Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Monday, January 21, 2013

SIRI AKHIR KEMBARA MEMALI (Menggali kebenaran yang tertimbus) -Bertemu Ustaz Harun Bin Mat Isa. (Mangsa yang ditembak dan kini mengajar di Yayasan Qariah, Kupang)




            Pagi itu, selepas subuh kami sekeluarga meninggalkan Sik. Bertemu Ustaz Fakhrulrazi di kedai sarapan berdekatan Petronas Parit Panjang. Sarapan itu, kami tidak dibenarkan melunasi bayaran.
            “Tak pa! tak pa! jalan enta jalan Allah! Nie rezeki Allah!” Ustaz Fakhrulrazi tidak mahu kami membayarnya walaupun anak-anak saya makan mee hoon dengan pelbagai lauk.

            Selesai sarapan, kami sempat membelikan Zaid dan Zufri Adam jubah di kedai Ustaz Fakhrulrazi dan isteri saya membeli sehelai tudung labuh.
Pekan Sik 



Maahad Tahfiz Yayasan Al-Huffaz

            Sebelum menuju ke Kupang mencari Ustaz Harun Mat Isa di Yayasan Qariah. Kami dibawa ke Maahad Tahfiz Yayasan Al-Huffaz, tempat di mana Ustaz Fakhrulrazi mengajar. bertemu seorang guru Tasauf:  Tuan guru Haji Rafia’ie Yaakob di Madrasah Al-Zuhdiah Charok Salam. Melihat kehidupan guru tasauf ini menggetarkan rasa, terasa diri masih banyak terisi dengan kemewahan dunia. Pondoknya yang serba sederhana, tanpa sebarang alat elektronik seperti tv dan radio. Wajah bersih dan ketenangan dirinya cukup mempesonakan.
            Tuan guru Haji Rafia’ie Yaakob tidak banyak berbicara. Selain senyum dan tidak juga membenarkan kami pulang.
           “Sat! minum ayaq dulu!” Katanya lembut dan mendamaikan.
Syarat masuk ke Madrasah Tuan Guru Haji Rafia'ie Yaakob
Gambar Tuan Guru Omar Zuhdi (Guru As Syahid Ibrahim Libya) di rumah TG Haji Rafia'ie

            Tuan guru Haji Rafia’ie sendiri yang menghidangkan kami anak beranak dengan teh o dan roti ban yang dipotong-potong. Di sini saya meminta dia memegang kepala anak saya dan mendoakan kebaikan agar menjadi anak soleh yang berjuang untuk Islam. (Ianya sama konsep dengan apa yang dilakukan oleh Tuan Guru Haji Saleh Musa semalam) Dia segera menyetujuinya.
Zaid! semuga menjadi pejuang di jalan Allah
Adam! semuga menjadi anak soleh
Terima kasih atas segala budi baik kalian semua!

            “ Nanti mai lagi! Bawa kawan!” TG Haji Rafia’ie mengingatkan saya. Sebelum itu beliau memaklumkan tentang Sambutan Maulidur Rasul Febuari nanti, tempatnya akan dikunjungi oleh seorang Kiai dari Indonesia.   
            Selesai segalanya, kami bersalaman dan berpelukan. Termasuklah Ustaz Fakhrulrazi; dalam hati saya mendoakan segala kebaikannya kepada kami sekeluarga diberi ganjaran dunia akhirat. Berdasarkan maklumat yang diberi saya perlu mencari Yayasan Qariah di Kupang. Laluan pulang menuju ke Grik.
            Sesudah menghubungi Ustaz Harun melalui telefon. Alhamdulilah kami bertemu di Yayasan Qariah. Sekolah rakyat yang terbaik keputusan SPM di Kedah. Syarat masuknya juga mudah. Mesti boleh membaca Al-Quran dan berakhlak baik. 
Ustaz Harun mula menerangkan peristiwa Memali, saya mencatat buku yang hampir penuh
Kesan peluru yang tembus di tangan

            Ustaz Harun yang pada ketika itu sedang bermesyuarat,  berulangkali saya memohon maaf dan Ustaz Harun menjelaskan;
            “Tak pa! Tak pa! mai jauh nie!” Balasnya selepas kami bersalam dan berdakap erat.
            Entah kenapa melihat wajahnya saya tiba-tiba terasa amat sayu. Muncul juga wajah as Syahid Ibrahim Libya sama.
“Ustaz orang yang ada di tempat kejadian” Saya memulakan selepas kami duduk di tepi kelas Yayasan Qariah.
“Ya! Ya! Saya kena tembak!” Balasnya sambil menyinsing lengan baju kanan. Zaid beriya-iya melihatnya. Segalanya kami rakamkan dalam bentuk gambar.
Kesan peluru dari ketiak dan tembus ke belakang tubuh Ustaz Harun

“Dua tempat! Satu lagi kat ketiak tembus sini!” Ustaz Harun menunjukkan bahagian belakang bajunya. Beriya-iya dia menolak bajunya sehingga terlihat kesan tembakan tersebut. Hati saya bertambah sayu, kamera merakam segalanya. Selepas gambar berjaya diambil kami duduk kembali. Kesan tembakan di tangannya itu, ustaz Harun mengalami kecacatan kekal. Jari telunjuknya tidak boleh dibengkokkan, doktor mengesahkan dia mengalami gangguan saraf tangan.
“Ustaz tak terima apa-apa pampasan?” Tanya saya melihat tangan Ustaz Harun.
“Takdak aah! Satu sen takdak! Hak dapat pampasan tu yang mati aja!” Balasnya sungguh-sungguh.
“Siapa serang dulu Ustaz?” Tanya saya separa tenang mengawal perasaan. 
“ Depa! Depa bawak keta kebal langgaq pintu pagaq! Lepas tu depa masuk tembak!” Ustaz Harun memberikan kenyataan sambil merenung saya menulis apa yang dituturnya.
“ Semua yang meninggal 14, kenapa di Parit Panjang 13 aje Ustaz?” Saya segera teringat pusara mangsa Memali di Parit Panjang.
“Satu lagi, keluarga bawak balik. Kebumi di Gunung Alor Setaq! Hak takdak kat Parit Panjang tu nama dia Ustaz Ahmad Hasan!” Ustaz Harun menjawab sambil menganggukkan kepala tanda menunjukkan kesungguhan.    
Kecacatan kekal di mana jari telunjuk tidak boleh dibengkok
         
“Ustaz cerita lagi! Saya tulis…” Balas saya sambil memegang pena di tangan.
“Masa kebumi Ustaz Ibrahim, saya dalam tahanan. Semua yang cedera 9 orang. Yang hidup tinggal saya ngan Haji Abdullah! Haji Abdullah ada di Cherok Putih!” Katanya lagi dengan wajah cuba mengingat sesuatu.
 “Lama ustaz kena tahanan tu?” Saya menyoal lagi sambil merenung wajah tua yang cepat menerbitkan kesayuan di hati.
“ lama juga 2 bulan 10 hari. Bicara! Ada enam peguam. Satu peguam Cina, satu peguam India, hak Melayu ada empat orang!” Jawab Ustaz Harun.
“Sapa bayar peguam tu Ustaz?” Tanya saya dan saya kira ini fakta yang tidak kurang pentingnya.
“Tak tau! Saya satu sen tak bayaq. Mula-mula bicara lepas kanak-kanak dulu, pas tu bicara kedua lepas pulak orang tua lelaki perempuan. Kali ketiga bicara! baru kami semua lepas! Kira menang la!” Wajahnya yang kekadang tersenyum bercerita menerbitkan kekaguman saya kepada lelaki tua ini.

“Sebenarnya kenapa dia orang buat operasi nie Ustaz?” Tanya saya sambil mengawal perasaan.
“Tarikh dia semua dapat dah!?” Ustaz Harun memulangkan soalan kepada saya.
“Alhamdulilah ada dah. 18 November 1985” Balas saya dan waktu itu saya berada dalam darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Batu Anam. Ketika itu tidak tahu apakah sebenarnya OPS HAPUS di Memali.
“ Ya ya! Mula pukul 7.30 pagi sampai pukul 1.00 tengahari” Ustaz Harun menambah fakta masa yang saya juga sudah sedia maklum. Pun saya meneruskan catatan apabila Ustaz Harun menyambung kenyataannya. 
“Zalim! Depa zalim! Ustaz Ibrahim takde apa pun. Tuduhan ada senjata banyak kat tandas semuanya bohong. Senjata api pun takdak! Depa kata parang sampai dua ratus! Semua bohong. Orang ada 160, tu pun campur budak-budak dengan orang pompuan! Sebenarnya lepas Ustaz Ibrahim berhenti kerja kerajaan, balik sini ngajaq agama, PAS jadi kuat kat sini. Sapa yang pi dengaq ceramah dia, gerun! Ramai yang ikut dia!” Ustaz Harun terus bertutur dan saya mencatatnya sepantas mungkin. 

Ah! Gila sungguh! Ada ke dalam tandas ada senjata. Yang aku tahu dalam tandas ada najis!
 “Lepas dah bunuh macam itu, OCPD Baling masa tu jumpa Tuan Guru Omar Zuhdi Depa nak korek kubur tu. Nak tengok reput ke idak? Aaa! masa tu Sultan Kedah turun Parit Panjang siram air mawar. Sultan tak kasi usik kubur tu!” Fakta yang disampaikan oleh Ustaz Harun ini sama seperti yang diberitahu oleh Tuan Guru Haji Saleh Musa. Cuma gaya penyampaian dan ayatnya saja yang berbeza.
“ Kalau tengok gambaq gambaq tu sedih sangat ah!” ustaz Harun merenung jauh. Mengimbau tragedi Memali. Sayu dan pilu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Saya mengawal perasaan. Pertemuan itu berakhir selepas kami bersalam dan berpeluk erat. Ustaz Harun memandang kereta kami bergerak. Apabila Zaid anak sulung kami, mengeluarkan kepala melalui tingkap melambai dan melaungkan Takbir! Ustaz Harun membalasnya dengan Allahuakbar!!!!
Selepas keluar dari pintu utama Yayasan Qariah, saya membelok ke kanan menuju ke Kota Bahru. Diiringi suara zikir Hafiz Hamidon dari corong muzik kereta kami, airmata saya mengalir tanpa mampu diempang lagi. Wajah As Syahid Ibrahim Libya tertancap di depan mata saya. Terhafal seperti saya melihatnya di alam mimpi. Isteri dan anak-anak yang memahami terdiam. Seakan selari suara angin berzikir membelai pohon-pohon hutan di kiri dan kanan laluan yang kami tempuhi. 
Salah satu bangunan Yayasan Qariah
Bergerak keluar dari Yayasan Qariah

Segala fakta yang terkumpul ini tidak banyak bezanya dengan fakta di dalam buku MEMOIR TRAGEDI MEMALI. Saya BERANI simpulkan OPS HAPUS hanyalah operasi untuk menghapuskan atau membunuh As Syahid Ibrahim Libya. Singkatnya cara mereka berfikir; membunuh untuk menghentikan pengaruh. Sesungguhnya tragedi berdarah Memali adalah satu luka yang maha dalam, panjang dan pedih! Sekalipun luka itu cuba dijahit oleh pemerintah, kesannya tetap membekas! 
Ya! Saya percaya Allah telah membalas pengorbanan mereka dengan sebaik mungkin. Datanglah ke Memali, Parit Panjang, Sik, Kupang dan kawasan sekitarnya. Pondok-pondok agama, Maahad Tahfiz berdiri dengan megah. Malahan Madrasah Islahiah Diniah milik As Syahid Ibrahim Libya masih hidup hingga hari ini dan sepanjang laluan di sana juga bendera bulan putih berkibar megah.  Mana tanah pernah basah oleh darah syuhada maka di situ Islam akan menang! Saya haqqulyakin!” AllahuAllahuAllahuAllahuAllahuAllahuAllah..

(Demi Allah! Catatan ini adalah rakaman sebenar perjalanan penulis ke Parit Panjang, Kupang, Sik dan Memali)    
    

4 ulasan:

author faethal said...

Terima kasih atas catatan pengalaman Tuan.
Ia juga turut membekas di hati kami.

Anonymous said...

Ustaz harun meninggal dunia pagi ni..16/2/2013..eksiden ketika beliau menunggang motosikal di hujung kampung padang geh, kuala ketil, kedah...jenazah beliau dikebumikan lepas asar insyaAllah....perginya seorang pejuang..al-fatihah...

Anonymous said...

Al Fatihah, Ustaz Harun Md Isa telah kembali kerahmatullah semalam 16 Feb 2013

beli produk epilator germany said...

al fatihah buat ustaz harun..terima kasih atas perkongsian catatn pengalaman tuan

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails