Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Sunday, April 1, 2012

YA ALLAH! SIAPAKAH PEREMPUAN BERAMBUT PANJANG BERTUBUH NGERI ITU ?


 PUTRAJAYA PRESINT 17 jam 2.00 pagi

                Malam itu aku sudah berbaring di hadapan tv sambil di tangan tergenggam buku AHLI POLITIK karya SM Zakir. Buah tangan Shamsudin Othman semasa aku mengunjunginya beberapa hari lalu di UPM Serdang. Panggilan telefon Abang Azizul (rakan seperjabat) dengan suara ceria memberitahu, dia berpindah ke Presint 16 dari rumah apartment ke rumah teres. Aku menyetujui untuk menjengah dan membantunya serba sedikit.
                Kereta burukku meluncur melalui Presint 2 yang tertancap megah bangunan-bangunan pentadbiran yang agam serta melewati jambatan cantik yang dibina dengan kos yang entah berapa billion. Dia menyewa lori dibantu oleh tiga orang yang sebangsa, apa lagi di Putrajaya ini, sesuatu yang menjadi kebanggaan maajoritinya Melayu.
                Segalanya selesai memunggah barang dari rumah lamanya di Presint 9 ke Presint 16. Sebelum pulang kami menjamu selera di Presint 11. Tempat kami menjamu selera itu digelar mamak terowong kerana berdekatan dengan terowong menuju Presint 11. Kami semua bergerak pulang ketika jam sudah hampir menunjukkan pukul 2 pagi. Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana kebiasaannya aku di rumah pun agak lewat berlena untuk menghidupkan dunia membaca dan menulisku.
                Presint 17 tempat tinggalku ini merupakan kaurters baru dan kami antara penghuni awal yang merasmikan apartment ini. Sebetulnya gred jawatanku aku layak menduduki kuarters teres. Ah! Apalah mahu dikisahkan dengan gred dan status yang bersifat fana ini. Pentingnya rumah boleh digunakan untuk beribadat, membersih diri, makan, minum, membaca, menulis dan berlena, Alhamdulilah sudah terlebih mencukupi rasanya. 3 bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu yang agak besar, rasanya sudah berbaloi.
                     Memandangkan tiada kekosongan untuk rumah teres, aku menerimanya apabila ditawarkan kuarters ini. Sesuatu yang aku ingati pada pagi itu, apabila memasuki kawasan kuarters yang telah sunyi terasa angin yang agak ‘lain’ membelai tubuh. Pun aku tidak ambil kisah meski Putrajaya tidak pernah sunyi dengan kisah mistik yang tersendiri. Dahulu aku tinggal di Presint 15, juga berbagai kisah dengan makhluk berbalut putih terbang dari satu bangunan ke bangunan lain. Ramai yang pernah melihatnya termasuk beberapa rakanku yang menetap di sana tetapi aku tidak pernah pula diberi peluang melihatnya.  
                Punat lif aku tekan pada anak panah bertanda naik. Menunggu seketika sebelum berbunyi ‘ting’ menandakan sudah sampai waktunya dan pintu terbuka. Dari aras dua ini aku menekan untuk ke tingkat empat. Lif bergerak seperti biasa. Apabila sampai ke tingkat empat sekali lagi bunyi ‘ting’ sebelum pintu dibuka. Apabila aku keluar terus menuju ke lorong rumahku yang tidaklah jauh dengan lif ini. Tiba-tiba ada sesuatu keluar dari balik tembok berdekatan pintu rumah Ustaz Saufi. Aku terhenti, dia memandangku dan aku memandangnya. Tepat. Mukanya hitam manis sambil juraian rambutnya hampir menutupi mata dan kedua-dua belah pipinya.
                Mulanya aku terfikir “apa pula yang dibuat oleh orang rumah ustaz Saufi di luar rumah ini”. Ingatan mula memanggil ingatan tentang orang rumah ustaz Saufi bertudung labuh seperti orang rumahku (Walaupun aku tidak pernah peringkat memandang orang rumah ustaz Saufi sehingga  mengecam wajahnya)
                Aku pandang sungguh-sungguh ternyata kepalanya bergerak ke kiri dan kanan seperti meliuk lintuk. Sehingga mataku menyoroti tubuhnya, barulah aku lihat sendiri tubuhnya tidak berbalut daging. Jantungnya kelihatan hidup, ada paru-paru, perut, pendeknya semua organ dalaman badan dapat dilihat dengan jelas. Dia masih memandangku sambil menggerak-gerakkan kepalanya.
                “Eh! Ini bukan orang ini” Bibirku berkata-kata sendiri kepada diriku sendiri. (dalam menulis ini tiba-tiba terasa jariku sedikit gementar dan bulu romaku sendiri! Ya Allah hanya kepada ENGKAU, aku menyembah, menyerah, pasrah, memohon pertolongan dan perlindungan!)
                Habis aku berkata-kata kepada diriku dia bergerak ke balik tembok yang terhadang. Aku bergerak ke arahnya sehingga melepasi pintu rumahku sendiri. Pun sehingga empat langkah aku terasa bulu tengkukku meremang semahunya. Aku memberhentikan langkah. Berpusing, menyeluk kocek mengambil kunci rumah. Masuk ke rumah aku tidak boleh melelapkan mata. Badanku terasa seakan demam tetapi tidak demam. Mahu dikatakan tidak demam tetapi demam. Isteri yang tersedar dengan keresahanku bertanya “Kenapa bang?”
“Saya nampak ada ‘benda’ depan pintu rumah Ustaz”
“Hiss awak ini?” Tutur isteriku.
“Perasaan awak aje tak, awakkan tengah buah novel mistik?” Katanya sambil membetul-betulkan rambutnya tetapi tidak bangun dari baringnya.
“Awak tidurlah!” Kataku lembut.
                Aku masih tidak dapat melelapkan mata. Entah sudah berapa kali Ayatul Kursi, 3 Qul, Bismillah bukan lagi 21 kali. Aku sendiri sudah tidak terkira. Pukul 2.38 pagi aku menghantar sms kepada Ustaz Saufi. Bunyinya begini; ”   Assalamuailaikum, maaf mengganggu enta syeikh, enta dah tido ke? Ana baru pulang dan ternampak ‘sesuatu’ di depan rumah enta. Demi Allah ana bercakap benar”. Aku menunggu namun mesej itu tidak dijawab. Aku juga menghantar mesej kepada Azizul dan Ayahanda Talib (orang tua yang bergred jawatan atas tetapi selalu memilih bersama kami, dia juga ada bersama sewaktu Azizul mengemas barang dan mengeteh tadi). Ayahanda Talib menghubungiku dan bertanya perlukah dia datang. Aku katakan tidak perlu dan semuanya dalam keadaan baik walaupun buku romaku rasanya belum normal.     
                Aku terlelap, rasanya sudah 4 lebih pagi. Isteriku mengejutkan aku beberapa kali sebelum membawa anak-anak ke sekolah. Aku benar-benar letih sehinggalah Ustaz Saufi membuat panggilan jam 7 pagi. (bergesa mandi dan qada subuh! Ya Allah ampunkan kelewatan subuh ini) Kurang lebih, dia mempercayai kata-kataku. Katanya ibunya yang sedang uzur, juga tidak lelap melihat seorang perempuan cantik masuk ke biliknya. Juga dalam pukul 2 lebih. Anehnya aku bukan melihat seorang perempuan cantik tetapi…. Ah! (tengok semulalah perenggan atas, fikirku masih boleh menyalin wajahnya dalam kotak fikiran! Pergilah! Cukuplah sekali).
                Aku kongsikan cerita ini secara ringkas di dalam FB. Sekejap sahaja segalanya tersebar. Sehingga perjalananku bersama Timbalan Pengarah dari Putrajaya ke Johor untuk pemantauan masih dihujani panggilan telefon rakan-rakan sepejabat dan yang biasa minum bersamaku. Aku ambil keputusan kongsinya di blog ini supaya mudah aku menjawab segala pertanyaan.    
                Pulang dari Johor malamnya, aku masih tidak dapat melelapkan mata. Aku bangun membaca surah Al-Baqarah dalam empat lima helai mukasurat rasanya. Sehinggalah jam 2.15 pagi ada angin yang ‘lain dan tersendiri’ datang membelai langsir hijau ruang tamuku pun aku tidaklah melihat sesuatu yang aneh. Aku berdiri berdekatan jendela yang terbuka dan angin itu menyerbu ke wajah. Aku membaca “Audzubillah…”
                Kemudian aku menyeru “pergilah engkau! Aku tidak mahu jumpa kau lagi. Janganlah ganggu aku, keluarga aku dan penduduk di sini”  
                Dalam lima belas saat selepas itu angin itu reda.
                Ya Allah! Makhluk apakah itu?

2 ulasan:

Anonymous said...

kejadian ni di blok mana ye?

Me In Wonderland said...

tu orang kata hantu penanggal.. lebih kurang sumpahan keturunan.. orang tu sendiri pun tak tau dia tu ada sumpahan.. waalahualam.. encik tinggal blok mana ye?.. kena hati2 ni...

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails