Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, November 28, 2010

SIRI 3 MEMALI, KEADILAN YANG TERTANGGUH Bagaimana Solehah (Isteri As Syahid Ibrahim Libya) disoal siasat …..


Lanjutan dari siri 2, tulisan diteruskan untuk generasi baru supaya tahu apa sebenarnya yang berlaku terhadap berkaitan peristiwa Memali. Jangan tersalah tafsir, tersilap membuat perkiraan. Kebenaran tidak mati sekalipun orang yang memperjuangkannya telah mati..


 20 minit di dalam trak selepas Memali diserang, Solehah sampai di Kem PPH Tanjong pari. Baru benar rasanya melihat suaminya menemui syahid di depan mata sendiri. Pakaian yang sama, masih berbekas kesan darah suaminya pada pakaian.

Di halaman kem sudah ramai kaum lelaki yang ditahan. Pelbagai situasi yang pantas menerbitkan kepiluan. Digaris secara individu mahupun berpasangan. Tika itu titis hujan mencium bumi, mereka kebasahan bersama terpamernya keletihan dan kelesuan di wajah masing-masing.

Mentari yang berduka di dada langit, enggan menghantar cahayanya ke bumi. Perlahan-lahan malam datang mengikut sunnah alam. Hati Solehah bertambah sayu. Sesekali tangisan anak berusia lapan bulan bernama Mahyudin lebih deras menghantar kedukaan untuk bersarang di sukma. Mahyudin anak kepada Rokiah yang turut sama ditahan. Tangisan itu juga diselang seli dengan seorang lagi kanak-kanak bernama Hizman. Kelaparan merenggut usus anak-anak ini. Apatah lagi dalam keadaan suasana hujan. Hampir sembilan malam barulah mereka semua diberikan makanan, lauknya sardin mentah dan seiris potongan betik. Satrah yang berusia empat tahun makan dengan begitu beriya-iya. Mereka semua benar-benar kelaparan. Selepas puas mengahdapi peluru dan gas pemedih hati separuh hari tadi, memang mereka belum menjamah apa-apa makanan.

Selepas berehat seketika maka proses soalsiasat dimulakan dan sasaran utama tentulah kepada Solehah.

”Siapa nama awak?”

”Solehah” Pendek dan tepat

”Awakkah isteri Ibrahim Mahmud?”
Solehah diam dan menundukkan wajah

”Hei! Jawablah! Awak isteri Ibrahim, ustaz yang sesat tu” Sergah........ lagi.

Solehah masih ambil tidak peduli dengan soalan itu. Keadaan itu menyebabkan sipenyoial berang. Kemudian keluarlah maki hamun kepada Solehah.

”Awak tahukah! Ustaz tu sesat, dia guna ilmu kebal. Dia ajar orang ilmu kebal!” Bebel berterusan

Solehah masih tidak menjawab

“Tau dak ustaz tu sesat. Ada ilmu kebal. Di mana dia belajar, dekat Haji Mat Lala kan?” Masih terus menekan Solehah dengan kata-kata.

”kalau dia ada ilmu kebal, tentu tembak tak luka. Tapi ustaz luka juga” Kali ini Soelhah menjawab dan hujahnya sukar disangkal.

Mendengar jawapan itu, mereka terdiam. Mati akal.
Sudahnya hanya sumpah seranah dan maki hamun sahaja yang dilontarkan kepadanya. Solehah sendiri tidak ingat berapa lama dia disoal siasat. Dibenarkan keluar dari bilik dengan kesedihan dan kedukaan yang panjang.

Solehah juga menyaksikan kaum lelaki yang disoal siasat.
Mereka turut menerima kesan fizikal. Antara yang dipukul, ditendang, ditumbuk serta ditampar; Haji Azmi Haji Salim atau dikenali Pak Jang Mie.

Lelaki itu disoal siasat bersebelahan dengannya. Tindakan yang dilakukan itu menyebabkan wajah Pak Jang Mie berubah. Terdapat kesan lebam-lebam dan bengka.

Solehah masuk ke bilik untuk tidur. Semuanya bergelimpangan. Terlena dalam keletihan. Termasuk Rokiah dan anak-anaknya. Tubuhnya direbahkan di lantai simen tanpa beralas apa-apa. Juga tanpa bantal. Terlena....

Subuh mempamerkan diri melengkapkan kitaran alam dan waktu. Bagaimana mahu solat dengan pakaian yang telah kotor dan mereka tidak diberikan telekung. Tidak mandi bagi menyegarkan badan dan membersihkan diri.  Namun tetap juga menunaikan solat, solat dalam keadaan darurat.

Sembilan pagi, mereka diberikan sarapan. Teh o yang hampir sejuk dengan dua potong roti keras. Ada juga yang mendapat air sejuk sahaja. Rezeki masing-masing. Rokiah hampir menangis melihat anak-anaknya berebut dua potong roti keras. Berebut air kerana dahaga. Anak-anaknya menangis, meminta lagi sedangakn air telah habis.

Menjelang tengahari semua tahanan dihimpunkan. Di bawah bangsal kereta. Lantai simennya penuh dengan kesan minyak hitam dan di situlah tempat tidur kaum lelaki malam tadi.

Di kesempatan ini Solehah dapat bertemu adik iparnya Ustaz Ismail Mahmud. Wajahnya ada kesan lebam-lebam dan bengkak, bahana dipukul. Seiras nasibnya dengan Pak Jang Mie.

”Kak Ah bersabarlah!, Syuhada dan Irsyad selamat, ada di rumah nenek mereka.”

Itulah antara yang dapat diingatinya kenangan perit itu. Pun hatinya lega mendapat khabar anak bongsunya itu.

Dalam berkumpul itu, mereka masih tidak terlepas dari maki hamun. Terutamanya tahanan lelaki.

”Panggillah ustaz hampa. Suruh dia tolong hampa. Mana Tuhan hampa. Minta tolonglah dekat dia. Kelmarin takbir hebat sangat... hari  ini pasal apa diam...”

Itulah antara kata-kata yang dihamburkan seiring juga dengan tendangan yang dilakukan sesuka hati kepada tahanan lelaki. Mereka sama sekali tidak berupaya untuk melawan. Apatah dengan tangan yang bergari.


(Insyallah Jika diizin Allah kita akan bertemu Siri 4 DARI KEM TANJONG PARI KE KEM PPH SUNGAI PETANI)           

Saturday, November 27, 2010

SIRI 2 MEMALI, KEADILAN YANG TERTANGGUH Keadaan Jenazah As-Syahid Ibrahim Libya.

  

Memali akhirnya tewas di tangan pihak berkuasa. Kalah secara zahir tetapi tidak secara batin. Ini kerana perjuangan berlandaskan Islam tiada kekalahan. Hanya ada menang atau syahid. Ops Hapus yang penuh kekeliruan dan penuh tanda tanya sehingga berlaku sedikit perbalahan dan salah faham sesama mereka. Ini kerana operasi awalnya mereka dimaklumkan untuk menghapuskan pengganas komunis. Pihak PPH telah memaklumkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya bukanlah seorang pengganas. Sebaliknya seorang pendakwah dan tokoh yang dikagumi oleh penduduk-penduduk Memali. Perbalahan itu tidak memberi makna kerana mereka semua terpaksa akur dengan ’arahan’.....

Begitulah sudahnya seperti tulisan siri 1 sebelum ini. As-Syahid Ibrahim Libya ditembak dan melengkapkan matlamatnya untuk mati syahid. Ustaz Ismail Mahmud (adik As-Syahid Ibrahim Libya) adalah orang yang bertanggungjawab mengurus jenazah abangnya itu. Sesusuk tubuh yang kental dengan semangat jihad.  Beliau merupakan seorang pengamal perubatan Islam yang terkenal di lembah Kelang.

” Ana adalah orang terakhir melihat mayat Ustaz Ibrahim, ana bercakap benar di hadapan Allah bahawa darah masih mengalir segar setelah dua hari mayat As-Syahid berada dalam peti sejuk (bilik mayat)” Jelas Ustaz Ismail mahmud.

Sementara Ustaz Fauzi Hussain pula mengakui ” Ana adalah orang yang mengambil jenazah dua orang sahabat daripada hospital, untuk dibawa ke Parit panjang. Pada masa itu Baling seolah berkabung, sekatan polis di mana-mana, kami gunakan van C20 untuk membawa balik mayat, ana menghidu bau wangi daripada jenazah teman yang syahid ini,” Tuturnya di dalam satu majlis sambil pelupuk matanya merah berair mengenang kembali peristiwa Memali.

Apa yang boleh menyekat kebenaran. Sesungguhnya Islam seperti air yang mengalir, tidak boleh disekat!!!!.




” Mereka menghidupkan fitnah yang tidur, PAS akur kepada arahan polis supaya menghentikan acara memperingati Memali yang diadakan setiap tahun, tetapi kerajaan melalui RTM menyiarkan kembali klip video Memali dengan tujuan politik. Mereka mencerca orang mati, menyakitkan hati keluarga mangsa.”
(Petikan ucapan Dalam Parlimen Almarhum Ustaz Fadzil Nor; 2001)    

Tuesday, November 23, 2010

HARI-HARI TERAKHIR AS-SYAHID IBRAHIM LIBYA; MEMALI, KEADILAN YANG TERTANGGUH

Apa yang dapat disembunyikan lagi. Pejuang kebenaran pasti mati tetapi kebenaran tidak akan mati. Memali adalah bukti yang paling ampuh. Sekalipun propaganda dan dakyah dimainkan puluhan tahun silam ketika pemerintah terlalu kukuh untuk digugah. Namun hari ini tiada lagi rahsia yang dapat dikambus. Dosa-dosa yang tidak dapat diselindungkan lagi. Keadilan yang tertangguh. Maklumat tentang memali begitu bersepah di sana sini baik melalui buku, apatah lagi internet



MENGENALI AS-SYAHID IBRAHIM LIBYA

Beliau merupakan seorang pemidato semenjak zaman persekolahan iaitu pernah hingga ke peringkat negeri Kedah dan Perlis semasa bersekolah menengah. Pernah menjadi ketua pelajar dan aktif dengan sukan sepak takraw. Pernah menuntut di Nilam Puri, kelantan. Melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Ulum Deoband, India Kemudian ke Universiti Al-Azhar, Melewati beberapa negara untuk pengajian dan pengalaman samada secara formal mahupun tidak formal Kaherah, Mesir, Pakistan. Memiliki ijazah Sarjana Muda Syariah. Beliau menentang hokum ISA Akta Keselamatan Dalam Negeri yang diperkenalkan pada tahun 1960 dan telah menyeret lebih 4000 orang mangsa ke penjara politik dengan alas an mengganggu kententeraman awan atau mengancam keselamatan Negara. Beliau mengasaskan Madrasah Islahiah Diniah pada 4 Jun 1978 atas tanah yang diwakafkan oleh Mohammed Zain Ahmad di kampong Memali. Seorang pendakwah, pendidik dan pejuang kebenaran tulen yang akhirnya menemui syahid. Ibrahim Libya bertunang dengan Solehah pada tahun 1969 dan kemudiannya mendirikan rumah tangga pada tahun 1974.



Petang 18 November 1985,
Maklumat tentang kehadiran polis dan sekatan jalan raya giat dijalankan. Ini kerana telah beberapa kali usaha untuk menangkap dan menahan Ibrahim Libya dan semuanya berakhir dengan kegagalan. Sehingga malamnya tiada sebarang tindakan, Cuma kehadiran polis yang semakin ramai dari semasa ke semasa.

Maghrib - Usai solat Maghrib kuliah  masih dilaksanakan seperti lazimnya. Tiada nada cemas dari riak ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak buahnya juga tenang. Berita tentang rumah Ustaz Ibrahim Libya dikepung polis tersebar begitu pantas. Tiada arahan melawan daripada Ustaz Ibrahim Libya sebaliknya semuanya biasa-biasa sahaja walaupun rumahnya dibanjiri semakin ramai penduduk kampung. Selesai kuliah, mereka menjamu nasi kawah. As-Syahid Ibrahim Libya pada malam itu tidak makan bersama Solehah sebaliknya makan bersama dengan anak-anak muridnya. Malam itu mereka tidak begitu berselera kerana di luar rumah sudah siap siaga pasukan Polis, Unit PPH dan lain-lain. Selepas makan ada yang berbual-bual, ada yang meneruskan ibadat dengan membaca Al-Quran dan lain-lain.

Solehah pada malam itu membaca Surah Yasin. Suaminya ada mengingatkan dan berpesan tentang perlunya kesabaran dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan kesucian Islam. Pada malam itu juga dilihatnya wajah suaminya itu kelihatan bercahaya. Kerap kali sudah dia mendengar permohonan suaminya dan sering terletus di bibirnya ingin mati syahid. Malam itu Solehah menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran.

 19 November 1985
 Solat subuh berjemaah dan kuliah dilaksanakan seperti biasa. Solehah mengingati kata-kata suaminya “ Jika sampai masanya kamu terpaksa berdepan dengan perjuangan yang memerlukan pengorbanan darah dan nyawa, jangan ada antara kamu yang memalingkan tumit-tumit kamu ke depan (lari) kerana jika mati ketika lari itu, maka kamu telah tempah salah satu tiket ke neraka”
Salah seorang daripada anak buah Ibrahim Libya memaklumkan, melihat trak polis, PPH, FRU terlalu ramai dan menuju ke tempat mereka.
7.30 pagi – Kawasan rumahnya dipenuhi anak-anak buah suaminya dan orang-orang kampung. Solehah mendukung erat Syuhada anak bongsunya. Hatinya diterpa bimbang, sesuatu yang tidak diingini berlaku.
8.00 pagi – Pembesar suara digunakan meminta penduduk kampung bersurai. Namun arahan itu tidak semudahnya dipenuhi oleh anak-anak buah suaminya. Kaum lelaki menyahutnya dengan laungan takbir. Solehah bersama kaum muslimat juga bertakbir. Dalam pada itu dari arah hadapan dalam kelompok orang ramai muncul kereta perisai.  Dikelilingi anggato polis yang lengkap bersenjata api. Orang-orang kampung pula tidak berganjak sebaliknya juga siap siaga dengan hanya bersenjata buluh, kayu, parang dan lastik.  
Kesemuanya tekad untuk tidak menyerah dan diiringi laungan takbir, mereka tetap tidak mengalah. Akhirnya gas pemedih mata dilepaskan. Orang ramai bertempiaran. Solehah memangku Syuhada yang sesak nafas. Ada kanak-akanak yang pengsan.
Tidak lama selepas itu terdengar bunyi tembakan dari arah jalanraya menuju ke arahnya. Kelihatan Cikgu Shafie (Guru di sekolah menengah Siong) yang baru beberapa bulan berkahwin dan beliau merupakan anak murid Ustaz Ibrahim.
Jam 1.00 tengahari; terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi. Mereka benar-benar telah diserang. Orang-orang kampung bertempiaran menyelamatkan diri. Meniarap, bawah bangsal tempat memasak, pondok kecil dalam kawasan rumahnya, di balik pokok durian dan lain-lain. Solehah berlari ke bawah rumah dan ramai muslimat berkumpul disitu. Tidak lama kemudian terdengar lagi bunyi tembakan. Kali ini lebih dhasyat dari yang awal. Pekak rasanya telinga. Bunyi tembakan itu seperti terlalu hampir dengan mereka. Kemudian terdengar laung ”Ustaz Man kena tembak!” ”Ustaz Man kena tembak” Solehah segera mendapatkan suaminya itu. Solehah sendiri tidak mengerti mengapa airmatanya tidak mengalir.
” Sudah sampai apa yang abang doakan selama ini, Bersyukurlah, mengucaplah.”
”Abang kena apa?” Suaminya bersuara
”kena tembak” Jawap Solehah ringkas.
”Alhamdulilah” Kata-kata terakhir dari As-Syahid Ibrahim Libya.
Akhirnya terus membisu. Solehah meraba bahagian dada suaminya itu. Ada darah yang membuak kesan temabakan. Begitu juga di paha kiri, darah mengalir deras.
Turut berada di situ ibu mertuanya. Ibu kepada Ustaz Ibrahim mengusahakan beberapa helai daun dan ditampalkan di paha anaknya itu. Namun Ustaz Ibrahim sudah tidak bergerak lagi. Dia kelihatan seperti orang yang tidur dan badannya lembut dan terasa panas.
Solehah membelai lembut rambut suaminya dan dikejutkan suara lantang beberapa lelaki
”Serah diri!, angkat tangan!”  
Solehah mengangkat wajah , mendongak beberapa anggota polis menghalakan muncung senapang kepadanya. Keadaan itu membakar semangatnya dan dipeluknya suami yang terkulai.
”Cepat serah diri. Kalau tidak kami tembak!” Gertak salah seorang anggota polis.
Solehah merenung tajam.
”Tembaklah” Laungnya dengan semangat.
Solehah akhirnya mengangkat tangan menyerah diri.  Diarah bergerak ke arah trak polis yang berada berdekatan laluan  pintu masuk kawasan rumahnya. Solehah melihat ramai juga tubuh orang kampung yang bergelimpangan di atas tanah. Dia tidak pasti masih bernyawa atau telah syahid.
Ramai juga kaum lelaki yang ditahan. Mereka dipukul dengan buntut senapang, disepak, ditampar. Hatinya bertambah pilu apabila dalam kelompok itu ada adiknya sendiri, Din yang sudah tidak berbaju.
Tidak berapa jauh dari situ Terdsapat deretan kaum lelaki lagi yang diarah meniarap. Beberapa orang anggota polis memijak dan berjalan di atas badan mereka, keadaan itu tidak ubah seperti zaman komunis. Namun tidak terdengar suara lolong kesakitan daripada mereka yang disiksa sedemikian rupa.

”Ya Allah tetapkanlah iman kami. Berilah pertolonganmu pada kami ini. Jauhilah kami dari segala kejahatan manusia” Solehah berdoa di dalam dirinya.


“ Yang wajib kita perjuangkan ialah Islam, bukan bangsa. Perjuangan bangsa ialah perjuangan taghut yang nabi tidak mengaku umat. Apalagi kerajaan yang zalim yang tidak menghukum dengan hokum Allah, memakai undang-undang otak manusia. Sebab itu jika mereka mati di dalam perjuangan bangsa, Nabi tidak mengaku umat”
(Petikan ucapan As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya; 1985)

“Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati bergalang tanah.”



“Apa dosa Ibrahim Libya? Beliau hanya mahu negeri ini ditadbir secara Islam, undang-undang negara ini dijalankan secara Islam. Beliau bukan penjenayah, apabila polis meminta dan menarik balik lesen senjata api, beliau menyerahkan kembali senjata api. Ini bukti beliau bukalah penjenayah. Memali adalah pembunuhan beramai-ramai... mereka dizalimi, dan ini adalah untuk melengkapkan syarat kepada kumpulan Islam, sebagaimana Firman Allah, ’Mereka berjuang (berjihad) pada jalan Allah tanpa menghiraukan celaan orang-orang yang mencela’ (Al-Maidah;54)
(Ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selepas peristiwa Memali; 1985)

 ”Pembayaran pampasan oleh pihak kerajaan tidak harus dianggap penyelesaian terhadap kejadian berdarah Memali. Dia dituduh membawa ajaran sesat, dituduh macam-macam yang memburukkan dia. Jadi kerajaan mesti mengumumkan, kerajaan mesti membetulkan semua tuduhan, menagatakan mereka ini (para syuhada) membawa ajaran sesat. Jika tidak, sejarah akan terus meletakkan Ustaz Ibrahim sebagai pembawa ajaran sesat, penentang dan sebagainya. Jika perkara ini tidak diperjuangkan untuk mengadakan pembetulan dan makluman semula, sejarah dan generasi depan akan terus mengulang tuduhan itu terhadapa para syuhada dan peristiwa tersebut. Bukan sahaja tuduhan terhadap peristiwa itu perlu diperbetulkan malah kerajaan mesti menghentikan dan membetulkan semua tuduhan yang dibuat terhadap mana-mana pihak dalam peristiwa Memali.”
(Petikan kata-kata Sasterawan Negara; A. Samad Said; 14 Mac 2010)  

(Insyallah kita akan bertemu di siri 2  MEMALI, KEADILAN YANG TERTANGGUH)

Monday, November 15, 2010

PENYELARAS PEND KHAS; MEMBINA RANCANGAN 5 TAHUN PENDIDIKAN KHAS



Alhamdulilah! Diizinkan Allah kita terus bersama mendidik, menyayangi dan memperjuangkan nasib anak-anak khas mengikut apa yang diamanahkan kepada kita. Insyallah.
Saya teruja untuk menulis tentang perancangan lima tahun Pendidikan Khas, apabila datangnya soalan daripada seorang guru muda yang diamanahkan menjadi Penyelaras Pendidikan Khas di sebuah sekolah.
Soalannya “ Cikgu!, Untuk bangunkan Pendidikan Khas sekolah kita selain perancangan startegik, apakah perancangan lain cikgu!”
Saya tidak puas menjawab persoalannya melalui panggilan telefon kerana tidak dapat menunjukkan  contoh sebenar dan target yang dikehendaki.
Bagaimanapun diingatkan, segala perancangan hanya akan tinggal perancangan sekiranya tidak disusuli dengan tindakan yang cemerlang.
Menjawab soalan tersebut tentu sekali seorang Penyelaras perlu menyediakan perancangan 5 tahun untuk target membangunkan Program Pendidikan Khas di sekolah yang diamanahkan. Pernahkah anda menghasilkan Rancangan 5 tahun sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Penyelaras Pendidikan Khas/GPK Pendidikan Khas?. Terpulang.
Pemimpin yang cemerlang akan melihat jauh ke hadapan dan bukan merancang untuk esok tetapi telah menyusun segala targetnya untuk beberapa tahun. Insyallah. 
Saya bersyukur kerana semasa di bawah pentadbiran Tuan Haji Ayob Bin Jantan  (Pengetua Cemerlang; Penulis buku’Pengetua Yang Efektif’), beliau menekankan perancangan lima tahun.
Apakah kriteria yang perlu difikirkan oleh seseorang Penyelaras untuk menghasilkan program 5 tahun;

  1. Logik dan munasabah mengikut keperluan dan kemahiran guru beserta keperluan murid-murid serta iklim sesebuah sekolah.

  1. Sesuai dengan sumber kewangan. (Bagaimanapun sumber kewangan, Penyelaras wajib menyediakan kertas kerja untuk memohon sumbangan pihak luar;- Ahli Parlimen, DUN, Pembekal buku, Syarikat-syarikat Swasta, dll)

  1. Berani dan ada kesungguhan. Bersedia menghadapi segala rintangan dan cabaran bagi memastikan apa yang dirancang terlaksana.

  1. Keupayaan membangun projek merentasi P & P Bijak menyusun program dengan merentasi kurikulum. Sebagai contoh jika kita membina kelas Pertukangan, ertinya merentasi P & P seperti kemahiran mengecat, memotong kayu dll dimasukkan ke dalam RPI dan dianggap kemahiran yang diserapkan kepada murid. 
Tanpa berselindung, di sini saya berikan contoh terbaru yang dihasilkan untuk membangunkan SMK Buloh Kasap dalam masa lima tahun akan datang. Saya yakin dan memegang konsep ilmu tidak perlu disembunyikan dan harus disampaikan. Selalunya apabila saya memilih untuk berkongsi dengan rakan-rakan maka akan bertambah melimpah ruah idea dan ilham untuk menulis. Insyallah  

Semuga perkongsian memberikan manafaat dan mengembangkan minda rakan-rakan seluruh negara untuk membangunkan Pendidikan Khas di sekolah masing-masing. Pun dengan rasa rendah diri, apa yang dipaparkan bukanlah yang terbaik sekadar satu perkongsian pengalaman. Insyallah. Bertemu lagi..... 

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BULOH KASAP, SEGAMAT, JOHOR
PERANCANGAN LIMA TAHUN
UNIT PENDIDIKAN KHAS


BIL

TAHUN

HURAIAN AKTIVITI


PEGAWAI
BERT’JAWAP

ANGGARAN
KOS

TEMPOH
PELAKSANAAN

TARIKH
PELAKSANA
AN

INDIKATOR
KEJAYAAN

CATATAN

1


  2011

Kelas Khas Masakan


Semua guru pend. khas

RM8000

Januari hingga
Julai

Januari hingga
Julai

Memberi suasana P & P yg kondusif utk KH Masakan




2.


2012

Bilik Media


Semua guru
Pend. khas

RM12000

Januari hingga Oktober

Januari hingga
Oktober

Wujudnya bilik Media utk kegunaan murid-murid Pend Khas
-P & p secara pelaksanaan projek


3.


2013

Bilik Pertukangan

Semua guru
Pend Khas

RM10000

Januari hingga Oktober

Januari hingga Oktober

Memberi suasana P & P yg kondusif utk KH Pertukangan



4.


2014

Keceriaan di luar kelas
(Landskap)
- Pembinaan Kolam Ikan

Semua guru pend khas

RM8000

Januari hingga
Oktober

Januari hingga
Oktober

Suasana ceria kws sekolah
(bersebelah-
an kws pend khas)
- P & P secara pelaksanaan
 projek


5.


2015

Kelas Khas Bestari dengan IT

Semua guru pend. khas

RM30000

Januari hingga
Oktober

Januari hingga
Oktober

Memberikan peluang P & P berdasarkan teknologi seperti computer, note-book, LCD ..






Thursday, November 11, 2010

APABILA ZAID IBRAHIM MEMBUKA TOPENG DI WAJAH………

   Apa cerita PKR? Macamana nak tawan Putrajaya?...  

Barangkali inilah proses pembersihan PKR. Saya bandingkan juga dengan kekuatan BULAN PUTIH dari segi istiqamah, keutuhan memegang prinsip, dan yang paling penting atas dasar apa sesuatu parti politik wujud dan berjuang. Dasar itulah yang menjadi inti dan melatari matlamat perjuangan…

Sambil terus menekan saya, rakan-rakan puak karat biru berkata impaknya besar. Saya katakan isu politik kebanyakan bersifat sementara dan PKR masih baru. Saya berikan contoh beberapa kes besar, satu ketika Negara gegar tuduhan kepimpinan utama Negara terlibat pembunuhan Altantuya sehingga keluar perkataan demikian (Segera DNA anak Altantuya untuk pastikan anak Razak atau Cucu Tun Razak). Segalanya bersifat sementara dan akan ditutupi oleh isu baru nanti. Satu ketika isu harga barang naik, kemudian isu perpaduan/penyatuan PAS – UMNO, kemudian muncul pula isu lain.

Cuma sekarang apakah tindakan yang akan dilaksanakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam rangka startegik pelan tindakan segera bagi mengelakkan bisul menjadi barah tahap kronik. Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dengan sepak terajang dunia politik yang penuh helah dan taktikal yang pelbagai. Meminjam kata Tun Mahathir “Tiada kawan dan lawan yang kekal dalam politik....”  

Pun DSAI ada ketikanya tidak juga dapat membuat penilaian yang tepat. Ya! Sebagai manusia biasa kita ada kelemahan. Ini adalah pengajaran paling berguna buat PKR. Lebih wajarlah PKR kekal dengan reformis tulen yang setia semenjak tahun 1999 (ketika api reformasi membakar Kuala Lumpur). Mereka yang mudah melompat dan bertukar-tukar rupa dan arah, pada pandangan peribadi saya ada sesuatu yang tidak kena dengan jiwa orang seperti ini...  

Baik isunya ;

  1. Bagaimana Zaid Ibrahim yang dianggap sudah masak dengan dunia politik boleh memberikan kenyataan akhbar kepada pihak media tradisional yang sentiasa diragui, jaguh putar belit dan tentunya akan menggunakan segala kelemahan Pakatan Rakyat untuk memadam kepercayaan rakyat? Mustahil Zaid tidak tahu natijah perbuatannya itu terhadap Pakatan Rakyat.


  1.  Wujudnya kenyataan merapu ini setelah Zaid melihat pertembungannya dengan Azmin, jelas tidak memihak kepada dirinya. Dalam keadaan seperti ini, sekiranya Zaid matang berpolitik dia tidak akan ’meroyan’... Sekiranya ikhlas dengan PKR Zaid tidak akan meraung kepada media perdana

  1. Mujurnya Zaid tewas di Hulu Selangor. Bayangkan jika takdir memberi kemenangan kepada PKR dan Zaid melepaskan jawatan dalam keadaan Barisan Nasional yang sedang reput bertungkus lumus memulihkan imej mereka di mata rakyat. Kemenangan di Galas tentunya masih menyuntik moral dan kita akan terpaksa menghadapi pilihanraya kecil lagi jika Zaid menang dan meletak jawatan...  Sungguh Maha Bijaksana Allah merancang segala-galanya.

  1. Zaid juga dengan bangga mendakwa beliau layak meggantikan DSAI memimpin  PKR. Hebat! Sedangkan  masuknya Zaid dalam PKR, dek dihukum UMNO kerana rasuah politik. Kalau pemilihan dalaman sudah sukar menerima ketika di ambang kekalahan, macam mana nak jadi pemimpin utama. ( kenyataan awalnya ingin membantu dan mengukuhkan PKR jelas tidak selari dengan apa yang sedang dibuatnya sekarang
  Sejarah politik, Zaid hebat juga. Beliau orang yang pernah menyaman hudud.  Ah! Sebetulnya sukar mahu membaca siapa Zaid sebenarnya dan apakah tujuannya menyusup dalam PKR. Allahuakbar! Sesungguhnya apa yang tersembunyi di hati makhluk hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui.

Kepada DSAI ini pengajaran yang sangat berguna. Sesungguhnya ubat memang pahit, tapi apabila sembuh dari penyakit, nikmat. Terpulang DSAI, kita di kem Pakatan rakyat tidak punya banyak masa untuk menghadapi PRU 13 dalam keadaan Dato Seri Najib senyum lebar melihat huru-hara pemilihan PKR. Lalu siapa pun yang bekasnya dari sana (UMNO) dan berada dalam PKR harus diawasi tanpa mengira agama, bangsa, pengalaman politiknya. Sekarang Zaid sudah membuka topeng di wajahnya... Jangan ada lagi selepas ini yang akan membuka topeng dan memperlihat wajah sebenar......... Wallahua’lam   




Sunday, November 7, 2010

‘ARSY’ ALLAH


 Perkataan ’Arsy biasa disebut dan lazim didengar oleh kita semua yang mengaku beriman kepada Allah swt. Lantas mengimani bahawa ’Arsy Allah dan Kursi-NYA adalah benar. Hal ini bersandarkan pada nas surah Al-Mu’minuun;116
” Maka, Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya; tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar selain DIA, Rabb (yang mempunyai) ’Arsy yang mulia”

Juga melalui surah Al-Buruuj;15
”Yang mempunyai ’Arsy, lagi Maha Mulia”

Adapun ’Arsy merupakan singgahsana; terdapat beberapa tiang dipikul oleh para  Malaikat. Menyerupai kubah bagi alam semesta. ’Arsy merupakan atap seluruh makhluk.

’Arsy ini dipikul oleh Malaikat dan jarak antara pundak Malaikat tersebut dengan telinganya sejauh perjalanan 700 tahun.

Sabda Rasulullah saw
”Telah diizinkan bagiku untuk bercerita tentang sosok Malaikat dari Malaikat-Malaikat Allah swt yang bertugas sebagai pemikul ’Arsy. Sesungguhnya jarak antara daun telinganya sampai ke bahunya adalah sejauh perjalanan 700 tahun” ( hadith diriwayatkan Abu Dawud , dari Sahabat Jabir Bin ’Abdillah; Sanadnya sahih)

Tentang Kursi-NYA, Allah berfirman melalui Surah Al-Baqarah;255;
”Dan Kursi Allah meliputi langit dan bumi”

Daripada Sa’id Bin Jubair bahwa ketika sahabat ’Abdullah bin ’Abbas menafsirkan ayat 255 Al-Baqarah tersebut, beliau berkata;
”Kursi adalah tempat meletakkan kedua kaki Allah, sedangkan ’Arsy tidak ada yang dapat mengetahui ukuran besarnya melainkan Allah swt”
Peringatan penting; pembaca diingatkan jangan sekali-kali membayangkan kaki Allah kerana di luar batas akal dan Allah sama sekali tidak menyerupai sesuatu

Imam Ath-Thahawi (wafat th,321 H) berkata;
“ Allah tidak memerlukan ‘Arsy dan apa yang di bawahnya. Allah menguasai segala sesuatu dan apa yang di atasnya. Dan DIA tidak memberi kemampuan kepada makhluk-NYA segala sesuatu.”

Dilanjutkan oleh Imam Ath-Thahawi
”bahawa Allah menciptakan ’Arsy dan bersemayam di atasnya, bukanlah kerana Allah memerlukan ’Arsy tetapi Allah mempunyai hikmah yang tersendiri tentang hal itu”
 Para pembaca sekalian juga diingatkan jangan sekali-kali merasakan Allah statik bersemayam di atas ’Arsy-NYA. Sesungguhnya Allah swt meliputi dan Maha Mengetahui segala dengan segala Maha Kemuliaan, Maha Kebijaksanaan, Maha Perkasa, Maha Mengetahui segala yang nyata dan tersembunyi dan segalanya milik Allah baik di  mana sekalipun.

Adapun ’Arsy dan rahsianya tetaplah juga milik Allah dengan segala hikmah maha Kebijaksanaan dan segala ilmu yang diberikan kepada makhluk bersifat terbatas.

Friday, November 5, 2010

BULAN TIDAK MENGAMBANG DI GALAS

Keputusan penuh dan rasmi pilihanraya kecil DUN Galas sudah diketahui umum dengan memihak kepada BN. Keputusannya secara tepat begini: Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas, Wan Mustapha Wan Ab Hamid mengumumkan Abdul Aziz 5,324 undi dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad  mendapat 4,134 undi. Calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas. (Sumber :Bernama)

 Sesungguhnya DUN Galas merupakan kubu kuat BN semenjak sekian lama dan kerusi itu diserahkan sementara kepada PAS hanya pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Melalui Chek Hashim Sulaiman, 46, yang memenanginya pada pilihanraya yang lalu dengan majoriti tipis 646 dan kemudiannya dijemput pulang ke barzakh oleh Allah pada 27  Sept akibat barah usus. Jika dianalisis melalui angka Pas pun bukanlah berada dalam keadaan tenat kerana undi merosot sebanyak 265 sahaja (4399 – 4134). Cumanya peratus keluar mengundi yang agak tinggi 83 peratus. DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar.

Banyak sahabat-sahabat yang bersedih dengan kekalahan ini lalu meluahkannya kepada saya melalui laman chat FB, rangkaian komunikasi sms. Bagi pihak diri saya mudah sahaja. Kita terima kekalahan dengan redha, hati terbuka dan berlapang dada. Sungguh perjuangan menentang kebatilan tidak semudah kita mengucapkan kata-kata. Terlalu banyak ranjau dan durinya. Lalu mengingatkan diri sendiri dan para sahabat yang sealiran bolehlah kita sentiasa tenang dan redha;

1.      Sentiasa bersangka baik kepada Allah swt. Sungguh kita telah berdoa dan berusaha maka jika Allah menangguhkan doa dan ikhtiar, kita itulah yang terbaik untuk kita. Perancangan Allah itulah yang terbaik dan sempurna untuk kita.

  1. Pengundi-pengundi  di Kelantan saya anggap pengundi yang bijak dalam menentukan lanskap politik negeri mereka. Kekalahan ini tidak mengugat kerajaan negeri yang diterajui oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Ertinya kekalahan ini tidak dapat menumbangkan kepimpinan Ulama di Kelantan.
  1. Sementelah segala janji-janji boleh menjadi peluru untuk kita menjelang pilihanraya umum ke 13 sekiranya mereka gagal menyempurnakan apa yang dijanji. Jika mereka bertungkus lumus menyempurnakan satu keberuntungan untuk rakyat Kelantan di DUN Galas.
  1. Masa untuk kita sendiri bermuhasabah dan memperbaiki diri sendiri. Ketahuilah kritikan seorang sahabat lebih untuk menjaga hati dan kritikan dan henteman musuh itu adalah manifestasi jujur dan kita harus menerimanya dengan terbuka dan berusaha memperbaiki diri. (Cumanya jangan patah semangat dengan kritikan!  perjuangan tetap akan diteruskan selagi ada nadi)
  1. Banyak kisah perjuangan dan iktibar dari zaman Rasulullah saw dan para sahabat yang boleh kita jadikan motivasi diri supaya jangan terlalu bersedih dan berasa keciwa. Rasulullah saw menang perang Badar dan kemudiannya tewas dalam perang Uhud, segalanya tidak pernah melunturkan semangat. Segala yang berlaku ada hikmah yang tersendiri.
  1. Ini adalah sunnah dan asam garam perjuangan. Menang dan kalah adalah permainan. Cuma kita perlu sentiasa ingat perjuangan menegak hak, menentang batil bukan semata-mata isu menang dan kalah sebaliknya benar dan salah mengikut Al-Quran dan Hadith. Yakinlah para sahabat sampai masanya zaman kegemilangan pemerintahan yang berteraskan Keislaman akan memperolehi kemenangan. Ditangguhkan untuk kita memperbaiki diri ke arah pemerintahan apabila menang kelak. Insyallah!.
  1. Kita sedar apabila berlakunya pilihanraya kecil, kita terpaksa menentang segala jentera, taktikal dan teknikal yang kadang-kadang bukan dilaksanakan berasaskan kejujuran dan secara gentleman. Ya! Menentang kekuasaan yang telah berusia 52 tahun memegang tampuk pemerintahan. Tidak mudah! Namun bukan mustahil untuk kita menang pada pilihanraya akan datang.
Akhirnya apa pun (diulangi); sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana kekalahan ini menyimpan seribu satu macam hikmah yang kekadang tidak tertangkap oleh akal kita yang bersifat terbatas.

Apa pun tiada istilah ‘mengalah’. Perjuangan tetap diteruskan selagi roh masih di dalam jasad.’

Allahuakbar!!!
Allahuakbar!!!!!!!!
Allahuakbar!!!!!!!!!!!!!



 

 





Related Posts with Thumbnails