Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Saturday, January 19, 2013

SIRI 3 KEMBARA MEMALI (Menggali kebenaran yang ditimbus) SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB MEMPERTAHANKAN KESYAHIDAN USTAZ IBRAHIM LIBYA?




 Hari sudah semakin petang ketika kami sampai di rumah tumpangan di Kupang. Rumah itu kelihatan sudah tinggal agak lama. Masuk sahaja ke dalam rumah, hati saya sudah berasa agak lain. Saya pedulikan perasaan tersebut sambil membaca beberapa ayat Al-Quran yang saya amalkan.

Sedang makan malam di salah sebuah kedai di Kupang. Telefon saya berbunyi. Haji Yaakob memaklumkan dia sudah memiliki nombor Ustaz Harun Mat Isa. Selepas menghantar anak isteri ke rumah tumpangan. Malam itu saya kembali semula ke Parit Panjang. Haji Yaakob sudah menunggu saya di sana.

“Ini nombor Ustaz Harun……. Rugi kalau tak jumpa dia! Orang yang hidup lagi dalam kes Memali dah tak ramai” Katanya bersungguh-sungguh.

Saya mencatat nombor yang diberikan. Jam di tangan sudah pukul 10.40 malam. Bimbang sudah agak lewat, saya memutuskan untuk menghubungi Ustaz Harun keesokan hari. Baki masa yang ada, Haji Yaakob bercerita tentang perkembangan sokongan kepada PAS di sini. Secara psikologinya pun, PAS kelihatan terlalu ampuh di sini.

Ya! Ada sejarah duka yang tidak boleh dipadam, bukti pusara As Syahid Ibrahim Libya ada di sini. Sokongan itu sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan tragedi Memali selain pusat-pusat tahfiz yang bersepah serta pengajian pondok yang ada di sini.

“Sini memang kita kuat la! Macam dua ribu lawan dua ratus. Yang pasang bendera UMNO pun orang luaq!” Tutur Haji Yaakob dalam permai angin malam Parit Panjang.

“Sini pondok pun banyak. Tempat bebudak ngaji Quran merata! Inshaa Allah sini puak depa tak boleh menang! Inshaa Allah!” Tuturnya membangkitkan semangat.



Malam itu kami berpisah selepas jam 11.20 malam. Dalam fikiran saya terlalu banyak yang perlu dikejar dalam masa yang cukup terhad. Esok Jumaat, target saya mahu ke Pondok Tuan Guru Haji Saleh bin Musa di Sik dan saya juga mahu melihat sendiri madrasah Islahiah Diniah milik As Syahid Ustaz Ibrahim Libya di Memali. Satu lagi saya dan keluarga juga mahu menziarahi Puan Solehah (Balu ustaz Ibrahim) yang juga menetap di Memali. Khabarnya jarak antara madrasah Islahiah Diniah dekat sahaja dengan rumah peninggalan As Syahid Ibrahim Libya.



Sampai rumah anak-anak sudah bergelimpangan di ruang tamu. Tidur dengan nyenyak. Hanya suara televisyen yang tidak langsung saya fokus. Penat merentasi perjalanan yang agak jauh. Pukul 12 malam, rumah yang kami tumpangi ada ‘gangguan mistik’ (Maaf! tidak dapat diceritakan secara tuntas). Mulanya saya cuba bertahan namun akhirnya saya arahkan isteri berkemas dan saya kejutkan anak-anak. Alhamdulilah, mujurnya anak-anak saya yang di usia sekolah rendah dapat memahaminya. Semuanya bangkit dengan mudah pabila saya kejutkan dengan kata-kata 
"bangun nak! kita kena tinggalkan tempat nie! tak selamat untuk kita nak!"
 (Saya ada menghubungi sahabat baik saya di Segamat semasa peristiwa ini berlaku)

Hari sudah terlalu lewat.  Saya tidak tergamak mahu menghubungi Ustaz Fakhrulrazi dan Haji Yaakob. (Walaupun semua memaklumkan; jika perlu bantuan saya boleh menghubungi mereka bila-bila masa.)  Saya ambil keputrusan memandu ke Sungai Petani, walaupun saya tahu jarak itu bukan dekat dan sebahagian kawasan yang dilalui, kawasan hutan. Yakin dengan pertolongan Allah swt saya akhirnya sampai Sungai Petani hampir jam 3 pagi dan ini beerti sudah bertarikh 21122012.  Badan saya amat letih, fikir saya bekerja! 

