Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Thursday, April 15, 2010

MEMBEZAKAN TANGGUNGJAWAB DAN "JASA"


Kepimpinan berkait rapat dengan sistem. Sistem itu alat. Pemimpin bergerak berasaskan sistem. Sistem itu sifatnya berubah kecuali jika sistem yang dipilih berasaskan Al-Quran dan Hadith. Sistem itu akan menjadi syumul dan sesuai di semua keadaan. Malangnya hari ini keadaan dipaksa mengikut Al-Quran. Penulis barat sendiri seperti Stephen Covey, Edward De Bono mengakui bahawa sistem yang baik jika bukan diuruskan oleh kepimpinan yang cemerlang, ianya tidak akan mencapai target.
Bagaimana hebat sekali pun tulisan sarjana-sarjana barat berkaitan sistem dan kepimpinan ianya masih tidak dapat menandingi tokoh-tokoh Islam yang menulis tentang kepimpinan dan sistem. Misalnya Ibnu Taimiyah yang merakam tentang kepimpinan dalam kitabnya 'Peradaban Politik Islam'(PPI). Ini adalah tokoh-tokoh Islam yang menulis berasaskan pengalaman dan bersumberkan Al-Quran dan Hadith.
Perbandingan di atas sekadar untuk membuka minda berkaitan tanggungjawab pemerintah dalam sistem pentadbiran sesebuah negara. Seringkali kita tersentak dengan hujah-hujah yang mengaitkan 'jasa' pemerintah kepada rakyat. Walhal pemerintah bertanggungjawab, menunaikan amanah ke atas hak dan segala tuntutan keperluan rakyatnya walau pun sekecil-kecil perkara. Apatah lagi hal-hal besar dalam urus tadbir negara yang membabitkan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kemudahan jalan raya, hospital dan segala-galanya. Ini adalah satu amanah yang harus dilaksanakan oleh pemerintah kerana pemerintah dibayar gaji oleh rakyat. Ibnu Taimiyah menggariskan dalam kitab (PPI) dalam halaman 11 "hendaklah dipilih orang yang paling sesuai untuk menempati setiap jabatan yang ada. Sesungguhnya untuk menempati sebuah posisi (kedudukan) tertentu hendaknya memnuhi dua kriteria berikut; quwwah (kekuatan) dan amanat (jujur dan dapat dipercayai). Sebagaimana Firman Allah " kerana sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil untuk (bekerja kepada kita) adalah orang yang kuat lagi dipercayai." (Al-Qashah:26) 
Pilihan utamanya tentulah orang yang kuat, jujur dan amanah.Ertinya tidak terbabit dengan rasuah, penyelewengan kuasa untuk kepentingan peribadi. Terkejut selalunya dengan hujah-hujah dangkal yang mengaitkan generasi baru yang agak berpendidikan apabila memberi pandangan dan teguran, meski teguran itu benar berkaitan hal-hal urus tadbir negara tidak diterima dengan lapang dada. Sebaliknya generasi baru ini sering dilempar dengan kata-kata tidak 'mengenang jasa'. Kononnya satu ketika dahulu mereka berupaya menjejakkan kaki ke menara gading kerana 'jasa' pemerintah. Ada ketikanya agak lucu. Lazimnya ini berlaku dalam keadaan berhujah atau bertukar pendapat. Terutama jika hujah generasi baru tidak dapat dipatahkan oleh pihak tertentu, maka akan diungkit dengan mengaitkan 'jasa'


Sewajarnya apa parti pun yang terpilih untuk memerintah harus sedar amanah itu diberikan oleh rakyat untuk urus tadbir negara dan pembangunan material dan rohani adalah satu amanah dan bukan bersifat jasa. Maju mundur sesuatu negara adalah berasaskan sejauh mana negara itu melahirkan cerdik pandai. Pendidikan seperti menjadi akar tunjang atau boleh juga disebut sebagai kayu ukur ketamadunan sesuatu bangsa dan negara.
Konteks jasa biasanya tidak membabitkan imbuhan. Sesuatu yang dilaksanakan tanpa mendapat ganjaran, barulah boleh dianggap jasa. Namun jika sebaliknya di mana ada ganjaran yang diterima itu bukanlah jasa namanya, Seharusnya dalam menuju angka kemerdekaan yang ke 53 menjelang Ogos nanti, kita semua sudah dapat membezakan antara tanggungjawab dan jasa. Janganlah sering mengungkit bahawa kebijaksanaan anak muda hari ini adalah jasa pemerintah. Itu adalah amanah dan tanggungjawab pemerintah yang dibayar oleh rakyat.....

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails