Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Friday, November 18, 2011

HARI KUALITI BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS, KPM 2011



Hari Kualiti Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah berlangsung pada 15 November 2011, bertempat di Auditorium Parcel E, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. Program ini telah dihadiri seramai 250 orang tetamu dan dirasmikan oleh Encik Bong Muk Shin, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia.
Hari Kualiti Bahagian Pendidikan Khas ini merupakan acara tahunan yang bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai, guru, staff dan kakitangan yang menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang pada tahun sebelumnya.
Anugerah yang diberikan merangkumi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang melibatkan 140 warga pendidikan Khas dari seluruh Negara. 
Anugerah Inovasi disandang oleh SK Pendidikan Khas Kuantan dan SM Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam.
Sekolah Henry Gurney Keningau mengungguli kategori Anugerah Kecemerlangan Kurikulum.
Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum disandang oleh Sekolah Integriti Kajang
             
Anugerah Tawaran Baru Kepada Guru Besar dan Pengetua (NKRA) Pendidikan merupakan anugerah yang baru diwujudkan selaras dengan kehendak dan dasar-dasar kerajaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Anugerah ini telah diberikan kepada :
SK Pendidikan Khas Taiping
SK Pendidikan Khas Kelantan
SK Pendidikan Besut
SM Pendidikan Khas Voksional Indahpura.

Di kesempatan ini saya yang diamanahkan sebagai Pengurus Pentas HARI KUALITI BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS, KPM 2011 ingin merakamkan setinggi penghargaaan kepada semua AJK dan warga kerja BPKhas KPM yang memberikan komitmen dan kerjasama sehingga program ini berlangsung dengan lancar dan jayanya.

Tahniah kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan bagi tahun 2010... Insyallah bertemu lagi






Tuesday, November 1, 2011

CATATAN DARI PULAU PINANG 2; JANGAN HARAP BN BOLEH MENANG DI PULAU PINANG…

            Agak lama terhenti setelah catatan terakhir pada 18.09.2011. Terlalu banyak tumpuan kerjaya (Dalam konteks portfolio tugas. Insyallah saya tetap membantu, menganalisis, membina, mempertahankan dasar-dasar kerajaan khususnya ‘dunia pendidikan khas’). Sememangnya agak sibuk melunas tugas menyusun, memberikan kursus serta menyampaikan ceramah kepada pihak yang memerlukan dalam beberapa siri kursus yang dianjurkan KPM. Termasuk satu jemputan Forum Alumni UKM Bangi. 


            Seperti yang saya janjikan pada ayat terakhir catatan sebelum ini, saya akan hidangkan pandangan seorang professor di U….. P.Pinang. Pagi itu ketika kami ( saya dan Dr.A…) sampai ke U…, titisan hujan membasah tanah kampus. Kami bergegas setelah sempat bertanya seorang dua siswi tentang lokasi Fakulti Pendidikan. Misi kami ke sini sama seperti kehadiran kami Ke IPGM Cyber Jaya, UKM Bangi, UPSI iaitu mendapatkan kurikulum latihan…. untuk dianalisis hasil kritikan pihak NGO di Masjid Sultan Mizan Putrajaya Ramadhan yang lalu.
            Setelah bersoal jawab berkaitan kurikulum….. bertukar-tukar pandangan (tidak boleh didedahkan berkaitan misi ini kerana kami tertakluk kepada OSA; Akta Rahsia Rasmi Kerajaan). Segalanya selesai dan tiga puluh lima minit terakhir saya berpeluang bertanyakan pandangan Professor R….. tentang scenario politik di Pulau Pinang dan jangkaan siapa boleh memerintah selepas ini.    
“Terima kasih banyak-banyak Prof, segalanya sudah selesai. Alhamdulilah! Tapi saya nak Tanya pandangan prof sikit berkaitan politik di P.Pinang nie!” Soal saya secara jujur dan Prof R.. menganggukkan kepala.
“Boleh apa salah!? Kita bincang pandangan sahajakan. Semua orang ada persepsi!” Jawabnya penuh sopan.
“Jangka Prof ada peluang tidak BN menang semula di P.Pinang nie?” Saya terus kepada objektif utama.
Lambat dia menggelengkan kepala kemudian mula bertutur.
“ Rasa saya tidak dapat. Rasanya PR akan menang lagi di sini.” Tenang tetapi mendebarkan.
“Sebab apa Prof rasa macam itu?” Matanya merenung saya menerima soalan itu. Dr. A.. di sebelah saya hanya mendiamkan diri, melihat pena di tangan saya menari di atas buku catatan.
“ Banyak faktor, pertamanya berapa sangat jumlah pengundi Melayu di sini. Kemudian PR membuktikan mereka juga boleh mengurus tadbir dengan baik. Lim Guan Eng antara pemimpin terawal yang menaikkan elaun guru PAFA, macam lesen perniagaan walaupun payah dikeluarkan dan peniaga didenda tetapi tiada halangan untuk meniaga selepas disaman” Tuturnya tenang.
“Tentang nasib Melayu di sini macam mana?” Sengaja saya berikan sedikit provok soalan ini.
“Apa bezanya! Siapa perintah pun sama. Cuma rakyat akan menilai siapa yang dapat beri kebajikan yang lebih kepada mereka. Sebelum ini pun apa yang BN buat untuk orang Melayu P. Pinang?” Nadanya yakin.
Selesai saya mencatat sempat juga kami berbincang tentang Memali. (Pun untuk isu Memali rasanya wajar dijawab oleh Tun M… bukan kepimpinan sekarang kerana ianya berlaku pada tahun 1985).
Saya dan Dr. A… meninggalkan P.Pinang menuju ke Putrajaya ketika hujan lebat memandikan lebuh raya Utara Selatan. Berselirat pelbagai persoalan lain di benak saya tentang urus tadbir tanah Malaysia tercinta. Ketika Dr. A.. mengubah topik tentang kisah cinta tidak kesampaian di zaman awal memasuki maktab dan bagaimana dia menemui isterinya sekarang seperti takat separa mengacau pemikiran saya berbanding tentang siasah tanah air ini. 

Pun saya tidak nafikan ada simpati kepada Dr. A.. tentang kisah cinta tidak kesampaiannya itu. Cuma sedikit tersentak bila Dr. A… menyoal saya selepas usai mendedahkan kisah silamnya itu.
“Rul ada kisah cinta luka?” Katanya sambil menumpukan perhatian kepada pemanduan.
“Biarlah Dr, segalanya sudah berlalu…” Jawab saya secara rasional.
“Kongsilah dengan saya Rul!” Dr. A.. cuba mencungkil.
“Biarlah Dr. Segalanya telah berlalu dan tidak akan mengubah apa-apa. Saya percaya apa yang Allah berikan itulah yang terbaik untuk saya” Jawab saya sambil merenung ke luar jendela kereta memerhati titis hujan yang menikam alam….    
(Insyallah bertemu lagi di lain  catatan!)

Sunday, September 18, 2011

CATATAN DARI PULAU PINANG; “Saya akan undi BN semula…..”



          

Perjalanan Putrajaya ke Pulau Pinang selama 5 jam bersama Dr…. tidak terasa sangat kerana kami rancak berbual tentang keagamaan, dasar berkaitan anak-anak khas, pertelingkahan politik negara, keluarga, sukan dan lain-lain.
            Kami sampai ketika sore mengembang layar menanti senja mengambil tempat berdasarkan hukum waktu dan alam. Kami berpusing kerana saya memenuhi tuntutan Dr… yang mahukan hotel yang ada Astro (Sukan) kerana kepingin mahu menonton Bolasepak Liga Juara-juara jam 2.30 pagi. Akhirnya kami memilih Hotel Malaysia.  
            Malamnya kami kena sup kambing di kedai mamak berhadapan hotel tersebut. Kemudian berjalan-jalan mengambil angin malam. Pulau Pinang tidak ada bezanya dengan jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur. Bergerak tidak sampai seratus meter dari hotel Malaysia deretan kedai arak yang meriah dengan lampu suram berwarna-warni. Kelihatan juga lelaki Melayu memimpin pasangannya yang terdiri dari perempuan Tionghua. Huh! Betul-betul perpaduan!....
            Kami mengelilingi kawasan sekitar berjalan kaki, melewati bangunan mahkamah Pulau Pinang, sekolah-sekolah convent warisan penjajah, sambil memerhati nama-nama jalan yang diletakkan nama orang yang pernah menjajah Negara kita; Light, Lebuh Campbell dll. Sehinggalah sampai di padang kota. Duduk sambil memerhati lampu dari jambatan Pulau Pinang menyimbah riak ombak Selat Melaka..
            Hampir dua puluh minit duduk menikmati panaroma malam seperti lazimnya di Danga Bay negeri kelahiran saya Johor Darul-takzim, terdapat pelbagai pasangan, bangsa menikmati malam bersepuh warna dosa. Masih ada Melayu lelaki/perempuan yang berpasangan dengan kaum Tionghua. Hebat!.....
            Kami akhirnya dapat berbual dengan seorang lelaki yang menjual mainan kanak-kanak (mainan cahaya seperti tanglung tetapi diperbuat daripada getah). Lelaki itu membawa anaknya seramai dua orang dalam peringkat usia sekolah rendah. Agak kekok untuk memulakan perbualan namun akhirnya dia mesra juga dengan kami selepas dia bertanya kami dari mana dan tujuan kami ke mari. Kami jelaskan secara jujur misi kami ke mari. Dia nampak yakin. Setelah lama berbual saya cuba membaca pemikiran dan pandangannya.
“ Macam mana bang! Lepas roket perintah sini?” Tutur saya merenung wajahnya yang agak keruh dan separa kusam. Mulanya dia agak cuak untuk menjawab sambil membiar soalan itu dibawa angin malam. Sudahnya dia duduk di sebelah saya dan mahu berbicara tentang soalan tadi.
“Sama saja. Cuma bagusnya depa nie tidak kacau kita meniaga. Tapi hak lesen ada masalah sikit!” Tuturnya sambil bergilir memandang wajah saya dan Dr…
“Masalah depa tidak keluaq lesen! Depa asyik saman, kena bayaq!” Ada sedikit keluh dari tuturnya
 “Saman tu mahal ke bang?” Cungkil saya lagi.
“25 ringgit!”
“Habis lepas itu boleh meniaga lagi ke?” Saya giat mencari kebenaran pentadbiran PR di sini.
“Boleh! Lepas tu depa mai lagi. Kita habaq la baru dok kena saman bulan lepas. Depa tak saman la. Tapi dua tiga bulan pas tu kena lagi la!” Dia memberitahu lagi. Secara psikologi melihat matanya saya percaya kenyataannya beralas kejujuran. (Tafsiran saya! Wallahu’alam)
 “Abang ingat pasal apa BN tumbang kat sini!” Saya bertanya secara direct.
“Sebenar kami semua bukan suka sangat kat roket! Tapi hak BN yang dulu pun teruk. Depa sombong. Masa menang dulu tak mahu dok jaga rakyat baik-baik! Kami semua mahu ajaq sikit la. Biar BN ingat kat rakyat! Depa pun banyak makan duit rakyat!” Katanya sambil terus menegur anaknya yang duduk di birai batu menghadap laut. Teguran supaya berhati-hati agar jangan jatuh.
“ Makan duit rakyat macam mana tu bang!” Sengaja saya jolok soalan ini untuk mencari pengertian yang lebih tuntas.
“ hang! Pikiaq la. Makan mesyuarat ke, majlis ke,  patut dua ribu setengah! Tinggal dua ribu! Lima ratus pun nak masuk kocek. Depa hak buat makan tu pun bukan senang. Jadi la daging besaq nie ja!” Katanya sambil menunjukkan ruas hujung jari kelingkingnya
“ Jadi Abang rasa pilihanraya akan datang, abang akan beri undi pada siapa?” Soalan cepu emas. Dr. …. di sebelah saya lebih banyak mendengar.
“Ha! Lepas nie saya undi BN semula la!” Katanya penuh yakin.
“Abang rasa boleh berubah keadaan di sini?” Duga saya lagi mahu melihat keutuhan prinsip dan pemikirannya.
“ Melayu penang nie! Siapa perintah pun sama. Dok lagu tu la! Tersepit. Hang tengok la rumah kotak merpati. PR bagi dekat sebelah mana……………….depa beli tanah orang kita…………….. harga rumah ……………… hak melayu pun satu juga……….. dengaq sikit duit habis tanah…………….. berapa sangat orang kita kat sini………. Sudahnya orang kita pergi Sungai petani,………….., ………………, Ini bukan baru! Lama dah! Sejak BN lagi!” ( Terlalu banyak yang didedahkan kepada kami, saya tidak berani menurunkan semuanya kerana bimbang dituduh rasis. Dr… turut sama mendengar/menjadi saksi bahawa apa yang saya turunkan semula di blog ini adalah benar dan jujur! Insyallah! ).
            Sebelum kami meninggalkannya, dia sempat memperkenalkan diri dengan nama pendeknya Encik……….., isterinya seorang anggota Polis. Anaknya empat orang dengan kembar dua orang.  
            Pulang ke hotel banyak yang kami bincangkan tentang Pulau Pinang. Pun saya beritahu Dr… bahawa ada ayat yang tidak benar dari perbualan tadi. Dia memaklumkan kepada kami “ ……… akan undi BN semula”. Sepatutnya “ ……….. tetap mengundi BN” kerana setelah saya analisis dia sebenarnya sememangnya BN. Bagaimana dia masuk ke dalam mesyuarat/majlis BN jika dia bukan ahli…………….., bagaimana dia mengetahui peruntukan dua ribu yang akhirnya tinggal dua ribu…. Ada beberapa aspek gaya bahasa, gerak tubuh secara psikologi yang membuktikan responden tadi adalah BN.
Dr… memandang wajah saya tekun.
“ Rul! Macam SB la!”
“Saya bukan SB Dr… kita sama datang ke sini untuk mendapatkan maklumat tentang….. dan selama mana saya masih seorang ……………., dalam portfolio tugas, saya tetap mempertahan/membina/membantu/melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang baik untuk anak-anak khas!, Insyallah saya hanya menulis dengan jujur daan benar! Yang benar tetap benar dan yang batil tetap batil tanpa mengira dari pihak mana. Insyallah!”
             Apa pun pegangan politik kita samada PAS atau UMNO!, Akurlah tanah sekangkang kera ini telah lama ter………..
( Insyallah! Bertemu Catatan Dari Pulau Pinang 2; mendengar pandangan seorang professor USM tentang duga akal ‘Siapa Menang Di Pulau Pinang PRU 13!)



Saturday, September 10, 2011

KRONOLOGI SEJARAH PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA


Pendidikan Bermasalah Penglihatan

1926

Pembukaan Sekolah Rendah  Pendidikan Khas (SRPK) St. Nicholas oleh Gereja Anglican di Melaka

1931

SRPK St. Nicholas telah berpindah ke Pulau Pinang


1948

Pembukaan SRPK Princess Elizabeth dengan kemudahan asrama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Johor Bahru Pembukaan Institut Berasrama Pusat Latihan Gurney - JKM


1953

Pembukaan Institut Taman Harapan, Pusat Pertanian Temerloh -JKM


1958

Pembukaan Institut Taman Cahaya, Pusat Pertanian, Sandakan - JKM


1962

Rancangan percantuman bagi pendidikan kanak-kanak bermasalah penglihatan di sekolah rendah dan menengah  diperkenalkan


1977

Permulaan Latihan perguruan Khas dalam bidang cacat penglihatan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras


1978

Penubuhan Jawatankuasa Utama Pembentukan Kod Braille Bahasa Melayu untuk mengembangkan Sistem Kod Braille Bahasa Melayu


1983

Pembukaan Sekolah Menengah Berasrama Cacat Penglihatan, Setapak
Pengambilalihan SRPK Princess Elizabeth oleh Kementerian Pendidikan 


1984

Penubuhan Jawatankuasa Kod Braille AI-Quran dan Bengkel Penulisannya bagi tujuan mengembangkan Sistem Kod Braille AI-Quran
Penubuhan Unit Perintis Penerbitan dan Percetakan Braille/ Kerabunan, Kementerian Pendidikan untuk menyediakan bahan-bahan dalam braille khususnya buku teks dan penyenggaraan alatan braille



Pendidikan Bermasalah Pendengaran

1954

Pembukaan kelas pendidikan khas di Jalan Northam, Pulau Pinang


1954

Pembukaan Sekolah Kanak-Kanak Pekak Persekutuan (Rendah dan Menengah), Tanjong Bunga, Pulau Pinang


1963

Pembukaan kelas-kelas Pendidikan Khas Rancangan. Percantuman Cacat Pendengaran oleh Kementerian pendidikan di sekolah rendah dan menengah biasa.Latihan Perguruan Pendidikan Khas Cacat Pendengaran dimulakan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras


1978

Pengenalan Kaedah Komunikasi Seluruh oleh Kementerian Pendidikan untuk menggubal sistem Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT)
Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Komunikasi Seluruh Kementerian Pendidikan Malaysia


1979

Kursus Dalam Perkhidmatan bagi guru-guru yang mengajar masalah pendengaran dalam Bidang Komunikasi Seluruh




1984

Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Kurikulum Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia


1985

Penubuhan Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Komunikasi Seluruh, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk perkembangan Sistem Kod Buku Pendidikan Islam
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil Kod Dasar Agama Islam
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil Kod Dasar KBSR Tahap II Bahasa Malaysia Kod Tangan
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil Penggubalan Kod Tangan Pendidikan Vokasional dan Teknikal


1987

 Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Shah Alam dibuka.



Program Percantuman/ Inklusif

1962

Bermulanya Program percantuman dan inklusif bagi murid-murid cacat penglihatan.


1988

Kelas Perintis untuk murid-murid peringkat bermasalah pembelajaran dimulakan
.

1993

Tiga orang pelajar inklusif ditempatkan  di Tingkatan 6 Rendah, SM Methodist (Lelaki), Kuala Lumpur


1994

Pembukaan kelas-kelas program inklusif secara projek rintis di 14 buah sekolah di seluruh negara


1995

Bermulanya Program Bermasalah Pembelajaran peringkat menengah


Perkembangan Semasa


1995

Unit Pendidikan Khas dinaikkan taraf sebagai Jabatan Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan Malaysia (kini Kementerian Pelajaran Malaysia)

2008

Jabatan Pendidikan Khas ditukarkan nama kepada Bahagian Pendidikan Khas (BP Khas), Kementerian Pelajaran Malaysia

2010

Proses  Transformasi Pendidikan Khas dimulakan oleh BP Khas dengan menekankan enam teras utama perubahan menjelang tahun 2020.






Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan program khusus kepada kanak-kanak berkeperluan khas di peringkat prasekolah iaitu:
i.                    Program Pendidikan Khas Prasekolah di Sekolah Pendidikan Khas
ii.                  Program Pendidikan Khas Inklusif Prasekolah 

Program Pendidikan Khas Prasekolah di Sekolah Pendidikan Khas 
Program Pendidikan Khas Prasekolah di Sekolah Pendidikan Khas telah dipertingkatkan ke seluruh negara. Prasekolah Pendidikan Khas mempunyai murid bermasalah pendengaran; bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran. 

Pada 2010, sebanyak 172 buah program prasekolah telah dibuka bagi kesemua tiga kategori di seluruh negara. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalankan sebanyak 28 program di Sekolah Khas dan 144 program prasekolah pendidikan khas integrasi masalah pembelajaran di seluruh negara. Terdapat seramai 590 murid pendidikan khas yang mengikuti pendidikan pada peringkat prasekolah integrasi.



Monday, July 25, 2011

DI SINI BARULAH AKU TAHU V



Barulah aku tahu di sini
Memiliki kuasa itu ujian yang sasa
Sekian ramai hanyut di selut kuasa

Barulah aku tahu di sini
Menggengam status itu persis  duri kaktus
Sekian ramai mendongak langit ditusuk status

Barulah aku tahu di sini
Mempunyai pangkat itu duga bersengat
Sekian ramai tercicir iman disengat pangkat



Barulah aku tahu di sini
Wang boleh membeli maruah
Sekian ramai menjual  iman kerana wang

Ya Rabb!
Pulang dari kota pentadbiran sore ini
Aku melihat diriku tanpa bayang di cermin usang
Sejuta ketakutan mengepung diri
Andai nanti tenggelam di selut kuasa
Andai nanti ditusuk status 
Andai nanti disengat pangkat
Andai nanti melelong iman kerana wang
Nauzubillah……………………………..



Haruskah aku berlari pulang
Meninggalkan medan uji
Atau terus berdiri di sini
Mempertahankan prinsip, amanah, hak
Dan K E B E N A R A N………………………..
Kerana di sini yang benar menjadi terasing
Sendiri……………………………….


ZHARULNIZAM SHAH Z.A
Senja Putrajaya
25072011
Related Posts with Thumbnails