhadap tuduhan. Oleh itu mahkamah memutuskan Encik……………….. didapati tidak bersalah, dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya”
Dam! Majistret mengetuk tukul kayu yang lazim dan terus bangun berlalu. Selepas itu terdengar laungan “Bangun”, saya menoleh kepada ibu dan kakak yang duduk di kerusi dalam mahkamah di belakang saya. Kedua-duanya berpelukan sambil menangis. Saya menekup wajah. Cuba menahannya… Pun airmata saya gugur jua…….. Syukur kepadaMu Ya Allah! ENGKAU yang memberi ujian! ENGKAU jua yang memberi kemenangan……..





Thursday, October 14, 2010

HAL-HAL YANG MEMBATALKAN KEISLAMAN SESEORANG MUSLIM

 Kata ‘batal’ dalam bahasa Arab dikenali dengan istilah an-nawaaqidh. Datangya dari kata jamak naaqidh yang membawa maskud merosak sesuatu yang bagus

Secara dasar utama terdapat sepuluh hal yang boleh membatalkan keislaman seseorang.

  1. Syirik; (Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)
Syirik membawa maksud  ‘menyamakan selain-NYA dengan Allah dalam hal-hal yang menjadi kekhususan Allah
Lantaran syirik adalah batil yang paling batil, kezaliman yang paling zalim, maksiat yang paling keji kerana menyamakan makhluk yang bersifat pinjaman dan lemah dengan Khaliq yang maha sempurna dari segala sisi.

“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan ) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun” (Al-Maa-idah:72)

  1. Menjadikan makhluk tertentu sebagai perantara antara dirinya dengan Allah; Umpamanya berdoa/memohon syafaat serta bertawakal kepada perantara tersebut. ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)

Berwaspadalah kita dengan hal yang kedua ini. Para ulama bersepakat bahawa hal sedemikian disebut kekufuran. Amatlah bahaya bagi umat Islam yang kekurangan pengetahuan rendah. Seperti meyakini bomoh, meyakini sesama makhluk. Kita dituntut berikhtiar tetapi tidak boleh memutuskan terhadap konsep tauhid. Manusia sendiri terbatas dan yang mengizinkan dan menyembuhkan tetaplah Allah yang maha berkuasa.

Antara Allah dan makhluknya tidak ada perantara, sebab itulah kita boleh sahaja terus berdoa memohon kepadaNYA. Ingatlah barangsiapa yang mengadakan perantara antara dirinya dengan Allah dalam memperoleh manafaat dan menolak mudharat; baik perantara itu berupa malaikat, nabi, kuburan, mahupun yang lainnya, mempersembahkan sembelihan, bertawakal kepada selain-NYA, maka telah jatuh kepada kufur.

  1. Tidak mengkafirkan orang-orang musyrik. Begitu pula meragukan kekafiran mereka atau membenarkan pendapat mereka, barangsiapa yang melakukan hal tersebut maka dia telah kafir. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)

Keislaman seseorang tidak sempurna selama mana dia belum mengkafirkan orang-orang musyrik. Jika ragu dan bimbang atau berkata ”Tidak ada masalah dengan mereka” setelah adanya kejelasan mengenai kekafiran mereka, maka dia termasuk kafir seperti mereka.

Masalah ini kurang diambil perhatian oleh kebanyakan orang yang mengaku bersyahadah. Ada yang terjerumus tanpa disedari. Ada yang tidak mengkafirkan orang yang terjerumus ke dalamnya sehingga dia menjadi sama sepertinya, jika telah dikemukakan hujah kepadanya.

Termasuk kategori membenarkan pendapat mereka, setiap orang yang menilai baik sesuatu yang bertentangan dengan Islam, baik dari Yahudi, Nasrani, Sosialisme, Sekularisme, mahupun kelompok kafir dan sesat lainnya.

  1. Berkeyakinan bahawa selain petunjuk Allah melalui Rasulullah saw adalah lebih sempurna. Atau hukum selain hukum Allah lebih baik. Contohnya adalah orang yang lebih mengutamakan hukum taghut daripada hukum yang allah tetapkan maka dia adalah kafir. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)


Perhatikan dan kaji apa yang menimpa orang-orang yang menolak hukum Allah dan Rasul-NYA. Memilih hukum buatan manusia yang penuh kekurangan, segalanya tidak dapat memberi manafaat kepada sirinya sendiri apalagi orang lain, dan tidak juga boleh mencegah mudharat, musibah, siksaan, kekacauan, kezaliman dan ketidakamanan.

  1. Membenci sesuatu yang dibawa Rasulullah saw sekalipun dia mengamalkannya. Barangsiapa yang melakukan maka dia telah kafir. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)

Keadaan ini termasuk dalam satu kemunafikan i’tiqadi (keyakinan). Barangsiapa membenci sesuatu yang dibawa oleh Rasulullah saw, apalagi membenci Al-Quran, misalnya membenci amal maaruf nahi mungkar, atau membenci orang yang menegakkannya ataupun yang lain yang diperintahkan di dalam Al-Quran dan Hadith, maka dia telah kafir.


  1. Mengolok-olok sesuatu dari ajaran Rasulullah saw, pahala atau azab Allah. Orang yang melakukan ini dihukum kafir. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)

” Katakanlah ”Apakah dengan Allah, ayat-ayatNYA, RasulNYA kamu selalu berolok-olok?’ Tidak usah kamu beralasan (minta maaf) kerana kamu telah kafir sesudah beriman..” ( At-Taubah: 65-66)

Melalui Fathul Majiid; Abdurrahman Bin Hasan merakamkan ”Orang yang bercanda dengan hal itu (sesuatu yang disebutkan di dalamnya nama Allah, al-Quran, Rasulullah saw), maka dia telah kafir.

Jangan sekali-kali meremehkan atau membuat bahan lawak atau bergurau dengan apa yang telah menjadi ketetapan Allah dan segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw.



  1. Sihir. Di antaranya adalah ash-sharf (guna-guna untuk memalingkan seseorang dari sesuatu) dan al-’athf (guna-guna untuk menarik sesuatu). Barang siapa yang melakukan hal tersebut atau menyetujuinya, maka dia telah kafir. ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)


Dalam bahasa Arab sihir disebut as-sihr, sifatnya terjadi secara rahsia (sembunyi-sembunyi) pada akhir malam.
Ash-sharf – memalingkan seseorang dari apa yang dicintainya.
Al-Athf – berusaha menarik hati seseorang mencintai sesuatu dengan cara syaitan.

Apa pun kaedah yang digunakan dalam kehidupan selama mana menggunakan unsur sihir maka akan membatalkan akidah.

”Dan mereka itu (para tukang sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah (Al-Baqarah; 102)

  1. Memberi sokongan dan menolong orang-orang musyrik untuk memusuhi kaum Muslimin. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)


Siapa sahaja di kalangan orang yang bersyahadah memberi bantuan dan sokongan kepada kaum musyrik untuk melawan kaum muslimin, maka dia telah kafir. Lazimnya lahir dari kemunafikan iaitu lahiriahnya nampak baik, batinnya sangat buruk atau dari orang yang tidak memahami agama dengan sebaik-baiknya.
Justeru timbul di dalam hatinya kedengkian dan permusuhan terhadap kaum muslimin serta kecintaan kepada musuh-musuh Islam.

Hal ini tidak akan terjadi kepada seorang mukmin yang memiliki iman, ilmu, dan kecintaan kepada Islam.

  1. Berkeyakinan bahawa sebahagian orang boleh tidak mengikuti syariat Muhammad saw. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)


Meyakini perkara di atas, atau sudah tidak memerlukannya lagi atau menyarankan untuk keluar darinya, maka jelas keislaman telah terlepas dari dirinya.

Hal demikian banyak berlaku kepada sufi ekstrim dan yang seangkatan dengannya. Terpedaya dengan tipu muslihat syaitan, yang mana menganggap diri telah sampai kepada tahap ilmu dan ma’rifat untuk keluar dari syariat sehingga semua kewajipan telah gugur darinya. Perbuatan ini jelas kufur dan terkeluara dari ajaran Islam.

Ingatlah kita semua tidak akan lebih daripada Rasulullah saw. Seperti kata Syeikh Abdul Qadir Jailani di dalam kitab ”Wasiat Kerohanian’ ; ”apa yang diharamkan ke atas Muhammad saw maka haramlah ke atas kami, apa yang dihalalkan ke atas Muhammad saw maka halallah ke atas kami kerana kami tidak akan lebih mulia daripada Muhammad saw”

  1. Berpaling dari agama Allah, tidak mahu mempelajarinya dan tidak mengamalkannya. . ( Nauzubillah… mohon perlindungan Allah daripada kesyirikan)


”Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Rabbnya, kemudian ia berpaling darinya. Sesungguhnya kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdoa” (As-Sajdah;22)

Yang dimaksudkan berpaling dari agama Allah ialah menolak hal-hal yang wajib bagi setiap orang untuk mempelajari dan mengamalkannya, iaitu mengetahui ushuluddin (poko-pokok agama) dan hal-hal yang harus diketahui oleh setiap muslim.

Banyak orang-orang yang menolak mempelajari hal-hal seputar agama yang diwajibkan bagi mereka dan mengamalkannya, baik secara lahir dan batin. Akibatnya ada yang terjerumus ke dalam syirik besar, kekufuran, kemunafikan, bahkan ditambah dengan hal-hal haram lainnya, sementara dia tidak menyedarinya.

Akhirnya sentiasalah memohon hidayah dan keselamatan di dunia dan akhirat kepada Allah swt bagi diri kita sendiri, keluarga, saudara-saudara, sahabat-sahabat dan semua kaum muslimin. Sesungguhnya kita semua tiada daya dan upaya melainkan segalanya atas keizinanNYA dan hanya milik Allah Yang maha tinggi lagi maha agung.   .          
     




         

Monday, October 4, 2010

DEKLAMASI PUISI 'SYAWAL DI PALESTIN' DI KONSERT AIDILFITRI DAN AMAL PALESTIN

                Alhamdulilah. Ketika Haji Lot menghubungi saya, ketika itu saya bersama Baharudin Kahar sembang minum malam tentang karya terbaru kami yang dalam proses pembikinan sambil pekena Nescafe. Beliau memaklumkan sedang berada di dalam mesyuarat membincangkan perjalanan Konsert Aidilfitri & Amal Palestin.
            Dimaklumkan Munir  Hijjaz akan hadir dan beliau mempelawa saya untuk mendeklamasi puisi tentang Palestin di slot tengah konsert ketika Munir akan berehat selama 15 minit. Ada tayangan slaid dan deklamasi puisi. Saya menyetujuinya kerana peluang untuk deklamasi puisi tentang PALESTIN jarang-jarang diperolehi berbanding pelawaan semasa hari Kebangsaan. Ertinya ini adalah kali kedua saya mendeklamasi puisi Palestin di hadapan khalayak selepas Solat hajat Untuk Palestin dua tahun dulu di dataran Segamat. Luka Palestin Insyallah selalu mengacau jiwa kerana itulah blog insan jahil ini memperuntukan label 'ANTI ZIONISME'
           Terima kasih kepada sahabat seperjuangan Zaid Akhtar yang merakam video ini dan terima kasih kepada IKRAM dan pimpinannya yang memberi kepercayaan kepada saya. Lalu saya tuliskan puisinya berjudul 'SYAWAL DI PALESTIN'...



 







   
Related Posts with Thumbnails