Putera-puteriku melihat kalian mencicipi makanan lazat dalam suasana berbuka tiga hari kita meredah Ramadhan ini, tiba-tiba abah terkenangkan musim silam yang berselirat dengan lara tetapi cukup indah... Seakan hati abah meronta untuk kembali ke musim perit itu tetapi cukup mendewasakan ayah, Mak Long dan Pak Ngah kalian.
Zaid! (putera sulungku) pernah bertanya "mana atuk abah Zaid Bah!?" Ya! bapaku itu pergi meninggalkan bonda ketika abah berusia 2 tahun. Zaid pernah baca novel abah 'PELANGI MALAM', Di situ abah cuba mengangkat nenekmu (bondaku) sebagai wanita tabah yang melakonkan dua watak sekaligus sebagai ibu dan ayah untuk abah dan Mak Long serta Pak Ngah.
Ketahuilah sehingga hari ini abah sendiri tidak tahu apakah datukmu itu masih hidup atau telah lama bersemadi di dalam tanah. Namun pasti datukmu itu berhutang cinta kepada nenekmu! Gantung tidak bertali! Nenekmu itu adalah wanita berhati waja. Mengorbankan usia mudanya untuk kami. Nenekmu itu melalui kehidupan yang sungguh pedih untuk membesarkan kami dalam satu masyarakat Melayu yang konservatif. Nenek tidak berkahwin walaupun ditinggalkan ketika usia 28 tahun dan seperti yang kau lihat sekarang anak-anakku! nenekmu sudah pun berusia 62 tahun dan telah selamat menunaikan haji tanpa seorang suami yang meninggalkannya tanpa khabar berita
Anak-anakku! Ramadhan abah yang silam....kami tidak punya hidangan seenak ini. Gaji nenekmu yang bekerja di kilang getah di pekan Batu Anam tidak memungkinkan kami untuk merasai keenakan tenggiri asam pedas, cencaru bakar, ayam goreng... Tapi ayah dewasa dengan penuh kematangan dan menjadi 'manusia'.. Percaya atau tidak ikan paling sedap untuk kami ialah 'selar kuning'...
Ada ketikanya nenek terpaksa berhutang untuk beras dan barangan dapur. Kedai Sin Foh Chong di pekan Batu Anam juga sudah ditutup selepas cina tua itu meninggal dunia. Hanya bertahan sekejap selepas diambil oleh anaknya. Abah masih mengingati segala-galanya.
Jika Adam (putera keduaku) pernah bertanya :"kenapa abah suka makan nasi goreng kampung?". Itulah makanan malam yang cukup sedap buat kami wahai anakku. Nenek akan goreng campur sayur kangkung. (Insyallah! abah tidak akan lupa bumi mana abah berpijak! nasi mana yang pernah menjadi darah dan tenaga dalam tubuh abah). Abah dan Pak Ngah selalu mengharapkan hujan turun, supaya air naik dan mudah kami menangguk ikan sepat siam. Ikan itu akan menjadi lauk yang sungguh lazat bila digoreng dengan cili api. Atau memancing untuk mendapatkan keli dan haruan... Ah! musim itu telah berlalu. Namun ada ketikanya abah seperti ingin kembali ke zaman itu. Sekarang ikan pun dah kurang. Selepas banjir besar melanda pekan Batu Anam (1984), pembinaan jambatan keretapi dan jambatan batu besar di atas jalan raya yang merentangi pekan Batu Anam selepas gate keretapi. Selepas terbinanya jambatan itu air menjadi sangat cetek dan tohor dan habitat ikan perlahan-lahan pupus.
Kalian berpeluang memakai baju Raya yang agak berjenama. Abah dulu... apa yang nenek mampu berikan kepada kami. Alhamdulilah! baju tetap bertukar setiap kali raya cuma barangkali tidaklah berjenama seperti yang tersalut di tubuh kalian. Dan rumah nenek ketika itu tidaklah seselesa sekarang. Anak-anakku! kalian tidak sempat melihat satu perjalanan sejarah yang cukup mendukacitakan bagi seorang isteri yang ditinggalkan begitu sahaja oleh suaminya, lalu abah cuba merakamnya dalam catatan pendek ini. Terlalu sukar untuk diungkapkan apa yang nenekmu dan kami semua rasai anak-anakku!....
Cuma pesan nenek masih abah ingat! "belajarlah bersungguh-sungguh supaya anak-anak kau besok senang!" Ternyata kata-kata itu benar wahai anakku! Sesungguhnya sempadan perjalanan hidup abah berubah hanya dengan ilmu. Itu pun tatkala menatap surat panggilan dari Universiti 16 tahun dulu, kami gusar kerana masalah kewangan yang menjerat. Namun Allah telah mengaturkan segalanya dengan sebaik mungkin.
Abah harap kalian belajar sesuatu daripada catatan ini;
1. Jadilah orang yang bersyukur atas apa yang kalian miliki hari ini- walau pun abah dan umi bukan orang yang kaya-raya tetapi kalian mempunyai nasib yang jauh lebih baik daripada kami....
2. Jadilah orang yang berilmu - Ilmu boleh mengubah perjalanan hidup seseorang.. Pun janganlah kalian niatkan berilmu untuk menjadi kaya tetapi peganglah bahawa berilmu untuk kalian lebih hampir kepada Allah. Percayalah jika kalian berharta belum tentu ilmu akan datang kepada kalian tetapi jika kalian berilmu, harta dengan sendirinya akan datang kepada kalian... Pun janganlah kalian pusatkan hidup ini untuk harta semata-mata! abah bimbang kalian akan binasa tanpa sedar kerana harta tidak lebih dari daki dunia yang bisa menjadi racun dalam hatimu.
3. Jadilah orang yang mudah simpati dan belas terhadap kesusahan hidup orang lain sekali pun kalian tidak memiliki pengalaman seperti nenek membesarkan abah...
4. Abah harap anak-anak abah akan menjadi manusia yang kenal siapa Pencipta dan Penghulu kita seterusnya menggunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk menegakkan syiar Islam. Ingatlah sehebat mana pun kalian! dunia ini hanya sementara dan kita semua pasti mati untuk bertemu dengan Allah swt.
4. Abah harap anak-anak abah akan menjadi manusia yang kenal siapa Pencipta dan Penghulu kita seterusnya menggunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk menegakkan syiar Islam. Ingatlah sehebat mana pun kalian! dunia ini hanya sementara dan kita semua pasti mati untuk bertemu dengan Allah swt.
Ramadhan dan kenangan . Abah dedikasikan catatan ini untuk nenekmu- Hajah Zainab Binti Md. Ali serta Umi dan anak-anak abah!.............
0 ulasan:
Post a Comment