21122012.

             Kami tinggalkan Sungai Petani ketika hari sudah agak tinggi menuju ke Parit Panjang semula untuk solat Jumaat. Selepas solat kami terus menuju ke Sik dan berhenti makan tengahari di Sik. Boleh dikatakan semua penduduk Sik mengenali Tuan Guru Haji Saleh. Akhirnya kami sampai ke pondok Tuan Guru Haji Saleh.

            Nasib kami tidak baik kerana jam 3.15 petang waktu untuk dia berehat. Tatkala kami mahu meninggalkan pondok itu dan memutuskan mahu ke Memali mencari Puan Solehah (balu As Syahid Ibrahim Libya), ada beberapa penghuni warga tua yang dengan mesra meminta kami menunggu dan cuba mengusahakan agar kami dapat bertemu Tuan Guru Haji Saleh. Akhirnya keluar isteri Tuan Guru dan meminta kami masuk dan menunggu.

Bertudung putih; Isteri TG Haji Saleh.
             “Tunggulah sat! Sat lagi Ustaz bangkit la tu! ” Tuturnya.

            Bila saya maklumkan saya anak Johor. Isteri Tuan Guru terus bertanya;

“Oh! Kenai aa! YB Salahudin Ayub!”

“Inshaa Allah kenal! Nombor telefon pun ada. Dia orang cerdik. Pasai tu Tok guru Nik Aziz letak dia bertanding di Kelantan. Biar menang!” Balas saya jujur.

“La ni, kata dia nak bertanding di Johor. Betui aa?” Tanyanya lagi.

“Inshaa Allah! Khabanya macam tu la tapi tak tau lagi!” Balas saya semula.  
Bangunan bercat kuning itu madrasah tempat TG Haji Saleh mengajar ilmu agama.

Tidak sampai lima minit berbual. Tuan Guru Haji Saleh sudah bangun dari tidur dan datang kepada kami. Saya cepat merebut bersalam, dan mencium tangannya. Memeluk dan menempelkan pipi saya ke pipinya. Kami dilayan penuh kasih sehingga dia memegang kepala anak-anak kami dan dibacakan sesuatu secara individu. Mereka diminta berdiri untuk menghadap kiblat. Tuan Guru Haji Saleh membaca ayat Al-Quran dengan jelas, sebahagiannya dapat saya cam, ayat-ayat dari Mathurat dan mendoakan kebaikan dunia akhirat untuk anak-anak kami yang dilaksanakan secara individu.




“ Bagus! Bagus! Bagus!” Tuan Guru Haji Saleh bercakap dengan pantas semasa saya maklumkan tentang  bermimpi As Syahid Ibrahim Libya dan tujuan saya ke mari.

“Dah pi kubur dia!?” Tanya TGH Saleh kepada saya.

“Alhamdulilah dah Haji!” Jawap saya.

“ Dah pi! Cukuplah tu! Dia mau hang mai sini la tu!” Tuturnya lagi membalas kenyataan saya.




Peluang yang ada saya cuba gali sebaik mungkin. Soalan-soalan pendek dijawab dengan jawapan yang panjang. Cukup menggembirakan. Sementara itu kami sekeluarga dihidangkan dengan teh o. Dimaklumkan isteri TGH Saleh; ini serbuk teh dari Tanah suci Mekah dan meminta kami sekeluarga meminumnya. Kami tidak menolak pelawaan tersebut.

“ Memali nie bukti kezaliman! Masa tu puak depa semua cakap Ustaz Ibrahim tak syahid. Saya, Tuan Guru Haji Omar Zuhdi, seorang lagi Tuan Haji Mahmud Lanai kata dia syahid. Kami tahankan! Kami takkan mandikan dia, dia syahid! Kami kebumikan terus! Masa tu kalau nak hadap sapa pun, kami pertahankan syahid! kami berani hujah bukak kitab!  ” Tuan Guru Haji Saleh Musa bercerita penuh semangat.
Siapa yang pertahankan As Syahid Ibrahim Libya?




“ Kami kebumikan dia tak mandi!  Kebumi Parit Panjang pasai Tuan Guru Omar Zuhdi ada situ! Tuan Guru Omar Zuhdi  tu guru Ustaz Ibrahim. Tengok la! Parit Panjang takde apa pun. Tu la masjid Tuan Guru Omar Zuhdi dan kubur Ustaz Ibrahim yang buat Parit Panjang tu hidup! Pi Tanya orang yang kebumikan dia! Ada bau wangi ke idak! ” Ayat itu dilafaz dengan agak tegas. Saya hanya mendengar sebaik mungkin.  



“Lepas tu tak lama! Kecoh puak depa nak gali kubur tu! Nak tengok hancuq ke dak Ustaz Ibrahim. La tu, Sultan Kedah campur tangan. Tunku tak bagi usik. Tuanku habaq! Depa kata tak syahid, depa punya pasai! Beta kata syahid! Jangan dok usik kubur Ustaz Ibrahim! Dah! Bila tuanku campur tangan, puak depa tak berani la!” Tuturnya yakin dan agak tegas. 



Kami sekeluarga sempat membelek-belek album Tuan Guru Haji Saleh yang berada di atas meja depan kami. Banyak tokoh-tokoh besar luar negara yang datang mencarinya termasuk dari Arab Saudi, Syria dll.  Gambar mengimankan solat hajat KEBANGKITAN RAKYAT di Alor Setar baru-baru ini, termasuk gambar menghadiri PERHIMPUNAN BERSIH. Dari isu Memali perlahan-lahan bertukar kepada isu politik, ya! Siapa yang tidak mengenali Tuan Guru Haji Saleh.

Koleksi album TG Haji Saleh
Koleksi album TG Haji Saleh
Koleksi album TG Haji Saleh
Koleksi album TG Haji Saleh


 Sesudah asar di pondok TG Haji Saleh Musa, kami bergerak menuju Memali untuk menziarah Puan Solehah. Setelah puas mencari kami sampai madrasah Islahiah Diniah (madrasah yang diusahakan oleh As Syahid Ibrahim Libya) masih berdiri teguh dan hidup hingga hari ini. Ini bukti apa yang diusahakan oleh As Syahid Ibrahim Libya tidak mati. Sekalipun jasadnya ditembak melengkapkan matlamat ingin kembali kepada Allah secara syahid. Apa yang ditinggalkannya terus hidup subur dan tidak tergugat.   
Madrasah Islahiah Diniah masih 'hidup' hingga hari ini.

Rumah yang didiami Puan Solehah (Balu As syahid Ustaz Ibrahim Libya)
Memali
Berndera Bulan Putih terpacak megah di laluan Kg Memali 
  Saya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila kami sampai Puan Solehah tidak berada di rumah. Sementara hari yang semakin gelap. Kami pulang ke Sik dan tidur di Hotel Melur. Masa semakin pendek. Esok saya harus memburu Ustaz Harun Mat Isa di Kupang sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu.             



In sya Allah!

Bertemu SIRI AKHIR KEMBARA MEMALI (Menggali kebenaran yang tertimbus)
-Bertemu Ustaz Harun Bin Mat Isa. (Mangsa yang ditembak dan kini mengajar di Yayasan Qariah, Kupang)

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails