Pagi itu, selepas subuh kami
sekeluarga meninggalkan Sik. Bertemu Ustaz Fakhrulrazi di kedai sarapan
berdekatan Petronas Parit Panjang. Sarapan itu, kami tidak dibenarkan melunasi
bayaran.
“Tak
pa! tak pa! jalan enta jalan Allah! Nie rezeki Allah!” Ustaz Fakhrulrazi tidak
mahu kami membayarnya walaupun anak-anak saya makan mee hoon dengan pelbagai
lauk.
Selesai sarapan, kami sempat
membelikan Zaid dan Zufri Adam jubah di kedai Ustaz Fakhrulrazi dan isteri saya
membeli sehelai tudung labuh.
Pekan Sik |
Maahad Tahfiz Yayasan Al-Huffaz |
Sebelum menuju ke Kupang mencari
Ustaz Harun Mat Isa di Yayasan Qariah. Kami dibawa ke Maahad Tahfiz Yayasan Al-Huffaz, tempat di mana Ustaz Fakhrulrazi mengajar. bertemu seorang guru Tasauf: Tuan guru Haji Rafia’ie Yaakob di Madrasah Al-Zuhdiah Charok Salam. Melihat kehidupan guru tasauf ini menggetarkan rasa, terasa
diri masih banyak terisi dengan kemewahan dunia. Pondoknya yang serba
sederhana, tanpa sebarang alat elektronik seperti tv dan radio. Wajah bersih
dan ketenangan dirinya cukup mempesonakan.
Tuan guru Haji Rafia’ie Yaakob tidak
banyak berbicara. Selain senyum dan tidak juga membenarkan kami pulang.
“Sat! minum ayaq dulu!” Katanya
lembut dan mendamaikan.
Syarat masuk ke Madrasah Tuan Guru Haji Rafia'ie Yaakob |
Gambar Tuan Guru Omar Zuhdi (Guru As Syahid Ibrahim Libya) di rumah TG Haji Rafia'ie |
Tuan guru Haji Rafia’ie sendiri yang
menghidangkan kami anak beranak dengan teh o dan roti ban yang dipotong-potong.
Di sini saya meminta dia memegang kepala anak saya dan mendoakan kebaikan agar
menjadi anak soleh yang berjuang untuk Islam. (Ianya sama konsep dengan apa
yang dilakukan oleh Tuan Guru Haji Saleh Musa semalam) Dia segera
menyetujuinya.
Zaid! semuga menjadi pejuang di jalan Allah |
Adam! semuga menjadi anak soleh |
Terima kasih atas segala budi baik kalian semua! |
“ Nanti mai lagi! Bawa kawan!” TG Haji
Rafia’ie mengingatkan saya. Sebelum itu beliau memaklumkan tentang Sambutan
Maulidur Rasul Febuari nanti, tempatnya akan dikunjungi oleh seorang Kiai dari
Indonesia.
Selesai segalanya, kami bersalaman
dan berpelukan. Termasuklah Ustaz Fakhrulrazi; dalam hati saya mendoakan segala
kebaikannya kepada kami sekeluarga diberi ganjaran dunia akhirat. Berdasarkan
maklumat yang diberi saya perlu mencari Yayasan Qariah di Kupang. Laluan pulang
menuju ke Grik.
Sesudah menghubungi Ustaz Harun
melalui telefon. Alhamdulilah kami bertemu di Yayasan Qariah. Sekolah rakyat
yang terbaik keputusan SPM di Kedah. Syarat masuknya juga mudah. Mesti boleh
membaca Al-Quran dan berakhlak baik.
Ustaz Harun mula menerangkan peristiwa Memali, saya mencatat buku yang hampir penuh |
Kesan peluru yang tembus di tangan |
Ustaz Harun yang pada ketika itu
sedang bermesyuarat, berulangkali saya
memohon maaf dan Ustaz Harun menjelaskan;
“Tak pa! Tak pa! mai jauh nie!”
Balasnya selepas kami bersalam dan berdakap erat.
Entah kenapa melihat wajahnya saya tiba-tiba
terasa amat sayu. Muncul juga wajah as Syahid Ibrahim Libya sama.
“Ustaz orang yang ada di tempat kejadian” Saya memulakan
selepas kami duduk di tepi kelas Yayasan Qariah.
“Ya! Ya! Saya kena tembak!” Balasnya sambil menyinsing
lengan baju kanan. Zaid beriya-iya melihatnya. Segalanya kami rakamkan dalam
bentuk gambar.
Kesan peluru dari ketiak dan tembus ke belakang tubuh Ustaz Harun |
“Dua tempat! Satu lagi kat ketiak tembus sini!” Ustaz
Harun menunjukkan bahagian belakang bajunya. Beriya-iya dia menolak bajunya
sehingga terlihat kesan tembakan tersebut. Hati saya bertambah sayu, kamera
merakam segalanya. Selepas gambar berjaya diambil kami duduk kembali. Kesan
tembakan di tangannya itu, ustaz Harun mengalami kecacatan kekal. Jari
telunjuknya tidak boleh dibengkokkan, doktor mengesahkan dia mengalami gangguan
saraf tangan.
“Ustaz tak terima apa-apa pampasan?” Tanya saya melihat
tangan Ustaz Harun.
“Takdak aah! Satu sen takdak! Hak dapat pampasan tu yang
mati aja!” Balasnya sungguh-sungguh.
“Siapa serang dulu Ustaz?” Tanya saya separa tenang
mengawal perasaan.
“ Depa! Depa bawak keta kebal langgaq pintu pagaq! Lepas
tu depa masuk tembak!” Ustaz Harun memberikan kenyataan sambil merenung saya
menulis apa yang dituturnya.
“ Semua yang meninggal 14, kenapa di Parit Panjang 13 aje
Ustaz?” Saya segera teringat pusara mangsa Memali di Parit Panjang.
“Satu lagi, keluarga bawak balik. Kebumi di Gunung Alor
Setaq! Hak takdak kat Parit Panjang tu nama dia Ustaz Ahmad Hasan!” Ustaz Harun
menjawab sambil menganggukkan kepala tanda menunjukkan kesungguhan.
Kecacatan kekal di mana jari telunjuk tidak boleh dibengkok |
“Ustaz cerita lagi! Saya tulis…” Balas saya sambil
memegang pena di tangan.
“Masa kebumi Ustaz Ibrahim, saya dalam tahanan. Semua
yang cedera 9 orang. Yang hidup tinggal saya ngan Haji Abdullah! Haji Abdullah
ada di Cherok Putih!” Katanya lagi dengan wajah cuba mengingat sesuatu.
“Lama ustaz kena
tahanan tu?” Saya menyoal lagi sambil merenung wajah tua yang cepat menerbitkan
kesayuan di hati.
“ lama juga 2 bulan 10 hari. Bicara! Ada enam peguam.
Satu peguam Cina, satu peguam India, hak Melayu ada empat orang!” Jawab Ustaz
Harun.
“Sapa bayar peguam tu Ustaz?” Tanya saya dan saya kira
ini fakta yang tidak kurang pentingnya.
“Tak tau! Saya satu sen tak bayaq. Mula-mula bicara lepas
kanak-kanak dulu, pas tu bicara kedua lepas pulak orang tua lelaki perempuan.
Kali ketiga bicara! baru kami semua lepas! Kira menang la!” Wajahnya yang
kekadang tersenyum bercerita menerbitkan kekaguman saya kepada lelaki tua ini.
“Sebenarnya kenapa dia orang buat operasi nie Ustaz?”
Tanya saya sambil mengawal perasaan.
“Tarikh dia semua dapat dah!?” Ustaz Harun memulangkan
soalan kepada saya.
“Alhamdulilah ada dah. 18 November 1985” Balas saya dan
waktu itu saya berada dalam darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Batu Anam. Ketika
itu tidak tahu apakah sebenarnya OPS HAPUS di Memali.
“ Ya ya! Mula pukul 7.30 pagi sampai pukul 1.00
tengahari” Ustaz Harun menambah fakta masa yang saya juga sudah sedia maklum.
Pun saya meneruskan catatan apabila Ustaz Harun menyambung kenyataannya.
“Zalim! Depa zalim! Ustaz Ibrahim takde apa pun. Tuduhan
ada senjata banyak kat tandas semuanya bohong. Senjata api pun takdak! Depa
kata parang sampai dua ratus! Semua bohong. Orang ada 160, tu pun campur
budak-budak dengan orang pompuan! Sebenarnya lepas Ustaz Ibrahim berhenti kerja
kerajaan, balik sini ngajaq agama, PAS jadi kuat kat sini. Sapa yang pi dengaq
ceramah dia, gerun! Ramai yang ikut dia!” Ustaz Harun terus bertutur dan saya
mencatatnya sepantas mungkin.
Ah! Gila sungguh! Ada ke dalam tandas ada senjata. Yang
aku tahu dalam tandas ada najis!
“Lepas dah bunuh
macam itu, OCPD Baling masa tu jumpa Tuan Guru Omar Zuhdi Depa nak korek kubur
tu. Nak tengok reput ke idak? Aaa! masa tu Sultan Kedah turun Parit Panjang
siram air mawar. Sultan tak kasi usik kubur tu!” Fakta yang disampaikan oleh
Ustaz Harun ini sama seperti yang diberitahu oleh Tuan Guru Haji Saleh Musa.
Cuma gaya penyampaian dan ayatnya saja yang berbeza.
“ Kalau tengok gambaq gambaq tu sedih sangat ah!” ustaz
Harun merenung jauh. Mengimbau tragedi Memali. Sayu dan pilu tidak boleh
digambarkan dengan kata-kata.
Saya mengawal perasaan. Pertemuan itu berakhir selepas
kami bersalam dan berpeluk erat. Ustaz Harun memandang kereta kami bergerak.
Apabila Zaid anak sulung kami, mengeluarkan kepala melalui tingkap melambai dan
melaungkan Takbir! Ustaz Harun membalasnya dengan Allahuakbar!!!!
Selepas keluar dari pintu utama Yayasan Qariah, saya
membelok ke kanan menuju ke Kota Bahru. Diiringi suara zikir Hafiz Hamidon dari
corong muzik kereta kami, airmata saya mengalir tanpa mampu diempang lagi. Wajah
As Syahid Ibrahim Libya tertancap di depan mata saya. Terhafal seperti saya
melihatnya di alam mimpi. Isteri dan anak-anak yang memahami terdiam. Seakan
selari suara angin berzikir membelai pohon-pohon hutan di kiri dan kanan laluan
yang kami tempuhi.
Salah satu bangunan Yayasan Qariah |
Bergerak keluar dari Yayasan Qariah |
Segala fakta yang terkumpul ini tidak banyak bezanya
dengan fakta di dalam buku MEMOIR TRAGEDI MEMALI. Saya BERANI simpulkan OPS
HAPUS hanyalah operasi untuk menghapuskan atau membunuh As Syahid Ibrahim
Libya. Singkatnya cara mereka berfikir; membunuh untuk menghentikan pengaruh.
Sesungguhnya tragedi berdarah Memali adalah satu luka yang maha dalam, panjang
dan pedih! Sekalipun luka itu cuba dijahit oleh pemerintah, kesannya tetap
membekas!
Ya! Saya percaya Allah telah membalas pengorbanan mereka
dengan sebaik mungkin. Datanglah ke Memali, Parit Panjang, Sik, Kupang dan
kawasan sekitarnya. Pondok-pondok agama, Maahad Tahfiz berdiri dengan megah.
Malahan Madrasah Islahiah Diniah milik As Syahid Ibrahim Libya masih hidup
hingga hari ini dan sepanjang laluan di sana juga bendera bulan putih berkibar
megah. “Mana tanah pernah basah oleh
darah syuhada maka di situ Islam akan menang! Saya haqqulyakin!” AllahuAllahuAllahuAllahuAllahuAllahuAllah..
(Demi Allah! Catatan ini adalah rakaman sebenar
perjalanan penulis ke Parit Panjang, Kupang, Sik dan Memali)
4 ulasan:
Terima kasih atas catatan pengalaman Tuan.
Ia juga turut membekas di hati kami.
Ustaz harun meninggal dunia pagi ni..16/2/2013..eksiden ketika beliau menunggang motosikal di hujung kampung padang geh, kuala ketil, kedah...jenazah beliau dikebumikan lepas asar insyaAllah....perginya seorang pejuang..al-fatihah...
Al Fatihah, Ustaz Harun Md Isa telah kembali kerahmatullah semalam 16 Feb 2013
al fatihah buat ustaz harun..terima kasih atas perkongsian catatn pengalaman tuan
Post a Comment