Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Thursday, December 2, 2010

SIRI 4 MEMALI, KEADILAN YANG TERTANGGUH –Soalsiasat Solehah berterusan, dari Kem PPH Tanjong Pari Ke Kem PPH Sungai Petani



Alhamdulilah saya cuba mengusahakan siri 4, selepas ada sedikit desakan para sahabat yang membaca Siri Memali, Keadilan Yang Tertangguh diblog ini. Terima kasih juga atas sokongan yang cepat membangkitkan semangat untuk terus menulis tentang Memali, walaupun menulis tentang Memali ada risiko yang tersendiri. Insyallah saya gagahi kerana haqqul-yakin, Allah akan melindungi kebenaran yang berpaksi di atas jalan-NYA. Terpaksa membahagi masa antara beberapa buah buku yang sedang diusahakan pada musim cuti sekolah ini dengan penulisan diblog ini. Insyallah dipermudahkan segalanya Amin Ya Allah!..

Kanak-kanak sudah dibenarkan pulang mengikut waris kecuali anak Rokiah kerana menyusu badan. Jam 3 petang dari kem Tanjong Pari, mereka semua diarahkan menaiki trak. Sampai ke Kem Sungai Petani, senja mengembangkan layer sebelum malam melanggar alam.  Sebelum itu mereka diberi makanan dan air sejuk. Ada antara tahanan lelaki membantu sesama mereka  kerana tangan digari.   

Kehadiran mereka menjadi bahan tontonan kepada keluarga Polis yang tinggal di situ. Ada juga antara mereka yang mengeluarkan kata-kata “Komunis apa?, pakai tudung…”

Ini menunjukkan, mereka percaya operasi di Memali adalah menyerang kem Komunis. Solehah hanya menutup kepala dengan serban yang diambil di Kem Tanjong Pari. Ini kerana rumahnya diselongkar dan banyak yang dirampas pada hari kejadian. Tahanan lelaki dan perempuan diasingkan.
Cuma lebih baik kali ini ada bilik air dan tandas. Dapatlah membersihkan diri, Cuma pakaian masih tidak bertukar. Keesokannya mereka memohon ihsan untuk telekong dan surah Yasin dan permintaan itu diterima. Tiga hari tanpa soal siasat, hanya surah Yasin penenang hati dan pengubat lara.

Hari keempat, barangkali pakaian terpakai dari rumah-rumah pihak polis berdekatan. Semuga Allah merahmati dan membalas kebaikan kepada yang menyumbang pakaian, surah Yasin dan telekung.

Hari kelima seperti diduga soal siasat bermula. Solehah target utama. Masuk ke bilik kecil yang hanya boleh memuatkan beberapa orang sahaja. Beberapa lelaki siap menunggunya. Ekspresi wajah yang bengis...

” Awak isteri Ibrahim Mahmud” Loghatnya bukan loghat utara.
Hati Solehah berbisik ’barangkali ini dari Bukit Aman’

”Apa yang Ibrahim ajar orang Kampung?” Sergahnya lagi.
Solehah membisu.

”Awak boleh mengucap?” Sergah yang lain.

Solehah benar-benar terperanjat dengan soalan itu.

”Cuba awak mengucap!” Desak salah seorang.

”Aku mengaku tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah” Solehah menyebutnya secara perlahan-lahan.

”Hei! Mengucap macam mana laki awak ajar, faham!” Tengking salah seorang yang berada di situ.

Solehah mengulang jawapan yang sama.

”Bohong! Laki awak tak ajar macam itu. Dia ajar macam lain” Keras dan marah salah seorang sambil menghempaskan tangannya ke atas meja.

”Betul ke laki awak ajar macam itu?” Gertak yang lain pula.
Solehah mengangguk lemah.

”Awak jangan bohong pada kami. Laki awak, sebenarnya ajar macam lain. Cuba awak sebut, macam mana yang laki awak ajar sebenarnya. ” Pinta lelaki yang bertentangan dengannya dengan nada suara agak perlahan. Memujuk.

”Saya tak tahu, Ustaz tak pernah ajar kami yang lain.” Jawab Solehah jujur

Ada juga yang berubah muka menahan marah.
”Awak tahu tak, anak-anak buah laki awak bagi tahu, laki awak ajar dia orang mengucap lain” Sambung lelaki tadi.

”Macam mana? Saya tak pernah dengar yang lain macam saya sebut tadi!” Solehah menjadi berani.

”Dia tak sebut Muhammad Rasulullah. Dia suruh orang sebut Ibrahim Rasulullah!” Celah salah seorang di antara mereka.

”Ustaz tak pernah  suruh macam tu.
Ini semua fitnah!” Solehah mempertahankan suaminya.

”Fitnah apa?, Memang dia ajar macam itu. Dia ajar anak buah dia ajaran sesat. Ustaz sesat! Laki awak ajar orang sesat! Dia mengaku dia Rasul! Faham!!!!” Bentaknya sambil penumpuknya berkali-kali menghentak meja.

Marah dan sedih bersatu dalam dirinya. Mustahil Solehah tidak mengenali hati budi suaminya. Bukan sehari dua, dia hidup dengan Ustaz Ibrahim Libya. Malah dalam ceramah, kuliah, usrah, suaminya menekankan dan menanamkan semangat cintakan Allah, Rasulullah dan semangat jihad dalam menegakkan agama Islam.

”Cuba awak sebut, macam mana laki awak ajar tu. Sebut Ibrahim Rasulullah, bukan Muhammad Rasulullah” Pinta lelaki itu lagi.

Solehah tidak mempedulikannya. Ini persoalan akidah, bukan boleh dibuat main-main. Puas dipujuk. Solehah tetap dengan pendiriannya sehingga mereka yang berada di situ merah padam muka menahan marah.

Akhirnya mereka gagal menyuruh Solehah mengucap perkataan yang mengarut dan memesongkan akidah itu. Di bilik ramai yang menunggunya untuk mengetahui apa yang berlaku. Kebanyakan yang disoalsiasat dipaksa supaya mengucapkan perkataan yang sama. Namun Alhamdulilah mereka tidak menurut.

Banyak peristiwa sedih yang berlaku. Ada yang dipanggil soal siasat dua, tiga kali. Termasuk Rokiah yang membawa Mahyudin. Kekadang sampai dua jam Rokiah memangku Mahyudin, Lenguh anggota tubuhnya. Tahanan lelaki lebih teruk kerana menerima tindakan fizikal. Dicucuh puntung rokok. Dipaksa menyebut ’Ibrahim Rasulullah’. Kesemuanya memilih menerima siksaan daripada menyebut kata-kata mengarut tersebut.

Seingat Solehah, dia dipanggil lima kali sepanjang berada di kem tersebut.

”Apa pandangan awak tentang suami awak? Ada orang kata dia mati syahid”

”Saya tak tau dia mati ke dak, Kalau dia mati tentulah mati syahid.” Tegas Solehah

”Awak tak rasa apa-apa dengar dia mati?”

“Saya bersyukur kepada Allah, jika dia mati. Kerana dia mati syahid. Dah lama dia berdoa untuk mati syahid. Kami semua nak mati syahid” Balas Solehah dengan keberanian.

”Apa alasan awak kata dia mati syahid?” Mereka menekan dan menduga.

”Dia mengajar agama Islam. Dia ajak orang kembali pada Allah. Bila dia dibunuh atas sebab ini, dia mati syahidlah..” Solehah membela suaminya dengan hujah yang kemas.

Mereka terdiam dan barangkali juga terfikir betapa kentalnya semangat Ustaz Ibrahim Libya.

Solehah ada wanita biasa yang mempunyai semangat yang luar biasa. Bagaimanapun sebagai manusia biasa, dia mempunyai kelemahan. Setakat ini belum mengalir airmatanya apabila ditekan dari aspek kematian suaminya yang syahid itu. Namun dia tewas. Kesemua yang berada di situ dapat melihat airmatanya mengalir seiring esak tangisnya.

“Bagaimana dengan anak-anak awak?. Tak ingatkah dekat mereka...” Soal salah seorang Polis yang berpakaian biasa.

Soalan itu melunturkan semangatnya. Jiwa seorang wanita. Kasih ibu jejak ke syurga. Mendengar soalan itu airmatanya menitis laju. Wajah Syuhada puteri bongsunya menyerbu ingatan. Anak sulungnya, Mohd Islah dan adiknya yang berada di Maahad Islamiah. Apalah yang ada nasib anak sulungnya yang berusia 9 tahun ketika itu.

Sungguh, soalan tentang anak itu, membuatkan mereka berjaya menumpahkan airmata Solehah.  Pun Solehah tetap menganggap dirinya menang. Ini kerana mereka yang menyoalnya berasa keciwa kerana gagal memaksa Solehah menyebut ’Ibrahim Rasulullah’
 Sabda Rasulullah SAW
"Apakah yang kamu kirakan orang yang mati syahid di kalangan kamu?" 
Mereka berkata "Sesiapa yang dibunuh pada jalan Allah," 
Rasulullah SAW menjawab " kalau begitu orang yang mari syahid di kalangan umatku sedikit sahaja"
Mereka berkata " Siapakah mereka itu ya Rasulullah?"
Rasulullah SAW menjawab " Sesiapa yang mati dibunuh dalam perjuangan menegakkan agama Allah ialah syahid, sesiapa yang mati sakit taun adalah syahid, sesiapa yang mati sakit perut adalah syahid, orang yang mati terbakar syahid, orang yang mati di bawah runtuhan syahid dan perempuan yang mati dengan anak kandungannya syahid" 
 
Insyallah! Jika diizinkan Allah kita semua akan bertemu pada siri 5  DARI KEM PPH SUNGAI PETANI KE PENJARA ALOR SETAR.        

7 ulasan:

Rafina Mimi said...

peristiwa memali ni waktu tu saya masih kecil lagi..seingat saya masih lagi di bangku sekolah rendah..bila tengok dalam berita masih kabur2 lagi tak tahu apa yang berlaku sebenarnya..maklumlah budak2 bukannya nak ambik tahu sangat isu2 semasa yg membabitkan negara..bukannya reti apa pun kan?

Fuziani JSR said...

Tabahnya hati wanita itu... kerdilnya diri jika dibanding dengan wanita sesoleh Solehah

Anonymous said...

Idup lagi ke polis-polis tu ek?

muaz said...

Allah menjanjikan balasan yg setimpal kpd pejuang2 ini....allahuakbarrrr...

Anonymous said...

ALLAH......... ALLAHUAKBAR.............

Anonymous said...

bila nak kua ag artikel seterusnye?xsabar nak tau perkembangan

Nursyuhaidah A. Razak said...

Assalamua'laykum, saya masih membaca keempat-empat siri Memali ini pada tahun 2016. Terima kasih di atas tulisan ini.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails