Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Saturday, September 1, 2012

BANG! SAYA KECIWA BANG!!!


                Sambil melayan watak-watak yang muncul dalam manuskrip baru (novel mistik yang dijanjikan untuk Alaf 21) tiba-tiba meraung lagu Maher Zain dari telefon saya di bilik tidur. Jam sudah pukul 2 57 pagi. Saya bergegas ke bilik untuk menjawabnya kerana bimbang terganggu tidur isteri kesayangan saya. Di skrin telefon tertera nama anak muda….. yang bertugas di kementerian……. dan biasa juga minum dan sembang perihal agama, politik, kerjaya dengan saya. Ya! Allah apakah halnya pulak?.
                Salam diberi dan disambut.
                “ Abang dah tidur ke? ” Nadanya sayu menyoal saya
                “ Insyallah! Belum lagi.” Jawap saya jujur
                “ Saya ganggu abang ke! Abang tengah tulis buku ya!” Tanyanya lagi.
                “Alhamdulilah! Lebih kuranglah!” Jawap saya sambil membuat simpanan bab yang sudah dihasilkan di kotak memori komputer riba.
                “Bang saya minta maaf! Saya nak jumpa abang sekarang boleh tak?” Tanyanya separuh mendesak.
                “ Hiss! Kenapa nie! Masalah agama, bangsa dan negara ke? “ Saya separa melawak. Mendengarkan dia terdiam seketika, saya seperti rasa bersalah pula.
                “ Kalau abang sibuk tak apalah!” Katanya lagi seperti ada rajuk.
                “Eh! Tak apa. Insyallah boleh! Ok kita nak jumpa kat mana sebab dah dekat pukul tiga pagi ini. Kedai mamak yang bukak pun dalam Putrajaya nie pun rasanya Presint 9 aja!” Balas saya serius.
                “Terima kasih bang! Abang tunggu kat bawah surau presint abang tu, saya datang ”Jawapnya kembali secara terus tanpa basa basi lagi.

                Dipendekkan cerita dia datang dengan Proton Saga versi baru ,mengambil saya yang menunggu di surau. Lalu keputusannya kami berhenti di pinggir tasik Presint dua berdekatan masjid besi. Dalam perjalanan berulangkali memohon maaf kerana mengganggu saya. Pun saya jelaskan tidak ada apa-apa kerna saya biasa berjaga malam. Kami duduk menghadap tasik, memerhati jambatan tidak siap dan memandang juga jambatan lengkap yang berkedudukan sebelah kanan tempat kami berhenti ini.
                Biarlah saya gelarkan namanya dengan M. Seorang PT. Anak muda yang kerap menyoal perihal agama jika berkesempatan minum dengan saya samada bersarapan dan makan tengahari.
                “Betul bang apa yang abang cakap!” Katanya sambil memandang wajah saya. Saya cuba mengingati apa pula yang pernah saya katakan dan bila masanya.
                “abang ingat tak tahun lepas kita minum sama.” Tanya lagi. Saya sedaya mungkin cuba mengingati. Berapa ramai yang pernah minum dan apa yang pernah saya katakan padanya. Kemudian dia menyebut beberapa nama dan mengungkit waktunya sebelum solat asar di surau pejabat E2.
                “Tahun lepas dalam bulan sebelas!” Saya menganggukkan saja kepala walaupun hakikat sebenarnya saya tidak lagi dapat mengingati.
                “Abang usik saya, tanya pasal special girl. Lepas yang lain belah! Kan tinggal abang dengan saya je kat café!”  Katanya lagi dengan nada tidaklah tenang.  Kami terdiam seketika.
                “Ya! Insyallah abang ingat. M cakap ada budak tu student USM. Itu pun kalau abang tak silap la.” Jawap saya separuh yakin.   
                M yang berasal dari salah sebuah negeri di Utara semenanjung menganggukkan kepala.
                “Kenapa! Alhamdulilahlah tu. Jangan buat bukan-bukan. Ada rezeki nikah la. Sempurnakan sebahagian agama. Sebahagian lagi hendaklah bertakwa!” Kata saya memandang wajahnya dalam remang cahaya lampu jalan di pinggir track jogging pinggir tasik ini.
                Wajahnya nampak sayu sekali.
                “ Dulu abang ada cakap! Kalau bersaing lelaki yang dekat akan menang!” Katanya lambat tetapi agak menyentuh juga. Ya! Saya mengingati fakta tersebut. Jika dalam pertarungan perkasihan yang membabitkan tiga segi, empat segi, lima segi, lelaki yang paling dekat dengan perempuan tersebut akan menang.
                “Habis tu?” Soal saya pendek tapi rasanya cukup difahami.
                Dia menyeluk kocek seluarnya mengeluarkan telefon bimbit. Menekan dan mencari sesuatu. Mengunjuk dan secara jujur memberikan saya untuk mentelaah dan memahami tulisan di skrin telefonnya.
                Ah! Sah! Hati anak muda ini sedang hancur. (Biarlah saya rahsiakan apa yang tertera di telefonnya.) Saya unjuk kembali telefonnya dan matanya berkaca. Ah! Tulus sungguh kasih sayangnya dan barangkali harapannya terlalu tinggi dan tidak berbelah bagi.
                “Betullah bang! Siapa yang dekat, dia menang! Budak lelaki itu belajar sama dengan dia!” Kata-kata itu diucap tanpa memandang wajah saya. Saya pula sedaya mungkin cuba mencari kata-kata atau pesan terbaik untuk mencatumkan hatinya yang barangkali retak lebih seribu.
                Sambil dia terus bercerita tentang kesetiaannya walaupun ada gadis yang bekerja di sini cuba memenangi hatinya, tentang doa dan harapannya dan akhirnya dalam kabus pagi Putrajaya di pinggir tasik ini, dia menangis di hadapan saya. Ya Allah! Cinta sesama makhluk kadang-kadang boleh mencantas kewarasan manusia.
                Agak lama saya membiarkan dia melepaskan emosinya tanpa memotong walau sepatah katanya selain saya mengiya dan menanggukkan kepala.
                “Maaflah bang! Sejak lepas Isyak tadi fikiran saya terfikir abang. Keluarga saya jauh. Saya tak yakin nak cerita dengan kawan-kawan serumah. Dia orang semua pun muda lebih kurang saya.” Katanya selepas melepaskan airmata.
                Huh! Lelaki yang menangis kerana cinta. Hai! Anak muda kenapalah engkau memilih aku untuk meluahkan perasaan.
                “M pernah dengar cerita lelaki mengadu kepada Rasulullah tentang pinangan dia ditolak.” Saya memancingnya selepas dia agak tenang.
                Dia menjawabnya dengan gelengan kepala.
                “Satu hari ada lelaki mengadu kepada Rasulullah pinangan dia ditolak oleh seorang perempuan. Rasulullah jawap ‘sabarlah! Engkau akan memperolehi perempuan yang lebih baik daripada dia dan dia akan mendapat lelaki yang lebih baik dari engkau’” Dia mendengar dengan teliti dan saya menyambung lagi.       
                “tengok jawapan tu. Adilkan! Percayalah ini ujian kecik M. Insyallah abang doakan dan yakinlah takde sabda Rasulullah yang tak betul. Insyallah Allah hendak beri yang lebih baik untuk M!” Saya cuba meyakinkan M. Dia mendengar dengan tenang, tidaklah terlampau terbawa sentimen emosi seperti awal dia meluahkan kekeciwaan tadi.
                “Baliklah pada Allah. Sangka baik pada Allah! Percayalah M! kamu akan dapat lebih baik dari dia dan dia dapat lebih baik dari kamu!” Saya sehabis mungkin memujuk anak muda yang boleh saya kategorikan baik selama yang saya kenal di sini. Kacak orangnya, cumanya kekeciwaan tidak mengenal rupa, pangkat dan status.
                Lama terdiam, kemudian dia menyambung tentang kenangannya dengan student tersebut. Pertemuan apabila pulang bercuti ke negerinya.      Selepas bercerita tentang kenangannya dimatikan ayat tersebut dengan kalimat;  “kenangan payah lupa bang!”
                “M! semua orang ada kenangan. Kenapa tak boleh lupa? sebab kenangan duduk dalam fikiran dilingkungi perasaan! Kalau M ingat sampai bila-bila pun orang tak boleh buat apa pun. Tapi ingat Allah tidak janjikan dia untuk M dan M juga bukan untuk dia. Ambil masa la sikit. Tapi kalau M kuat solat malam minta dengan Allah! Insyallah semuanya ok. Tentang kenangan tu abang akui! Kenangan tak boleh dibunuh. Tapi kita kena balik pada Allah!” Balas saya tenang tanpa mahu mencuit emosinya yang rawan.  
                 Lama juga saya melayan M, anak muda berusia 24 tahun yang saya kira belumlah mengenal warna kehidupan sebenar. Saya tidak lepas meminta dia kembali kepada Allah, kepercayaan kepada takdir, sabda Rasulullah dan tentang dunia ini hanya permainan dan kehidupan ini sekejap sahaja. Sehinggalah dia menghantar saya pulang, saya meninggalkan pesan ini.
                “Percayalah kalau hati tidak tenang. Bacalah surah An Nur!”
                “Insyallah! Bang. Balik ini saya baca surah An Nur. Terima kasih banyak bang! Bang! Kalau malam lain saya rasa perlu keluar dengan abang boleh!?” Nampak jiwanya sedikit ‘hidup’.
                “Insyallah! Call la!”
                Akhirnya kami bersalam dan dia mencium tangan saya.
                “Bang! Macam mana abang tahu ini semua?”
                “Pengalaman!” jawap saya pendek dan dia tersenyum dan saya membalas senyumannya.

(Artikel ini ditulis selepas mendapat persetujuaan M! SENTIASALAH BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH TAA’LA)
   
                     
           
                 

1 ulasan:

Putra Hijau said...

Hebat... sentuhan ini, senyum sendiri aku membayangkan suasana ketika itu... hahahaha ... teringat zaman-zaman dulu, pelbagai kes dan kesah di curahkan... kita tukang dengar je... (Senyum)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails