Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Tuesday, February 15, 2011

.........APABILA BERTEMU DAN BERHUJAH DENGAN SAHABAT UMNO



Pagi Ahad (13022011) yang damai, dengan langit bersih, usai subuh saya memesrai buku PALESTIN TIDAK PERNAH GENTAR. Sebetulnya buku itu telah habis saya telaah tahun lepas. Cuma membuat sedikit kajian  tentang provokasi ke Atas Kuasa-kuasa Dunia Bagi Merealisasikan Kepentingan Yahudi dan Pembongkaran Protokol-protokol Yahudi...

Kemudian ke pasar membeli dan menontot pergelutan hidup manusia untuk nasi dan lauk hari ini. Segalanya selesai, Alhamdulilah dengan baik dalam perlindungan dan keselamatan peliharaan Allah. Selepas menghantar semua bekalan yang perlu ke rumah, saya keluar semula untuk menghantar kereta dicuci. Sedang kereta saya dicuci, datang pula salah seorang kontraktor didaerah kecil ini, yang saya pasti telah begitu lama bergelumang dengan politik berasaskan nasionalis. Mana mungkin saya dan dia tidak mengenali. Sewaktu zaman ’susah’ selepas SPM, saya pernah bekerja dengannya menanam rumput dengan gaji RM12 sehari di kawasan Petronas Jalan Segamat – Kuantan.

Mulanya kami berjabat tangan dan bertanya khabar tentang keluarga masing-masing. Jarak usia kami memang agak jauh, saya 30-an dan dia pula telah 50-an. Entah bagaimana perbualan kami boleh menyimpang kepada politik, bila membuka isu pilihanraya kecil dari Tenang, belum selesai Merlimau, Melaka, sudah ke Kerdau, Pahang.

”PAS paling solid, kebanyakan orang percaya kepada PAS, masalahnya DAP ada kat situ?” Matanya yang agak keruh merenung saya.

Saya jawab dengan tenang ” Kita kena lihat pola politik di Malaysia, kita ada banyak kaum. Kalau abang nak PAS bertanding sendiri, ertinya sampai bila-bila Insyallah BN akan menang. Kekuatan PAS dari segi Istiqamah, semangat juang, ikhlas, jujur diakui oleh semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir. Tun pernah kata PAS lebih kuat dengan sifat juang dan tidak mengharapkan wang berbanding UMNO. Ini kenyataan pemimpin UMNO. Jadi kalau abang akui PAS bagus, apa yang hendak ditakutkan dengan DAP. Tiada bezanya dengan MCA, mereka juga memperjuangkan kaum Cina. Analoginya beginilah, cuba UMNO keluar dari Barisan Nasional dan bertanding sendiri, saya nak tanya, adakah abang yakin UMNO boleh menang dan memerintah Malaysia?” Dia terdiam memandang wajah saya seketika kemudian tunduk memandang tanah.



”Kita tak nak kuasa politik kita terlepas kepada Cina!” Tuturnya agak perlahan.

”Baik! Abang pernah baca tentang perjuangan PAS tak? PAS tidak pernah kata , kita nak ubah perlembagaan. Jauh sekali mahu mengkhianati bangsa sendiri. Mereka yang menerajui kepimpinan PAS pun bukanlah orang yang bodoh bang!. Nik Aziz pernah memaklumkan selepas pilihanraya umum 2008 apabila orang Melayu dimomokkan selepas BN tumbang di 5 negeri. ’Kita ikut perlembagaan, mana hak istimewa orang melayu, tak boleh disentuh oleh kaum lain.’ Di samping kita mengambil pendekatan adil untuk semua makhluk di Malaysia ini. Apa abang fikir suatu perkara yang mudah untuk mengubah perlembagaan. Bukan mudah bang!. Apa masalahnya?”

”Rasa...... pada pilihanraya umum akan datang, siapa akan menang?” Dia mengubah topik dengan menguji saya.

”BN telah diberi peluang memerintah Malaysia selama lebih 50 tahun. Kalau berdasarkan kajian peratus celik IT di Malaysia jumlahnya 40% daripada 27 juta penduduk Malaysia....”

”Apa hal dengan IT?” Dia mengasak saya lagi dan mungkin juga tidak dapat membaca apa yang hendak saya sampaikan.

”Begini landskap politik negara pada masa akan datang akan ditentukan oleh pengundi muda. Pasal apa? Golongan pemuda mewakili 60% daripada jumlah penduduk Malaysia. Angka ini ada kaitan dengan 40% yang celik IT tadi. Kalau abang buat sedikit kajian, generasi yang pro Pakatan Rakyat, mereka adalah golongan terpelajar. Kalau bukan terpelajar, paling tidak mereka golongan pembaca dan pengkaji. Yang ambil tahu. Kalau hendak menyampaikan pilihanraya umum ke 13,  boleh meningkat kepada 50% celik IT, maka BN menghadapi laluan sukar. Kalau angka itu menjadi 50%, saya tidak katakan kesemua undi itu untuk PR, tapi saya percaya golongan celik IT ini melebihi 30% pro PR. Samada mereka tunjukkan sahaja atau tidak. Tengok 2008, rakyat Selangor tak tunjuk apa-apa reaksi pun akhirnya BN tumbang. Dekat sini kita kena tengok pula berapa juta pengundi baru yang akan mengundi? Kalau tak silap saya, antara 3 hingga 5 juta pengundi baru yang akan mengundi. Jika jumlah ini bertambah maka BN tenat. Apa pun masih 50 -50, pasal BN ada segala-galanya...   
 
”Ada segala-galanya macam mana?” Dia masih menduga dan cuba membaca pemikiran saya.

“ BN ada strategi yang baik.
  1. Jentera kerajaaan
  2. Duit
  3. Media

Segala benda-benda ini digunakan semaksima mungkin. Sepatutnya apabila parlimen bubar ertinya kita tidak ada PM, TPM dan lain-lain organisasi. Tapi kesemua benda ini digunakan. Terutama duit. Minta maaf cakap startegi duit ini sangat berkesan kepada golongan berpendapatan rendah di kampung, felda, ditambah pula mereka bukan golongan yang membaca dan mengkaji. Mereka tidak ada masa untuk membaca dan mengkaji, mereka bergelut untuk hidup dan ekonomi. Orang yang susah, bila kita bagi, benda sikit pun terasa besar.... Selama mana golongan ini masih ramai dan di bantu media yang memutar belit fakta dan peristiwa, maka BN masih boleh berkuasa....”



”pada pendapat..... macam mana BN nak betulkan keadaan ini?” Wah! Dia seakan mahu saya memikirkan apa yang sewajarnya perlu dibuat oleh BN untuk masa depan.

” Ok Bang, jatuhnya BN 2008, saya akui bukan kerana pembangkang kuat tetapi kerana kroni, korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan yang sudah dilakukan oleh BN, perkara ini abang tak boleh sorok pasal BN dah memerintah lebih 50 tahun. Kalau abang kaji mana-mana negara pun, mana ada negara yang pemerintah boleh bertahan selama-lamanya. Jepun LDP tumbang lepas 52 tahun memerintah, Ferdinand Marcos Filipina tumbang, Kerajaan Komunis Caescues di Romania tumbang, kita tengok Mesir 30 tahun Husni Mubarak memerintah, bukan takde pilihanraya. Ada tetapi pilihanraya pun tipu dia menang 97%, pembangkang 3% sahaja, akhirnya tumbang, bila rakyat demo.

Perkara-perkara korup ini yang BN kena selesaikan. Saya dengan ucapan DS Najib masa perhimpunan Agung UMNO selepas BN kalah 5 negeri 2008. Saya dengar dari awal sampai habis. Najib nampak punca masalah dan ucapan dia tu bagus tapi masalahnya perlaksanaan penyelesaian masalah tu out. Pemilihan masih songlap guna wang. Cuba abang semak laporan kenyataan Tengku Rirthauden berapa banyak aduan politik wang UMNO. Takat mana yang dah selesai. Ini masih tak settle. Lepas tu dalam pilihanraya pun. Faktor ini juga digunakan, persoalannya sampai bila kerasionalan pengundi hendak dipadam dengan wang? Itu saya cakap tadi, kalau bertambah generasi baru yang berilmu, tidak gelap mata dengan duit,  BN akan sakit.

Kemudian Najib cakap kita parti yang tak mesra intelek. Kenapa jadi macam gini? Sepatutnya dalam organisasi kita kena letak orang berkemampuan dan berkredebiliti, bukan setakat pandai tepuk dan angguk tapi takde idea, tak berani menyuarakan benar untuk membangunkan agama, bangsa dan negara. Abang tengok saya bukan nak rendahkan orang. Generasi baru, orang-orang Cina semua buat penilaian. Kalau S/u abang tukang kebun sekolah dan satu pihak lagi s/unya lawyer, arkitek, doktor dan pelbagai kelulusan macam mana abang nak bersaing? Sekarang kuasa memang BN punya, tapi dari segi idea, kualiti kepimpinan dan kredibiliti saya rasa BN tertinggal dalam aspek ini.”

”kurangnya intelek dengan UMNO nie, adakah.................. rasa sebab sebelum ini tak benarkan kategori A berpolitik?” Dia menduga pemikiran saya lagi.

” Kategori A tak dibenarkan berpolitik dulu tu, itu faktor yang 28 bang. Sebetulnya kalau abang menyokong parti pemerintah tiada tindakan yang diambil. Abang bebas. Maknanya kalau kategori A nak berpolitik dan menyebelahi UMNO dah lama boleh. Saya melihat begini. Abang lebih lama dalam UMNO. Fakta ini, saya dapat dari UMNO jugak. Pada tahun 80-an dan 90-an, UMNO sudah dipenuhi oleh golongan korporat. Sebelumnya golongan guru. Guru ini biasanya lebih jujur dan tulus sebab mereka bukan orang bisnes. Tapi orang korporat lain, hidupnya dengan angka. Apa keuntungan yang dapat kalau dia pro abang. Perlahan-lahan kepimpinan UMNO digunakan untuk mencari keuntungan, bukan untuk membantu rakyat. Maaf cakap bang. Lepas itu, tender dan projek peruntukan 100 ribu turun bawah dah tinggal berapa ribu sahaja. Saya rasa bang lebih tahu benda nie. Saya pun pernah ikut kerja buruh tanam rumput dengan abang. Baik kalau dalam cawangan atau bahagian ada yang pandai dan jujur. Mereka akan tanya contohnya peruntukan 80 ribu tapi setelah terbina kelihatannya dalam 40 ribu. Kalau ada golongan jujur dan pandai bertanya, dia akan kena cantas. Semua peringkat hanya mahu orang sokong, cukup dia tahu angguk dan tepuk sahaja. Jauh sekali memikirkan berapa ruginya kehilangan cerdik pandai dalam kepimpinan dan pengurusan sesuatu organisasi. . Lalu abang tengok kesannya sekarang mencantas orang pandai dan berilmu ini, impaknya bukan serta merta. Macam orang hisap rokok. Tak percaya cuba abang kira 2011 tolak 1980, dah berapa tahun. Najib sedar benda ini, tapi kebanyakan intelek yang jujur, ikhlas dan tulus sudah duduk dalam PAS. Sifat PAS ini memang dia akan meletakkan orang yang berilmu dan layak di tempatnya....”

Rancak bercerita, kereta saya sudah selesai divacum dan sudah dikilatkan tayar.
Dia memandang saya tanpa berkerlip. Saya tidak tahu apa yang ada di dalam fikirannya, samada setuju atau tidak, samada menerima atau menolak. Pun sebelum kami berpisah, tangan sekali lagi terjabat erat dan saya sempat menyampaikan ayat ini kepadanya..

”Makanan citarasa tekak, ideologi politik adalah citarasa pemikiran bang! Tiada perpecahan, yang ada pada pemikiran generasi baru seperti saya, mahukan perubahaan yang lebih baik untuk agama dan bangsa dan berikan peluang... bukan menilai sebelum masuk gelanggang”... Dia tersenyum separa kelat dan menganggukkan kepala...

Ketika kereta saya bergerak, saya mengangkat tangan kepadanya dan dia juga membalasnya sambil merenung jauh...............

Sunday, February 6, 2011

WANITA PERTAMA YANG TERSUNGKUR DI KAKI MARHAIN………….


Siapa pun akan berbangga sekiranya menjadi isteri kepada lelaki pertama dalam negara. Disebut sebagai ’first lady’ sehingga sebahagiannya terlupa yang diri sebenarnya setakat menumpang tuah suami. Catatan sejarah telah menunjukkan mereka yang tersungkur kerana pelbagai ’perangai aneh’, ’karut-marut’, ’lebih sudu dari kuah’, ’besar mangkuk dari nasi’....



Imelda Marcos, isteri kepada Ferdinand Marcos yang merupakan presiden Filipina dan pemerintahannya berlangsung 30 Disember 1965 hingga 25 Febuari 1986. Lihat dan tafsirlah bagaimana Imelda berada dalam pentadbiran suaminya, apabila beliau sendiri menjadi ahli parlimen kawasan IV-A Filipina (12 Jun 1978 – 25 Febuari 1986), Ambassador Plenipotentiary and Extraordinary ( 1978-1986) dan sebagai Menteri pembangunan Insan ( 1978 – 1986).

Bukan setakat ’mengacau’ dan mencampuri urusan pentadbiran negara, Imelda juga mewah menghabiskan wang rakyat (kerajaan). Membeli-belah dan bersantai di New York, Rome, Copenhagen sebanyak 5 juta pada tahun 1983. Kemudian memiliki pula aset hartanah di Manhattan seperti Crown Building bernilai AS$51 juta dan Herald Centre AS$60 juta. Dituruti nafsu besar yang tidak terkawal berkaitan pembelian barangan dan alatan mewah keluaran luar Negara. Apabila golongan cendekiawan rakyat mengkritiknya, jawapan yang diberikan bagi memotivasikan golongan miskin Lalu segalanya berakhir apabila kekuasaannya ditumbangkan rakyat. Selepas kejatuhannya Imelda masih popular apabila terbongkar tentang koleksi kasut mewahnya sebanyak 2700 pasang yang tersimpan di istana tinggalannya.

Elena Ceausescu, isteri kepada Nikolai Ceausescu yang merupakan kepala pemerintahan Romania. Karier politiknya dilihat seiring dengan suaminya sendiri. Tahun 1972, beliau memegang pelbagai portfolio penting dalam Parti Komunis Romania . Tanpa menunggu masa yang lama, setahun selepas itu (1973), beliau telah meraih di tempat kedua tertinggi dalam pemerintahan suaminya ke atas Romania. Menjadi penasihat utama bagi pemerintahan Romania untuk isu-isu antarabangsa.

Pun sejauh mana seseorang pemerintah bisa berkuasa. Kuasa rakyat tetap kuasa keramat. Tahun 1989, revolusi rakyat Romania akhirnya berjaya menumbangkan rejim Ceausescu. Kedua-duanya ditangkap di Targoviste, dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati. Ternyata Elena dan suaminya seperti mengikat janji sehidup dan semati apabila mayat kedua-duanya terbujur bersebelahan selepas ditembak.

 Farah Diba Pahlavi. Permaisuri Shah Iran. Watak pemborosnya terhadap kewangan negara tidak dapat disembunyikan. Majlis penabalannya pada tahun 1967 sebagai Permaisuri era Iran moden melenyapkan kos sebanyak AS$10 juta. Sebagai seorang yang meminati seni dan budaya, wang dihabiskan dengan menganjurkan pelabagi program kesukaannya. Ramai pekerja yang berada di bawah telunjuknya untuk menjayakan program yang selari dengan citarasanya. Rakyat yang terbiar dan tidak terbela sedangkan kehidupan diraja mereka mewah dengan sewenang-wenangnya. 


Pada ketika itu rakyat yang menentang akan menerima siksaan prisik Savak. Lalu akhirnya apabila Ayatollah Khomeini membawa revolusi bersama rakyat Iran meyaksikan Shah Iran. Sekali pun ketika dulu bermewah-mewah ketika rakyat tersepit tanpa pembelaan namun apabila tumbangnya sebuah kerakusan kuasa dan kemewahan, mereka menjadi pelarian di beberapa  buah negara.

Kisah wanita pertama yang tersungkur di kaki marhain ini boleh berlaku kepada sesiapa (wanita pertama) dan mana-mana negara sekiranya ’wanita pertama’ sibuk mencampuri urusan pentadbiran negara. Berdasarkan situasi tiga negara di atas, sifat boros dengan kemewahan juga menjadi punca rakyat bangkit apatah lagi dalam suasana rakyat hidup dalam kemiskinan dan tertekan. Sejarah telah merakam dan menunjukkan jalan............

Sunday, January 23, 2011

ANALISIS PRK DUN TENANG; SIAPA MENANG UMNO ATAU PAS????


Hari ini 22.01.2011 selesailah sudah penamaan calon PRK Dun Tenang. Parti Islam Semalaysia (PAS) mempertaruhkan cikgu Normala Sudirman sebagai calon yang menanggung amanah untuk mewakili suara Pakatan Rakyat. Bekas guru berusia 38 tahun yang juga ibu kepada tiga orang anak itu juga merupakan ahli exco sayap wanita PAS.


Manakala United Malay National Organisation (UMNO) meletakkan ayam tambatannya   Penolong Pegawai Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azhar Ibrahim, 39, dipilih mewakili Barisan Nasional (BN). Mohd. Azhar, yang dilahirkan di Labis dan anak bekas ADUN Tenang, Allahyarham Ibrahim Daud. Mohd Azhar adalah Bendahari pemuda Umno Bahagian Labis dan juga Ketua Umno cawangan Kampung Paya Merah pada 2004-2008  Pernah memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Kluang pada tahun 1997-2000.selepas itu beliau di hantar ke Segamat untuk jawatan yang sama dari tahun 2000-2006. Dipindahkan ke Rengit bagi untuk jawatan yang sama pada tahun 2006 sehingga kini.

Dun Tenang sebelum ini diwakili oleh Allahyarham Sulaiman, 59, yang dijemput Izrail pulang ke alam barzakh di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pukul 1.10 pagi. As-sebab kematiannya akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.
Dun Tenang di bawah Parlimen Labis, mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira pecahan kaum mengikut peratusnya 50% Melayu, 38% Cina dan 12% India, segalanya berkemungkinan. Ada baiknya kita melihat sejarah lampau untuk cuba membaca keyakinan dan pemikiran pengundi. Pada tahun 1999 BN menang dengan majoriti lebih kurang 8000   undi. Kemudian 2004 majoriti lebih kurang 5000 undi dan pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran. Jelas majoriti itu semakin mengecil. Mungkinkah berlaku keputusan luar jangka di Dun Tenang pada 30 Januari 2011?  



Ramai yang menjangkakan BN mudah mengekalkan kerusi Dun Tenang. Dari riak wajah dan nada kem BN, semuanya menggambarkan keyakinan. Malahan ada yang telah mensasarkan mahu menang dengan majoriti melebihi 5000 undi.

  1. Johor Kubu kuat – Pun jangan terlupa tentang majoriti yang semakin kecil selepas 3 kali bersalin pilihanraya

  1. Faktor pengundi Felda – Terdapat kira-kira 4000 pengundi felda yang akan memilih di Dun Tenang. Jika andaian suasana mood 2008, diakui PAS kekurangan jumlah undi yang tinggi di sini berbanding lain-lain pusat mengundi Dun Tenang. BN telah mengumumkan ................... bantuan kewangan untuk orang Felda Dun Tenang

  1. Orang Johor leka dengan ’nostalgia’ – Faktor sejarah yang dikatakan melekit di hati pengundi Johor khususnya warga emas dengan alasan ’UMNO lahir di Johor”, ”tidak ada parti lain yang boleh memerintah selain UMNO” dsb

  1. Jentera dan gerak kerja, serangan saraf yang dikatakan berkesan kerana mempunyai sumber yang mencukupi dari aspek kewangan, bahan, petugas dan lain-lainnya. – Malahan secara psikologi politiknya UMNO dikatakan sengaja melambungkan isu mahu meletakkan calon wanita di awalnya dan berharap PAS terpengaruh dan berpatah semula untuk meletakkan calon lelaki dianggap satu taktikal yang cukup bijaksana. ( Dipercayai gerak saraf ini berjaya mempengaruhi dan dianggap BN telah berjaya dari segi taktikal)

              Segala faktor di atas seakan-akan PAS telah karam sebelum berjuang. Sayugia diingatkan bahawa itu hanyalah faktor dari pemikiran dan jangan terlupa hak memangkah calon milik penguni Dun Tenang. Faktor-faktor itu bukanlah bermakna PAS langsung tidak mempunyai kekuatan dan peluang
1.      PAS tetap dengan kaedah terbaiknya apabila berjaya melaksanakan solat hajat untuk calonnya di dataran Labis. (Satu usaha yang dipuji kerana menjaga hubungan hamba dan pencipta-NYA dengan tidak melupakan permohonan kepada Allah dalam PRK ini. Hanya golongan sekular sahaja yang memisahkan agama dan politik. Politik tetap termasuk dalam urusan agama kerana Islam bersifat syumul)


2.      PAS mempunyai kelebihan melalui pengundi kaum Tionghua (berasaskan keputusan 2008) 60% pengundi Tionghua telah memberikan undi kepada PR pada tahun 2008. Jika perkiraan ini tidak banyak berubah atas faktor terumbang-ambingnya keadaan ekonomi semasa serta kenaikan harga minyak petrol, gas dan beberapa bahan mentah makanan lain. Ianya boleh memberi impak yang besar kepada BN untuk gagal meraih undi kaum Cina. Perlu diketahui orang Cina hidupnya sinonim dengan angka. Mereka mahu putaran ekonmi negera sentiasa dalam keadaan memberangsangkan. Secara logiknya dengan faktor ekonomi semasa tidak mustahil akan bertambah undi untuk PR. Tambahan pula terdapat krisis moral pemimpin kaum Cina di sini (saya tidak mahu mengulasnya.... pasal video....)


3.      PAS sebetulnya boleh membuat keputusan luar jangka sekiranya beberapa siri penerangan kepada kaum Felda yang telah dilakukan oleh saudara Mazlan Aliman berjaya mempengaruhi pengundi Felda. Terdapat banyak isu yang masih tergantung tentang nasib peneroka. Untuk mengetahui lebih lanjut silalah beli buku yang ditulis oleh saudara Mazlan sendiri.... Ya! Jika PAS dapat menambah dalam 15% undi untuknya dari orang Felda terutamanya dari golongan generasi kedua, maka tidak mustahil keputusan luar jangka diperolehi kerana PAS tidak mengeciwakan  di lain-lain saluran mengundi di Dun Tenang pada tahun 2008.

4.      Dirasakan PAS bersedia menghadapi risiko dalam taktikal calonnya kali ini. Kalau pun jangkaan awal tewas, barangkali pihak pusat sengaja ’test market’ calon muslimat di Johor untuk startegi yang lebih baik pada pilihanraya umum ke 13 nanti. Sekiranya menang, bonus!.  

5.       Apa pun keadaannya 50% dari jumlah pengundi kaum Melayu. Inilah yang akan menentukan siapa wakil rakyat mereka. Samada BN atau PR, siapa yang boleh memperolehi  60-65% undi kaum Melayu, nescaya akan menjadi wakil rakyat Dun tenang.

