Dua Kalimah Syahadah adalah akar tunjang dan syarat utama bagi mengesahkan Keislaman seseorang. Di dalam rukun Islam 'mengucap dua kalimah syahadah' letaknya sebagai rukun pertama sebelum dituruti oleh solat, zakat, berpuasa dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.
Banyak di antara kita menyedari solat merupakan 'tiang agama'. Itulah kalimat yang diingatkan oleh penghulu kita Muhammad SAW sebelum meninggalkan kita lebih kurang 1400 tahun yang lalu untuk berangkat ke alam barzakh. Nabi mengungkapkan perkataan 'solat' dan 'nisaa' sebagai peringatan utama. Lantas 'tiang' yang hendak ditegakkan mestilah mempunyai 'tapak yang kukuh' dan ketahuilah tapak itu adalah dua kalimah syahadah. Menemui ungkapan al-'Allamah al-Mujaddid kedua, Syeikh Abdurrahman bin Hasan di dalam kitab Fat-hul Majidd, maka saya rasa sangatlah perlu saya turunkan ke dalam blog berkaitan perkara yang sangat penting ini. Ini bukan isu harta, wang, pangkat, kedudukan dalam masyarakat tetapi lebih penting daripada itu semua. Satu kalimah yang harus sebati dan menjadi tunjang utama dalam setiap amal dan perbuatan kita. Luar dan dalam. Nyata dan terhijab. Zahir dan batin. Satu kalimah yang menentukan perjalanan kita selepas menempuh alam dunia ini. Lalu...
Tahukah anda semua bahawa Tujuh Syarat diterimanya Tauhid dua kalimah syahadah.? kata syarat di dalam hidup ini biasa kita temui. Apa? Apa kehidupan yang tidak bersyarat? Dari nikah kahwin, belajar sekolah hingga ke universiti, bekerja di mana pun dan apa kerja tetap mempunyai syarat yang tersendiri mengikut kesesuaian sesuatu keperluan.
Kata 'syarat' dalam bahasa Arab syuruuth. Berdasar syariat, syarat membawa makna sesuatu yang dengan ketiadaannya mengakibatkan ketiadaan suatu urusan. Oleh itu jika semua syarat atau sebahagiannya tidak ada, maka yang disyaratkannya pun tidak ada. Begini kata mudahnya syarat untuk membuat kuih mestilah ada tepung, gula, telur. jika salah satu bahan mentah itu tidak ada beerti kuih tidak akan terhasil. Baik! sekiranya segala bahan mentah telah ada, sipemilik tidak berilmu iaiti tidak tahu mengadun, membancuh, jumlah campuran bahan dan cara memasak maka kuih itu tidak juga akan terjadi sekalipun semua syarat bahan mentah telah dipenuhi. begitulah kaedahnya dalam bersyahadah. Syaratnya harus dipatuhi zahir dan batin melalui ilmu dan amal..
Baik! dari mana datangnya syarat ini? Maka tentulah dari Al-Quran dan Sunnah. Begini para ulamak bersepakat bahawa solat, zakat, puasa dan haji mempunyai syarat dan rukun masing-masing. Rukun solat berdasarkan kesepakatan ulamak dan tidak disebutkan dalam satu nash pun. Sebaliknya hasil penelitian dan penelaahaan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Nilaikan dengan tenang. Jika berupaya memahami. Ketahuilah dua kalimah syahadah tidak akan memberi manafaat jika diucapkan kecuali dengan menyatukannya syarat-syarat secara keseluruhan (dalam diri), memahami syarat-syarat tersebut dan mengamalkannya secara lahir dan batin.
TUJUH SYARAT DITERIMANYA DUA KALIMAH SYAHADAH
1. Memahami makna Laa ilaaha illallaah
Iaitu hendaklah difahami maknanya dan hal itu menafikan kebodohan terhadap makna tersebut. Dan yang dimaksudkan di sini adalah mengetahui suatu petunjuk dengan dalilnya.
Laa ilaaha illallaah beerti tidak ada sembahan yang sebenarnya melainkan Allah. Maknanya tidak ada ilah yang berhak dijadikan sebagai tujuan ibadah secara keseluruhan melainkan Allah yang Maha Suci. Lalu semua ilah selain Allah beerti keilahannya adalah batil dan sesat.
Wajib memahami apda kalimah Laa ilaaha illallaah mempunyai dua iaitu an-nafi (peniadaan) dan al-itsbat (penetapan). kalimat Laa ilaaha meniadakan semua sembahan selain Allah. Kalimah illallaah menetapkan segala macam ibadah hanya untuk Allah semata, tidak ada sekutu baginya. Peniadaan ( an-nafi) saja bukan tuhid, begitu juga penetapan ( al-itsbat ) saja juga bukan tauhid. Sempurna, adanya penggabungan antara peniadaan dan penetapan.
2. Yakin
Iaitu sebagai perwujudan dari kesempurnaan pengetahuan terhadap maknanya; yang menafikan adanya syakk (keraguan). Yakin merupakan kekuatan dan kesempurnaan ilmu (pemahaman). Meyakini makna kalimah tauhid ini sebenar-benar meyakini makna dan kandungannya, tanpa ada sedikit pun perasaan bimbang dan ragu. Keimanan itu memerlukan ;ilmul yaqiin dan bukan 'ilmuzh zhan (praduga). Cacat dan rosaklah keimanan sekiranya dirasuki keraguan. Nauzubillah...
Keyakinan merupakan satu syarat sehingga jika syarat ini tidak dipenuhi maka tidak ada pula apa yang menjadi objek syarat itu.
3. Ikhlas.
Ikhlas yang menafikan kesyirikan. Ikhlas beerti pemurnian. Ikhlas cinta kepada Allah dan mengharap keredhaanNYA. Memurnikan dan memusatkan segala ibadah hanya untukNYA semata dan suci dari segala bentuk syirik. Hanya Allah yang layak disembah, ditakuti, menjadi tempat bergantung harap segala pengharapan. Kalimah tauhid ini tidak akan bermakna tanpa ikhlas. Ingat! Jangan sesekali menyamakan selain Allah dengan Allah dalam segala hal yang menjadi keistimewaanNYA.
4. Jujur
Iaitu jujur yang menafikan kedustaan. Pengucapan kalimah tauhid mestilah secara jujur dari dalam hati iaitu selari dengan lisan. Jika hanya mengucapkannya secara lisan sedangkan hati tidak mengakui beerti batin telah berdusta. Inilah yang dinamakan kemunafikan dalam kalimah tauhid. Atau memperlihatkan kebaikan secara lahir dan menyembunyikan kejahatan secara batin. kita berlindung kepada Allah dari kemunafikan.
Allah sendiri mengingatkan tentang kaum munafik ini melalui surah Al-Munafiquun kerana besar bahayanya golongan munafik ini. Ini disebabakan kemunafikan itu sarangnya di hati dan tidak kelihatan oleh perbuatan atau fiil. Sedang orang-orang kafir adalah musuh Islam yang jelas dan mudah dikenal, manakala kaum munafik ini tidak kelihatan dan berada di dalam kelompok orang-orang yang mengaku bersyahadah.
Jujur adalah syarat yang keempat, jika tidak terpenuhi maka hilang pula yang disyaratkan.
Pastikan kesesuaian pengucapan dengan kenyataan dan keyakinan (di hati).
5. Cinta
Cinta kepada kalimah tauhid dan kepada semua yang dikandungnya dan berbahagia kerananya. Cinta membawa maksud yang sangat besar sehingga ibadah ditegakkan berdasarkan tiga perkara pokok; rasa takut, harap dan cinta.
Cinta yang dimaksudkan tentunya ditujukan khusus untuk Allah. Seseorang yang mencintai sesuatu tentu sekali akan menyebut-nyebut, memuji-muji, memuja, mengagung dan akan memenuhi segala kehendak dan hak yang dicintai. Menunaikan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang. Cinta yang bersifat sunnah adalah cinta yang mendorong seseorang melakukan sesuatu yang diamanahkan dan dianjurkan. Oleh itu mesti ada perasaan cinta kepada kalimah tauhid ini serta semua yang dikandungnya; baik berupa perintah dan yang semisalnya-juga merasa bahagia dan bersenang-senang dengannya.
6. Patuh ( Inqiyad)
Patuh dalam menjalankan semua tuntutan kalimah tauhid secara ikhlas kerana Allah dan mencari keredhaanNYA. Patuh merupakan batu ujian. Sedemikian banyak orang yang mengaku mengetahui kalimah tauhid, tulus (ikhlas), jujur dan yakin tetapi jika diperintahkan atau dilarang mengerjakan sesuatu telah ditetapkan Allah, dia tidak mahu memenuhinya. Kiranya benar segala-galanya difahami dan dimiliki nescaya akan ringanlah tubuh menunaikan segala perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA secara lahir dan batin. Penuh berharap keredhaanNYA serta takut akan murka dan azabNYA.
Contoh mudah di sini Abu Thalib, yang mana mengakui nabi Muhammad SAW utusan Allah dan meyakini kebenaran yang dibawa. Namun beliau menolak segala perintah Allah. Maka dia tetap kafir lagi musyrik. Cuma siksaan untuknya diringankan atas ihsan Allah dan syafaat Rasulullah SAW. Selebihnya beliau melindungi dan membela Rasulullah SAW. Di mana siksaan paling dangkal iaitu kedua tumit di masukkan ke dalamnya nescata mendidih otaknya.
Suka atau tidak patuh merupakan syarat yang harus dipenuhi bagi hak-hak kalimah tauhid dan jika tidak dipenuhi maka yang disyaratkan pun tidak bermakna sama sekali.
7. Al-Qabull ( Menerima kalimah Tauhid)
Menerima kalimah tauhid yang menafikan ar-Radd (menolaknya). Maksudnya menerima secara lisan dan hati serta zahir dan batin. Rangkuman dari enam syarat di atas harus dibawa secara penerimaan yang total tanpa ada sedikit pun kekurangan dari kesemua syarat di atas.
:Contoh mudahnya orang-orang kafir Quraisy yang tidak mahu menerima dan meolaknya dengan angkuh dan sombong. Di dalam kitabNYA Allah menceritakan umat-umat terdahulu yang begitu hebat tamadun mereka tetapi dihancurkan dalam sekelip mata sahaja bagi mereka yang menolak kalimah tauhid ini. berhati-hati dan bersungguh-sungguhlah memnuhi tujuh syarat tersebut. Ketahuilah kalimah syahadah tidak akan memberi makna kecuali dengan sempurnanya syarat-syarat tersebut.
Perkongsian ini berasaskan rujukan tulisan Ibrahim bin asy- Syaikh Shalih bin Ahmad al-Khuraishi. Pun tulisan ini bukan semata-mata hafalan sebaliknya dibawa dalam amalan secara zahir dan batin. Ketahuilah bahawa dua kalimah syahadah jika ditimbang di atas mizan dibanding seluruh dunia dan isinya, kalimah ini masih berat dan tidak ada tolok bandingnya. Tapak asas seorang Islam dan pembuktian keislaman seseorang. Sebagaimana nabi pernah mengingatkan ' selama mana umatku mati dengan mengucapkan kalimah syahadah, dia tetap akan masuk syurga'. Pun harus kita fahami kalimah itu mesti digunapakai di dalam diri secara lahir dan batin melalui tujuh syarat di atas. Insyallah bertemu lagi di bawah label 'Tauhid". Pada tulisan akan datang kita akan melihat DALIL-DALIL MENGENAI TUJUH SYARAT DITERIMANYA TAUHID DUA KALIMAH SYAHADAH DARI AL-QURAN DAN AS-SUNNAH. Insyallah.....
0 ulasan:
Post a Comment