Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, April 25, 2010

JIMAT ATAU ANIAYA

Bermula Jumaat 23 - 25 April 2010 berkampung semua pegawai sukan, pengadil, pengurus, jurulatih dan atlet atas nama 'Karnival Sukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia Negeri Johor'. Pusat Matrikulasi Tangkak menjadi medan tempat berkumpulnya kurang lebih seramai 3000 atlet yang datang dari seluruh pelusuk negeri Johor Darul Takzim. Apa tidaknya setiap 9 jenis permainan membabitkan tiga kategori umur iaitu !8, 15 dan 12 tahun mengikut jantina.
Seperti tahun-tahun sebelumnya saya bersama tuan Haji Azmi telah diamanahkan untuk membawa skuad takraw L15. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah perlunya penambahbaikan, bukan kritikan buta tanpa arah. Pihak atasan hanya mengatur, kami sebagai pelaksana dapat melalui, melihat keadaan dengan pancaindera sendiri. Khabarnya karnival ini diatur sebegini rupa sebagai langkah berjimat-cermat walaupun sering mendengar retorik dan laungan bombastik ekonomi negara berada dalam keadaan baik. jumlah pegawai setiap kategori juga dikurangkan daripada 3 orang kepada 2 orang
Pengangkutan setia kategori hanya sebuah kereta dibenarkan dan rakan saya yang membawa kereta juga belum menerima ongkos minyaknya sehingga tulisan ini dikarang. Para atlet dibawa dengan bas. Segalanya telah dapat dilihat dengan jelas apabila makan tengahari hari pertama yang disediakan secara buffet kelihatan agak huru-hara dengan lauk dan air yang perlu sentiasa dipantau dan diminta tambah, jika tidak anak-anak murid hanya berlauk kuah sahaja.
Keadaan bertambah buruk apabila dua buah yang disediakan untuk daerah Segamat perlu membawa semua atlet ke tempat pertandingan yang berbeza. Umpamanya sepak takraw L18 bermain di SMK Tun Mamat, L15 di SMK Ledang dan L12 bermain di Jalan Solok. Itu baru satu kategori permainan belum membabitkan lapan permainan lain yang sebahgiannya bermain di Sungai Mati. Jadual permainan yang tidak berapa kemas iaitu samada bermula atau habis tidak mengikuti masa dan agak lewat. Akibatnya murid terpaksa balik lewat ke penginapan dan apabila sampai makanan sudah habis. Cukup mengharukan apabila murid-murid yang lapar dan kepenatan memaklumkan "cikgu makanan dah habis" apabila pulang tengaharinya pada hari Sabtu sedangkan jam 2.30 petang akan bermain untuk suku akhir. Aku memandang wajah Haji Azmi, kami membeli nasi dan lauk di kedai berdekatan dan mengarahkan murid naik bas semula kerana permainan suku akhir akan berlangsung.
Aku dan Haji Azmi membawa nasi ke SMK Ledang dan cukup memilukan apabila memandang wajah pemain-pemain kami saat sampai mereka berkata :" Cikgu dah panggil main suku akhir! " Sekali lagi aku dan Haji Azmi berpandangan sambil terasa ada beban berat menghempap kepala kami. Pemain-pemain kami masuk gelanggang dan bertarung dalam keadaan lapar dan letih. Namun ini bukan alasan kami tewas tapi penjimatan sebegini cukup menganiayakan.
Bukan setakat berakhir di situ. Habis pertandingan itu mereka makan nasi yang dibeli tadi, simpati menikam dada waktu itu sudah jam 4 petang. Pukul 5 lebih bas datang dan kesemua pemain setiap kategori dibawa minum dan makan roti canai, ihsan Encik Nasir.
Pulang sebelum maghrib , kami telah meminta murid-murid makan. Selepas maghrib bertanya murid-murid sudah selesai makan atau belum. Satu lagi jawapan yang cukup menyedihkan. "Cikgu! ambil nasi tak boleh makan cikgu. Lauk ayam dah busuk. Baunya melekat kat tangan! Buang saja cikgu! tak boleh makan!" (apa tidaknya pengusaha yang terlibat perlu menyediakan makanan sarapan, tengahari, malam untuk 3000 orang atlet.
Lalu aku dan Haji Azmi tiada pilihan lain. Kami memandang mereka seperti anak-anak kami sendiri dan sangat menyayangi mereka. Berbekal modal yang kami ada membelikan kesemuanya roti berinti kacang beberapa bungkus. Kami bukan usahawan atau ahli-ahli politik yang punya banyak wang, kami makan gaji. kalau kami kaya raya kami akan bawa mereka semua keluar makan. Insyallah.
Tulisan ini hanya meminta semua pihak yang terlibat membuka mata dan minda. jika menyusun sesuatu program pastikan kebajikan budak-budak diutamakan. Kita memang dituntut berjimat tetapi bukan menganiaya. Ada lebih baik sekiranya sukan negeri ini dibuat seperti tahun sebelumnya dengan satu daerah menjadi tuan rumah untuk satu jenis permainan, lebih kemas dan teratur.
Sebelum pulang saya memerhati sekitar matrikulasi Tangkak yang kotor dengan bekas palstik makanan dan minuman di merata tempat terutamanya di tangga. Teringat malam tadi kelihatan juga atlet yang berpasangan duduk berhimpit di tangga. Yang di depan mata sudah ditegur namun ada juga maklumat mengatakan bebudak ini berpasangan sehingga ke tempat-tempat tersembunyi dalam kawasan Matrikulasi ini. Jangan ada sekolah yang dapat cucu sebelum waktu. Nauzubillah.
Ketika kereta bergerak saya juga teringatkan tandas dan bilik mandi yang ada paipnya tidak boleh ditutup, dan ada air najis berladung dek tersumbat.  Sedikit penjimatan yang tidak seberapa tetapi memakan korban yang besar iaitu cukup menganiaya anak-anak didik kami. Jika ini keadaannya bagaimana sukan kita hendak ke tahap antarabangsa. Ini baru peringkat negeri. Kata orang Jepun 'kalau satu sen tidak boleh jaga, bagaimana hendak menjaga satu juta' Semuga slogan 'Rakyat di dahulukan Pencapaian Diutamakan' tidak menjadi retorik yang menjadi hampas kelapa yang dimakan merbuk....

2 ulasan:

zaidakhtar said...

salam.
testing!

Zaid Akhtar said...

salam, Rul.
2nd comment testing!

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails