Alhamdulilah.
Segala puji bagi-MU ya Allah dan Rasulullah SAW...
Bumi memburu siang tika cahaya malam tertinggal suam-suam kuku. Subuh berkabus. 6.30 pagi saya tinggalkan kediaman, selepas isteri dan anak-anak mencium tangan saya dan saya membalasnya dengan mengucup dahi kesemua zuriat dan seorang isteri saya itu. Menuju ke bangunan Parlimen di kota metropolitan, ibu negara tercinta ini. Terlalu banyak yang bermain di fikiran. Jangan sampai tidak bisa menyusun kata walhal yang bakal ditemui nanti hanyalah manusia biasa yang amanahnya lebih berbanding warga marhain.
Tiba di destinasi kira-kira jam 10.30 pagi setelah sempat menikmati secawan Nescafe dan sepinggan nasi goreng di pinggir hentian Seremban. Tidak banyak halangan selepas menyerahkan kad pengenalan dan memaklumkan ada temujanji dengan Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Puad Zarkashi.
Kemudian menelefon individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan bersejarah ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Encik Zahari Sarip (Pegawai Khas TMPM), terbukti individu ini telah menjalankan amanahnya dengan penuh tanggungjawab tanpa meminggirkan kepentingan nasib anak-anak khas hanya kerana prinsip saya yang berbeza. Kami minum di café yang terletak di belakang bangunan Parlimen sambil berbincang pelbagai isu dunia pendidikan di samping beliau memberikan saya pelbagai idea apabila berpeluang bertemu dengan TMPM.
“YB Fuad ahli akademik. Jujur! Politiknya yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah tanpa mengira pihak mana.” Kata Zahari kepada saya
Sejarah TMPM ini memang cukup unik. Beliau sebelum ini merupakan seorang pensyarah, lantang mempertikaikan tentang PPSMI dan yang menariknya beliau adalah ahli berdaftar Parti………… akhirnya diamanahkan untuk memegang jawatan TMPM
Kami tinggalkan café apabila saya menyatakan hasrat untuk melihat sidang parlimen. Kepingin sungguh untuk melihat ahli-ahli parlimen tanah air kita berhujah dan berdebat secara langsung dengan mata kepala sendiri. Ketika saya masuk tiada bezanya memasuki mahkamah, di mana kita terpaksa memberikan sedikit tunduk hormat kepada sidang dewan. (kemudian saya terus membuka buku nota untuk membuat catatan)……
Wakil DAP Bukit Mertajam sedang membentangkan hujah berkaitan isu gender di mana pembangunan wanita dalam kaitan sasaran kerja, ekonomi Negara. Program pembangunan hendaklah dibuat sungguh-sungguh dan bukan berbentuk retorik, sandiwara sebaliknya dengan komitmen yang konkrit…….
Kurang lebih yang meminta laluan BN Ledang, BN Arau, PAS Kota Raja… banyak yang dihujahkan tentang pembangunan wanita termasuk dengan fakta dan indeks mengikut tahun. Suasananya tidaklah sepanas yang selalu saya saksikan di internet. Barangkali kerana isunya dipersetujui oleh kedua-dua pihak samada kerajaan dan pembangkang tentang pentingnya peranan wanita dalam pembangunan Negara….
Sidang akhbar Dato Seri Nazri Aziz |
Keluar dewan saya sempat melihat sidang akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Kemudian mundar-mandir melihat situasi di lobi parlimen. Saya sempat juga bertemu dengan ahli Parlimen Pokok sena, YB Mahfuz Omar. Semuanya baik dan mesra tanpa mengira ideologi politik. Sewajarnya begitulah. Pentas politik adalah satu amanah untuk memajukan, memelihara dan meningkatkan maruah serta pembangunan negara baik untuk agama, bangsa dan negara. Saya sempat melihat mesra YB Mahfuz dan ahli-ahli parlimen BN. Alangkah baiknya jika perkara ini dapat dilihat rakyat awam yang agak tertutup pemikirannya bahawa sebenarnya wakil rakyat mereka hanya berhujah dan lantang di dalam parlimen sebaliknya mesra dan rapat di luar dewan.
Ahli Parlimen Pokok Sena |
Sampai masa yang dijanjikan untuk saya bertemu dengan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Dr. Puad menyambut saya dengan mesra dan menjawab salam saya dan tangan saya digenggam erat.
”Ya cikgu!”
Saya menghulurkan proposol sebuah manusrip baru yang saya hasilkan bersama Tuan Haji Shamsudin Othman, seorang pensyarah di UPM. Dia menyambutnya sambil membaca surat rasmi dan menyelak-nyelak proposol tersebut.
Meneliti proposol sambil saya menerangkan keadaan sebenar |
” Saya datang kerana Allah dan Rasul-NYA. Saya minta jasa baik Dr, Tidak ada mana-mana buku rujukan khusus untuk ..................... bagi anak-anak khas di Malaysia...”
”Manuskrip ini saya tulis setelah mengambil kira pengalaman saya selama 12 tahun bersama anak-anak khas, juga mengambil pendapat pensyarah, rakan-rakan guru dan saya berharap manuskrip ini dapat diberikan sedikit perhatian.....”
”Apa yang cikgu mahukan?” Katanya sambil membelek proposol tersebut dan kemudian memandang tepat ke wajah saya.
”Satu penilaian yang telus, benar kiranya manuskrip ini sesuai untuk digunakan di semua sekolah yang ada Pendidikan Khas di Malaysia.... saya menulisnya kerana mengambil tanggungjawab sebagai seorang guru dan muslim. Ilhamnya tercipta apabila ada anak murid saya yang ’ringan-ringan’ ditangkap dan disoal, mereka tidak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut batas-batas agama. Saya tidak mahu ambil sikap lihat sahaja. Dengan sedikit kemampuan yang dianugerahkan Allah, saya mahu menjadi orang yang dapat menyelesaikan masalah. Insyallah!.”
”Ok. Tahniah cikgu! Sekarang cikgu biasa menulis siapa yang bertanggungjawab dalam hal penilaian buku ini?” Tanyanya sambil mata terarah buku ’Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Khas’
’Tapi bukan buku itu Dr!?” Saya tidak menjawab soalan apabila melihat Dr. Fuad lebih terarah kepada buku KDPPK.
”Yang nie?” tanyanya sambil membelek-belek buku yang telah diterbitkan oleh Utusan Publications itu.
”Itu tentang pengurusan dan kepimpinan. Tahun lepas cetak. Alhamdulilah buku tu BPG, KPM pilih untuk dilancarkan pada Sambutan Hari Guru Kebangsaan. Naskah ini saya hadiahkan untuk Dr...”
”Ok. Jadi tadi siapa yang patut buat penilaian?” Tanyanya lagi.
”Bahagian Pendidikan Khas ...”
Dr. Puad mencatat sesuatu di muka hadapan surat rasmi yang saya sertakan.
”Sekarang cikgu mengajar di mana?” Tuturnya selesai membuat catatan.
Saya....................................................
Maaf! Inilah yang dapat saya kongsikan kerana ada perbincangan lain yang saya kira perlu saya rahsiakan di blog ini.... Kurang lebih lima belas minit bersama TMPM, cukup untuk saya menyediakan ruang di fikiran dan jiwa untuk menyimpan kenangan bernilai ini.
Sebagai anak kampung dan guru biasa, ini adalah pengalaman yang cukup berharga.
Pengalaman yang tidak dapat saya perolehi melalui buku atau visual melainkan merentasi sendiri peristiwa ini.
Terima kasih saudara Zahari Bin Sarip (Pegawai Khas TMPM) |
Terima kasih kepada Encik Zahari Sarip (Pegawai Khas TMPM) yang menghantar saya sehingga ke kereta untuk pulang...............
Sepanjang perjalanan pulang terlalu banyak yang berlegar dalam fikiran saya tentang dunia pendidikan Malaysia khususnya pendidikan khas, urus tadbir negara, watak dan perwatakan ahli-ahli parlimen, kerajaan, pembangkang, rakyat, ekonomi, sosial.............................................................. dan terlalu banyak yang ingin saya tulis......................................................
Alhamdulilah.
Segala puji bagi-MU ya Allah dan Rasulullah SAW...
6 ulasan:
Salam..
Tahniah Cikgu!Cikgu biasa pun mampu mencipta sesuatu yang luar biasa untuk kegemilangan ummah dan pendidikan. Ramai telah membuktikannya..termasuk cikgu sendiri..
tahniah....semoga diberikan Allah kepada yang selayaknya
besar sungguh harapan cikgu utk anak2 pdidikn khas..
saya memuji usaha cikgu ni..
smoga dpt d nilai dan d pertimbangkan selayaknya..
syabas..
ya Allah... saya rasa sangat terharu dengan pengorbanan dan semangat cikgu menbela kanak-kanak pendidikan khas... saya perlukan semangat seperti ini cikgu, supaya saya dpt menjadi guru PK yang terbaik dan cemerlang. tahniah dan terima kasih cikgu.semoga cikgu mendapat kejayaan. amin.
teruskan usaha ;)
Salam. Moga tuan sentiasa dipayungiNya dengan sejuta kebahagiaan. Kita sentiasa berada di gelanggang takraw MSSJ & MSSM tetapi sedikit tidak terduga tuan begitu prihatin tentang masa depan anak-anak pendidikan khas,Syabas !
Sahabatmu, Hamdan. Muar.
Post a Comment