Persoalan prinsip, ideologi, condong pada kebenaran atau rasa terhutang budi, mahukan pemimpin yang lebih baik, bersih, adil, benar, saksama, maju, bangsa, agama semuanya akan bermain di fikiran pengundi. Lalu pengundi yang bijaksana akan memilih wakil rakyat yang dapat menjalankan tugasnya dengan baik, samada untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air............

 Apa pun analisis ’orang kampung’ yang disajikan ini, tidak bertujuan untuk berkempen. Keputusan telah ada pada Allah dan tentera-tentera-NYA. Kita hanya bisa menunggu sehingga selesai hari pengundian pada 30 Januari 2011, itu pun jika kita masih belum dijemput oleh Izrail.

SELAMAT MENGUNDI.   

Friday, January 7, 2011

PRK (PENTAS RONGGENG KUDA)




 Maka hari itu,
Seorang tok dalang lanjut usia
Menari ronggeng kuda di pentas gelora
Menenun usaha lobi melobi
Agar mentari akan datang
hayat kerjaya tersambung
pada benang usia
sementara menanti hadirnya Izrail
yang mengintai wajah
mencantas usia pada bebila masa....

Menari ronggeng kuda di pentas gelora
Cerita kuda memperkuda
Kisah memperkuda kuda
Hikayat kuda diperkuda
Ceritera diperkuda kuda
Ugut
Tukar
Alih
           
Atas nama kuasa yang dipinjam sementara
Senipis jawatan yang tidak pernah kekal
Bahawa tok dalang sebenarnya telah terlupa
Ini bukan zaman;
Kuasa semesti benar
Arahan harus sentiasa diangguk walau di luar batas
Lalu kuasa seorang tok dalang
Tidak mungkin boleh menandingi kuasa Yang Maha Kuasa............   

Thursday, December 23, 2010

PMR DAN HAKIKAT KECEMERLANGAN...........

Tahniah! yang lulus cemerlang dalam PMR, kepada yang tidak memberangsangkan syabas diucapkan. Jangan patah semangat. 

Hakikat kecemerlangan dalam hidup ini apabila kamu mengenal Allah dan Rasulullah saw. 

Menunaikan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang. 

Kejayaan sebenar adalah menjadi HAMBA YANG BERTAKWA tanpa mengira apa kerjaya kalian nanti ....

 

 

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekali lagi mengekalkan kecemerlangannya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan 20 MRSM mencapai keputusan lebih daripada 60 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ibrahim Ahmad, berkata daripada 5,068 calon dari 36 buah MRSM, jumlah yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 3,129 orang iaitu peningkatan sebanyak 2.17 peratus berbanding 59.03 peratus tahun lalu.

"Pencapaian MRSM dalam peperiksaan PMR 2010 adalah cemerlang dan bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lalu iaitu daripada Gred Purata Maktab (GPM) 1.0992 kepada 1.0531," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MRSM Pasir Tumboh muncul sebagai MRSM cemerlang dengan mendapat peratus tertinggi mengikut pencapaian GPM iaitu 92.20 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran, diikuti MRSM Pasir Salak (81.2 peratus) dan MRSM Kuala Klawang (79.9 peratus).

Sebanyak 18 MRSM menunjukkan peningkatan daripada segi nilai GPM, katanya.

Ibrahim berkata, 16 MRSM juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian peratusan pelajar yang mendapat semua A yang mana MRSM Besut mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 30.53 peratus.

"Bilangan pelajar MRSM yang mendapat pencapaian mengikut syarat minimum 6A2B (Matematik A, Sains A) ialah seramai 4,438 orang atau 87.57 peratus berbanding 3,498 orang pada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata empat mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratus pencapaian gred A pada tahun ini iaitu Sains (+3.9 peratus), Bahasa Inggeris (+2.6 peratus), Bahasa Melayu (+2.0 peratus) dan Sejarah (+1.8 peratus). - BERNAMA ; Berita Harian Online

 

Related Posts with Thumbnails