Pages

SEGALA PUJI BAGI ALLAH DAN RASUL-NYA JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PENYOKONG BLOG INI

PERINGATAN;

SILATURAHIM DAN PERSAHABATAN LEBIH BERNILAI BERBANDING IDEOLOGI POLITIK

Tuesday, June 28, 2011

REPUT (Dedikasi Buat SN A. Samad Said)


Antara terharu, kagum dan sayu
Tiba-tiba aku melihat engkau bukan lagi memegang sebatang pena
Lalu kini di tanganmu
Adalah sebilah pedang tajam
siap untuk mencincang kejahilan manusiawi
Dan kebobrokan sistem
Oleh segelintir manusia mabuk mempertahan kuasa
Kuasa yang kini dalam proses pereputan………….

ZHARULNIZAM SHAH Z.A
2.07 PAGI
Sunyi pagi Putrajaya.

Nota: Tulisan ini tidak bertujuan atau mempunyai justifikasi untuk menghasut………………

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
...sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID


KUALA LUMPUR 27 JUN : Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said hari ini memberi keterangan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 Seksyen 4 (1) dan Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Bagaimanapun A. Samad Said yang lebih mesra dipanggil sebagai Pak Samad kelihatan tenang sahaja dan menyatakan beliau bersedia memberi keterangan jika didakwa di Mahkamah kelak.

"Saya cuma diambil keterangan mengapa saya hadir membaca puisi di pelancaran Bersih 2.0 dan saya beri jawapan saya akan jelaskan bila dipanggil ke Mahkamah nanti. Saya tak kata apa-apa jadi sebarang kata-kata akan dijelaskan di mahkamah nanti, "kata beliau di hadapan wartawan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Semalam, beliau menemui sebuah notis yang dimasukkan ke tingkap rumahnya untuk hadir memberi keterangan kerana bacaan sebahagian puisi beliau "Unggun Bersih" ketika Pelancaran Bersih 2.0 19 Jun lalu.

Seksyen 4 kurungan 1 menyatakan kesalahan Mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apaperbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut.

Jika didakwa Pak Samad berhadapan dengan hukuman didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Pak Samad terus mempertahankan Bersih sebagai gerakan yang baik dan membawa perubahan Positif kepada negara.

"Sangat salah untuk menyatakan gerakan ini (Bersih) akan memporak-porandakan. Saya fikir gerakan ini untuk membantu tumbuhkan suasana lebih bagus dan sepatutnya disokong dan bukan dibantah, "kata beliau.

Pak Samad diiringi oleh dua peguam NGO Lawyers For Liberty iaitu N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri.

1 ulasan:

author faethal said...

Terbaik Tuan!
Ada pepatah arab, mata pena lebih tajam dari mata pedang.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails