Ah! Aku apa peduli
pada simiskin di pinggir kota ini
lauknya sardin setin makan tiga hari
asal aku mampu ke luar negeri
bersantai di hotel lima bintang
yang kosnya boleh menampung
sebuah rumah kos rendah
Ah! Aku apa peduli
pada simiskin di pinggir kota ini
bergelut perit sebuah kehidupan
gula, garam, kopi, teh,
sebungkus tepung gandum,
sekampit beras, setin susu tepung bayi
asal aku mampu membeli wiski
duduk-duduk bersama rakan niaga
berbincang berapa perlu dibayar
harga tender sebuah pembangunan
Ah! Aku apa peduli
pada simiskin di pinggir kota ini
anak-anak ke sekolah berbaju usang menyalut tubuh,
kos buku yang sentiasa naik
apa mahu bising-bising!
yuran sekolah sudah percuma
asal aku sentiasa menyarung
pakaian berjenama
sepatu import
imej dan status perlu dipelihara
Ah! Aku apa peduli
pada simiskin di pinggir kota ini
tidak mampu memiliki sebiji bola
bagi anak-anak bermain petang
di tepi flat murah
yang tidak punya padang
asal set golfku
tetap besi import
turun naik kelab eksklusif
mencari peluh secara elit
Ah! Aku apa peduli
Jika simiskin di pinggir kota ini tersepit
petrol ron95 bagi diminum sebuah proton buruk
yang harga semasanya lebih rendah
dari motosikal berkuasa tinggi yang kumiliki
asal mobilku buatan Jerman tetap terisi V-power
Ah! Aku apa peduli
Negara ini cukup makmur
apa lagi yang kau mahu
kedamaian perlu dijaga
jangan sibuk berarak di atas jalan raya
walau beribu graduan
mengemis kerja
dalam kesempitan pasaran
kalau sekali pun
Izrail turun ke bumi
untuk aku kehidupanku
buat engkau kehidupan engkau
Kubur kita juga berbeza.
Ah! Aku apa peduli!!!!!
ZHARULNIZAM SHAH Z.A
Dalam kabus subuh
Putrajaya
Februari 2012
4 ulasan:
suka baca....dan dengar lagu latar itu,
salam ziarah
Ah! Aku apa peduli
Simiskin yang hanya menjinjit uncang plastik
Mengumpal syiling pada hujung selendang
Menggenggam ringgit lusuh dalam telapak tangan
asal aku megah mendada...
membimbit 'Birkin' bergaya
Indahnya luahan
Saya peduli!!!
tuan, terima kasih atas peringatan yang kita semua boleh guna kelak. kerana teringat saya pada satu petikan dari guru saya, sesungguhnya ujian dari Allah S.W.T dalam bentuk kepayahan dan kesusahan lebih mudah di hadapi dari ujian-Nya yang berbentuk kemewahan dan kesenangan.
TAHNIAH !! Teruskan berkarya dengan puisi yang membuka minda dan menyentuh jiwa pembaca.
Post a Comment