Lanjutan dari siri 2, tulisan diteruskan untuk generasi baru supaya tahu apa sebenarnya yang berlaku terhadap berkaitan peristiwa Memali. Jangan tersalah tafsir, tersilap membuat perkiraan. Kebenaran tidak mati sekalipun orang yang memperjuangkannya telah mati..
20 minit di dalam trak selepas Memali diserang, Solehah sampai di Kem PPH Tanjong pari. Baru benar rasanya melihat suaminya menemui syahid di depan mata sendiri. Pakaian yang sama, masih berbekas kesan darah suaminya pada pakaian.
Di halaman kem sudah ramai kaum lelaki yang ditahan. Pelbagai situasi yang pantas menerbitkan kepiluan. Digaris secara individu mahupun berpasangan. Tika itu titis hujan mencium bumi, mereka kebasahan bersama terpamernya keletihan dan kelesuan di wajah masing-masing.
Mentari yang berduka di dada langit, enggan menghantar cahayanya ke bumi. Perlahan-lahan malam datang mengikut sunnah alam. Hati Solehah bertambah sayu. Sesekali tangisan anak berusia lapan bulan bernama Mahyudin lebih deras menghantar kedukaan untuk bersarang di sukma. Mahyudin anak kepada Rokiah yang turut sama ditahan. Tangisan itu juga diselang seli dengan seorang lagi kanak-kanak bernama Hizman. Kelaparan merenggut usus anak-anak ini. Apatah lagi dalam keadaan suasana hujan. Hampir sembilan malam barulah mereka semua diberikan makanan, lauknya sardin mentah dan seiris potongan betik. Satrah yang berusia empat tahun makan dengan begitu beriya-iya. Mereka semua benar-benar kelaparan. Selepas puas mengahdapi peluru dan gas pemedih hati separuh hari tadi, memang mereka belum menjamah apa-apa makanan.
Selepas berehat seketika maka proses soalsiasat dimulakan dan sasaran utama tentulah kepada Solehah.
”Siapa nama awak?”
”Solehah” Pendek dan tepat
”Awakkah isteri Ibrahim Mahmud?”
Solehah diam dan menundukkan wajah
”Hei! Jawablah! Awak isteri Ibrahim, ustaz yang sesat tu” Sergah........ lagi.
Solehah masih ambil tidak peduli dengan soalan itu. Keadaan itu menyebabkan sipenyoial berang. Kemudian keluarlah maki hamun kepada Solehah.
”Awak tahukah! Ustaz tu sesat, dia guna ilmu kebal. Dia ajar orang ilmu kebal!” Bebel berterusan
Solehah masih tidak menjawab
“Tau dak ustaz tu sesat. Ada ilmu kebal. Di mana dia belajar, dekat Haji Mat Lala kan?” Masih terus menekan Solehah dengan kata-kata.
”kalau dia ada ilmu kebal, tentu tembak tak luka. Tapi ustaz luka juga” Kali ini Soelhah menjawab dan hujahnya sukar disangkal.
Mendengar jawapan itu, mereka terdiam. Mati akal.
Sudahnya hanya sumpah seranah dan maki hamun sahaja yang dilontarkan kepadanya. Solehah sendiri tidak ingat berapa lama dia disoal siasat. Dibenarkan keluar dari bilik dengan kesedihan dan kedukaan yang panjang.
Solehah juga menyaksikan kaum lelaki yang disoal siasat. Mereka turut menerima kesan fizikal. Antara yang dipukul, ditendang, ditumbuk serta ditampar; Haji Azmi Haji Salim atau dikenali Pak Jang Mie.
Lelaki itu disoal siasat bersebelahan dengannya. Tindakan yang dilakukan itu menyebabkan wajah Pak Jang Mie berubah. Terdapat kesan lebam-lebam dan bengka.
Solehah masuk ke bilik untuk tidur. Semuanya bergelimpangan. Terlena dalam keletihan. Termasuk Rokiah dan anak-anaknya. Tubuhnya direbahkan di lantai simen tanpa beralas apa-apa. Juga tanpa bantal. Terlena....
Subuh mempamerkan diri melengkapkan kitaran alam dan waktu. Bagaimana mahu solat dengan pakaian yang telah kotor dan mereka tidak diberikan telekung. Tidak mandi bagi menyegarkan badan dan membersihkan diri. Namun tetap juga menunaikan solat, solat dalam keadaan darurat.
Sembilan pagi, mereka diberikan sarapan. Teh o yang hampir sejuk dengan dua potong roti keras. Ada juga yang mendapat air sejuk sahaja. Rezeki masing-masing. Rokiah hampir menangis melihat anak-anaknya berebut dua potong roti keras. Berebut air kerana dahaga. Anak-anaknya menangis, meminta lagi sedangakn air telah habis.
Menjelang tengahari semua tahanan dihimpunkan. Di bawah bangsal kereta. Lantai simennya penuh dengan kesan minyak hitam dan di situlah tempat tidur kaum lelaki malam tadi.
Di kesempatan ini Solehah dapat bertemu adik iparnya Ustaz Ismail Mahmud. Wajahnya ada kesan lebam-lebam dan bengkak, bahana dipukul. Seiras nasibnya dengan Pak Jang Mie.
”Kak Ah bersabarlah!, Syuhada dan Irsyad selamat, ada di rumah nenek mereka.”
Itulah antara yang dapat diingatinya kenangan perit itu. Pun hatinya lega mendapat khabar anak bongsunya itu.
Dalam berkumpul itu, mereka masih tidak terlepas dari maki hamun. Terutamanya tahanan lelaki.
”Panggillah ustaz hampa. Suruh dia tolong hampa. Mana Tuhan hampa. Minta tolonglah dekat dia. Kelmarin takbir hebat sangat... hari ini pasal apa diam...”
Itulah antara kata-kata yang dihamburkan seiring juga dengan tendangan yang dilakukan sesuka hati kepada tahanan lelaki. Mereka sama sekali tidak berupaya untuk melawan. Apatah dengan tangan yang bergari.
(Insyallah Jika diizin Allah kita akan bertemu Siri 4 DARI KEM TANJONG PARI KE KEM PPH SUNGAI PETANI)
5 ulasan:
Adakala manusia begitu keji sehinggakan lupa bahawa kita sentiasa diperhatikan olehNYA. Tidak rasa walau sedikit malu.... biadap bagaikan binatang!! Itulah bila kebenaran cuba disembunyikan....
Teruskan, kami mahu tahu.
tak kan luput dari ingatan.....sesesunguhnya mereka akan menerima balasan....."mana tuhan hampa"....habis tuhan depa tu sapa?......
menitik airmata ini ketika membaca kisah memali ini. seingat sy sewaktu kejadian ini sy dlm darjah 4, kejadian mmg tidak jauh dr kg halaman sy di gerik. Ya Allah, tunjukkanlah kepada mereka yg melakukan kezaliman ini kebenaranMu..
alhamdulillah..sudah lama mencari artikel berkaitan peristiwa memali. saya tahu apa yg pernah disiarkan di tv hanyalah pembohongan dan baru hari ni dapat mengetahui kebenarannya
teruskan, saya mahu tahu dengan lebih teliti
Post a Comment