Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) meninggalkan sesuatu yang tidak mungkin aku dan isteri lupakan sepanjang hayat kami. Tarikh 20 Mac 2010 kami bertolak dari Kuala Selangor kira-kira jam 11 pagi dengan ghairah yang membara untuk melihat buku terbaruku seperti yang dijanjikan Utusan Publications. Kami sampai ketika suasana begitu meriah dengan ramai pengunjung berlegar dan memenuhi PWTC.
Tiga empat kali menghubungi wakil Utusan, akhirnya bertemu juga dengan gerai Utusan. Sebal, keciwa dan terluka bila dimaklumkan buku terbaru (Pendidikan Khas) masih belum siap dicetak. Memujuk perasaan yang jengkel, kami akhirnya berputar-putar cuba mencari buku-buku yang boleh dijadikan koleksi. Sebelum itu membelek-belek juga novel RENGSA yang teratur di rak jualan.
Setelah membeli beberapa buku kami bergerak ke gerai DBP. Melihat novel-novel lama dijual dengan harga serendah RM3 sahaja. Tiba-tiba isteri yang sebelum ini mendahului saya, bertanya "Adam ada!" Pertanyaan itu berbaur resah dengan wajah cemas. Aku menggelengkan kepala.
Adam hilang dari kami. Akhirnya hampir satu jam kami dibelit resah, bimbang dan pelbagai rasa. Aku memanjat tangga memandang ke kawasan seluas yang dapat namun kelibat Adam tidak kelihatan. Putera kedua berusia lapan tahun. Teringat keletahnya. Apakah Allah hanya meminjamkan Adam seketika sahaja untuk kami. Aku berdoa dalam hati "Ya! Allah jika benar setakat ini sahaja Adam akan bersama kami, KAU ambillah. Sekiranya benar KAU masih mengizinkan dia bersama kami, pulangkanlah Ya! Allah." Lima belas minit selepas itu terdengar pengumuman "Sesiapa yang kehilangan anak bernama........"
Aku bergegas ke sana. Adam menyapu airmata. Aku bersyukur dan memuji Allah. KAU yang memberi!, KAU yang mengambil! KAU yang memulangkannya.
Kami pulang ke Segamat petang itu dengan pelbagai rasa dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan.
1 ulasan:
pengalaman 'kehilangan' anak memang membuatkan seperti hilang separuh nyawa. Ujian pengharapan dan tawakkal kepada-Nya.
Post a Comment